Saturday, July 5, 2014

Lukisan Yang Hilang

Baru-baru ini penulis ada melihat sebuah filem di saluran berbayar di Astro berjudul Trance dimana berkisarkan mengenai seorang tukang bida ( auctioneer ) barangan seni yang mencari sebuah lukisan Witches in The Air karya Francisco Goya yang telah dicuri oleh dirinya sendiri.

Penulis enggan bercerita panjang mengenai filem Trance ini tetapi ingin mengaitkan plot mencuri barangan seni ini dengan pelbagai filem antarabangsa yang lain. Antaranya adalah filem Ocean's Twelve. Pasukan yang diketuai oleh Danny Ocean ( George Clooney ) bersaing dengan Night Fox yang merupakan Baron Francois Toulour ( Vincent Cassel * turut berlakon dalam filem Trance ) untuk mencuri Imperial Coronation Egg dicipta oleh Peter Carl Faberge yang terkenal dengan perhiasan mewah Faberge Egg.

Sebelum itu juga Ocean's Twelve telah mencuri beberapa lukisan Night Fox dirumahnya di Lake Como, Italy.

Selain itu, filem Entrapment lakonan Sean Connery & Catherine Zeta-Jones ( turut berlakon di dalam Filem Ocean's Twelve ) juga memaparkan kisah dua orang pencuri karya seni mencuri lukisan Rembrandt dan cuba mencuri topeng Cina.

Dalam konteks filem negara, hanya beberapa buah filem sahaja memaparkan mengenai kehilangan karya seni antaranya filem My Spy lakonan AC Mizal dan Harun Salim Bachik meskipun ia merupakan tema utama plot filem tersebut.

Selain itu, filem arahan Khabir Bhatia iaitu bertajuk Setem turut mengetengahkan isu setem yang penulis anggap sebagai salah satu karya seni. Sejujurnya, menggunakan setem sebagai medium utama menggerakkan filem ini agak unik kerana belum ada filem yang penulis melihat mengangkat setem sebagai subjek dalam filem arahan mereka.

Jika menonton pula drama bersiri Leverage di AXN arahan Dean Devlin. Sophie Devereaux lakonan Gina Bellman merupakan art thief dimana telah mencuri pelbagai jenis lukisan seni. Bahkan terdapat dalam drama bersiri tersebut mereka mencuri karya seni.

Persoalannya... Adakah kecurian karya seni ini benar-benar berlaku ataupun hanya boleh dilihat di dalam filem-filem Hollywood sahaja?

Muzium Isabella Stewart Gardner di Boston
Kisah kecurian karya seni terutamanya lukisan sememangnya benar-benar berlaku. Pelbagai lukisan direkodkan telah dicuri dan antara kisah kecurian lukisan yang terbesar berlaku adalah di Muzium Isabella Stewart Gardner di Boston pada tahun 1990 membabitkan kehilangan lukisan dan barangan seni dengan nilai keseluruhan US$ 500,000,000.

Kisahnya bermula tatkala orang ramai sibuk meraikan Sambutan Hari Saint Patrick. Sekitar jam 1.24 pagi, dua orang lelaki berpakaian polis memasuki muzium terbabit apabila mereka mengatakan terdapat kekacauan didalam sana. Pihak keselamatan muzium terbabit membenarkan mereka masuk.

Bingkai gambar lukisan yang dicuri masih lagi tergantung
Kemudiannya, dua orang penjenayah ini menawan dua orang pengawal keselamatan dan terus melakukan kerja-kerja mencuri karya agung yang terlekat di dinding muzium. Dalam tempoh 81 minit, sebanyak 13 karya seni iaitu 11 lukisan, satu tembikar dari zaman Dinasti Shang dan finial berbentuk helang telah dibawa lari.

 




Lukisan yang hilang ialah :

1. The Concert oleh Vermeer ( merupakan salah satu daripada 34 hasil kerja Vermeer )
2. A Lady and A Gentleman in Black oleh Rembrandt
3. The Storm On The Sea of Galilee oleh Rembrandt
4. Self-Potrait oleh Rembrandt
5. Landscape With An Obelisk oleh Govert Flinck
6. Chez Tortoni oleh Manet

Lima lukisan oleh Degas
1. La Sortie de Pesage
2. Cortege aux-Environs de Florence
3. Program for an artistic soiree 1
4. Program for an artistic soiree 2
5. Three Mounted Jockeys

Karya seni yang dicuri dari Muzium Isabella Stewart Gardner pada tahun 1990


Muzium telah menawarkan ganjaran sebanyak US$ 5,000,000 kepada mana-mana yang boleh memberi petunjuk sehingga menemukan koleksi karya seni yang hilang itu. Meskipun FBI memperoleh beberapa petunjuk, namun selepas 20 tahun ia gagal dikesan.

Pada March 2013, FBI percaya bahawa mereka telah mengenal pasti kumpulan yang terbabit dengan kecurian tersebut. Ia telah dirancang oleh kumpulan penjenayah dari Mid-Atlantic & New-England. Mereka juga percaya bahawa lukisan yang hilang dipindahkan dari Connecticut dan Philadelphia beberapa tahun selepas kejadian tersebut ada juga lukisan yang dijual di Philadelphia sekitar tahun 2000.

Poppy Flowers karya Van Gogh
Lukisan Vincent Van Gogh, Poppy Flowers yang dikatakan dilukis sekitar tahun 1887 pernah hilang pada tahun 1977 dari Muzium Mohamed Mahmoud Khalil di Cairo, Mesir dan dijumpai sepuluh tahun kemudian di Kuwait. Lukisan berharga US$ 50 juta ini sekali lagi dicuri pada tahun 2010 oleh dua orang warga Itali. Sehingga kini, lukisan ini masih belum dijumpai meskipun ditawarkan ganjaran US$ 175,000.

Manakala di Belanda, Congregation Leaving The Reformed Church in Nuenen dan View of The Sea at Scheveniegen juga karya Vincent Van Gogh telah dicuri pada tahun 2002 di Muzium Van Gogh. Dua orang warga Belanda telah ditahan dan disabitkan kesalahan dengan empat tahun enam bulan penjara namun lukisan itu belum ditemui. Anggaran jumlah kehilangan lukisan tersebut ialah sekitar US$ 30,000,000.

Museum of the Modern Art, Paris juga telah dipecah masuk apabila lima buah lukisan bernilai US$123,000,000. hilang dicuri. Lukisan yang dicuri pada 20 Mei 2010 itu ialah :


Le pigeon aux petits pois oleh Pablo Picasso
La Pastorale oleh Henri Matisse
L'Olivier Pres de I'Estaque oleh Georges Braque
Woman with a Fan oleh Amedeo Modigliani
Nature Morte aux Chandeliers oleh Fernand Leger


Muzium Louvre di Paris tersimpannya ratusan lukisan pelukis-pelukis terkenal

Mona Lisa karya Da Vinci
Selain itu, lukisan yang dinilaikan berharga US$ 743,000,000 iaitu Mona Lisa yang merupakan karya agung Leonardo Da Vinci juga pernah dicuri pada Ogos 1911. Selepas dua tahun dimana orang ramai menganggap karya itu hilang buat selama-lamanya. Akhirnya pekerja Muzium Louvre di Paris bernama Vicenzo Peruggia telah disahkan mencuri lukisan tersebut pada waktu kerja.

Peruggia dikatakan mencuri lukisan tersebut kerana semangat patriotiknya yang percaya bahawa lukisan Leonardo Da Vinci harus dikembalikan ke tanahairnya iaitu Itali. Namun mereka percaya bahawa lukisan Mona Lisa itu dicuri kerana ingin menjual lukisan tiruan dengan harga yang tinggi di pasaran gelap.