Friday, March 28, 2014

Menjejak ke Penghujung Selatan Tanah Besar Asia

Antara kiriman doa solat hajat...
Menyentuh mengenai insiden kehilangan pesawat MAS MH370 yang dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, amat menyedihkan bagi dunia. Meskipun tidak terlibat secara langsung, namun sebagai seorang insan biasa, perasaan pilu itu dapat dirasai.

Melihat kepada sidang media yang memaparkan tiga hero Malaya, Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Hishamuddin, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Dato' Azharuddin Abdul Rahman dan Pengarah Urusan MAS, Ahmad Jauhari Yahya yang berdiri sebaris setiap kali sidang media diadakan.
Mereka diserang, ditaji, dicanai habis-habisan oleh wartawan terutamanya wartawan Barat bagi mendapatkan bahan berita media masing-masing. Namun mereka tetap berdiri... Berdiri di pentas yang sama dengan ditanya soalan yang mereka sendiri tidak tahu jawapannya...

Namun bukan kisah sedih kehilangan pesawat MAS ingin penulis kongsikan... Tetapi pengembaraan penulis dari Subang Jaya ke Penghujung Selatan Tanah Besar Asia ingin penulis nukilkan disini selepas lebih sebulan tidak mengemaskini blog.
Mercu tanda Tg. Piai

Sejujurnya... Bukan penulis enggan untuk menulis namun kerana kesibukan penulis di alam persekolahan membuatkan masa untuk menulis terhad. Walaubagaimanpun, hobi ini tetap akan diteruskan selagi hayat dikandung badan.

Pada 22 Mac yang lepas, sebuah kelab di sekolah penulis menganjurkan ekspedisi ke Tanjung Piai. Tanjung Piai diambil dari nama pokok Piai. Pokok Piai ini terbahagi kepada dua jenis iaitu Piai Lasa ( Acrostichum Speciousum ) dan Piai Raya ( Acrostichum Aureum ).

Benua Asia yang terbentang luas ini boleh dilihat keluasannya yang bermula dari utara iaitu Rusia turun ke bawah kepada China dan terus melunjur ke Malaysia dan pengakhiran selatannya terletak di Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Tempat ini merupakan kawasan paya bakau dan perkara ini amatlah berguna buat pelajar yang belajar Sains pada tingkatan tiga untuk mengetahui apakah itu akar jangkang ataupun prop roots. Sebenarnya terdapat beberapa kepentingan huta paya bakau ini.

Malam Unggun Api
Antaranya merupakan tempat pelbagai spesis flora dan fauna untuk hidup. Antara perkara yang penulis belajar adalah mengenai jenis-jenis siput yang hidup disana. Antaranya adalah siput barongan, siput sedut, lokan dan juga telescopium telescopium ataupun kami singkatkan kepada telescopium square atau dalam BM Telescopium kuasa dua.

Selain itu, kawasan paya bakau juga menjadi penampan daripada ombak yang kuat selain angin yang kencang. Kayu bakau yang cukup sifatnya juga boleh digunakan untuk tujuan komersial antaranya untuk dibuat cerucuk dalam sesuatu pembinaan.

Mendirikan khemah di atas platform
Penjaga Taman Negara Tanjung Piai mengatakan bahawa setiap tahun terdapat pesta air dijalankan iaitu apabila Tanjung Piai dinaiki air pasang besar yang mana air laut akan melimpah sehingga ke kompleks pengurusan tempat tersebut. Fenomena ini berlaku setahun sahaja iaitu sekitar bulan Disember.

Seterusnya, penulis juga ingin berkongsi kelainan di Taman Negara Tanjung Piai ini... Disebabkan kawasannya yang dipenuhi oleh pokok berakar jangkang selain tanahnya yang lembap kerana seringkali dilanda air pasang, kami mendirikan khemah diatas platform yang telah disediakan.

Ia merupakan kelainan kerana pada kebiasaannya, kita akan mendirikan khemah dan ditambat di tanah. Namun di Tanjung Piai, tempat tidur kami amatlah unik dan pengalaman ini tidak pernah dirasai dimana-mana tempat lagi. Keindahannya pada waktu malam dimana penulis dapat melihat bayangan pokok-pokok menembusi jaring khemah penulis.

Dengan keadaan gelap gelita tatkala udara nyaman malam menyinggah ke dalam khemah penulis. Pemandangan daripada mata penulis amat cantik sekali bagaikan wallpaper. Tiada gambar yang mampu dikongsi kerana cuaca malam yang gelap hanya mata kurniaan tuhan sahaja yang mampu menghayati pemandangan tersebut.

Apa yang menarik, kami tidaklah keseorangan tidur disana... Kami turut ditemani oleh sekawan monyet dan lotong yang bersama-sama di dalam hutan tersebut. Hal ini menyebabkan kami terpaksa membuka khemah selepas jam 6.30 petang dan perlu menurunkan khemah sebelum 6.30 pagi. Jika tidak, mereka akan bikin onar terhadap kita.

* Monyet akan pulang tidur selepas jam 6.30 petang

Seksyen di rempuh halangan
Penulis juga ingin memuji Perbadanan Taman Negara Johor dan pengurusan Taman Negara Tanjung Piai kerana usaha mereka untuk memahamkan orang ramai terhadap kepentingan Hutan Paya Bakau. Kebanyakkan modul aktivitinya ingin menanam sifat cinta akan hutan.

Antara slot yang ingin memupuk pemahaman orang ramai terhadap hutan adalah penerangan mengenai hutan paya bakau, aktiviti mencari tumbuhan paya bakau, aktiviti mesra alam iaitu memungut hasil sampah yang diperangkap oleh akar hutan paya bakau dan yang paling menarik sekali sesi menyemai benih paya bakau.

Kami anggota ekspedisi seramai lebih 50 orang berjaya memungut lebih 180 kg sampah dan dilaporkan berjaya menyemai 75 biji benih paya bakau. Tindakan boleh dikatakan amat menarik dan mampu mendekatkan kami terhadap alam semula jadi yang indah ini.

Selain itu, Taman Negara Johor turut menyediakan aktiviti rempuh halangan atau crash course. Rempuh Halangan disini merupakan satu-satu rempuh halangan yang dibina di atas hutan paya bakau di dunia. Terdapat sembilan checkpoint yang perlu dilalui dan bagi penulis, ia agak mencabar namun penulis masih mengekalkan kebersihan baju penulis lagi.

Di Penghujung Selatan Tanah Besar Asia
Pemandangan dari penghujung Selatan Tanah Besar Asia, anda boleh melihat puluhan kapal melalui Selat Johor ini. Terdapat rumah api juga kelihatan terutamanya cahaya lampunya yang amat terang pada waktu malam. Manakala pada waktu pagi, anda boleh melihat matahari terbit sekitar jam 7.00 pagi.

Ketika akhir ekspedisi ini... Kami semua mengangkat ikrar dengan membuat kesan tapak tangan kami ke atas sebuah kain dimana kami berjanji untuk memelihara dan memulihara hutan paya bakau. Meskipun ia kelihatan simple, namun terdapat signifikan daripada perkara tersebut kerana penulis menganggapnya simbolik kepada tangan kami untuk terus menjaga hutan paya bakau ini.

Pandangan matahari terbit ditemani kapal yang berlayar
Perjalanan... Yaa... Agak perit kerana perjalanannya lebih kurang 4 jam 30 minit untuk sampai ke Tanjung Piai dari Subang Jaya. Namun dengan pakej 3 hari 2 malam... Penulis berpendapat ia berbaloi untuk dilawati tetapi kurang sesuai jika perjalanan jauh untuk pakej 2 hari 1 malam.

Kesimpulannya... Tempat ini memang amat sesuai untuk dilawati kerana sejarah dan suasana yang betul-betul hutan. Kenapa penulis kata betul-betul hutan... Sebelum ini, kem yang penulis pergi hanya dikelilingi oleh hutan sahaja... Jarang sekali ditemani oleh haiwan... Namun kem ini merupakan gabungan tiga kombinasi menarik iaitu hutan, laut dan haiwan. Itulah kelainan kem ini.

Kemudahan yang disediakan pun agak baik... Mempunyai dewan yang besar untuk menjalankan LDK ataupun malam kebudayaan. Surau bagi peserta beragama Islam menunaikan kewajipan. Cuma kedudukan tandas yang tidak berapa strategik.

Membelok simpang menuju Tg. Piai
Peserta juga akan dikeluarkan sijil yang mengesahkan kehadiran mereka ke " The Southernmost tip of the Mainland Asia ". Anda sendiri boleh melihat kedudukannya di Google Map.

Terima kaseh... Doakan penulis mempunyai masa untuk terus menulis... Mohon tidak terasa dengan artikel penulis yang sebelum ini berkaitan MAS... Penulis tidak pula menulis apa yang penulis akan lakukan jika kapal terbang hilang... Atau mungkin kapal terbang hilang merupakan cara penulis untuk memperoleh hasil daripada polisi insurans.


Dan gambar yang terakhir...

Berselfie di Penghujung Selatan Tanah Besar Asia, Tg. Piai, Pontian, Johor