Thursday, October 8, 2015

Tidak Ku Tahu

Tidak Ku Tahu

Tidak ku Tahu
Semalam kita bergelak ketawa bersama,
Hari ini kau telah tiada

Tidak ku tahu
Semalam kau cerita kisah cinta
Hari ini kau telah tiada

Tidak ku tahu
Semalam kau luahkan perasaan duka
Hari ini kau telah tiada

Tidak ku tahu
Semalam kau curahkan segala idea
Hari ini kau telah tiada

Tidak ku tahu
Semalam kau belanja aku makan
Hari ini kau telah tiada

Tidak ku tahu
Semalam kau ajak aku bersukan
Hari ini kau telah tiada

Tidak ku tahu
Tidak kau tahu
Tidak mereka tahu
Yang tahu hanya Dia yang satu

Yang kau akan pergi meninggalkan kami
Dan tidak ku tahu
mungkin aku yang selepas ini

0524hrs - 5/10/15

Wednesday, July 1, 2015

Kehidupan Sebagai Kedi Golf

Selepas sahaja penulis tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ), penulis bersama tiga lagi rakan-rakan berpakat untuk menjadi kedi disebuah kelab golf bagi mengisi masa lapang selepas SPM serta mengisi poket sendiri untuk berbelanja.

Kami diperkenalkan kepada seorang ahli jawatankuasa kelab golf tersebut oleh salah seorang bapa kepada rakan kami. Seterusnya beliau merujukkan kami kepada caddie master kelab tersebut. Terdapat dua orang caddie master disini iaitu Bad dan Lord. Mereka ini bertanggungjawab dalam menguruskan tugasan kedi golf yang berada disitu.

Setelah sesi suai kenal bersama caddie master dijalankan, kami diberi sebuah buku panduan menceritakan segala perkara mengenai permainan golf untuk dibaca. Sebarang persoalan berbangkit boleh terus diajukan kepada caddie master tersebut secara terus. Disitulah kami kenal istilah birdie, putter, driver, green dan sebagainya.

Sebelum kami dibenarkan bekerja, kami disuruh menjadi kedi kepada kedi-kedi otai yang berpuluh tahun bekerja disitu. Untuk pengetahuan anda, setiap hari Isnin merupakan hari yang dibenarkan untuk kedi bermain golf kerana kebiasaannya tiada ahli yang datang ke kelab pada hari Isnin. Hal ini kerana ahli selalunya datang ke kelab bermula pada hari Rabu hingga Ahad.

Kami dilatih oleh kedi-kedi senior ini selama dua minggu dengan tips daripada mereka sebagai punca pendapatan, kami akhirnya dibenarkan bertugas. Siapakah ahli pertama yang mendapat perkhidmatan daripada kami? Freddie Fernandez ( Presiden Karyawan ) merupakan ahli kelab tersebut yang pertama kami jalankan tugas sebagai kedi...

Berapa gaji kami?

Di kelab penulis, kedi-kedi ini bukanlah pekerja tetap kelab ini tetapi hanya kedi yang berdaftar dalam kelab ini. Sesiapa pun boleh jadi kedi disini jika ada pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Hal ini membolehkan mereka untuk datang ke kelab sesuka hati kerana gaji mereka berdasarkan berapa lubang yang mereka jaga. Dalam kaca mata kelab pula, sistem ini membolehkan mereka membayar kedi tanpa perlu menjaga mereka serta mencarum KWSP kepada mereka.

Kami dibayar RM35 untuk 18 lubang dan meningkat kemudiannya kepada RM50 untuk 18 lubang. 18 lubang kebiasaannya sekitar tiga jam setengah kami di padang membantu ahli. Jika hari baik, kami dapat tips daripada ahli dan inilah punca pendapatan kami yang sebenar. Jika dapat tips RM30 maksudnya kami bawa balik RM65 sehari menggunakan kadar bayaran yang lama. Kalau jackpot, RM100 pon ahli bagi dekat kedi...

Secara umumnya, pendapatan kami tidak tetap dan hanya bergantung kepada caj kedi yang dibayar oleh kelab kepada kami serta tips. Jika anda seorang kedi yang baik dan ahli sukakan cara anda membantunya bermain golf, maka mungkin anda akan dapat tips yang lebih.

Untuk pengetahuan pembaca, terdapat dua kelas kedi di kelab tersebut iaitu kedi kelas A dan kelas B macam penulis. Kelas A kedi merupakan seorang kedi yang pandai bermain golf dengan handicap bawah 12 jika tak salah penulis. Kedi ini dibayar sedikit tinggi berbanding kami dan kebiasaannya diberi tanggungjawab untuk menjadi kedi kepada pemain golf yang bertanding dalam pertandingan di kelab tersebut.

Apa tugas kami?

Tugas kami bermula dengan membersihkan kayu golf ahli serta membawa kayu golf tersebut mengikut ahli. Kami juga diajarkan untuk sentiasa mengetahui kedudukan bola golf kumpulan yang kami jaga. Selain itu, kedi berpengalaman juga sering kali memberi nasihat dan membaca line ( untuk put di green ) bagi membantu ahli memasukkan bola golfnya ke dalam lubang.

