Sunday, February 23, 2014

Kalau Aku Jadi MD MAS



Kecoh dibincangkan mengenai laporan prestasi syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines gara-gara laporan kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2013 telah menunjukkan syarikat ini sekali lagi mengalami kerugian yang besar.

Penulis sudah lama mengikuti perkembangan MAS yang menyedihkan ini. Hal ini kerana syarikat penerbangan utama negara ini sering kali terpalit dengan masalah kerugian yang berpanjangan sekaligus menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberi kritikan dan kecaman terhadap pengurusan MAS dan juga kerajaan.

Laporan kewangan yang dilaporkan MAS menunjukkan bahawa mereka telah kerugian RM 1.174 billion sepanjang tahun 2013. Kerugian ini hampir tiga kali lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dimana mereka telah kerugian RM 430 juta pada tahun 2012.

Dalam laporan yang sama, mereka melaporkan bahawa hasil perolehan tahun 2013 meningkat kepada RM 15.1 billion berbanding tahun 2012 iaitu sebanyak RM 13.8 billion. Peningkatan 10 peratus daripada tahun sebelumnya.

Dalam pada masa yang sama, MAS juga dipalit dengan kontroversi yang dicipta oleh chef selebriti tanahair yang juga Duta Makanan Malaysia, Chef Wan. Beliau mengkritik hidangan nasi lemak yang disediakan oleh MAS ketika penerbangannya ke Bangkok dimana beliau melabelkan nasi lemak tersebut sebagai telanjang kerana ketiadaan timun dan ikan bilis dalam hidangan tersebut.

MAS memberi respon positif terhadap rungutan Chef Wan yang bersuara kerana berpendapat hidangan tidak lengkap ini akan memberikan impak negatif terhadap makanan di Malaysia. Walaupun begitu, pesaing MAS, Air Asia mengambil kesempatan terhadap kontroversi ini apabila memaparkan promosi hidangan nasi lemak mereka yang lengkap.

Kembali kepada isu diatas berkaitan dengan prestasi MAS. Jika dirujuk kembali laporan kewangan mereka tidaklah seburuk sekarang. Pada tahun 2006, MAS telah mengalami kerugian sebanyak RM 133 juta dimana kerugian tersebut telah berjaya dipulihkan apabila MAS kembali mencatat keuntungan pada tahun 2007 dengan untung RM 852 juta.

Prestasi menguntungkan MAS ini terus dikekalkan namun berlaku penyusutan pada tahun 2008 kepada RM 245 juta dan peningkatan semula pada tahun 2009 kepada RM 493 juta. Ketiadaan Idris Jala yang dilantik sebagai Senator untuk menjawat jawatan menteri pada tahun 2010 telah menyebabkan syarikat penerbangan negara ini mengalami penyusutan keuntungan kepada RM 237 juta.

Meskipun Dato Sri Idris Jala dilihat sebagai hero dalam mengembalikan MAS kepada kedudukan kewangan yang baik, terdapat pihak lain yang mengecam pentadbiran beliau apabila menjual bangunan milik MAS di Jalan Sultan Ismail bagi menyelesaikan kemelut kewangan pada tahun 2006. Tindakan ini mungkin merupakan penyumbang utama dalam keuntungan MAS pada tahun 2007.

Setelah Idris Jala telah dinaikkan pangkat untuk menjadi menteri meneraju unit PEMANDU, seorang individu berkelulusan daripada Cambridge telah mengambil alih jawatan sebagai Pengarah Urusan MAS. Prestasi tahun pertama pentadbiran beliau pun tidak baik apabila keuntungan telah susut dariapda Rm 493 juta kepada RM 237 juta.

Namun bagi sebuah organisasi yang sering terpalit dengan sejarah kerugian yang tinggi, segala keuntungan dilihat positif kerana sekurang-kurangnya syarikat tersebut tidak rugi. Tahun 2011, pelajar lepasan Cambridge ini telah mencipta nama sebagai Pengarah Urusan yang bertanggungjawab untuk membuatkan MAS kerugian sebanyak RM 2.52 bilion. Jumlah kerugian terbesar dalam sejarah penubuhan MAS.

Tengku Azmil keluar daripada MAS pada September 2011 sebelum laporan kewangan MAS dikeluarkan pada awal Mac tahun berikutnya. Beliau kemudiannya menjadi menyertai Khazanah Nasional sebagai Pengarah Eksekutif Pelaburan pada Oktober 2011.

Melihat kepada pengurusan MAS yang sentiasa rugi buat empat tahun kebelakangan ini. Penulis rasa penulis pun layak untuk mengetuai pentadbiran MAS yang rugi berbillion ringgit ini. Setidak-tidaknya kerugian MAS mungkin dapat dikurangkan. Dan jika masih rugi sekalipun tidak mengapa... Kerana penulis bukanlah berkelulusan dari Universiti Cambridge.

Dalam mengetuai sesebuah organisasi, sudah semestinya penulis perlu menggariskan beberapa langkah bagi mengeluarkan kembali MAS daripada krisis kerugian yang berlarutan ini. Berikut beberapa langkah yang penulis akan lakukan jika menjadi MD MAS.

Pemotongan Gaji dan Elaun

Penulis yakin bahawa pengurusan tertinggi MAS mempunyai gaji dan elaun yang amat tinggi. Dato Sri Idris Jala dilaporkan menerima gaji RM 100,000 sebulan dalam menguruskan MAS tidak termasuk elaun dan imbuhan yang lain. Dalam erti kata lain, beliau menerima lebih RM 1.2 juta setahun. Entah berapa banyak Dato Seri Najib tawar kepada beliau untuk menggalas tugas sebagai Menteri.

Penulis akan memotong gaji pengurusan tertinggi MAS secara drastik. Contohnya jika gaji Pengarah Urusannya sekarang RM 100,000, penulis akan kurangkan kepada RM 50,000 misalnya. Tindakan ini sekaligus akan membuatkan gaji jawatan tertinggi lain seperti Pengarah Komersial, Pengarah Kewangan Operasi, Pengarah Kewangan dan sebagainya turut berkurangan.

Jika dahulu mereka mendapat gaji bulanan Rm 40,000. Mungkin sekarang gaji mereka hanya sekitar RM 20,000 kerana gaji MD sendiri pun hanya RM 50,000. Secara tidak langsung perbelanjaan pengurusan MAS dapat dikurangkan.

Begitu juga dengan pelbagai elaun yang mereka terima secara bulanan. Mungkin terdapat elaun keraian ataupun apa jua jenis elaun yang tidak sepatutnya berada dipotong. Ini kerana kita tidak mahu menganggap elaun ini sebagai salah satu lagi sumber pendapatan mereka dalam berkhidmat dalam MAS tetapi sebagai imbuhan. Elaun yang dituntut juga perlu diperhalusi supaya tidak berlaku penipuan dan penyelewengan dalam tuntutan yang dikemukakan.

Masalah yang penulis percaya di MAS adalah mereka ( pengurusan tertinggi ) MAS tidak mampu untuk hidup dalam gaji yang kurang dari apa yang mereka terima sebelum ini. Bayangkan jika sekarang mereka menerima RM 40,000 setiap bulan, adakah mereka sanggup menerima gaji RM 20,000 setiap bulan kerana pelan penjimatan.

Jawapannya tidak... Ini kerana gaya hidup setiap pengarah itu sendiri. Jika ditanya penulis adakah gaji RM 3,000 sebulan cukup untuk hidup. Penulis akan menjawab boleh dan masih boleh hidup jika gaji penulis berkurang kepada RM 2,000. Tetapi dengan gaya hidup mewah yang diamalkan oleh kebanyakkan pengurusan tertinggi syarikat multinasional, pemotongan gaji ini tidak akan diterima sama sekali.

Takkanlah mereka yang pandu S-Class setiap hari perlu menjual kereta tersebut dan memakai C-Class. Mereka menganggap perkara sedemikian sebagai jatuh standard. Demi menjaga perihal gaya hidup penuh bergaya, perkara ini sukar untuk berlaku jika sesuatu keputusan perlu diambil secara sebulat suara.

Justeru itu, hal ini perlu diatasi melalui langkah kedua iaitu ;

Rombakan Pengurusan Tertinggi

Penulis akan mencari mereka yang mempunyai pengalaman dalam aviasi namun bukanlah daripada golongan yang mempunyai pendapatan tinggi dari dahulu lagi. Mereka yang mengetahui selok belok dalam sistem penerbangan akan diambil untuk mengisi jawatan yang mungkin ditinggalkan individu yang tidak selesa dengan pemotongan gaji ini.

Begitu juga dengan eksekutif asing yang perlu dibayar gaji puluhan ribu ringgit untuk berkhidmat bersama MAS. Hal ini tidak perlu berterusan kerana pasti terdapat individu berkelayakan dalam pekerja tempatan MAS sendiri yang layak menyandang sesuatu jawatan begitu juga di luar negara.

Penulis tidak faham mengapa MAS dan beberapa syarikat negara yang lain seperti Lotus mengambil warga asing untuk berkhidmat untuk mereka di luar negara. Penulis mengambil contoh kenapa BMW Malaysia Gerhard Pils sebagai Presiden BMW Malaysia ? Kenapa Samsung Malaysia diketuai oleh KK Park sebagai Presiden?

Kenapa MAS memberikan peranan kepada Mat Salleh untuk menerajui MAS diluar sana. Lihat sahaja Singapore Airline, hampir kesemua pengurusan tertinggi mereka terdiri daripada warga Singapura sendiri. Lotus pun kini menggantikan Danny Bahar dengan Aslam Farikullah mengetuai Lotus di Great Britain.

Tindakan ini secara tidak langsung akan mengurangkan kos gaji pengurusan MAS jika dibandingkan kita membayar penduduk sana untuk bekerja. Impak lain juga pengalaman individu tempatan yang bekerja di luar negara dapat digunakan oleh sesebuah syarikat terbabit dalam masa yang akan datang.

Pengurusan tertinggi juga perlulah telus dalam menjalankan tugas. Penulis tidak mahu mereka yang mempunyai kepentingan tertentu berada dalam pengurusan MAS. Hal ini merupakan duri dalam daging MAS sendiri dalam menguruskan organisasi berbillion ringgit MAS ini kerana kemungkinan besar jika individu berkepentingan ini duduk bermesyuarat bersama pengurusan. Mereka akan mempengaruhi keputusan yang mungkin akan menguntungkan individu tertentu sahaja bukannya MAS sendiri.

Penulis percaya sehingga kini, pengurusan MAS masih lagi dihantui mereka yang mempunyai kepentingan tersendiri yang membuat keputusan. Disebabkan itulah juga penggabungan MAS dan AirAsia gagal berjalan kerana sebab-sebab tertentu.

Kaji Kembali Kontrak

Penulis ada terbaca ( tidak sahih ) mengenai syarikat yang membekalkan makanan buat MAS ialah Brahim Catering menerima kontrak daripada MAS sebanyak RM 260 juta setahun untuk tempoh setahun 10 tahun. Ini bermakna syarikat ini mempunyai perjanjian kontrak bernilai Rm 2.6 billion bersama MAS.

Penulis tidak pasti sama ada jumlah ini sesuatu yang masuk akal ataupun tidak. Hanya pengurusan MAS sendiri yang tahu mengenai kerelevanan nilai kontrak yang diberikan. Bagi memastikan segala kontrak yang dimeterai tidak merugikan MAS, penulis akan mewujudkan satu taskforce ataupun jawatankuasa bagi mengkaji semula setiap kontrak melibatkan MAS tidak kira bernilai tinggi ataupun rendah.

Jika taskforce mendapati bahawa terdapat apa-apa perjanjian yang tidak relevan dan merugikan MAS, perbincangan semula bersama pihak yang lagi satu perlu dibuat untuk dikaji semula. Jika enggan menukar kepada perjanjian yang baharu. Langgar sahaja kontrak tersebut dan cari pembekal yang baharu. Kalau hendak saman... Bawa saja naik mahkamah.

Buktikan bahawa perjanjian tersebut amat merugikan MAS walaupun perjanjian telah melarang tindakan sedemikian rupa. Sudah semestinya mahkamah akan membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam membicarakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang mana kerugian ditampung oleh pembayar cukai.

Jika kita tunjuk lagak seperti ini... Penulis percaya kontrak yang dimohon untuk dikaji semula selepas ini akan dipermudahkan urusannya oleh pihak yang lagi satu. Lebih baik mereka mengikut kehendak yang MAS inginkan dalam perjanjian yang baharu daripada terus kehilangan kontrak.

Kontrak dengan MAS ini penulis percaya merupakan salah satu medium bagi golongan kaya-raya mengisi poket untuk bertambah kaya. Mereka inilah yang individu memakan duit rakyat hasil kerugian syarikat MAS. Mereka tidak akan jatuh miskin meskipun MAS sentiasa rugi. Kerana setiap kerugian MAS tidak perlu dirisaukan kerana kerajaan sentiasa memberi perlindungan dan bantuan terhadap MAS untuk membayar hutang mereka kembali.

Penulis tidak berani kata siapakah mereka ini... Tetapi mungkin golongan ini adalah golongan yang mungkin membekalkan tisu berharga RM 3.00 segulung kepada MAS dengan harga RM 10.00. Mereka ini mungkin juga yang membekalkan nasi lemak telanjang berharga RM 2.00 kepada MAS dengan harga RM 5.00. Mereka ini juga mungkin yang menyelenggara setiap kapal terbang MAS dengan bayaran berlipat kali ganda daripada kos yang ditanggung mereka. Mereka inilah pengkhianat negara.

MAS perlu memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan daripada syarikat penerbangan ini untuk mengenyangkan perut mereka sahaja. Tetapi mencari satu perjanjian yang bersama-sama membantu MAS dalam mengembalikan keuntungan MAS.

Sebab itulah dalam langkah kedua penulis, penulis ingin memastikan bahawa tiada sebarang individu berkepentingan untuk berada dalam pengurusan tertinggi. Segala keputusan mereka ini berpotensi bakal merugikan MAS kerana menjaga periuk nasi sebilangan individu sahaja bukannya MAS.

Penulis percaya mereka inilah manusia yang menggagalkan usaha penggabungan MAS dan AirAsia. Mereka juga individu yang melobi kerajaan untuk tidak menjual saham MAS yang dipegang Khazanah kepada syarikat swasta yang lain. Ini berikutan terdapat khabar angin pada tahun lalu yang menyatakan terdapat dua syarikat berminat untuk mengambil alih MAS iaitu Weststar Aviation dan NADI ( National Aerospace & Defense Industries ).

NADI merupakan syarikat yang dimiliki oleh Tan Sri Ahmad Johan dimana turut mempunyai pegangan saham dalam syarikat penerbangan Malaysia-Indonesia iaitu Malindo Air. Weststar pula diketuai oleh Tan Sri Syed Azman yang mempunyai kontrak berbilion ringgit dengan syarikat Petroleum dan Gas. Syarikat beliau juga dilaporkan mempunyai wang tunai yang kukuh didorong oleh pelaburan oleh syarikat penerbangan daripada Amerika, KKR & Co.

Jika hal ini berlaku, sudah semestinya pemilik akan berusaha sedaya upaya untuk meletakkan MAS diatas landasan keuntungan. Pastinya pihak yang mempunyai kaitan dengan MAS berasa gusar kerana berkemungkinan kontrak mereka tidak akan dilanjutkan ataupun dibatalkan.

Justeru itu, penting untuk meletakkan individu yang layak untuk menerajui MAS dalam memastikan agenda mengkayakan sebilangan individu yang tamak ini dapat dihentikan.

Kurangkan Kos Operasi

Penulis membaca bahawa MAS telah mengurangkan kos operasi MAS sehingga 16 %. Sungguhpun begitu, MAS masih mengalami kerugian bahkan lebih besar daripada tahun sebelumnya. Hal ini mesti terdapat perkara yang tidak kena dalam pengurusan MAS yang penulis sifatkan tidak cekap.

Jika penulis berada dalam pengurusan MAS, penulis akan mencadangkan bahawa segala laluan penerbangan yang merugikan untuk dibatalkan ataupun kekerapan MAS ke destinasi tersebut dikurangkan. Hal ini akan mengurangkan belanja operasi pesawat tersebut secara amnya untuk setiap penerbangan.

Jika jumlah pesawat yang digunakan dalam satu-satu masa dapat dikurangkan. Ini mungkin akan mengurangkan lagi kerugian MAS yang dilaporkan daripada masalah ketidaktentuan harga minyak, belanja sewa tapak dan sebagainya. 

Alternatif lain untuk MAS untuk menjana pendapatan daripada jumlah pesawat yang tidak digunakan adalah dengan menyewanya kepada syarikat lain. Mungkin kepada Malindo mahupun AirAsia sendiri atau mana-mana syarikat yang memerlukan. Langkah ini pasti akan membawa pulangan kepada MAS dalam jangka masa panjang.

Penulis beranggapan bahawa menjual aset bukanlah satu jalan dalam membawa MAS ke arah keuntungan. Tetapi ia merupakan jalan pintas untuk sesebuah syarikat menutup aib kerugian syarikat mereka. Namun begitu, sejajar dengan langkah diatas, penulis akan bertanyakan satu persoalan... Apakah rasionalnya menyimpan sesebuah aset yang membuatkan syarikat terpaksa berbelanja besar untuk bagi mengekalkannya.

Dalam kata lain, apa jua perkara yang boleh mengurangkan kos operasi MAS perlu dibuat namun dalam masa yang sama, MAS perlu mengekalkan hospitaliti perkhidmatan bertaraf dunia yang disediakan kepada pelanggan mereka.

Henti Tajaan

Yaa... Menjadi satu kebangaan sesebuah syarikat untuk menaja satu acara bertaraf besar. Disebabkan itulah CIMB menaja acara golf di Asia Tenggara begitu juga dengan Sime Darby. Disebabkan itu juga SP Setia menaja Liga Perdana Inggeris. Kerana kebangaan sesebuah syarikat tersebut. Namun apa beza mereka ini dengan MAS. Mereka ini semuanya mencatatkan keuntungan setiap tahun bukannya MAS.

Penulis tidak tahu berapa banyak syarikat dibawah MAS yang menaja acara-acara di Malaysia. Meskipun begitu, tindakan ini mampu mengurangkan kerugian yang dihadapi MAS. Ada hati nak taja orang padahal bussiness sendiri pun sedang lingkup.

Disebabkan tajaan Enrich iaitu sebuah anak syarikat MAS, penulis dapat menghadiri Festival Jazz Antarabangsa Kuala Lumpur ( IJFKL ) tahun lepas yang berlangsung di Universiti Malaya dimana menyaksikan Lee Ritenour, gitaris Jazz Amerika yang telah merekodkan lebih 42 album beraksi dari tempat duduk VIP.

Setiap ringgit yang dibelanjakan perlulah diteliti supaya tidak merugikan MAS. Mungkin jumlah tajaan RM 100,000 bukanlah sebesar mana jika dibandingkan dengan hasil MAS mencecah RM 15.2 billion. Namun perlu diingatkan bahawa RM 100,000 itu juga menyumbang kepada kerugian MAS berjumlah RM 1.2 billion.

Walaupun begitu, segala hal berkaitan Tanggungjawab Sosial Korporat perlulah diteruskan tanpa perlu berbelanja dalam jumlah yang besar. Cukuplah sekadar memenuhi tuntutan CSR sebagai sebuah organisasi penerbangan terulung negara.

Terokai Bidang Baharu

MAS seharusnya tidak hanya bergantung semata-mata daripada hasil operasi penerbangan mereka. Tetapi bagi menampung segala kerugian MAS, penulis percaya MAS perlu menerokai bidang baharu seperti perladangan ataupun hospitaliti lain seperti perhotelan dan servis pengangkutan.

Langkah ini secara tidak langsung memberikan pulangan sampingan buat MAS dan berpotensi untuk melangkah ke hadapan dalam bidang ini. Walaupun dilihat tersasar daripada tujuan penubuhan MAS, penulis percaya sesebuah syarikat perlulah mempunyai inisiatif lain dalam menambahkan lagi pendapatan mereka.

Menceburi bidang bukan penerbangan ini mungkin boleh diibaratkan sebagai perniagaan tanpa persaingan seperti mana yang terkandung dalam buku Blue Ocean Strategy dalam kalangan musuh seangkatan.

MAS juga boleh mengambil pakar-pakar dari luar untuk bersama-sama mereka membangunkan anak syarikat yang lain. Tidak salah jika mereka menceburi bidang hartanah ataupun insurans yang kian mendapat tempat ketika ini.

Sifat kompetitif MAS tidak terserlah jika dibandingkan dengan Tune Group iaitu pemilik Air Asia. Mereka mempunyai rangkaian perniagaan yang luas tidak hanya meliputi penerbangan seperti Tune Talk ( Perhubungan ), Tune Money ( Insurans ), Tune Hotels ( Perhotelan ) dan sebagainya.

Mungkin ia kelihatan sukar dan rumit untuk dilaksanakan. Namun untuk memulihkan MAS kembali, langkah ini wajar dimana ketika perlu mengambil kesempatan dalam sektor lain yang boleh membawa keuntungan kepada MAS.

Yaa... Itulah enam langkah yang penulis akan lakukan jika penulis dilantik sebagai Pengarah Urusan MAS. Berjaya atau tidak itu terpulang kepada langkah pemulihan yang penulis nyatakan di ataslah. Jika gagal sekalipun tidak mengapa... Kerana penulis tidak belajar Ekonomi dari Harvard Bussiness School.

Penurunan harga saham MAS kepada 26 sen amatlah menyedihkan. Cadangan Idris Jala suatu ketika dahulu untuk menjual MAS ketika saham mereka bernilai RM 3.80 perlu menjadi wake-up call untuk kerajaan bertindak terhadap kerugian MAS ini.

Hal ini kerana wang rakyat yang perlu dihisap hasil kerugian MAS dan ini merupakan salah satu ketirisan dan pembaziran oleh kerajaan Malaysia. Justeru membuka ruang pelbagai pihak menghentam kerajaan dengan pelbagai tuduhan.

Ingat lagi dahulu di kampung... Apabila seorang pegawai pengurusan MAS singgah di rumah. Sebelum beliau balik, beliau memperli ibu saudara penulis yang bekerja dengan MAS dengan berkata " You kerja dengan MAS lagi... Saham tinggal 30 sen "... Dijawab oleh ibu saudara penulis " yang you lari kenapa ? " dalam nada sindiran.

Yaa... Kesemua diatas hanyalah pandangan peribadi penulis tidak mewakili mana-mana pihak. Mungki penulis tidak arif dalam selok belok perniagaan... Yerr laa... SPM pun tak lepas lagi tetapi penulis rasa penulis berhak untuk memberikan " My one ringgit and six cents opinion ". Seringgit pandangan penulis lagi enam sen caj GST.

Jika prestasi MAS tidak menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh tiga tahun akan datang. Tiba masanya untuk kerajaan Malaysia mempertimbangkan kembali untuk menjual MAS supaya ratusan juta wang pembayar cukai tidak hangus dek kerana ketidakcekapan pengurusan MAS.

* Terdapat dua persepsi orang ramai terhadap MAS. Pertama, akronim MAS itu sendiri yang mana mereka mengatakan bahawa MAS itu bermaksud Mana Ada Sistem. Kedua, MAS tidak dapat lari dari tanggapan mengenai pramugari-pramugari yang lebih berusia.

** Dilaporkan Brahim Catering itu dimiliki oleh adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen