Sunday, January 5, 2014

Mendaki Bukit Broga

Sebelum penulis menutup kalendar 2013 penulis, salah satu pengalaman yang akan tercatit di dalam diari hidup penulis pada tahun ini adalah pengalaman memanjat Bukit Broga di Semenyih pada 30 Disember 2013 bersama tiga orang lagi rakan penulis.

Tarikh yang menarik untuk melakukan sesuatu aktiviti yang luar dari kebiasaan. Tarikh 30/12/2013 boleh disusun setiap angka padanya menjadi 00112233 yang mana bagi penulis merupakan suatu gabungan angka yang cantik.

Bertolak dari rumah penulis dari Subang Jaya sekitar jam 4.30 pagi. Kami sampai ke Bukit Broga lebih kurang jam 5.30 pagi. Tidak susah untuk kesana sebenarnya jika anda mengikut anak panah, namun demikian, jika anda tersilap simpang masuk, kemungkinan besar anda akan terlajak sehingga ke Negeri Sembilan.

Ambil wudu'
Apabila kami diturunkan disana, kami berempat meneruskan perjalanan ala-ala Chuck Norris kerana hanya kumpulan kami sahaja yang mendaki Bukit tersebut di dalam keadaan gelap gelita. Berbekalkan lampu kepala dan beberapa lampu suluh, kami mendaki dengan tenang untuk mencapai objektif kami iaitu sampai ke puncak Bukit Broga sebelum matahari terbit.

Setengah perjalanan, sekitar jam 6.15 pagi. Rakan penulis yang kelihatan memohon untuk berhenti seketika untuk berehat. Kebetulan tempat yang kami lihat terdapat sedikit ruang yang rata, jadi kami mengambil keputusan untuk bersembahyang Subuh secara berjemaah disitu.
Dengan air kosong 1.5 liter, dua orang rakan penulis mengambil wuduk dan masih ada lagi baki yang tertinggal. Namun ada caranyalah. Pertama, penutup botol air tersebut hanya perlu dibuka sedikit sahaja hanya sekadar untuk membuatkan air mengalir keluar sedikit-sedikit daripada botol. Kedua, ambil wudu' apa yang wajib saja.

Kemudiannya anda perlu membawa sesuatu untuk dijadikan alas sujud atau dalam bahasa lainnya sebagai sejadah. Penulis hanya membawa sekeping naskhah akhbar Utusan Malaysia sahaja untuk dijadikan sejadah. Kemudian hampar dan bolehlah mendirikan solat anda. Bab kiblat, gunakan saja aplikasi pada telefon pintar anda atau gunakan cara konvesional iaitu dengan membawa kompas.

Bab Sembahyang Subuh... Ketika penulis melihat artikel pada laman sesawang, kebanyakkan mereka bersembahyang di stesen minyak berhampiran. Ada yang sembahyang Subuh di kaki bukit kerana terdapat surau. Hal ini pada mulanya tidak disedari penulis hinggalah penulis turun ke bawah kembali. Namun surau dan tandas yang terletak di bawah kelihatan berkunci.

Meneruskan perjalanan penulis untuk menjejakkan kaki ke puncak tersebut, terdapat beberapa kumpulan juga ada yang berpasangan mendaki Puncak tersebut. Terdapat beberapa tempat yang agak sukar untuk dilalui seperti perlu menggunakan tali ataupun sebagainya.

Namun sejujurnya, trek Bukit Broga ini tidaklah sesukar mana dan penulis percaya, seseorang yang mempunyai kecergasan average sepatutnya mampu menawan Puncak Bukit Broga. Seperti yang kami lakukan sehingga akhirnya menjejakkan kaki ke Puncak Bukit Broga sekitar jam 7.00 pagi. Jika perjalanan direct, penulis rasa dalam tempoh 50 minit boleh sampai ke puncak.

Rakan tersangkut di celahan batu
Namun terdapat kesulitan pada babak akhir pendakian kami. Dimana kami tersangkut di celah-celah du abuah batu besar sebelum sampai ke Puncak Bukit Broga. Anda perlu steady dan cool dan bergerak secara mengiring pada detik itu. Dan kemudiannya halangan lain adalah kami perlu memanjat sebuah batu untuk sampai ke bahagian atas dimana penulis meminta pertolongan pendaki yang sudah berjaya untuk mengetatkan tali yang disediakan. Alhamdulillah berjaya.

Walaupun begitu, golongan yang gemuk dan bersaiz besar mempunyai alternatif lain untuk sampai ke puncak. Ini kerana terdapat sebuah lagi jalan yang menghubungkan terus hingga ke puncak dalam lingkungan 40 meter dari Puncak Bukit Broga. Anda tidak perlu berusaha keras kerana jalan ini lebih selamat dan mudah tetapi agak curam dan licin.

Pemandangan sebelum fajar menyinsing
Anda tidak perlu risau jika sesat kerana Bukit Broga mempunyai treknya tersendiri. Jadi, kemungkinan untuk sesat amatlah tipis. Secara amnya, penulis boleh membahagikan perjalanan ke Puncak Bukit Broga kepada dua bahagian.

Bahagian pertama adalah bahagian awal yang mana merupakan 1/5 perjalanan awal mendaki Bukit Broga. Laluan ini memerlukan anda untuk bergerak dengan langkah yang besar dan agak memenatkan.

Manakala bahagian kedua yang merupakan baki perjalanan ke Puncak Bukit Broga mengabungkan jalan yang agak landai dimana anda boleh berlari dan sekitar tempat yang mana anda perlu menyudahkan langkah-langkah anda dengan penuh hati-hati kerana licin.

Meskipun kami mampu sampai ke Puncak Bukit sebelum matahari terbit, malangnya kami tidak dapat melihat keindahan fenomena harian dari puncak bukit iaitu melihat matahari terbit. Gara-gara keadaan cuaca yang mendung dan sentiasa dipenuhi awan. Bahkan hingga jam 9.00 pagi penulis berada di Bukit Broga juga masih lagi sejuk dan segar kerana matahari tidak kunjung kelihatan.

Adakah anda boleh berkhemah di Puncak Bukit Broga ataupun di pertengahan jalan ?

Jawab penulis ialah boleh... Terdapat beberapa ruang yang rata yang penulis sifatkan sebagai berpotensi untuk dijadikan tapak perkhemahan. Namun secara kasarnya bukanlah untuk kumpulan berskala besar tetapi hanya sesuai bagi kumpulan lebih kurang 10 orang saja.

Walaupun begitu, diingatkan anda akan mempunyai masalah untuk mendapatkan sumber air. Itulah masalah utama jika anda berkhemah diatas sana mahupun dibawah.

Selfie dari belakang lori
Penulis sampai ke kaki bukit pada jam 9.15 pagi... Mempunyai masalah pengangkutan dimana penulis hanya ditinggalkan oleh bapa penulis saja dan kami berempat perlu balik sendiri. Jadi apakah solusinya?

Di benak fikiran penulis... Perghhh bahasa... Berpendapat jikalau ada kereta seperti Toyota Hilux ataupun Triton ataupun Colorado ataupun kenderaan yang sewaktu dengannya untuk ditumpangkan sehingga ke pekan Kajang ataupun mana-mana bus stop yang berdekat.

Namun begitu... Nasib tidak menyebelahi kami kerana tidak terdapat pick up diparkir di kaki bukit. Apatah lagi, muncullah idea-idea gila seperti hot wire kereta dan mencuri motosikal yang diletakkan disitu. Hanya gurau senda saja...

Barangan diatas lori
Melihat kepada jalan raya yang dipenuhi dengan kereta dan lori yang lalu lalang. Penulis mengambil keputusan untuk menahan lori untuk tumpang ala-ala hitchiking. Difikirkan semacam gila... Namun apa salahnya mencuba bukan? Pada percubaan pertama penulis melambaikan tangan, terdapat sebuah lori berhenti. Tapi kerana tempat duduk yang terhad selain beliau tidak membenarkan kami untuk tumpang di belakang. Akhirnya kami memutuskan untuk tunggu lori yang lain.

Percubaan kedua oleh penulis juga... Terdapat sebuah lori turut berhenti yang mana pemandunya ditemani oleh seorang kelindan. Kami memaklumkan ingin ke stesen bas berhampiran. Akhirnya beliau bersetuju untuk membawa kami kesana dan mengarahkan kami untuk naik di ruang letak barang lori tersebut. Namun diberi amaran untuk tidak memijak lampu-lampu jalan yang dibawanya.

Bagaikan di dalam filem P. Ramlee... Menumpang lori kerana dihalau keluar daripada rumah. Penulis hanya mampu tersenyum kerana sesungguhnya ia merupakan pengalaman yang tidak sukar untuk dilupakan. Menaiki lori di belakang dengan menghirup udara yang ditiup segar sambil berdoa tidak ada polis ataupun JPJ yang menahan.

Dengan itu... Terkeluarlah ilham untuk mengekspresikan perasaan diatas tersebut dengan sajak.

Tatkala Bapa Menteri menaiki S-Class
Kami rakyat biasa hanya menunggu bas

Tatkala Bapa Menteri selesa di dalam Bentley
Kami disini hanya menumpang lori

Tatkala Bini Menteri dihadiahkan beg tangan jenama Birkin
Kami disini berjalan dengan kasut tanpa stokin

Tatkala Bapa Menteri dihidangkan makanan di hotel bintang lima
Kami disini hanya mampu makan di warung kaki lima

Tatkala Bini Menteri diberikan baju jenama Prada
Kami disini hanya memakai baju cap Pagoda

Tatkala tangan memakai jam Rolex bernilai jutaan ringgit
Kami disini hanya mampu membeli di Petaling Street

Tatkala anda menunggu giliran mendapat Tan Sri
Kami disini hanya kekal kuli

Tatkala itu ia isyarat... Sudah terpecik kemarahan rakyat
Tatkala itu anda perlu sedar... Kuasa anda semakin pudar
Tatkala itu kami bersuara... Enggan didengar tangan berbicara
Itulah semangat kami para kuli rakyat jelata

Bila penulis berselfie
Akhirnya penulis pun turun di hentian bas bersebelahan dengan Masjid Raja Muda Musa berhadapan dengan Balai Polis. Kemudiannya menunggu bas yang tidak kunjung tiba. Akhirnya rakan penulis mengambil keputusan untuk menahan teksi. Seperti biasa, teksi tersebut tidak menggunakan meter dan menawarkan Rm 15 untuk ke stesen Komuter Kajang.

Kami yang tidak mempunyai banyak pilihan bersetuju dan akhirnya kami pun sampailah di Stesen Komuter Kajang yang tidak jauh dari situ. Terus menuju ke KL Sentral kemudian sambung perjalanan kami ke Subang Jaya. Tambang tidak sampai Rm10 keseluruhannya.

Misi penulis berjaya kali ini... Penulis berjaya sampai ke puncak yang sejauh 1.7 km itu pada waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya ia merupakan penamat tahun 2013 yang gemilang dimana harapan hidup penulis pada 2014 agar lebih tinggi.

1 comment:

  1. Hahaha... Menarik kisah ni. Teringat kenangan saya menumpang lori udang satu ketika dahulu. Bila turun memang lah bau udang kering.

    ReplyDelete

Dipersilakan Komen