Untuk mendapat ahli untuk dijaga, kami perlu tiba di kelab seawal jam 6.30 pagi. Sebaik sahaja sampai, kami perlu tulis nama untuk daftar dan orang yang paling awal tiba mula turun untuk ahli pertama tiba yang nak main golf. Maka, mula awal dan habis awal...

Siapa yang jadi kedi?

Kedi yang bertugas di kelab kami ini merupakan hampir kesemuanya Melayu dan India. Tiada yang berbangsa Cina... Mereka terdiri daripada pemuda berusia 20an hinggalah lewat 40an. Kebanyakkannya tiada pelajaran yang tinggi dan berkedi merupakan punca pendapatan mereka. Disebabkan itu, ada kedi di kelab penulis yang mempunyai pengalaman berkedi selama lebih 25 tahun meskipun umur baru 40. Mereka telah menjadi kedi semenjak bersekolah lagi... Ada juga kedi yang hanya bersekolah sampai darjah empat.

Apa yang penulis perasan mengenai kedi-kedi ini, mereka kuat berjudi... Ada papan Caroom pon mereka bertaruh begitu juga dengan dam haji. Ada putting board pon bertaruh RM1 untuk satu pukulan. Di padang golf juga ketika bermain mereka bertaruh RM10 untuk satu lubang. Nampak surat khabar perkara pertama yang mereka tengok adalah keputusan SportsToto.

Ahli Bertaruh?

Yupp... Memang ada ahli bertaruh dengan rakan-rakan apabila bermain golf. Kebiasaannya Winner Takes All... Kira setiap lubang... Terpulang berapa mereka bertaruh dari RM50 hinggalah RM 500 selubang. Jika jalan empat orang sekali, maksudnya kalau menang dapat RM2,000 selubang. 18 lubang  = RM36,000

Untuk pengetahuan anda, dalam kelab ini juga ada kasino untuk ahli berjudi. Cuma mini Kasino la... Pusat urut turut tersedia di kelab... Apa yang depa urut, penulis tak tau...

Penulis berkesempatan menjadi kedi selama sebulan dan berhenti apabila kena demam. Kemudiannya dah tak ada mood untuk berkedi dan bekerja di kedai makan tapi tak ada passion... Penulis berhenti dan jadi classic car consultant di Malaysia.

Saturday, April 18, 2015

Teori : Helikopter TS Jamaluddin Jarjis Dirompak Gara-gara Tunai RM 7 juta

Nahas helikopter yang dinaiki oleh Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan beberapa orang kenamaan lain termasuk Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Bin Alias serta ahli perniagaan dari Kedah, Datuk Tan Huat Seng telah menjadi tajuk utama beberapa minggu yang lepas.

Helikopter jenis Eurocopter Dauphin AS365N2 ini telah diterbangkan oleh Captain Clifford Fournier warga Amerika dilaporkan terhempas di Semenyih pada jam 4.55 petang. Perjalanan helikopter ini bermula di Pekan, apabila penumpang helikopter ini menghadiri majlis kenduri kahwin anak kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang dan diterbangkan ke Kota Bahagia, Rompin bagi menurunkan ADUN Ibam, Datuk Wan Kadri sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Turut berada di dalam helikopter tersebut adalah teman rapat Capt. Clifford Fournier iaitu Aidana Baizieva yang merupakan warga Kyrgyzstan serta pengawal peribadi Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Koperal Razakan Seran. Kesemua mereka disahkan terbunuh dalam nahas tersebut. 

Selepas kesemua mayat dibawa keluar dari tempat kejadian, misteri status wanita bernama Aidana Baizieva ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat Malaysia apabila terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab memfitnah beliau sebagai pengiring kelas atasan. Namun rakan-rakan mangsa tampil menjelaskan sikap sebenar Aidana [ klik sini ].

Laporan juga telah menjelaskan bahawa beliau merupakan seorang bekas pelajar Universiti Lim Kok Wing, Universiti Sunway dan juga SEGi University dan mendapat diploma dalam jurusan Pelancongan pada 10 Oktober yang lalu. 

Manakala Capt. Clifford Fournier juga merupakan juruterbang yang dikenali rapat dengan orang kenamaan di Malaysia dan dilaporkan juga bahawa beliau merupakan kawan kepada Menteri Belia & Sukan, YB Khairy Jamaluddin.

Sejurus siasatan dan laporan dikeluarkan oleh pihak berkuasa, terdapat beberapa spekulasi dan teori yang dibincangkan membabitkan nahas helikopter ini kerana laporan menunjukkan tiada kerosakan pada helikopter dan cuaca berada dalam keadaan yang baik ketika penerbangan berlangsung. Persoalannya bagaimanakah kemalangan ini boleh berlaku?

Mengikut teori yang diceritakan kepada penulis, Datuk Tan Huat Seng yang menaiki helikopter bersama Tan Sri Jamaluddin Jarjis turut membawa wang tunai sebanyak RM 7,000,000. Dilaporkan RM 5,000,000 merupakan wang milik Dato' Seri Najib manakala RM 2,000,000 merupakan wang TS Jamaluddin Jarjis. 

Disebabkan itu mereka memilih untuk menaiki helikopter sebagai kenderaan untuk ke Pekan berbanding menaiki kereta. Ini bagi menjimatkan masa selain dapat memaksimumkan keselamatan kerana mereka turut membawa wang tunai dalam jumlah yang besar. Fakta menunjukkan pengangkutan udara merupakan pengangkutan paling selamat jika dibadingkan dengan pengangkutan darat dan juga air.

Ketika tiba di Pekan, mereka pun bertemulah dengan Dato Seri Najib untuk menyerahkan wang bernilai RM 5,000,000 ini. Namun Dato Seri Najib dilaporkan tidak mahu mengambil wang tersebut dan mengarahkan Ketua Setiausaha Sulitnya, Dato Azlin Alias untuk membawa pulang wang tersebut ke Kuala Lumpur. Maka, diarahkan Dato Azlin Alias untuk pulang ke Kuala Lumpur dengan TS JJ dan Datuk Tan.

Dato Azlin Alias pun menghubungi pemandunya, Syaruddin Sharif dan memberitahunya untuk pulang ke Kuala Lumpur sendirian dan mengambilnya di The Mines Resort, Seri Kembangan sekitar jam lima petang.  [ klik sini ]

Kesemua tujuh penumpang ini pun menaiki helikopter dari Pekan dan menghantar Datuk Wan Kadri di Rompin, Pahang sebelum meneruskan perjalanan untuk ke Kuala Lumpur. Suasana di atas helikopter kelihatan seperti normal dan kesemua penumpang rancak bersembang.

Juruterbang mengarahkan Aidana Baizieva untuk mengambil alih dalam menerbangkan helikopter tersebut. Juruterbang terbabit ke belakang mengeluarkan pistol dan membuat tanda senyap menggunakan jarinya. Penumpang terdiam dan kaku dan mengetahui bahawa rompakan sedang berlaku. [ klik sini ]

Walaubagaimanapun, juruterbang mungkin terlepas pandang bahawa salah seorang penumpang yang berada di belakang merupakan pengawal peribadi Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang juga merupakan seorang anggota polis yang terlatih. Beliau melulu kehadapan bagi menewaskan juruterbang terbabit bagi menyelamatkan tuannya sekaligus mengakibatkan berlakunya pergelutan.

Pergelutan yang berlaku diantara Koperal Razakan & Capt. Fournier ini mengakibatkan tembakan dilepaskan daripada pistol yang berada di tangan Capt. Fournier. Tembakan tersebut telah menyebabkan Aidana yang sedang mengawal helikopter terkejut sekaligus menyebabkan panik yang mengakibatkan helikopter tersebut terhoyong-hayang kerana dia bukanlah seorang juruterbang yang terlatih tetapi hanya menerima tunjuk ajar yang asas daripada Capt. Fournier sahaja.

Bunyi tembakan tersebut juga mungkin dimaksudkan sebagai letupan di udara yang dilaporkan oleh pihak media hasil temubual daripada saksi di tempat kejadian. [ klik sini ]. Koperal Razakan yang mengetahui keadaan helikopter sudah tidak terkawal bergegas kembali kepada Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan melakukan tindakan terakhir bagi menyelamatkan tuannya dengan memeluk beliau. [ klik sini ]

Namun takdir telah menentukan bahawa kesemua mereka maut apabila helikopter tersebut tersebut jatuh menghempas bumi. Kesemua wang tersebut dikatakan berteraburan di tempat kejadian dan mungkin berada dalam tangan pasukan penyelamat ataupun hangus terbakar. 

Teori ini juga diperkuatkan lagi dengan laporan pihak berkuasa apabila tiada sebarang panggilan kecemasan ataupun Mayday dilakukan kepada Menara Kawalan Udara. Helikopter terbabit juga dilaporkan tidak mempunyai sebarang masalah mekanikal dan mempunyai perakuan layak terbang melalui kategori persendirian sehingga Februari tahun hadapan. [ klik sini ]

Inilah teori yang diceritakan kepada penulis dan penulis pasti bahawa ia sedang berlegar-legar di warung kopi, kedai mamak serta cafe-cafe mewah dalam kalangan rakyat Malaysia yang lain. Justeru, penulis berharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan siasatan agar rakyat Malaysia dapat mengetahui punca kejadian malang ini berlaku kerana ia membabitkan individu berprofil tinggi justeru dapat menolak teori jenayah ini.

Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri boleh mengesahkan sama ada beliau ada berjumpa dengan Datuk Tan Huat Seng sebelum nahas ataupun tidak serta mengapakah orang yang paling dipercayai beliau iaitu Datuk Azlin Alias bersama-sama menaiki helikopter tersebut.

Tujuan teori ini ditulis bukanlah untuk mengaibkan sesiapa namun untuk memberikan pertimbangan kepada pihak berkuasa yang terlibat untuk mencari punca nahas ini berlaku dan apa sebenarnya berlaku di atas helikopter terbabit sebelum ia terhempas.

Kemaskini ( 19/04/2015 )

Polis dilaporkan turut menyiasat akaun bank milik Capt. Clifford Fournier bagi menganalisis kedudukan kewangan individu terbabit. Timbalan Ketua Polis, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata kemungkinan masalah kewangan yang dihadapi juruterbang terbabit menjadi punca nahas sehingga mengorbankan kesemua yang berada di dalam helikopter. [ klik sini ]

Kenyataan ini sekaligus menguatkan lagi teori bahawa berlaku rompakan di atas helikopter terbabit sehingga mengakibatkan helikopter tersebut terhempas. 

Tuesday, March 31, 2015

Mendaki Gunung Datuk, Rembau

Awal bulan yang lalu, penulis berpeluang meluangkan sedikit masa penulis dengan mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan. Seramai enam orang termasuk penulis pergi ke sana dengan menaiki dua buah kereta.

Perjalanan kami dari Subang Jaya hingga ke kaki Gunung Datuk sekitar satu jam 15 minit dengan purata kelajuan 120km/jam . Kami memulakan pendakian kami ke puncak pada jam 8.30 pagi dan sampai ke puncak sekitar jam 11.00 pagi.

Laluan treknya tidaklah terlalu ekstrem dan menurut guider penulis, kebiasaannya dalam satu jam 30 minit boleh sampai ke puncak dengan syarat tidak selalu buat pit stop.

Apa yang menarik mengenai Gunung Datuk ialah di kaki gunungnya, terdapat sungai yang mana pengunjung boleh mandi manda. Penulis bagaimanapun tidak mengambil kesempatan tersebut kerana sebaik sahaja penulis turun daripada Gunung tersebut jam menunjukkan pukul satu.

Cabaran...

Cabaran terbesar mendaki Gunung Datuk adalah apabila kita hendak sampai ke puncak Gunung yang berbatu. Pendaki perlu menggunakan dua tangga yang merupakan near-death situation buat penulis andai tersilap langkah.

Sejujurnya, tangga tersebut bukanlah bahaya tetapi pendaki perlu berhati-hatilah apabila menggunakan tangga tersebut untuk sampai ke puncak. Ruangan di puncak tidaklah sebesar mana dan dikatakan jika mendaki pada hujung minggu anda akan mengalami keadaan yang sesak disebabkan pengunjung yang ramai.

Awas... Di puncak gunung diatas batu itu mungkin boleh menjadi tempat terakhir anda berdiri jika anda tidak berhati-hati. Kenapa? Kerana andai anda tergelincir dan terjatuh anda semestinya akan jatuh gaung yang tingginya penulis pun tak berani nak jenguk.

Berapa banyak air kena bawa?

Kalau ikut badan penulis, sebotol air 100plus 500ml dan 1.5 liter botol air mineral pun tidak habis. Tapi perkara ini hanya terpakai buat penulis kerana penulis mengalami masalah peluh yang kurang berbanding dengan rakan-rakan penulis. 

Untuk playsafe, bawalah 2 liter air mineral dan sebotol air isotonik agar dapat mengisi tenaga anda untuk terus meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Datuk... Jangan lupa untuk bawa alas perut seperti Chocolate Mars, Snickers, KitKat dan sebagainya agar dapat memberikan anda tenaga yang secukupnya.

Sesat?

Penulis tidak ambil risiko memanjat bukit tersebut secara Lone Ranger ataupun Chuck Norris ataupun John Rambo dengan tidak membawa guider. Guider penulis yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun menyatakan bahawa seandainya anda tahu melihat tanda ikatan merah dan tidak lari daripada tanda tersebut, anda tidak akan sesat.

Jika rasa tidak menjumpai sebarang tanda berwarna merah, patah balik dan cari jalan yang sebetulnya dan jika tidak pasti silalah kembali ke kaki Gunung bagi meminimumkan risiko. Peratusan untuk sesat mengikut pengamatan penulis agak rendah namun penulis nasihatkan agar bawalah seseorang yang tahu selok-belok kawasan tersebut.

Kena bayaran tak?

Kena... Kalau tak silap sekitar RM5 seorang... Kos tersebut kerana untuk memelihara alam agar tidak tercemar selain menampung kos operasi tandas yang berada di kaki bukit dan sebagainya.

Adakah anda cukup fit untuk panjat?

Anda layak panjat jika anda tidak mempunyai masalah lelah dan sebagainya. Seandainya anda mampu berjogging di padang berhampiran rumah anda sebanyak 2 pusingan dan teruskan berjalan untuk 3 pusingan seterusnya penulis percaya tiada masalah untuk anda daki.

Salah seorang rakan sependakian penulis ada mengambil kesempatan mengambil video ketika aktiviti pendakian berlangsung. Maka, penulis ambil kesempatan disini untuk berkongsi video tersebutlah agar anda sedikit sebanyak mendapat gambaran bagaimana pengalaman kami mendaki di Gunung Datuk.







Saturday, February 28, 2015

Lima Transformasi Masjid untuk Lebih Mesra Orang Muda

Masjid sering dikaitkan dengan masalah kurangnya golongan muda dalam bersama-sama berjemaah di masjid. Golongan muda juga jarang terlibat dengan aktiviti-aktiviti masjid dan kebiasaannya didominasi jawatankuasanya dengan golongan veteran ataupun dipanggil otai.

Masalah ini berlaku di mana sahaja termasuk di qariah masjid penulis sendiri. Persoalannya, kenapakah masjid seolah-olah tidak mesra golongan muda sehinggakan menjadi seperti satu fobia bagi orang muda untuk berada di masjid selain pada waktu solat Jumaat?

Penulis ada bersembang dengan salah seorang ahli qariah masjid yang berhampiran dengan rumah penulis. Beliau menyatakan bahawa anak muda enggan ke masjid mungkin kerana sering dimarahi oleh jemaah masjid ketika mereka masih kecil. Hal ini kerana kebanyakan anak kecil termasuk penulis dahulu suka bermain ketika waktu sembahyang. Penulis masih ingat, selepas selesai solat Isyak empat rakaat pada malam Ramadan, penulis akan bermain sembunyi-sembunyi dan pelbagai jenis permainan sementara menunggu bapa penulis menghabiskan solat Tarawikhnya. Bahkan penulis pernah menyuruh bapa penulis agar sembahyang 20 rakaat agar penulis dapat bermain dengan lebih lama.

Selain itu, identiti masjid sebagai sebuah tempat untuk beribadah sahaja mengakibatkan orang muda enggan mendekati masjid. Mereka hanya hadir untuk beribadah. Sedangkan masjid boleh dipelbagaikan peranannya untuk menjadi pusat ekonomi, pusat percambahan pemikiran, pusat untuk berhibur dan sebagainya. Namun adakah ini terjadi di masjid di Malaysia ini?

Penulis ingin menggariskan lima perkara yang mungkin boleh mendekatkan golongan muda dengan masjid. Penulis tidak tahu keberkesannya namun penulis rasa inilah yang generasi muda inginkan apabila bercerita perihal masjid.

1. Snooker, Dart & Carom

Mungkin ada dalam kalangan pembaca mengatakan penulis sedang mula mengarut. Namun inilah apa yang penulis dengar daripada telinga penulis sendiri. Hal ini berlaku kira-kira setahun yang lalu ketika penulis di tingkatan lima. Peristiwanya berlaku di masjid di mana penulis sedang kendalikan sebuah kem agama untuk pelajar tingkatan satu dan dua.

Penulis mendekati seorang pelajar dan bertanyakan kepada dia, apa yang dia inginkan di masjid. Pelajar ini menjawab " Snooker! ". Penulis terus tersenyum dan berlalu pergi kerana pada detik itu penulis merasakan pelajar terbabit ingin mempermainkan penulis. Namun selepas berapa ketika, penulis merenung kembali apa yang dikatakan oleh pelajar terbabit. Ada betulnya juga... Kenapa tidak diletakkan snooker di masjid agar anak-anak muda meluangkan masa bermain snooker di masjid daripada mereka membayar berpuluh ringgit untuk bermain di pusat-pusat hiburan yang lain.

Masjid mungkin dijadikan sebagai alternatif buat golongan muda untuk melepaskan waktu stres dengan permainan seperti snooker, dart dan carom. Permainan ini akan membuatkan golongan muda berkumpul di masjid untuk bersembang sambil bermain permainan seperti ini. Apabila tibanya waktu solat, sudah pastilah mereka akan segera berhenti dan terus mengambil wuduk untuk bersama-sama berjemaah.

Membiarkan anak muda untuk melepak di masjid lebih baik daripada membiarkan mereka melepak di pusat hiburan yang penuh pancaroba. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu, namun risiko melakukan perkara buruk dapat dikurangkan apabila kita berada di masjid.

Sebagai contoh, berapa ramai manusia yang kuat mencarut tetapi mengawal percakapannya apabila berada di masjid kerana menghormati masjid. Dengan caj-caj positif yang berada di masjid, penulis yakin bahawa jarang idea dan pemikiran jahat akan bermula di masjid. Mana ada orang ajak pergi clubbin ketika dalam masjid. Tetapi kecenderungan rakan-rakan anda untuk mengajak anda pergi clubbin ketika di kedai mamak agak tinggi.

Sebab itu penulis merasakan meletakkan permainan seperti ini mampu menarik generasi muda untuk mendekatkan diri dengan masjid. Namun hal ini perlu mendapatkan sokongan daripada keseluruhan jawatankuasa masjid dan jemaah yang lain. Hal ini kerana salah seorang qariah masjid pernah berkata kepada penulis bahawa beliau pernah membelikan papan carom untuk masjid. Namun selepas membenarkan budak-budak main, ada segelintir golongan veteran yang mengatakan bahawa membiarkan mereka bermain carom sebagai perkara yang sia-sia dan membazir ( elektrik ). Lalu carom itu disimpan entah ke mana...

2. Pasang Wifi Percuma

Wifi... Salah satu perkara asas dalam kehidupan seharian kita pada tahun 2015 ini. Wifi merupakan punca untuk kita mengembara ke seluruh dunia melalui sambungan internetnya. Apakah sukar sangat bagi masjid untuk pasang Wifi dan bagi password untuk jemaah guna. Hal ini tidak dipraktikkan oleh masjid-masjid secara keseluruhannya.

Entah kenapa... Penulis merasakan Wifi ini sebagai daya penarik untuk golongan muda pergi ke masjid. Mungkin disebabkan Wifi yang ada di masjid, anak-anak muda pergi mengikuti ayahnya berjemaah solat Subuh dan mendengar kuliah Subuh pada waktu cuti.

" Hmmhh... Ikut abah sembahyang Subuh di masjid pagi esok...... Lepas sembahyang kena dengar kuliah subuh pulak...  Habes mau pukol 8.00... Apa yang penceramah tuh cakap pon haram aku tak faham...Ajar pasal bab Muamalat mana aku nak faham... Baik sembahyang dekat rumah ja " mungkin ini apa yang berbicara didalam hati seorang remaja apabila diajak ke masjid... Namun apakah perkara ini boleh berubah dengan Wifi? Mungkin dengan wifi kanak-kanak ini akan berkata ;

" Hmmhhh... Sembahyang Subuh esok pagii... Nak pergi ke tak nak... lepas sembahyang kena dengar kuliah subuh... Mau sampai pukul 8.00 pagi... Penceramah tuh cakap pon aku tak faham... Tapi takpa la, boleh main Clash of Clan sambil dengar ceramah sebab masjid ada Wifi "

Sekurang-kurangnya budak ini dengar kuliah Subuh meskipun tak masuk otak. Namun perkara yang paling penting sekali dia mengikuti bapanya solat Subuh berjemaah. Itulah rahmat paling besar... Tapi tidak wajarlah membiarkan jemaah untuk scroll Instagram, menulis Tweet, update Status di Facebook tatkala khatib membacakan khutbah.

Golongan yang bekerja ataupun pelajar juga mungkin akan menghabiskan masanya di masjid jika adanya Wifi. Mereka terpaksa menyiapkan tugasan mahupun pembentangan dan menjadikan masjid sebagai tempat mereka memerah otak untuk bagi menghabiskan kerja mereka.

3. Cipta App

Salah satu masalah yang dihadapi setiap organisasi adalah masalah komunikasi. Komunikasi merupakan penggerak utama dalam menjayakan sesuatu program selain daripada menyampaikan maklumat. Cara konvensional pihak pengurusan masjid dalam menyampaikan sesuatu maklumat adalah dengan membuat pengumuman sejurus selepas solat ataupun sebelum solat terutamanya untuk solat Jumaat.

Cara konvensional ini sebenarnya tidak efektif kerana qariah kemungkinan tidak ada ketika waktu pengumuman itu dibuat. Disebabkan itu, penulis mencadangkan bahawa jawatankuasa masjid membina aplikasi untuk telefon pintar melalui platform Android dan juga IOS.

Hal ini kerana hampir keseluruhan masyarakat di Malaysia terutamanya mereka yang tinggal di bandar mempunyai telefon pintar. Penggunaan aplikasi yang dimuatturunkan ke dalam telefon pintar mereka memudahkan segala interaksi di antara qariah dan juga wakil jawatankuasa masjid. Apa-apa makluman hanya perlu  dikemaskini ke dalam aplikasi tersebut.

Selain itu, tazkirah, informasi setempat dan apa jua hal yang membabitkan kepentingan qariah masjid turut boleh dikemaskini sekaligus memudahkan penyampaian maklumat. Orang muda sudah semestinya berasa dekat dengan pihak masjid apabila golongan veteran mahu merobohkan tembok pemisah antara generasi tua dan muda.

Penulis ada berbual sebentar dengan pembangun aplikasi dari Pulau Pinang. Beliau mengatakan untuk satu aplikasi yang standard membabitkan jumlah kos sebanyak RM 3,000 untuk Android dan juga IOS. Mereka menawarkan pakej mencipta aplikasi sehingga meletakkannya ke play store dan sebagainya.

4. Buka Cafe di Masjid

Idea ini terinspirasi apabila penulis menghadiri majlis akad nikah seorang kenalan bapa penulis di Damansara. Sebuah masjid di atas bukit di belakang bilik pameran Mofaz. Beliau yang selesai melafazkan nikah kemudiannya mengajak penulis dan keluarga untuk menikmati hidangan yang telah disediakan.

Maka, penulis pun jalan ke belakang untuk menjamah makanan lantas terlihat pemandangan indah sebuah cafe yang dibina dalam perkarangan masjid. Nampak mewah dengan susunan kerusi, menu makanan dan sebagainya.

Dari situ penulis berharap masjid-masjid yang mempunyai tanah yang luas ataupun ruang yang tidak digunakan untuk membuka cafe di masjid. Hal ini memudahkan jemaah untuk makan apabila tidak ada hidangan yang disediakan selain daripada selepas tahlil malam Jumaat dan selepas Kuliah Subuh.

Golongan veteran atau penulis gelarkan mereka sebagai backbencher juga boleh berbual apabila selesai solat sambil menikmati teh tarik dan mungkin juga roti canai. Sudah pasti dengan pembukaan cafe ini dapat merapatkan lagi hubungan dalam kalangan qariah masjid tersebut dan boleh menjadi tempat tercetusnya idea untuk merencanakan program-program sepanjang tahun.

Generasi muda juga tidak teragak-agak untuk menjadikan cafe tersebut sebagai port mereka. Bahkan mungkin menjadi tempat mereka menghabiskan tugasan mahupun kerja mereka tambahan lagi dengan adanya Wifi untuk mereka mendapat capaian internet.

Dalam pada yang sama pembukaan cafe ini mewujudkan peluang ekonomi kepada individu yang menguruskan cafe tersebut mungkin juga kepada masyarakat setempat.

5. Pasang Projector

Gandingan Cafe dan Wifi tidak cukup bagi menarik golongan muda untuk datang ke masjid. Namun jika diletakkan sekali projector untuk tayangan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ataupun siaran bola sepak diantara JDT menentang Pahang mampu menarik generasi muda datang melepak di sekitar masjid.

Disebabkan ingin menonton bola sepak di layar yang lebih besar berbanding televisyen LCD di rumah. Kemungkinan golongan muda akan hadir berjemaah untuk solat Maghrib dan menonton siaran langsung selepas itu. Apabila waktu Isya' masuk... Tangguh dulu solatnya dan tunggu sehingga waktu rehat separuh masa.

Penulis tidak pasti sama ada cara ini berkesan ataupun tidak namun apa salahnya jika kita mencuba sesuatu yang di luar akal fikiran bagi menarik golongan muda ke masjid. Apa salahnya melewatkan solat Isyak jika mampu menarik ramai golongan muda untuk solat berjemaah.

~~~

Cadangan diatas cumalah pandangan peribadi penulis sahaja, terpulang kepada qariah masjid sama ada ingin bereksperimen dengan lima trasnformasi masjid yang penulis gariskan agar lebih mesra dengan orang muda.

Mungkin akan ada yang mengatakan cadangan penulis mengarut namun kita harus menerima hakikat bahawa pada zaman ini teknologi boleh memainkan peranan yang penting bagi menggalakkan golongan muda untuk mendekatkan diri dengan masjid.

Sampai disini sahajalah perkongsian penulis, penulis berharap terdapat inisiatif yang diusahakan oleh jawatankuasa masjid bagi menarik minat golongan muda untuk lebih kerap ke masjid...


Tuesday, February 10, 2015

( Gambar ) Ceramah Terakhir Anwar Ibrahim di Petaling Jaya

Jelajah Rakyat Hakim Negara telah memilih Padang Timur, Petaling Jaya sebagai tempat untuk ceramah grand finale mereka sebelum sesi pendengaran keputusan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilakukan pagi ini 10 Februari 2015. Ceramah ini dihadiri lebih kurang 4,000 orang penyokong Pakatan Rakyat untuk mendengar amanat terakhir Anwar Ibrahim sebelum beliau menerima keputusannya esok.

Ceramah ini turut dihadiri oleh YAB Dato Menteri Besar, Azmin Ali, YB Lim Kit Siang, Mat Sabu dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Ceramah dimulakan dengan ucapan oleh YB Sivarasa diikuti oleh Rafizi Ramli, bacaan puisi oleh A. Samad Said, Azmin Ali, Lim Kit Siang, Mat Sabu dan Datin Seri Wan Azizah sebelum Anwar Ibrahim memberikan amanatnya.

Beliau menegaskan bahawa jika mahkamah bebas, beliau akan dibebaskan dan beliau akan tetap meneruskan perjuangan. 

































































































































































Monday, January 19, 2015

Di Mana HAMKA kita?

Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA merupakan ulama tersohor Nusantara. Penulis gemar dengan kata-katanya seperti " Jika hidup sekadar hidup, Babi dihutan juga hidup, Jika kerja sekadar bekerja, Kera juga bekerja " dan ayat-ayat cinta yang menusuk qalbu penulis seperti " Bukan laut namanya jika tidak berombak, bukan cinta namanya jika perasaan tidak pernah terluka, bukan kekasih namanya jika hati tidak pernah merindu dan cemburu "...

Kata-kata tersebut membuatkan penulis kaku lalu merenung sejenak memikirkan kata-kata tersebut. Indah... namun bukan kisah cinta yang ingin ketengahkan tetapi penangan HAMKA yang banyak membuatkan penulis berfikir melalui karya dan kata-katanya.

Penulis seorang yang pemalas... Bukan seperti Pak HAMKA yang mampu mendapat gelaran Professor sedangkan tidak pernah memasuki universiti... Kenapa? kerana beliau sering membaca... Penulis malas membaca... Bahkan buku Komponen Sastera ( KOMSAS ) untuk pelajar SPM karya Abdullah Hussain bertajuk Konserto  Terakhir pun tidak habis penulis baca.

Namun, disebalik kemalasan penulis, karya agung HAMKA iaitu novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang diadaptasikan menjadi filem oleh Soraya Intercine Films lakonan mantap Herjunot Ali dan Pevita Pearce membawa penulis lebih dekat dengan HAMKA.

Kritikan sosial terhadap masyarakat Minang yang terlalu mementingkan taraf dan status individu tersebut menjadi tema utama dalam karya HAMKA ini. Kisah percintaan yang diangkat juga meninggalkan kesan yang mendalam dalam menyelusuri cerita ini sehingga ke penghujungnya.

Penulis enggan bercerita panjang mengenai Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck kerana ingin beralih ke karya Di Bawah Lindungan Kaabah. yang mengisahkan tentang kesetiaan cinta di antara dua insan iaitu Zainab dan Hamid. Meskipun penyudahnya bukan happy ending, namun banyak yang nilai yang ingin diketengahkan HAMKA dalam karyanya ini.

Lalu... Penulis berfikir.... Tiada lagikah HAMKA... Tiada lagikah ulama Nusantara yang mampu berkarya seperti HAMKA... HAMKA seorang sarjana Islam yang menulis berpuluh-puluh kitab dan buku agama tetapi juga mempunyai masa untuk bersastera.

Kenapa kini tiada para ulama yang mampu menulis novel yang menyelitkan dakwah Islamiah yang ingin disampaikan?

Penulis berpendapat ulama zaman kini perlu lebih terkehadapan dan tidak sekadar menjadi panel dalam majlis mahupun forum ilmu sahaja. Ulama zaman kini perlu menguasai segenap bidang agar dakwah ingin disampaikan ini mudah untuk diserap oleh orang ramai.

Dahulu... Ibnu Sina mampu menjadi pakar perubatan, pakar geometri, pakar matematik dan dalam masa yang sama turut menguasai bidang Fiqh. Begitu juga datuk kepada Pak Lah ( Tun Abdullah Ahmad Badawi ) iaitu Sheikh Abdullah Fahim, beliau merupakan seorang Ulama tersohor pada zamannya dan pada masa yang sama menguasai bidang Astronomi. Sehinggakan kepakarannya digunakan dalam menentukan tarikh kemerdekaan negara dimana dikatakan pada malam 31 Ogos 1957 planet-planet penting di alam ini berada pada posisi sejajar di atas langit Tanah Melayu yang mana berlaku dalam tempoh beberapa minit sahaja. Justeru, fenomena luar biasa ini diharapkan dapat memberikan aura yang kuat untuk membangunkan negara bangsa sehinggakan Tunku bersetuju dengan tarikh ini.

Itulah peranan Ulama apabila menggabungkan kepakaran dalam bidang astronomi dalam membina negara bangsa. Peranan ulama dalam menyampaikan risalah Islam juga boleh boleh diperkukuhkan apabila ulama menguasai bidang yang lain.

Sebagai contoh... Ulama menjadi karyawan seperti HAMKA... Menyelitkan cara hidup Islam dalam karya novel mereka yang akan dibaca oleh segenap lapisan masyarakat. Atau mungkin ulama sebagai penulis lirik... Yang menulis lirik berunsur kerohanian untuk dinyanyikan penyanyi... Mungkin tiada keperluan untuk meletakkan kalimah Allah ataupun ayat suci al-Quran namun seni kata itu membawa kebaikan...

Contohnya... Lirik lagu Rapuh yang dinyayikan Opick... Tidak meletakkan kalimah agung Allah atau kata-kata pujian terhadap Baginda Nabi Muhammad S.A.W dalam lagu tersebut. namun senikata lagu yang tersebut mampu menterjemahkan mesej yang ingin disampaikan. Begitu juga dengan lagu Sandaran Hati nyanyian Letto...

Kita perlu banyak pendakwah ataupun ulama yang menggunakan keseluruhan ruang yang ada untuk menyampaikan dakwah. Belakangan ini, penulis melihat adanya berlaku penglibatan ulama mahupun pendakwah dalam bidang yang tidak sinonim dengan mereka.

Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman sebagai contoh mempunyai Ijazah Sarjana Muda Usuluddin daripada Universiti Malaya, Ijazah Sarjana daripada Universiti Al-Yarmouk di Jordan dalam bidang Shariah dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Shariah dan Kewangan Islam daripada Universiti of Wales, UK.

Kelayakan beliau ini membolehkan pelbagai syarikat termasuk syarikat multinasional seperti BNP Paribas menawarkan beliau jawatan sebagai perunding Shariah dan juga penasihat buat syarikat mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat membenihkan formula perniagaan berlandaskan shariah buat syarikat-syarikat tersebut.

Penulis mengambil Ustaz Zaharuddin sebagai contoh kerana beliau berjaya menjadi seorang Orientalist Islam yang dalam masa yang sama mempunyai kepakaran dalam bidang Kewangan.

Justeru, penulis amat berharap bahawa individu seperti HAMKA yang mampu menyampaikan dakwah melalui karya tulisannya dapat dilahirkan di Malaysia. Seorang sutradara yang mampu mengarahkan filem untuk menyampaikan mesej dakwahnya. Seorang penulis lirik ataupun penyanyi yang mampu menusuk kalbu pendengar hasil kata-katanya melalui alunan lagu. Seorang pelawak yang menjadikan lawak sebagai medium untuk mendidik umat.

Itu yang penulis harapkan...