Monday, December 8, 2014

Kalau bukan Najib, Siapa?

Sentimen anti-Najib sudah bermula semenjak beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Namun, selepas PRU 13 sentimen ini semakin meningkat didorong tindakan kurang popular kerajaan yang menaikkan harga minyak dengan jumlah 40 sen jika diambil kira semenjak tahun 2009.

Meskipun cuba menutup segala kepincangan kerajaan melalui pemberian BR1M sebanyak RM 500 kini naik sehingga RM 950, kebencian terhadap Najib-BN masih lagi menguasai jiwa lebih separuh masyarakat di Malaysia. Jika tidak, masakan Pakatan Rakyat mampu memperoleh undi popular sebanyak 51% jika dibandingkan Barisan Nasional.

Jika dilihat post-post daripada page yang popular di Facebook seperti Oh! Media, komen-komen memperli, mengecam, dan mengkritik kerajaan sering kali mendapat like yang tinggi dalam kalangan pengguna Facebook. Manakala komen yang membela kerajaan juga hanya mendapat like yang mana anda boleh lihat apabila anda scroll tetikus anda sahaja.

Kelihatan kebanyakan rakyat Malaysia kurang berpuas hati dengan pentadbiran Najib semenjak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Pak Lah. Namun, disebalik pelbagai desakan terhadap Dato' Seri Najib Tun Razak, terdapat satu persoalan yang ingin penulis ajukan kepada pembaca sekalian.

Kalau bukan Najib. Siapa?

Empat perkataan yang membentuk satu ayat tanya. Kalau bukan Dato' Seri Najib? Siapa yang layak untuk menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia? Mungkin anda sudah ada jawapan kepada persoalan tersebut. Penulis cuma ingin ulas kebarangkalian yang terdapat dalam otak anda.

Penulis senaraikan tiga calon yang boleh dikatakan berkelayakan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

1. Tan Sri Muhyiddin Yassin ( Timbalan Presiden UMNO )
2. Datuk Seri Anwar Ibrahim ( Ketua Umum [Ketum] PKR )
3. Tuan Guru Haji Hadi Awang ( Presiden PAS )

Penulis tidak menyenaraikan Lim Kit Siang kerana mengikut Perlembagaan, beliau tidak layak untuk menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri kerana beliau bukan beragama Islam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Timbalan Presiden UMNO. Ketika beliau berusia 39 tahun, beliau sudahpun diangkat menjadi Menteri Besar Johor dan pentadbirannya selama 13 tahun menjadikan Johor sebagai salah sebuah negeri termaju di Malaysia.

Beliau yang telah berkecimpung dalam dunia politik tanahair lebih 30 tahun pernah menduduki pelbagai jenis jawatan. Antaranya Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan kini sebagai Menteri Pendidikan.

Kemenangan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan Majlis Tertinggi UMNO tahun 2009 menewaskan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib merupakan kejayaan terbesar beliau sekaligus menjadikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Namun andai kata Tan Sri Muhd Ali Rustam tidak dilucutkan kelayakannya untuk bertanding kerusi tersebut, keputusan tersebut mungkin berbeza.

Adakah beliau layak untuk memimpin Malaysia  menggantikan Najib? Penulis katakan tidak. Beliau bukan persona yang mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia lagipun umum mengetahui bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Usia beliau yang mencecah 67 tahun juga menunjukkan bahawa beliau agak tua dan uzur untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Jika dilihat Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada usia 56 tahun. Pak Lah pula pada usia 64 tahun. Tun Mahathir 56 tahun. Hussein Onn 54 tahun. Tun Razak 48 tahun dan Bapa Kemerdekaan kita menjadi Ketua Menteri pada usia 52 tahun.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa jika seorang pemimpin memegang tampuk pemerintahan selepas usianya 60 tahun, maka kemampuannya untuk memimpin berkemungkinan besar tidak efektif. Dalam erti kata lain, syarat untuk menjadi seorang Perdana Menteri mestilah berusia kurang daripada 60 tahun kerana pelbagai faktor yang akan menjejaskan prestasi mereka sebagai Perdana Menteri jika usianya melebihi 60 tahun.

Pendek kata, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak untuk menggantikan Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan beliau berkemungkinan besar mengikut jejak langkah Tun Musa Hitam dan juga Tun Ghaffar Baba.

Ucapan beliau yang mengatakan beliau sebagai Malay first, Malaysian second menunjukkan beliau mungkin kurang diterima masyarakat bukan Melayu di Malaysia. Namun sokongan beliau dalam kalangan masyarakat Melayu yang menyokong UMNO sukar dipertikaikan lagi.

Dato' Seri Anwar Ibrahim pula merupakan individu yang berkelayakan jika dilihat profilnya diatas resume. Menjadi aktivis politik semenjak beliau menjadi mahasiswa Universiti Malaya menunjukkan yang beliau sudah memasang impian untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia semenjak kecil lagi.

Cita-citanya dan kebolehannya berpidato mengakibatkan anak kelahiran Cherok Tok Kun, Pulau Pinang ini mampu menjadi Menteri Belia dan Sukan pada usia 36 tahun dan turut pernah menjawat sebagai Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan.

Penarikan Tun Ghaffar Baba untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan UMNO 1993 menyebabkan Anwar Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada usia 46 tahun. Kepantasan beliau dalam hirarki karier politiknya ini menjadikan satu-satu calon yang layak bagi menggantikan Tun Mahathir Mohammad.

Namun dek kerana kerakusan beliau untuk menjadi Perdana Menteri, beliau telah diterajang keluar oleh Tun Mahathir pada ketika itu dengan mengaitkan penglibatan beliau dalam salah laku seksual dan juga korupsi. Adakah perkara tersebut menguburkan terus cita-citanya sebagai Perdana Menteri?

Penulis melihat cita-cita agung Anwar Ibrahim yang ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia masih belum terkubur. Namun hakikat yang sudah beliau telan adalah beliau tidak lagi mampu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia meskipun Pakatan Rakyat menang PRU-14.

Kenapa? Pertamanya usia beliau andai kata PR menang pada PRU-14 yang dijangka diadakan pada tahun 2018 sudah mencecah umur 71 tahun. Tak pernah dalam sejarah politik tanahair Perdana Menteri dilantik ketika usia mencecah 7 series. Beliau tidak berkemampuan melakukan demikian bahkan beliau sendiri mengakui perkara tersebut secara tidak langsung.

Kenapa? Masih ingat Langkah Kajang? Langkah Kajang direncanakan bertujuan untuk mengangkat dirinya sebagai Menteri Besar. " Tak jadi Perdana Menteri, jadi Menteri Besar pon jadi la " mungkin ayat tersebut terngiang-ngian di dalam benak fikirannya menyebabkan beliau sedaya upaya memohon Tan Sri Khalid Ibrahim letak jawatan.

Namun apakan daya, perancangan tuhan melebihi segala-galanya. Beliau telah dijatuhkan hukuman bersalah kerana meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan sekaligus hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Beliau terpaksa bertukar kepada pelan B iaitu meletakkan isterinya di posisi tersebut tetapi disebabkan kuasa Sultan, Azmin Ali juga yang dilantik sebagai Menteri Besar.

Selain itu, kontroversi yang melanda beliau semenjak tahun 1997 menjadikan beliau sebagai seorang personaliti yang mempunyai rekod buruk. Rasuah, sodomi, video seks dan sebagainya menyebabkan beliau bukan calon favourite untuk diangkat sebagai Perdana Menteri. Mana mungkin seorang yang mempunyai pelbagai imej buruk akan diangkat oleh rakyat Malaysia untuk memimpin negara yang tercinta ini.

Senang cerita, Anwar Ibrahim tidak layak kerana faktor usianya dan juga imej beliau sendiri. Penulis percaya yang beliau sendiri akui akan hal ini.

Tuan Guru Haji Hadi Awang yang merupakan Presiden PAS semenjak tahun 2003 tidak boleh diketepikan kelayakan beliau. Pernah menjadi Menteri Besar PAS dari tahun 1999 hingga 2004 menyebabkan beliau mempunyai merit beliau yang tersendiri. Baru-baru ini beliau telah dilantik sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia yang dipimpin oleh Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Pelantikan beliau sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia merupakan satu pengiktirafan beliau sebagai presiden sebuah parti yang memperjuangkan Islam di peringkat global. Persoalan yang sama, adakah beliau layak menjadi Perdana Menteri Malaysia?

Jika dilihat daripada faktor usia, beliau sudah berusia 67 tahun dan jika Pakatan Rakyat menang sekalipun, usianya sudah mencecah 71 tahun. Usia 71 tahun sebenarnya bukan merupakan masalah besar, namun faktor kesihatan beliau itu mengakibatkan peranan beliau untuk menjadi seorang pemimpin yang baik terbatas.

Beliau yang akhir-akhir ini mengakui mempunyai masalah kesihatan menyebabkan penulis meragui kemampuan beliau untuk mentadbir Malaysia. Namun, untuk tidak membimbangkan penulis, ini kerana Che Det ketika zaman pemerintahannya dulu pun diketahui umum mempunyai masalah jantung.

Tapi, masalah kemahiran kepimpinan yang beliau hadapi kini penulis ragui. Salah satunya apabila krisis Menteri Besar Selangor timbul. Beliau sering kali tidak menghadirkan diri ke dalam mesyuarat Pakatan Rakyat. Tindakan ini menyebabkan Pakatan Rakyat tidak memperoleh kata sepakat daripada kesemua pemimpin parti komponen.

Yang paling merungsingkan penulis, bagaimana beliau sebagai Presiden yang tidak mampu hadir ke mesyuarat mewakilkan seorang Timbalan Presiden yang tidak boleh membuat keputusan untuk parti. Ini merupakan satu kegagalan dalam memimpin yang penulis ingin persoalkan terhadap kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi.

Selain itu, adakah beliau akan diterima oleh masyarakat bukan Islam. Umum mengetahui bahawa DAP tidak akan sesekali menerima pemimpin daripada PAS. PAS pun tahu hakikat ini. Beliau sukar diterima masyarakat bukan Islam jika dilihat dalam keadaan politik di Malaysia.

Selain itu, ketidakbolehan beliau bertutur dalam Bahasa Inggeris juga meletakkan beliau keterbelakang dalam memimpin Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Ya, Rasulullah S.A.W. pun tidak pandai berbicara dalam Bahasa Inggeris, namun situasi semasa memerlukan Bahasa Inggeris dalam memimpin negara. Mungkin Tuan Guru Haji Hadi boleh memecah rekod untuk menjadi satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang tidak mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Kesimpulannya, sukar untuk penulis katakan Tuan Guru Haji Hadi layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tiada sokongan daripada rakan seperjuangan, masalah kesihatan, usia yang mencecah 70-an dan masalah kepimpinan menyebabkan penulis menolak beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Buat masa ini, satu-satunya individu yang layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ialah Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri kerana sokongan padu daripada komponen Barisan Nasional meskipun beliau turut dipalitkan dengan kontroversi Altantuya.

Selain Najib, penulis tidak lihat siapa yang layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam masa terdekat. Namun dalam jangka masa panjang, Menteri Belia & Sukan iaitu YB Khairy Jamaluddin berpotensi besar menjadi personaliti yang akan menjawat jawatan nombor satu negara tersebut.

Walaupun begitu, perlu diingatkan bahawa menantu Pak Lah ini pernah disahkan terbabit dalam politik wang dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO suatu ketika dahulu. Isu beliau yang dikatakan menghantar passport Anwar Ibrahim juga masih lagi belum penulis lupakan.

Akhir kata, rakyat Malaysia terpaksa mengangkat Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia bukan kerana beliau merupakan pemimpin yang terbaik tetapi sebab tiada lagi pemimpin yang sebaik beliau untuk memimpin 27 juta rakyat Malaysia ini.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen