Monday, January 19, 2015

Di Mana HAMKA kita?

Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA merupakan ulama tersohor Nusantara. Penulis gemar dengan kata-katanya seperti " Jika hidup sekadar hidup, Babi dihutan juga hidup, Jika kerja sekadar bekerja, Kera juga bekerja " dan ayat-ayat cinta yang menusuk qalbu penulis seperti " Bukan laut namanya jika tidak berombak, bukan cinta namanya jika perasaan tidak pernah terluka, bukan kekasih namanya jika hati tidak pernah merindu dan cemburu "...

Kata-kata tersebut membuatkan penulis kaku lalu merenung sejenak memikirkan kata-kata tersebut. Indah... namun bukan kisah cinta yang ingin ketengahkan tetapi penangan HAMKA yang banyak membuatkan penulis berfikir melalui karya dan kata-katanya.

Penulis seorang yang pemalas... Bukan seperti Pak HAMKA yang mampu mendapat gelaran Professor sedangkan tidak pernah memasuki universiti... Kenapa? kerana beliau sering membaca... Penulis malas membaca... Bahkan buku Komponen Sastera ( KOMSAS ) untuk pelajar SPM karya Abdullah Hussain bertajuk Konserto  Terakhir pun tidak habis penulis baca.

Namun, disebalik kemalasan penulis, karya agung HAMKA iaitu novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang diadaptasikan menjadi filem oleh Soraya Intercine Films lakonan mantap Herjunot Ali dan Pevita Pearce membawa penulis lebih dekat dengan HAMKA.

Kritikan sosial terhadap masyarakat Minang yang terlalu mementingkan taraf dan status individu tersebut menjadi tema utama dalam karya HAMKA ini. Kisah percintaan yang diangkat juga meninggalkan kesan yang mendalam dalam menyelusuri cerita ini sehingga ke penghujungnya.

Penulis enggan bercerita panjang mengenai Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck kerana ingin beralih ke karya Di Bawah Lindungan Kaabah. yang mengisahkan tentang kesetiaan cinta di antara dua insan iaitu Zainab dan Hamid. Meskipun penyudahnya bukan happy ending, namun banyak yang nilai yang ingin diketengahkan HAMKA dalam karyanya ini.

Lalu... Penulis berfikir.... Tiada lagikah HAMKA... Tiada lagikah ulama Nusantara yang mampu berkarya seperti HAMKA... HAMKA seorang sarjana Islam yang menulis berpuluh-puluh kitab dan buku agama tetapi juga mempunyai masa untuk bersastera.

Kenapa kini tiada para ulama yang mampu menulis novel yang menyelitkan dakwah Islamiah yang ingin disampaikan?

Penulis berpendapat ulama zaman kini perlu lebih terkehadapan dan tidak sekadar menjadi panel dalam majlis mahupun forum ilmu sahaja. Ulama zaman kini perlu menguasai segenap bidang agar dakwah ingin disampaikan ini mudah untuk diserap oleh orang ramai.

Dahulu... Ibnu Sina mampu menjadi pakar perubatan, pakar geometri, pakar matematik dan dalam masa yang sama turut menguasai bidang Fiqh. Begitu juga datuk kepada Pak Lah ( Tun Abdullah Ahmad Badawi ) iaitu Sheikh Abdullah Fahim, beliau merupakan seorang Ulama tersohor pada zamannya dan pada masa yang sama menguasai bidang Astronomi. Sehinggakan kepakarannya digunakan dalam menentukan tarikh kemerdekaan negara dimana dikatakan pada malam 31 Ogos 1957 planet-planet penting di alam ini berada pada posisi sejajar di atas langit Tanah Melayu yang mana berlaku dalam tempoh beberapa minit sahaja. Justeru, fenomena luar biasa ini diharapkan dapat memberikan aura yang kuat untuk membangunkan negara bangsa sehinggakan Tunku bersetuju dengan tarikh ini.

Itulah peranan Ulama apabila menggabungkan kepakaran dalam bidang astronomi dalam membina negara bangsa. Peranan ulama dalam menyampaikan risalah Islam juga boleh boleh diperkukuhkan apabila ulama menguasai bidang yang lain.

Sebagai contoh... Ulama menjadi karyawan seperti HAMKA... Menyelitkan cara hidup Islam dalam karya novel mereka yang akan dibaca oleh segenap lapisan masyarakat. Atau mungkin ulama sebagai penulis lirik... Yang menulis lirik berunsur kerohanian untuk dinyanyikan penyanyi... Mungkin tiada keperluan untuk meletakkan kalimah Allah ataupun ayat suci al-Quran namun seni kata itu membawa kebaikan...

Contohnya... Lirik lagu Rapuh yang dinyayikan Opick... Tidak meletakkan kalimah agung Allah atau kata-kata pujian terhadap Baginda Nabi Muhammad S.A.W dalam lagu tersebut. namun senikata lagu yang tersebut mampu menterjemahkan mesej yang ingin disampaikan. Begitu juga dengan lagu Sandaran Hati nyanyian Letto...

Kita perlu banyak pendakwah ataupun ulama yang menggunakan keseluruhan ruang yang ada untuk menyampaikan dakwah. Belakangan ini, penulis melihat adanya berlaku penglibatan ulama mahupun pendakwah dalam bidang yang tidak sinonim dengan mereka.

Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman sebagai contoh mempunyai Ijazah Sarjana Muda Usuluddin daripada Universiti Malaya, Ijazah Sarjana daripada Universiti Al-Yarmouk di Jordan dalam bidang Shariah dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Shariah dan Kewangan Islam daripada Universiti of Wales, UK.

Kelayakan beliau ini membolehkan pelbagai syarikat termasuk syarikat multinasional seperti BNP Paribas menawarkan beliau jawatan sebagai perunding Shariah dan juga penasihat buat syarikat mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat membenihkan formula perniagaan berlandaskan shariah buat syarikat-syarikat tersebut.

Penulis mengambil Ustaz Zaharuddin sebagai contoh kerana beliau berjaya menjadi seorang Orientalist Islam yang dalam masa yang sama mempunyai kepakaran dalam bidang Kewangan.

Justeru, penulis amat berharap bahawa individu seperti HAMKA yang mampu menyampaikan dakwah melalui karya tulisannya dapat dilahirkan di Malaysia. Seorang sutradara yang mampu mengarahkan filem untuk menyampaikan mesej dakwahnya. Seorang penulis lirik ataupun penyanyi yang mampu menusuk kalbu pendengar hasil kata-katanya melalui alunan lagu. Seorang pelawak yang menjadikan lawak sebagai medium untuk mendidik umat.

Itu yang penulis harapkan...