Wednesday, May 7, 2014

Setahun Selepas Kekalahan Barisan Nasional

Kekalahan... Itu perkataan yang penulis gunakan dalam artikel ini bagi menggambarkan bertapa teruknya keputusan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum yang ke-13 yang lalu. Tarikh 5 Mei 2013 merupakan satu tarikh yang perlu diingati dalam konteks politik di Malaysia yang begitu aktif semenjak tahun 2008.

Barisan Nasional yang memenangi 140 kerusi pada PRU-12 hanya mampu mempertahankan 133 kerusi parlimen pada PRU-13 ini sekaligus merekodkan keputusan Barisan Nasional sebagai keputusan terburuk mereka dengan penguasaan kerusi di Parlimen hanya sebanyak 60% berbanding PRU tahun 1969 dimana Parti Perikatan mempunyai penguasaan 64% di Parlimen.

Meskipun majoriti mereka berkurangan, mereka boleh menghembus nafas lega kerana tatkala majoriti berkurang, peratus undi popular yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat lebih tinggi daripada mereka selain kehilangan lebih 95% undi pengundi Cina yang disifatkan Barisan Nasional sebagai Tsunami Cina namun masih mengekalkan diri mereka sebagai kerajaan.

Bagi Pakatan Rakyat, 5 Mei 2013 merupakan sejarah hitam mereka kerana meskipun menguasai undi popular, mereka gagal untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional. Mereka juga menganggap bahawa Pilihan Raya yang dijalankan ini penuh dengan penipuan dan ketidaktelusan walaupun mereka mengangkat angka undi popular sebagai kejayaan mereka selain kemenangan 89 ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Justeru itu, mereka merancang himpunan besar-besaran di Stadium Kelana Jaya yang dinamakan Himpunan Suara Rakyat 505 bagi membangkitkan semangat rakyat untuk terus menentang kerajaan. Walaupun begitu, mereka akur akan perancangan yang dibuat oleh kerajaan dalam menggunakan pengaruh yang ada untuk membahagikan kawasan dan sempadan parlimen yang menyebabkan mereka terus menjadi kerajaan di Malaysia.

Kejayaan mereka mengekalkan kemenangan mereka sebenarnya bukan bermaksud bahawa mereka menang secara keseluruhannya, namun kerana sistem negara kita yang menggunakan prinsip first past the post menyebabkan mereka terselamat daripada ditumbangkan.

Menganalisis kembali keputusan Barisan Nasional, mereka hanya berjaya mempertahankan dan merampaskan beberapa kerusi majoriti Melayu. Hal ini boleh dilihat kembali dalam keputusan UMNO yang mana mereka berjaya menambah kerusi mereka daripada 79 kerusi parlimen ke 88 kerusi parlimen.

Dalam erti kata lain, kerusi-kerusi majoriti Melayu inilah yang banyak menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN selain kerusi parlimen daripada Sabah dan Sarawak.

Pakatan Rakyat pula boleh berbangga dengan kerusi yang dimenangi mereka terutamanya DAP yang memenangi 38 kerusi Parlimen daripada 51 kerusi yang ditandingi mereka. Kerusi yang dimenangi mereka ini hampir keseluruhannya kerusi majoriti Cina sekaligus peratusan kemenangan daripada kerusi yang ditandingi adalah yang tertinggi dalam kalangan parti politik yang bertanding iaitu sebanyak 75%.

Tidak hairanlah istilah Tsunami Cina terpacul keluar dari mulut Pengerusi BN dek kecewa dengan undi Cina kepada Pakatan Rakyat yang dilaporkan setinggi 97%. Trend ini sebenarnya bermula daripada tahun 2008 lagi apabila MCA kehilangan 16 kerusi pada PRU tersebut. Namun kemuncaknya ialah pada tahun 2013 apabila mereka hanya mempertahankan 7 kerusi parlimen berbanding 15 kerusi pada tahun 2008 dan 31 kerusi pada tahun 2004.

Ada yang menyatakan bahawa sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan Rakyat ini sebagai satu penolakan terhadap kerajaan UMNO-BN. Hal ini tidak boleh dinafikan kerana dalam Pakatan Rakyat, parti yang dominan sebenarnya DAP bukannya PKR ataupun PAS. Mereka memilih Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang hanya kerana beliau menjadi penampan dalam perbezaan ideologi DAP dan PAS.

Sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat Cina kepada DAP menyimpulkan bahawa pengaruh MCA terhadap politik bangsa Cina di Malaysia telah padam. Bahkan MCA perlu diingatkan yang kemenangan 7 kerusi parlimen mereka itu hanyalah diatas semangat setiakawan UMNO-BN kerana kesemua kerusi yang dimenangi mereka itu merupakan kerusi majoriti Melayu.

Walaupun kehilangan undi Cina, Barisan Nasional berjaya membuktikan satu perkara terhadap pengundi Cina di Malaysia. Apakah ia? Barisan Nasional berjaya membuktikan bahawa mereka tidak memerlukan undi masyarakat Cina dalam mengekalkan penguasaan mereka di Parlimen. Apa yang hanya mereka perlukan adalah sokongan pengundi Melayu di luar bandar selain sokongan parti komponen yang bertanding di Sabah dan Sarawak. Itu sudah cukup bagi mereka untuk kekal berkuasa.

Namun mereka perlu melihat kembali apakah indikasi kekalahan mereka di kawasan bandar utama setiap negeri. Dalam PRU-13, BN hanya berjaya mengekalkan dua kerusi di bandar utama iaitu Kangar di Perlis dan Johor Bharu di Johor. Apakah yang perlu dipelajari?

Penulis ingin mengulas kenapa mereka menang di Kangar dan Johor Bharu. Di Kangar, walaupun dikatakan sebagai bandar utama di Perlis, struktur kawasannya boleh diibaratkan sebagai kawasan luar bandar. Dengan suasana kampung yang aman dimana pembangunan yang minimun, majoriti penduduk disana tidak terasa dengan beban hidup menyebabkan mereka tidak mempuyai alasan yang kukuh untuk menolak calon daripada Barisan Nasional.

Johor Bharu, satu bandar yang boleh dikatakan terhebat selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang memenangi kerana ia merupakan satu kubu kuat UMNO ( bukan lagi BN ) di Malaysia. Sesungguhnya amat sukar untuk mempengaruhi ideologi penduduk negeri kelahiran pengasas UMNO itu. Tidak hairanlah mereka berjaya mengekalkan kawasan dengan sokongan padu masyarakat Melayu yang hanya membentuk 51% daripada senarai pengundi.

Tapi kenapa mereka kalah di bandar-bandar utama yang lain? Kekalahan mereka ini berpunca daripada ketidakpuasan hati rakyat yang berasa terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat dan yang paling terbeban sekali adalah mereka yang berada di bandar-bandar besar.

Selain itu, capaian informasi tanpa sempadan juga memboleh fikiran mereka meresap pelbagai maklumat mengenai salahlaku BN selain alternatif yang lain menyebabkan mereka bertindak untuk tidak memberi undi kepada BN kerana was-was dengan kebolehpercayaan wakil rakyat daripada BN.

Berbeza dengan pengundi di kawasan luar bandar dimana mereka tidak terbeban dengan kenaikan harga bahan api, kos bayaran tol, sewa rumah yang tinggi dan sebagainya menyebabkan mereka tidak berani mengambil risiko memangkah calon Pakatan Rakyat selain informasi yang diperoleh hanyalah daripada media massa yang menyebabkan mereka hanya terdedah dengan informasi berpihak kepada BN.

Cuma diatas cumalah ringkasan daripada apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. Penulis ingin mengulas mengenai senario susulan selepas PRU-13 tersebut ;

Isu Kalimah Allah

Isu ini sebenarnya agak sensitif dibincangkan kerana melibatkan sensitiviti dua agama iaitu Islam dan Kristian. Penulis tidak faham mengapa perkataan ini seringkali dijadikan isu sedangkan sudah terang dan bersuluh yang ia sudah digunapakai secara meluas oleh penganut agama Islam di Malaysia.

Namun penulis difahamkan bahawa di Sabah dan Sarawak, kalimah Allah digunapakai secara meluas oleh penganut Kristian disana bagi menggantikan perkataan tuhan. Persoalan penulis, mengapakah kebiasaan penganut Kristian disana ingin dibawa ke Semenanjung Malaysia.

Hal ini membangkitkan kemarahan segelintir masyarakat Melayu-Islam dimana mereka enggan berkompromi dengan perkataan ini kerana bagi mereka, menggunakan perkataan Allah dalam agama Kristian merupakan satu perkara yang luar daripada kebiasaan dalam konteks di Malaysia secara amnya.

UMNO berjaya menjuarai isu kalimah Allah ini dalam kalangan masyarakat Melayu berbanding PAS. Ini kerana penguasaan UMNO dalam parlimen membolehkan mereka bercakap kuat sikit dan tidak perlu sangat menghiraukan pandangan MCA dan MIC kerana prestasi mereka yang lebih mantap dalam PRU-13.

Manakala Pakatan Rakyat pula seolah-olah membiarkan tuntutan sebahagian pihak daripada agama Kristian di Malaysia untuk memohon menggunakan perkataan tersebut dalam penerbitan bercetak dan sebagainya.

DAP secara terang-terangan menyokong penggunaan kalimah ini dalam kitab bible Bahasa Malaysia dengan gesaan oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng keatas kerajaan persekutuan. PKR juga seakan-akan tidak berpendirian dalam isu ini. Namun secara kasarnya PKR tidak menentang penggunaan kalimah Allah ini kepada Kristian.

PAS pula menerima penggunaan kalimah Allah dalam geraja atau sebarang upacara agama mereka namun menegaskan bahawa terjemahan bible Bahasa Malaysia mestilah digantikan perkataan 'god' kepada 'tuhan' bukannya Allah.

Dalam erti kata lain, UMNO lebih menjuarai isu ini berbanding dengan Pakatan Rakyat yang mana hanya PAS sahaja yang menentang namun bukan secara keseluruhannya. Tindakan ini sedikit sebanyak membayangkan bahawa UMNO masih relevan dalam membela kedaulatan agama Islam buat masyarakat Melayu di Malaysia.

Pandangan penulis mengenai isu ini, penggunaan kalimah Allah dalam upacara keagamaan boleh mengakibatkan salah faham yang boleh menjerumuskan Malaysia ke kancah perselisihan diantara agama. Sejujurnya, perkataan Allah ini begitu sinonim dengan masyarakat Melayu kerana Melayu sudah semestinya seorang Islam. Dan perkataan ini amat sensitif jika tersalahguna oleh pihak lain.

Ramai yang faham perkataan Allah ini merujuk kepada sifat tuhan yang digambarkan dalam Islam bukannya dalam pemahaman agama lain di Malaysia. Ini mungkin mengakibatkan kemarahan umat Islam di negara kita jika perkataan ini digunakan dengan suatu gambaran makna tuhan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Namun demikian, kita tidak boleh melarang penggunaan perkataan tersebut dalam bahasa harian kita. Contohnya jika seseorang yang bukan Islam itu menyebut Inshallah terhadap atas pelawaan kita. Begitu juga dengan nyanyian lagu Negeri Selangor dan sebagainya kerana Allah yang dimaksudkan itu tidak bertentangan dengan apa yang digambarkan dalam ayat tersebut.

Pilihan Raya Kecil Kajang

Penulis menganggap PRK Kajang ini sebagai satu percaturan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam mengukuhkan pengaruhnya di dalam kerajaan negeri Selangor. Sebagai negeri paling utama di Malaysia, Selangor yang bergolak dengan isu melibatkan Azmin Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim ini memerlukan campur tangan Anwar Ibrahim.

Namun demikian, Anwar Ibrahim yang disabitkan bersalah dalam pertuduhan liwatnya mengakibatkan beliau enggan bertanding kerana jika rayuannya tidak dihiraukan, hal ini boleh mengakibatkan beliau terlucut jawatan sebagai wakil rakyat.

Bagi penulis, tindakan ini sebagai kurang matang kerana ia hanya melibatkan segelintir pihak namun satu kawasan DUN dikorbankan untuk mengawal masalah yang dihadapi ( damage control ) yang berlaku di dalam parti mereka sendiri. Menyuruh wakil rakyat yang sedia ada untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepada individu lain bertanding sesungguhnya amat kurang professional dan tidak sepatutnya berlaku dalam politik negara yang semakin dewasa.

Ini kerana pengosongan kerusi yang membolehkan pilihanraya kecil diadakan akan mengakibatkan jumlah kos yang banyak sekaligus boleh dianggap sebagai satu lagi pembaziran wang rakyat. PKR juga terdedah dengan imej buruk kerana orang ramai menganggap pemimpin parti PKR tidak mempunyai kredibiti memimpin kerana sanggup mengorbankan seseorang untuk tujuan kepartian.

Penulis juga was-was akan gaya penyelesaian masalah Anwar Ibrahim andai beliau naik sebagai Perdana Menteri kerana beliau sanggup melakukan apa sahaja bagi membolehkan hasratnya tercapai. Ini boleh mengakibatkan kerugian yang amat besar kepada negara jika teknik penyelesaian masalah ala PKR ini meresapi pentadbiran negara.

PKR juga tercemar imejnya apabila majoriti yang dimenangi oleh mereka pada PRU yang lalu merosot 1445 undi. Mungkin tanda ketidakpuasan hati mereka dalam tindakan PKR yang dilihat sebagai mempermain-mainkan mandat rakyat Kajang ini.

Hudud

Mengulas mengenai hudud, sememangnya sinonim dengan pendirian parti PAS yang merupakan dasar mereka sejak sekian lama. Seringkali dimainkan menjelang pilihan raya, isu ini tidak lagi menjadi polemik pilihan raya semata-mata tetapi kelihatan langkah sedang diatur bagi menjayakan misi ini.

Menteri Besar Kelantan begitu komited dalam melaksanakan hukum ini setelah sekian lama ditangguhkan kerana tentangan daripada pelbagai pihak.

Dek kerana kesungguhan yang ditunjukkan pemimpin PAS ini, penulis melihat UMNO juga ingin menumpang nama dalam memperjuangkan agenda ini dengan mengatakan bahawa mereka akan memberikan sokongan penuh terhadap usul ini jika dibentangkan di Parlimen kelak.

Sudah pasti itu satu-satunya strategi UMNO dalam mempamerkan semangat Islam mereka dalam meraih sokongan politik orang Melayu walaupun jelas MCA dan beberapa parti komponen yang lain menentang cadangan ini.

Begitu juga dengan PAS, mereka yang komited untuk merealisasikan impian mereka ini turut ditentang rakan seperjuangan mereka iaitu PKR dan DAP. DAP secara terang-terangan menolak hukum ini kerana mengatakan ia sebagai tidak mematuhi perlembagaan selain untuk mempertahankan pendirian sekular negara ini.

PKR seperti biasa tidak mempunyai sebarang pendirian tetap, namun demikian, mesej yang disampaikan jelas mereka ingin menolak pelaksanaan hukum ini melalui ucapan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa hudud bukan agenda utama Pakatan Rakyat.

Penulis melihat isu ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama yang menyokong dimana seperti PAS dan UMNO serta ahli-ahli Parlimen BN beragama Islam manakala kumpulan kedua merupakan kumpulan penentang dimana sebulat suara menentang pelaksanaan hukum ini iaitu MCA dan DAP.

PAS dan UMNO perlu mencari sokongan orang Melayu kerana mereka percaya, undi orang Melayulah yang paling berkuasa di Malaysia berbanding undi bangsa lain. Justeru itu, hukum hudud dilihat sebagai satu medium baik untuk kedua-dua parti orang Melayu terbesar ini meraih sokongan.

Disebabkan itulah mereka mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam menjelaskan kepada orang ramai mengenai apa sebenarnya hukum hudud ini. Sama ada mereka ikhlas dalam hal ini penulis tidak tahulah...

Sementara itu, MCA dan DAP pula menentang kerana ingin mendapatkan sokongan orang Cina. DAP sudah semestinya ingin menjuarai isu ini kerana mereka tahu kebanyakkan masyarakat Cina berada di belakang mereka. Manakala MCA pula ingin menampilkan diri mereka sebagai satu parti yang masih relevan dan memahami aspirasi masyarakat Cina dengan menolak hudud meskipun mereka mengetahui kedudukan sokongan masyarakat Cina terhadap mereka.

Penulis enggan melihat isu ini hanya sekadar isu. Penulis amat berbesar hati apabila mendapat tahu bahawa benar-benar komited untuk melaksanakan sistem hudud ini walaupun ditentang kawan dan lawan. Diharapkan langkah kali ini bukan sekadar retorik untuk meraih sokongan politik parti masing-masing.

Namun dalam proses melaksanakan sistem ini, penulis amat berharap bahawa semua pihak tidak kira PAS atau UMNO untuk berganding bahu dalam menerangkan isu hudud ini kepada mereka yang kurang faham mengenai perkara ini.

Penulis tidak boleh menyalahkan masyarakat Cina ataupun DAP & MCA menentang isu ini kerana mereka telah dimomokkan bahawa hudud hanya sekadar potong tangan, rejam batu sampai mati dan sebat berpuluh kali. Pemahaman mereka  mengenai isu ini masih lagi cetek dan itu adalah tugas kita semua untuk menerangkan hal ini kepada mereka.

Kesemua pihak perlu memainkan peranan dalam menyokong sistem yang akan dilaksanakan ini. Namun sebelum itu, kaedah pelaksanaan dan sebagainya perlulah diteliti dengan sedalam-dalamnya oleh pihak yang terlibat.

Karpal Singh

Ayat pertama yang terpacul daripada mulut bapa penulis apabila penulis bangun pada pagi 17 April ialah " Karpal Singh accident, mati ". Penulis yang terkejut akan berita tersebut membuka twitter di telefon pintar dan tertera berbagai-bagai tweet R.I.P Karpal Singh.

Kemalangan tragis bekas pengerusi DAP ini yang maut bersama pembantunya, Michael Cornelius ini di kilometer 302 lebuhraya PLUS merupakan satu lagi kejutan dalam politik Malaysia selepas Karpal Singh didapati bersalah di mahkamah atas dakwaan menghasut berkaitan krisis politik Perak tahun 2009.

Dari kaca mata penulis mengenai Karpal Singh, beliau merupakan seorang pemimpin parti berprinsip dan pejuang politik Malaysia yang sejati. Beliau yang diberi gelaran Tiger of Jelutong ini sudah melalui 10 pilihan raya umum di Malaysia dan terakhir sekali beliau menang di Parlimen Bukit Gelugor.

Antara prinsip beliau yang masih beliau tidak berganjak mungkin sehingga ke akhir hayat beliau adalah mengenai pembentukan negara Islam. Beliau pernah berkata " langkah mayat saya dulu sebelum bentuk negara Islam " respon beliau kepada PAS. Walaupun beliau memohon maaf atas kenyataan tersebut, namun beliau masih lagi tidak berganjak dengan pendirian menentang pembentukan negara Islam seperti diusulkan PAS.

Mungkin terdapat hikmah buat PAS dimana seorang penentang agenda mereka sudah pun tiada lagi. Tiada lagi alasan bagi mereka untuk menangguhkan lagi perjuangan yang diperjuangkan selama ini.

Penulis gemar melihat sidang media yang dibuat olehnya kerana suasananya yang begitu sempoi. Ini kerana beliau gemar membuat sidang media di kedai mamak sambil berlatarbelakang seramik yang seringkali dipasang di dinding.

Peguam yang disegani kawan dan lawan ini merupakan salah satu pemimpin pembangkang yang boleh dikatakan sebagai the real check and balance MP buat kerajaan. Hujah-hujah beliau yang seringkali disertakan dengan fakta ini amat diperlukan oleh sesebuah kerajaan untuk melihat kembali sesuatu perkara dari sudut pandang yang berbeza.

Kematian beliau ketika di dalam MPV Toyota Alphard bernombor KS9898 merupakan kehilangan besar buat negara kerana perginya seorang pemimpin yang berprinsip dalam memperjuangkan sesuatu agenda. Tidak hairanlah mereka mengabadikan segala jasa dan bakti beliau dengan menamakan sebatang nama jalan dengan nama Persiaran Karpal Singh.

Demonstrasi

Penulis melihat, semenjak akhir-akhir ini, demonstrasi yang diadakan kelihatan lebih matang daripada yang sebelumnya. Mungkin kerana penggubalan Akta Perhimpunan Aman yang menjadikan perhimpunan lebih aman daripada kebiasaan yang berlaku.

Demonstran tidak lagi melakukan aksi-aksi ganas dan provokasi dalam perhimpunan seperti perhimpunan bantah GST dan sebagainya. Hal ini mungkin berpunca daripada kurangnya tentangan daripada pihak Polis yang seringkali dikerahkan untuk menghalang demonstrasi berbeza dengan baru-baru ini dimana pihak polis hanya hadir untuk mengawal keadaan. Segala situasi panas yang berlaku penulis menyifatkan sebagai insiden terpencil.

Situasi ini merupakan situasi yang baik buat politik Malaysia dan penulis berharap jika terdapat apa-apa demonstrasi yang ingin dijalankan, ia dapat dijalankan dengan aman tanpa insiden-insiden yang tidak diingini. Namun diingatkan bahawa demonstrasi bukanlah satu budaya di Malaysia dan ia tidak sepatutnya diadakan dengan begitu kerap sekali kerana ia akan melakar imej yang buruk buat Malaysia.

Penulis ingin mengulas tentang kenyataan Tun Dr. Mahathir yang kelihatan seolah takut dengan bayang-bayang sendiri. Kenapa? Beliau seringkali beranggapan bahawa demonstrasi merupakan salah satu cara menumbangkan kerajaan apabila demokrasi tidak mampu menumbangkan kerajaan  yang sedia ada.

Dan Negarawan ini turut berpendapat bahawa segelintir rakyat Malaysia tidak mahu untuk menunggu lima tahun lagi untuk menukar kerajaan, sebaliknya menggunakan pintu belakang dengan berdemonstrasi.

Penulis menerima pendapat tersebut mengikut keadaan politik di negara berkenaan. Penulis percaya bahawa demonstrasi yang berjaya menumbangkan kerajaan hanya berlaku di Timur Tengah, segelintir negara Eropah di Amerika Latin dan mungkin juga di Thailand.

Namun sejarah telah membuktikan bahawa demonstrasi bukanlah medium yang berkesan bagi penentang kerajaan untuk menggulingkan kerajaan dan perkara ini perlu diakui sendiri oleh kerajaan. Lihat sudah berapa kali Malaysia berhadapan dengan demonstrasi, namun ia tidak menggubah keadaan politik yang sedia ada.

Sekali lagi penulis nak ingatkan, penulis bukan menyokong demonstrasi tetapi tanggapan terlalu negatif demonstrasi ini perlu diperbetulkan. Walauapapun, demokrasi merupakan jalan penyelesaian terbaik buat rakyat untuk memilih pemimpin yang baharu. Dan penulis menolak demonstrasi kerana kes-kes yang berlaku sebelum ini membolehkan media antarabangsa memburukkan negara kita sekaligus memberikan imej buruk kepada orang luar yang tidak mengetahui situasi semasa di Malaysia.

Jadi setakat ini sahajalah ulasan penulis selepas setahun kekalahan Barisan Nasional dan apa yang terjadi di Malaysia. Mohon maaf jika penulis jarang mengemaskini blog kerana kehidupan semasa yang agak sibuk dari kebiasaannya.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen