Tuesday, March 31, 2015

Mendaki Gunung Datuk, Rembau

Awal bulan yang lalu, penulis berpeluang meluangkan sedikit masa penulis dengan mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan. Seramai enam orang termasuk penulis pergi ke sana dengan menaiki dua buah kereta.

Perjalanan kami dari Subang Jaya hingga ke kaki Gunung Datuk sekitar satu jam 15 minit dengan purata kelajuan 120km/jam . Kami memulakan pendakian kami ke puncak pada jam 8.30 pagi dan sampai ke puncak sekitar jam 11.00 pagi.

Laluan treknya tidaklah terlalu ekstrem dan menurut guider penulis, kebiasaannya dalam satu jam 30 minit boleh sampai ke puncak dengan syarat tidak selalu buat pit stop.

Apa yang menarik mengenai Gunung Datuk ialah di kaki gunungnya, terdapat sungai yang mana pengunjung boleh mandi manda. Penulis bagaimanapun tidak mengambil kesempatan tersebut kerana sebaik sahaja penulis turun daripada Gunung tersebut jam menunjukkan pukul satu.

Cabaran...

Cabaran terbesar mendaki Gunung Datuk adalah apabila kita hendak sampai ke puncak Gunung yang berbatu. Pendaki perlu menggunakan dua tangga yang merupakan near-death situation buat penulis andai tersilap langkah.

Sejujurnya, tangga tersebut bukanlah bahaya tetapi pendaki perlu berhati-hatilah apabila menggunakan tangga tersebut untuk sampai ke puncak. Ruangan di puncak tidaklah sebesar mana dan dikatakan jika mendaki pada hujung minggu anda akan mengalami keadaan yang sesak disebabkan pengunjung yang ramai.

Awas... Di puncak gunung diatas batu itu mungkin boleh menjadi tempat terakhir anda berdiri jika anda tidak berhati-hati. Kenapa? Kerana andai anda tergelincir dan terjatuh anda semestinya akan jatuh gaung yang tingginya penulis pun tak berani nak jenguk.

Berapa banyak air kena bawa?

Kalau ikut badan penulis, sebotol air 100plus 500ml dan 1.5 liter botol air mineral pun tidak habis. Tapi perkara ini hanya terpakai buat penulis kerana penulis mengalami masalah peluh yang kurang berbanding dengan rakan-rakan penulis. 

Untuk playsafe, bawalah 2 liter air mineral dan sebotol air isotonik agar dapat mengisi tenaga anda untuk terus meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Datuk... Jangan lupa untuk bawa alas perut seperti Chocolate Mars, Snickers, KitKat dan sebagainya agar dapat memberikan anda tenaga yang secukupnya.

Sesat?

Penulis tidak ambil risiko memanjat bukit tersebut secara Lone Ranger ataupun Chuck Norris ataupun John Rambo dengan tidak membawa guider. Guider penulis yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun menyatakan bahawa seandainya anda tahu melihat tanda ikatan merah dan tidak lari daripada tanda tersebut, anda tidak akan sesat.

Jika rasa tidak menjumpai sebarang tanda berwarna merah, patah balik dan cari jalan yang sebetulnya dan jika tidak pasti silalah kembali ke kaki Gunung bagi meminimumkan risiko. Peratusan untuk sesat mengikut pengamatan penulis agak rendah namun penulis nasihatkan agar bawalah seseorang yang tahu selok-belok kawasan tersebut.

Kena bayaran tak?

Kena... Kalau tak silap sekitar RM5 seorang... Kos tersebut kerana untuk memelihara alam agar tidak tercemar selain menampung kos operasi tandas yang berada di kaki bukit dan sebagainya.

Adakah anda cukup fit untuk panjat?

Anda layak panjat jika anda tidak mempunyai masalah lelah dan sebagainya. Seandainya anda mampu berjogging di padang berhampiran rumah anda sebanyak 2 pusingan dan teruskan berjalan untuk 3 pusingan seterusnya penulis percaya tiada masalah untuk anda daki.

Salah seorang rakan sependakian penulis ada mengambil kesempatan mengambil video ketika aktiviti pendakian berlangsung. Maka, penulis ambil kesempatan disini untuk berkongsi video tersebutlah agar anda sedikit sebanyak mendapat gambaran bagaimana pengalaman kami mendaki di Gunung Datuk.