Sunday, September 14, 2014

UPSR Bocor & Cadbury : Konspirasi Terancang Malukan Kerajaan ?

Baru-baru ini, kecoh satu Malaya gara-gara soalan ujian UPSR telah dibocorkan oleh individu tidak bertanggungjawab. Pada mulanya, soalan kertas Sains sahaja disahkan bocor dan Kementerian Pelajaran menetapkan tarikh 30 September sebagai hari untuk murid-murid menduduki kembali ujian terbabit.

Kemudiannya, Kementerian Pelajaran mengesahkan lagi bahawa kertas Bahasa Inggeris juga bocor dan dimaklumkan selepas ujian terbabit diambil murid-murid meskipun mereka sudah mengetahui soalan tersebut bocor awal pagi sebelum ujian bermula.

Mereka seterusnya menetapkan hari yang sama untuk kedua-dua kertas Bahasa Inggeris itu diduduki semula oleh murid-murid.

Persoalannya... Siapakah yang membocorkan soalan dan adakah ia berniat sabotaj atau sekadar ingin berkongsi soalan?

Soalan bocor sebenarnya sudah tidak asing lagi dalam peperiksaan awam di Malaysia. Setiap tahun, ada sahaja soalan bocor disebarkan. Tahun lepas, soalan Matematik dan Matematik Tambahan SPM juga bocor namun didiamkan sahaja oleh pihak bertanggungjawab. Ini gara-gara tiada bukti sahih yang soalan yang didedahkan itu benar-benar soalan SPM ataupun sekadar soalan ramalan yang kebetulan sama dengan soalan SPM.

Namun begitu, kebocoran kertas soalan UPSR ini menjadi isu besar sehingga membuka mata pihak bertanggungjawab adalah kerana soalan tersebut tersebar luas di laman sosial. Penyebaran terbuka seperti ini sudah semestinya akan menjejaskan kredibeliti Lembaga Peperiksaan Malaysia jika tidak diambil tindakan sewajarnya. Maka, mereka memutuskan untuk membatalkan ujian kertas terbabit.

Isu kedua yang menyebabkan soalan ini dibatalkan adalah kerana dilaporkan muka surat hadapan kertas soalan juga didedahkan. Ini membuatkan orang ramai terfikir adakah ia sekadar ingin berkongsi soalan ataupun mempunyai agenda lain disebalik penyebaran kertas soalan beberapa subjek UPSR ini?

Andai digunakan lojik akal, jika penulis ingin berkongsi soalan apakah yang keluar untuk PMR, adakah penulis hanya berkongsi halaman soalan sahaja ataupun turut berkongsi halaman hadapan kertas peperiksaan tersebut?

Penulis akan berkongsi halaman soalan sahaja dan meyakinkan orang ramai bahawa ia benar-benar soalan PMR. Bukannya berkongsi keseluruhan kertas soalan kepada orang ramai untuk meyakinkan mereka itu kerana penulis tahu tindakan ini akan mendatangkan akibat dan kesan yang buruk kelak andai diketahui pihak bertanggungjawab.

Soalannya? Apakah agenda pembocor soalan? Adakah sekadar ingin berkongsi soalan UPSR ataupun memalukan kerajaan.

Penulis ingin merungkaikan bahawa isu ini berlaku tatkala terdapat beberapa krisis besar yang sedang berlaku di Malaysia ini. Antaranya adalah kemelut berpanjangan calon Menteri Besar Selangor yang baharu. Adakah penyebaran kertas soalan UPSR ini bertujuan mengalihkan perhatian orang ramai dari krisis yang dihadapi di Selangor?

Selain itu, penulis juga berpendapat bahawa insiden kebocoran kertas soalan UPSR ini turut berniat untuk memalukan kerajaan dan Kementerian Pendidikan. Hakikat tiga kertas soalan UPSR bocor sudah pasti tidak akan diterima orang awam atas sebagai kecuaian dan kelekaan pihak yang bertanggungjawab. Tapi lebih kepada isu korupsi pihak yang terlibat. Sebab bukan satu, bukan dua tapi tiga kertas soalan yang bocor.

Sudah pasti keputusan untuk meminta calon UPSR untuk menduduki kembali tiga kertas soalan itu membangkitkan kemarahan ibu bapa. Ini kerana terdapat ibu bapa yang sudah merancang percutian bersama-sama anak mereka tetapi terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan gara-gara masalah yang dicetuskan penjawat awam di Malaysia.

Tindakan ini juga mungkin bertujuan menjatuhkan imej Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Sudah pasti kredibiliti beliau sebagai orang nombor dua negara terjejas akibat tempias isu ini sekaligus mengakibatkan kerajaan Barisan Nasional amnya menerima tempias.

Waktu kebocoran ini juga menimbulkan tanda tanya... Ini kerana kebocoran kertas soalan UPSR ini telah disahkan oleh Lembaga Peperiksaan apabila Timbalan Perdana Menteri ingin berlepas ke Laos untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Pendidikan ASEAN kelapan.

Adakah hal ini berlaku secara kebetulan ataupun sememangnya dirancang. Apatah lagi kehadiran Muhyiddin ke Laos adalah bertujuan membincangkan soal pendidikan dengan menteri pendidikan yang lain. Sudah pasti air mukanya jatuh apabila berhadapan dengan dengan delegasi luar yang lain menjadikan isu peperiksaan awam di Malaysia bocor sebagai buah mulut mereka.

Ketika beliau berada di sana, beliau terpaksa membuat permohonan maaf kepada ibu bapa kerana kebocoran soalan UPSR. Kemudiannya, dua lagi kertas Bahasa Inggeris pula disahkan bocor walaupun dinafikan oleh Menteri Pendidikan II pada mulanya.

Jika diperhatikan, isu melibatkan jabatan kerajaan dimalukan turut berlaku sebelum ini. Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia telah diaibkan dengan penyebaran gambar yang menunjukkan keputusan ujian Cadbury yang telah dikesan dengan DNA khinzir ataupun porcine.

Sehubungan dengan penyebaran gambar tersebut, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan dipercayai terperangkap dengan situasi tersebut terpaksa membuat keputusan untuk memberikan kenyataan media bahawa Cadbury tersebut mempunyai DNA babi.

Yang peliknya, produk Cadbury itu telah dianalisis pada 27 Februari 2014 sedangkan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan membuat kenyataan media pada 24 Mei. Hampir tiga bulan selepas produk ini menjalani ujian. Adakah Kementerian Kesihatan berkompromi dengan keputusan terbabit yang sememangnya sensitif terutamanya dengan demografi penduduk yang rata-ratanya Melayu beragama Islam.

Sudah pasti tindakan menyebarkan gambar keputusan tersebut memberikan imej buruk dan membangkitkan kemarahan kepada Kementerian Kesihatan serta JAKIM selaku pengeluar sijil halal. Adakah itu sebenarnya agenda penyebar gambar tersebut?

JAKIM pula terpaksa berhempas pulas memulihkan kepercayaannya untuk memastikan orang ramai mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap logo Halal yang dikeluarkan pihak mereka. Pihak JAKIM menyatakan bahawa mereka telah melakukan ujian terhadap produk tersebut pada 20 Februari 2014 dan mengesahkan produk tersebut mematuhi piawaian Halal.

Pada Jun selepas isu ini menjadi viral, JAKIM yang melakukan ujikaji semula mengesahkan bahawa produk Cadbury sememangnya tidak mempunyai DNA babi seperti yang telah dilaporkan.

Insiden seperti ini sudah pasti mengakibatkan kepercayaan orang ramai terhadap Kementerian yang dipimpin kerajaan Barisan Nasional terhakis. Isu-isu sensitif seperti kertas soalan UPSR bocor dan Cadbury ada DNA babi membuahkan rasa benci mereka terhadap kerajaan kerana pokok pangkal isu ini bermula kerana ketidakprofesionalan kerajaan.

Adakah ia benar-benar sekadar kesilapan dan kecuaian pihak tertentu atau ada pihak yang mempunyai perancangan rapi untuk menjatuhkan imej kerajaan dari dalam?

Kerajaan harus bertindak mencari dalang terhadap anasir-anasir yang membikin onar di dalam negara kita. Pastikan supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi dan hapuskan duri-duri dalam daging yang mungkin berkeliaran di dalam pejabat kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen