Sunday, January 12, 2014

Pelaburan Kereta Klasik

Ferrari Dino
Forte... Bermaksud sesuatu perkara yang mana seseorang itu amat arif tentangnya. Forte penulis... Mengenai kereta klasik... Kali ini, penulis ingin membicarakan sesuatu topik yang jarang diketengahkan kedalam bentuk satu penulisan formal iaitu mengenai pelaburan melalui kereta klasik.

Topik penulis ini dicetuskan gara-gara peningkatan kos sara hidup di Malaysia meskipun golongan yang mampu melabur melalui kereta klasik ini hampir keseluruhannya bukan berniat untuk melabur. Sebaliknya sebagai hobi mengisi masa lapang dek kerana poket yang tebal.

Mercedes 300 SL Gullwing
Pertama sekali... Penulis ingin menerangkan mengenai sebuah kereta klasik yang dimaksudkan penulis. Kereta klasik yang dimaksudkan bukanlah sebuah Toyota Corolla KE30 ataupun Proton Saga generasi pertama. Kereta yang dimaksudkan penulis adalah sesebuah kereta yang mempunyai nilainya yang tersendiri sewaktu zaman tersebut dan pada zaman ini.

Contohnya adalah Jaguar E-Type, Porsche 911, Mercedes SL, Rolls Royce Corniche, BMW 3.0 CSi/L , Ford Mustang ataupun Dodge Challenger. Inilah yang dinamakan kereta klasik bukannya Volvo siri 200 yang dipandu oleh Pak Cik yang pulang dari pasar malam.

Porsche 911
Kali ini, penulis ingin menghuraikan secara terperinci mengenai kenaikan harga kereta klasik saban tahun yang diperhatikan tidak menurun. Terdapat beberapa faktor yang mendorong kenaikan harga kereta klasik ini.

Pertamanya mengenai kereta itu sendiri... Kereta yang mempunyai ciri-ciri menarik dan unik ketika dikeluarkan secara amnya berpotensi untuk harganya meningkat. Ini mungkin disebabkan perasaan penggemar atau dipanggil Enthusiast yang tergila-gilakan kenderaan tersebut.

Dodge Challenger
Lazimnya ia turut berkait rapat dengan jumlah pengeluaran kereta tersebut. Contohnya kereta yang dikeluarkan dengan kuantiti yang sikit menjadikan ia sukar untuk dimiliki kerana mengikut prinsip Ekonomi, permintaan tinggi diikuti dengan situasi barang yang sedikit akan menyebabkan harga sesuatu barang tersebut naik.

Kenapa jumlah pengeluaran sedikit... Ini disebabkan jumlah permintaan pada zaman pengeluarannya tidak setinggi kini dimana Lamborghini boleh mengeluarkan sehingga 14,000 unit Gallardo. Berbeza 50 tahun yang lepas, dimana kebanyakkan kereta dikeluarkan pada jumlah yang sedikit mungkin kerana kepakaran yang kurang dan juga permintaan sedikit. Mungkin sebab orang dulu-dulu tak sekaya orang la ni.

Rolls Royce Corniche
Hal ini penulis boleh buktikan melalui perbandingan Lamborghini Gallardo dan juga Espada. Gallardo yang dikeluarkan selama 10 tahun iaitu 2004 sehingga 2014 mengeluarkan 14,022 unit manakala Espada hanya 1,217 unit dalam tempoh masa pengeluaran yang sama. Sebenarnya banyak lagi yang mempengaruhi kenapa kereta tersebut dikeluarkan dalam kuantiti yang terhad.

Perlu diingatkan, jika terdapat 1,200 unit Lamborghini Espada dikeluarkan... Persoalannya berapa banyak lagi yang masih tinggal. Kereta-kereta ini sudah pastinya ada yang rosak dan sebagainya. Kemungkinan ini menyebabkan jumlah kenderaan yang on-the-road atau boleh dipandu berkurangan.

Lamborghini Espada milik Raslan Abdullah
Contoh yang boleh penulis berikan adalah mengenai kisah bangsawan Malaysia yang juga merupakan bapa kepada penulis dan pemikir, Karim Raslan. Bapanya, Raslan Abdullah merupakan orang kaya-kaya di Malaysia yang juga teman baik Tun Abdul Razak. Beliau merupakan salah seorang pengasas firma perakaunan Bumiputera pertama iaitu Hanafiah, Raslan dan Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai HRM. Allahyarham Raslan Abdullah meninggal dunia dalam kemalangan ketika memandu sebuah Lamborghini Espada pada tahun 1987.

DMC De Lorean digunakan di dalam Back To Future
Selain itu, penulis percaya bahawa pembabitan sesebuah kereta di dalam filem seperti Gone in Sixty Seconds, Back to Future ataupun mungkin James Bond, mengakibatkan nilai kereta tersebut melambung tinggi kerana peranannya di dalam sesebuah filem antarabangsa. Orang akan kata " Perghh... Sebijik macam dalam filem Fast 2 Furious ".

Itu antara sebab dan punca mengapa harga kereta meningkat. Justeru itu, sesebuah kenderaan klasik memang sesuai untuk dijadikan pelaburan kerana risiko kerugiannya amat rendah. Walaupun begitu terdapat beberapa syarat sebelum terjun dalam bidang pelaburan kereta klasik ini.

Jaguar XK150
Sebagai contohnya, seseorang yang memiliki kereta klasik tersebut perlulah memastikan bahawa kereta miliknya berada dalam keadaan yang baik luaran dan dalaman. Hal ini memerlukan belanja yang tinggi selain memakan masa. Perkara ini mempengaruhi harga ketika hendak dijual.

Kereta-kereta yang mengalami peningkatan harga buat sekian waktu sebagai contoh adalah Jaguar XK150. Kereta yang dikeluarkan pada sekitar lewat 50-an ini dijual sekitar £2,000. Kemudian pada lewat 60-an, dilaporkan bahawa kereta ini di Malaysia telah dijual sekitar RM 780. Harganya meningkat dengan mendadak kepada RM 50,000 pada tahun 80-an dan selepas memasuki kurun ke-21, harga yang ditawarkan sekitar RM 200,000.

Jika diambil pada kadar kiraan mata wang kini. Harganya telah meningkat sebanyak 2000% dari RM 10,000 kepada RM 250,000. Tapi perlu diingatkanlah, harga tersebut merupakan nilai sesebuah Jaguar yang mana keadaannya dipanggil in factory condition. Ataupun dalam keadaan baru keluar daripada kilang.

Jaguar E-Type
Ikon kereta klasik, Jaguar E-Type ketika dilancarkan lebih kurang £2,000. Harganya susut sekitar 80-an dimana ia dijual pada harga RM 1,000. Namun harganya meningkat kepada RM 70,000 pada tahun 90-an dan terus meningkat kepada RM 250,000 pada tahun ini.

Kereta yang diinspirasikan melalui kereta lumba Jaguar D-Type ini meningkat harganya kerana senirekanya yang menarik selain pencapaian dan pengiktirafan penggemar kereta terhadap model ini walaupun ia telah terjual lebih 70,000 unit. Ini jelas menunjukkan bahawa nilai sebuah E-Type begitu tinggi.

Ford Mustang Fastback
Kereta American Muscle, Ford Mustang juga mengalami peningkatan. Ketika pengeluarannya pada tahun 1965, dianggarkan kos untuk memilikinya lebih kurang US$ 4,000. Kini, yang berada pada keadaan untuk bertanding Concours, harganya mencecah US$ 20,000. Jika melihat pada trend peningkatannya, ia agak perlahan berbanding kereta yang lain. Walaupun begitu, kereta Mustang GT fastback seperti digunakan oleh Nicolas Cage dalam filem Gone in Sixty Second meningkat tinggi hingga ke US$ 70,000.

Kereta Mercedes 190SL yang dijual pada harga US$ 5,000 pada tahun 1960-an amat baik untuk dibuat pelaburan. Dilaporkan pada 2006, kereta ini mempunyai harga pasaran US$ 76,000 dan terus meningkat secara perlahan-lahan hingga tahun 2012 kepada US$ 96,000. Harga naik melambung pada tahun lepas apabila dikatakan ia dijual pada harga US $ 162,000. Menjelang sahaja tahun 2014, 190 SL ini dijangkakan akan meningkat kepada lebih US$ 200,000.

Mercedes SL
Mercedes SL model R107 juga tidak mengalami susut nilai sejak dikeluarkan. Ia dijual pada harga RM 70,000 ketika dilancarkan dan kini ia berharga lebih kurang RM 80,000.Model ini dipercayai merupakan salah sebuah model yang paling berbaloi untuk dimiliki kerana harganya yang murah dan risiko yang rendah.

Pakar menjangkakan yang model ini akan terus meningkat tahun ke tahun di Malaysia dan dalam tempoh sepuluh tahun, harganya kemungkinan besar akan naik sehingga mencecah RM 120,000. Sebuah pelaburan kereta bermodal rendah dengan risiko kerugian yang tipis.

Manakala jika anda golongan yang berduit yang ingin menyimpan wang anda dalam bentuk barang. Jaguar E-Type yang boleh dibeli pada RM 250,000 kini dijangka meningkat lebih RM 300,000 dalam tempoh lima tahun kerana paten perubahan harga yang agresif.

Jika anda mempunyai lebih masa, anda boleh membeli bangkai kereta E-Type yang dijual sekitar RM50,000 dari London dan membaikpulihnya sendiri. Nilai keuntungan agak tinggi iaitu dianggarkan kos baik pulih RM 100,000 maka jumlah keseluruhannya RM 150,000. Anda sudah menjamin RM 100,000 dalam poket tetapi ia makan masa yang lama. Sesuai untuk mereka yang tidak bekerja.

Mercedes SEC yang dikeluarkan pada 80-an
Selain itu, Mercedes SEC yang mana nilai pasarannya berharga RM 80,000 juga dikatakan akan meningkat kepada RM 100,000 dalam tempoh beberapa tahun lagi. Jaguar XJS juga dijangka terus meningkat. Harganya kini sekitar RM 90,000 dan dipercayai akan meningkat kepada RM 120,000 dalam 5 tahun.

Harga sesebuah kenderaan tanpa susut nilai merupakan suatu keuntungan. Bayangkan anda membeli kereta berharga RM 100,000 dan anda tahu bahawa dalam tempoh lima tahun, ia akan merudum kepada RM 50,000. Berbeza dengan kereta klasik yang akan kekal dan sukar untuk jatuh.

Tetapi, tidak sesuai untuk dijadikan kenderaan harian untuk ke pasar malam, ke tempat kerja, balik kampung ataupun pergi ke masjid. Ia hanya sesuai digunakan pada malam minggu untuk diparkir di hadapan bar di Jalan Changkat, Bukit Bintang untuk menarik perhatian orang ramai.

Pemilik juga perlu bersedia untuk membelanjakan ribuan ringgit untuk jika berlaku sebarang kerosakan. Ini kerana kereta yang tua ini kos penyelenggaraannya tinggi namun tidak jadi sebarang masalah bagi mereka yang berwang.

Justeru itu, penulis berpendapat memiliki kereta klasik bukanlah hanya hobi bagi mereka yang kaya, tetapi pelaburan jangka panjang bagi mereka yang mempunyai masa untuk menikmati pemanduan klasik yang memerlukan kemahiran yang tinggi.

2 comments:

  1. Salam... Kalau Jaguar MK2.. Tahun 1962 berapa value dia skrg ni ye.. Terima kasih...

    ReplyDelete
  2. Salam... Kalau Jaguar MK2.. Tahun 1962 berapa value dia skrg ni ye.. Terima kasih...

    ReplyDelete

Dipersilakan Komen