Saturday, December 20, 2014

Pelayaran di atas Star Cruise Superstar Libra

Adakah anda mempunyai impian untuk meniru adegan peluk Jack dan Rose dalam filem Titanic di penjuru kapal bersama kekasih anda? Ataupun memasang angan-angan untuk bertemu dengan lelaki budiman yang kaya raya seperti di dalam filem Pisau Cukur lakonan Maya Karin. Anda boleh realisasikan cita-cita anda tersebut di atas kapal yang bernama Superstar Libra.

Kapal Superstar Libra dibawah kelolaan syarikat Star Cruises ini dimiliki oleh Genting Group. Syarikat ini merupakan syarikat pelayaran mewah ketiga terbesar di dunia dan mendominasi pasaran di Asia Pasifik. Star Cruises beroperasi di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Taiwan ini mempunyai 6 unit kapal pelayaran yang terletak di dalam negara-negara tersebut.

Kapal Superstar Libra yang mempunyai panjang 216 meter dengan 10 dek ini beroperasi di Pulau Pinang. Terdapat dua pakej untuk anda menikmati pelayaran di atas kapal ini. Pertamanya pelayaran satu malam ke lautan dalam dan kembali ke pelabuhan yang terletak di Port Swettenham. Keduanya pakej yang agak mahal iaitu pelayaran dari Pulang Pinang singgah ke Krabi seterusnya ke Phuket dan kemudiannya kembali ke Pulau Pinang.

Penulis berkesempatan untuk menikmati pelayaran selama satu malam ke lautan dalam di atas kapal ini yang penulis sifatkan sebagai salah satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Tiket dibeli berharga sekitar RM350 termasuk kabin ( bilik ) dan makan dua kali iaitu untuk makan malam dan sarapan pagi.

Penumpang dibenarkan untuk mula memasuki ke dalam kapal bermula jam 5.30 petang dan ketibaan terakhir penumpang sekitar jam 8.00 malam sebelum kapal memulakan pelayaran ke laut dalam pada jam 9.00 malam. Penumpang diminta menyerahkan kad pengenalan diri / pasport anda dan akan diberikan kad khas untuk penumpang tersebut. Segala pembayaran dibuat melalui kad tersebut yang mana anda perlu jelaskan belanja anda sebelum anda tinggalkan kapal. Jika tidak,  anda tidak boleh mengambil kembali kad pengenalan/pasport anda.

Makan malam disediakan bermula jam 6.00 petang hingga jam 9.00 malam. Hidangan buffet membolehkan penumpang untuk mengambil sebanyak yang mungkin makanan yang ingin dijamah. Tiada hidangan sensitif seperti babi untuk hidangan buffet kecuali anda mengunjungi restoran tertentu di atas kapal yang mana anda perlu bayar sendiri bilnya kerana hidangan selain buffet yang disediakan tidak termasuk dalam harga tiket yang penumpang beli.

Laluan ke kabin
Selepas itu, terdapat persembahan yang berlangsung sekitar jam 9.30 malam dan 11.00 malam jika tidak salah penulis. Persembahan ini percuma kecuali Adult Show yang mana perlu membayar sejumlah wang untuk menontonnya. Sekitar RM60 jika tidak silap penulis. Lapan belas tahun ke atas sahaja... Namun bukan masalah besar jika anda bawah 18 tahun kerana kapal di tengah lautan yang terbentang luas tiada undang-undang dikuatkuasakan.

Show yang penulis berkesempatan tonton adalah Nanta Show iaitu mengenai empat orang chef yang tak berapa nak betul menghiburkan penonton dengan alatan memasak. Persembahan ini dikatakan amat popular di Korea Selatan. Kemudiannya terdapat persembahan Simply the Best yang menghiburkan penonton dengan tarian dan muzik.

Jam 1.00 pagi bermulalah Adult Show namun seperti yang penulis katakan tadi, penulis tidak tahu apa yang ada dalam show bertajuk Sensation tersebut.

Penulis yang tidak tahu nak buat apa pergilah melawat kasino yang dinamakan Star Club. Star Club terbahagi kepada dua bahagian iaitu untuk pemegang kad premium ataupun ahli dan satu lagi untuk penumpang biasa.

Kasino ini beroperasi sebaik sahaja kapal berlayar dan tutup sebelum Subuh. Anda boleh menghabiskan masa anda disini dengan bermain pelbagai jenis permainan antaranya Roulette, Mini Flush, BlackJack, mesin slot dan sebagainya.

Seperti kasino yang lain, minuman disediakan percuma iaitu Milo Ais dan teh cina, anda boleh memulakan pertaruhan anda yang sudah semestinya kalah dengan jumlah minimum RM20 untuk meja Roulette. 

Bagi BlackJack, nilai pertaruhan minimum adalah RM50 begitu juga dengan permainan meja yang lain. Apa yang menarik, jika anda berusia 18 tahun ke atas, anda tidak diwajibkan untuk mengambil bilik. Anda boleh beli tiket hanya sekadar untuk naik ke atas kapal dan menghabiskan waktu anda di dalam kasino sahaja.

Pakej ini agak murah berbanding bilik namun jika anda berusia 18 tahun kebawah ataupun membawa bersama penumpang berusia 18 tahun, anda diwajibkan untuk mempunyai bilik. Penulis yang berlegar-legar di dalam kasino sudah dapat melihat seorang lelaki tidur di tempat duduk sekitar jam 1.00 pagi. Berkemungkinan besar kalah awal.

Jika anda tidak kalah, teruskan bermain... Namun pepatah Inggeris ada berkata, " The House Always Wins ". Ini dapat dibuktikan apabila penulis kembali ke sebuah meja Roulette lebih kurang sejam kemudian dan mendapati seorang pemain yang bermain semenjak penulis masuk ke kasino hanya menukarkan kepingan wang kertas merah dan oren untuk membeli chip. Sedangkan ketika penulis masuk, penulis melihat dealer di meja tersebut sedang mengaturkan not-not RM100 lebih kurang RM 2,000 untuk discan dibawah cahaya Ultraviolet sebelum ditukarkan dengan chip. Hakikatnya, berjudi jarang menguntungkan, individu tadi terpaksa mengeluarkan wang-wang Last Kopeknya untuk terus bermain di meja Roulette tersebut.

Kalah agaknya Pak Cik tuh...
Mungkin anda boleh mencuba nasib, mana tahu angka bertuah anda terkena... Jika anda letak RM 20 anda akan bawa balik RM 700 kerana ia 1:35 untuk Straight bet.

Sebaik sahaja kasino ditutup, anda boleh meluangkan masa anda di ruang legar di dalam kapal tersebut. Kapal akan kembali berlabuh sekitar jam 10 pagi untuk hari hujung dan 8 pagi untuk hari biasa.

Penulis yang menginap di dek no.2 membayangkan kehidupan seolah-olah Jack manakala keluarga penulis yang lain menginap di dek no.7 seakan-akan kehidupan Rose. Namun di dalam kapal ini tiada perbezaan darjat, anda bebas mengembara kemana-mana dek tanpa sebarang halangan. Kabin di dek tujuh lebih besar dan selesa berbanding kabin di dek 2. Namun tanpa kabin pon anda boleh hidup di atas kapal ini...

AIDA dari pandangan Superstar Libra
Pagi keesokkan harinya tiada apa-apa berlaku. Penumpang hanya disediakan makanan untuk sarapan pagi dan aktiviti kelihatan bebas. Anda boleh menikmati detik-detik terakhir anda di atas kapal sebelum dibenar meninggalkan kapal sekitar jam 10.00 pagi.

Bab sembahyang, anda boleh memohon sejadah daripada kaunter dimana mereka akan menghantar sejadah tersebut terus ke kabin anda. Sejadah yang dihantar juga mempunyai kompas yang memudahkan anda untuk menentukan arah kiblat. Agak bermasalah jika anda tidak mengambil pakej yang mempunyai kabin kerana tiada surau diatas kapal Superstar Libra ini.

Pelbagai kemudahan disediakan diatas kapal ini antaranya kolam renang, disko, jakuzi, gimnasium, gelanggang bola keranjang, karaoke, driving range, khidmat urut dan pelbagai lagi. Anda juga boleh membeli belah diatas kapal tersebut kerana terdapat beberapa butik mewah dijual diatas kapal. Mungkin untuk mereka yang menang di kasino kott...

Sampai disini sahajalah perkongsian pelayaran penulis di atas kapal Superstar Libra. Jika anda berminat untuk menaiki kapal ini, anda boleh [ klik sini ] dan [ sini ] untuk maklumat lanjut.

Monday, December 8, 2014

Kalau bukan Najib, Siapa?

Sentimen anti-Najib sudah bermula semenjak beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Namun, selepas PRU 13 sentimen ini semakin meningkat didorong tindakan kurang popular kerajaan yang menaikkan harga minyak dengan jumlah 40 sen jika diambil kira semenjak tahun 2009.

Meskipun cuba menutup segala kepincangan kerajaan melalui pemberian BR1M sebanyak RM 500 kini naik sehingga RM 950, kebencian terhadap Najib-BN masih lagi menguasai jiwa lebih separuh masyarakat di Malaysia. Jika tidak, masakan Pakatan Rakyat mampu memperoleh undi popular sebanyak 51% jika dibandingkan Barisan Nasional.

Jika dilihat post-post daripada page yang popular di Facebook seperti Oh! Media, komen-komen memperli, mengecam, dan mengkritik kerajaan sering kali mendapat like yang tinggi dalam kalangan pengguna Facebook. Manakala komen yang membela kerajaan juga hanya mendapat like yang mana anda boleh lihat apabila anda scroll tetikus anda sahaja.

Kelihatan kebanyakan rakyat Malaysia kurang berpuas hati dengan pentadbiran Najib semenjak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Pak Lah. Namun, disebalik pelbagai desakan terhadap Dato' Seri Najib Tun Razak, terdapat satu persoalan yang ingin penulis ajukan kepada pembaca sekalian.

Kalau bukan Najib. Siapa?

Empat perkataan yang membentuk satu ayat tanya. Kalau bukan Dato' Seri Najib? Siapa yang layak untuk menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia? Mungkin anda sudah ada jawapan kepada persoalan tersebut. Penulis cuma ingin ulas kebarangkalian yang terdapat dalam otak anda.

Penulis senaraikan tiga calon yang boleh dikatakan berkelayakan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

1. Tan Sri Muhyiddin Yassin ( Timbalan Presiden UMNO )
2. Datuk Seri Anwar Ibrahim ( Ketua Umum [Ketum] PKR )
3. Tuan Guru Haji Hadi Awang ( Presiden PAS )

Penulis tidak menyenaraikan Lim Kit Siang kerana mengikut Perlembagaan, beliau tidak layak untuk menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri kerana beliau bukan beragama Islam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Timbalan Presiden UMNO. Ketika beliau berusia 39 tahun, beliau sudahpun diangkat menjadi Menteri Besar Johor dan pentadbirannya selama 13 tahun menjadikan Johor sebagai salah sebuah negeri termaju di Malaysia.

Beliau yang telah berkecimpung dalam dunia politik tanahair lebih 30 tahun pernah menduduki pelbagai jenis jawatan. Antaranya Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan kini sebagai Menteri Pendidikan.

Kemenangan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan Majlis Tertinggi UMNO tahun 2009 menewaskan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib merupakan kejayaan terbesar beliau sekaligus menjadikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Namun andai kata Tan Sri Muhd Ali Rustam tidak dilucutkan kelayakannya untuk bertanding kerusi tersebut, keputusan tersebut mungkin berbeza.

Adakah beliau layak untuk memimpin Malaysia  menggantikan Najib? Penulis katakan tidak. Beliau bukan persona yang mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia lagipun umum mengetahui bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Usia beliau yang mencecah 67 tahun juga menunjukkan bahawa beliau agak tua dan uzur untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Jika dilihat Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada usia 56 tahun. Pak Lah pula pada usia 64 tahun. Tun Mahathir 56 tahun. Hussein Onn 54 tahun. Tun Razak 48 tahun dan Bapa Kemerdekaan kita menjadi Ketua Menteri pada usia 52 tahun.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa jika seorang pemimpin memegang tampuk pemerintahan selepas usianya 60 tahun, maka kemampuannya untuk memimpin berkemungkinan besar tidak efektif. Dalam erti kata lain, syarat untuk menjadi seorang Perdana Menteri mestilah berusia kurang daripada 60 tahun kerana pelbagai faktor yang akan menjejaskan prestasi mereka sebagai Perdana Menteri jika usianya melebihi 60 tahun.

Pendek kata, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak untuk menggantikan Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan beliau berkemungkinan besar mengikut jejak langkah Tun Musa Hitam dan juga Tun Ghaffar Baba.

Ucapan beliau yang mengatakan beliau sebagai Malay first, Malaysian second menunjukkan beliau mungkin kurang diterima masyarakat bukan Melayu di Malaysia. Namun sokongan beliau dalam kalangan masyarakat Melayu yang menyokong UMNO sukar dipertikaikan lagi.

Dato' Seri Anwar Ibrahim pula merupakan individu yang berkelayakan jika dilihat profilnya diatas resume. Menjadi aktivis politik semenjak beliau menjadi mahasiswa Universiti Malaya menunjukkan yang beliau sudah memasang impian untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia semenjak kecil lagi.

Cita-citanya dan kebolehannya berpidato mengakibatkan anak kelahiran Cherok Tok Kun, Pulau Pinang ini mampu menjadi Menteri Belia dan Sukan pada usia 36 tahun dan turut pernah menjawat sebagai Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan.

Penarikan Tun Ghaffar Baba untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan UMNO 1993 menyebabkan Anwar Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada usia 46 tahun. Kepantasan beliau dalam hirarki karier politiknya ini menjadikan satu-satu calon yang layak bagi menggantikan Tun Mahathir Mohammad.

Namun dek kerana kerakusan beliau untuk menjadi Perdana Menteri, beliau telah diterajang keluar oleh Tun Mahathir pada ketika itu dengan mengaitkan penglibatan beliau dalam salah laku seksual dan juga korupsi. Adakah perkara tersebut menguburkan terus cita-citanya sebagai Perdana Menteri?

Penulis melihat cita-cita agung Anwar Ibrahim yang ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia masih belum terkubur. Namun hakikat yang sudah beliau telan adalah beliau tidak lagi mampu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia meskipun Pakatan Rakyat menang PRU-14.

Kenapa? Pertamanya usia beliau andai kata PR menang pada PRU-14 yang dijangka diadakan pada tahun 2018 sudah mencecah umur 71 tahun. Tak pernah dalam sejarah politik tanahair Perdana Menteri dilantik ketika usia mencecah 7 series. Beliau tidak berkemampuan melakukan demikian bahkan beliau sendiri mengakui perkara tersebut secara tidak langsung.

Kenapa? Masih ingat Langkah Kajang? Langkah Kajang direncanakan bertujuan untuk mengangkat dirinya sebagai Menteri Besar. " Tak jadi Perdana Menteri, jadi Menteri Besar pon jadi la " mungkin ayat tersebut terngiang-ngian di dalam benak fikirannya menyebabkan beliau sedaya upaya memohon Tan Sri Khalid Ibrahim letak jawatan.

Namun apakan daya, perancangan tuhan melebihi segala-galanya. Beliau telah dijatuhkan hukuman bersalah kerana meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan sekaligus hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Beliau terpaksa bertukar kepada pelan B iaitu meletakkan isterinya di posisi tersebut tetapi disebabkan kuasa Sultan, Azmin Ali juga yang dilantik sebagai Menteri Besar.

Selain itu, kontroversi yang melanda beliau semenjak tahun 1997 menjadikan beliau sebagai seorang personaliti yang mempunyai rekod buruk. Rasuah, sodomi, video seks dan sebagainya menyebabkan beliau bukan calon favourite untuk diangkat sebagai Perdana Menteri. Mana mungkin seorang yang mempunyai pelbagai imej buruk akan diangkat oleh rakyat Malaysia untuk memimpin negara yang tercinta ini.

Senang cerita, Anwar Ibrahim tidak layak kerana faktor usianya dan juga imej beliau sendiri. Penulis percaya yang beliau sendiri akui akan hal ini.

Tuan Guru Haji Hadi Awang yang merupakan Presiden PAS semenjak tahun 2003 tidak boleh diketepikan kelayakan beliau. Pernah menjadi Menteri Besar PAS dari tahun 1999 hingga 2004 menyebabkan beliau mempunyai merit beliau yang tersendiri. Baru-baru ini beliau telah dilantik sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia yang dipimpin oleh Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Pelantikan beliau sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia merupakan satu pengiktirafan beliau sebagai presiden sebuah parti yang memperjuangkan Islam di peringkat global. Persoalan yang sama, adakah beliau layak menjadi Perdana Menteri Malaysia?

Jika dilihat daripada faktor usia, beliau sudah berusia 67 tahun dan jika Pakatan Rakyat menang sekalipun, usianya sudah mencecah 71 tahun. Usia 71 tahun sebenarnya bukan merupakan masalah besar, namun faktor kesihatan beliau itu mengakibatkan peranan beliau untuk menjadi seorang pemimpin yang baik terbatas.

Beliau yang akhir-akhir ini mengakui mempunyai masalah kesihatan menyebabkan penulis meragui kemampuan beliau untuk mentadbir Malaysia. Namun, untuk tidak membimbangkan penulis, ini kerana Che Det ketika zaman pemerintahannya dulu pun diketahui umum mempunyai masalah jantung.

Tapi, masalah kemahiran kepimpinan yang beliau hadapi kini penulis ragui. Salah satunya apabila krisis Menteri Besar Selangor timbul. Beliau sering kali tidak menghadirkan diri ke dalam mesyuarat Pakatan Rakyat. Tindakan ini menyebabkan Pakatan Rakyat tidak memperoleh kata sepakat daripada kesemua pemimpin parti komponen.

Yang paling merungsingkan penulis, bagaimana beliau sebagai Presiden yang tidak mampu hadir ke mesyuarat mewakilkan seorang Timbalan Presiden yang tidak boleh membuat keputusan untuk parti. Ini merupakan satu kegagalan dalam memimpin yang penulis ingin persoalkan terhadap kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi.

Selain itu, adakah beliau akan diterima oleh masyarakat bukan Islam. Umum mengetahui bahawa DAP tidak akan sesekali menerima pemimpin daripada PAS. PAS pun tahu hakikat ini. Beliau sukar diterima masyarakat bukan Islam jika dilihat dalam keadaan politik di Malaysia.

Selain itu, ketidakbolehan beliau bertutur dalam Bahasa Inggeris juga meletakkan beliau keterbelakang dalam memimpin Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Ya, Rasulullah S.A.W. pun tidak pandai berbicara dalam Bahasa Inggeris, namun situasi semasa memerlukan Bahasa Inggeris dalam memimpin negara. Mungkin Tuan Guru Haji Hadi boleh memecah rekod untuk menjadi satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang tidak mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Kesimpulannya, sukar untuk penulis katakan Tuan Guru Haji Hadi layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tiada sokongan daripada rakan seperjuangan, masalah kesihatan, usia yang mencecah 70-an dan masalah kepimpinan menyebabkan penulis menolak beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Buat masa ini, satu-satunya individu yang layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ialah Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri kerana sokongan padu daripada komponen Barisan Nasional meskipun beliau turut dipalitkan dengan kontroversi Altantuya.

Selain Najib, penulis tidak lihat siapa yang layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam masa terdekat. Namun dalam jangka masa panjang, Menteri Belia & Sukan iaitu YB Khairy Jamaluddin berpotensi besar menjadi personaliti yang akan menjawat jawatan nombor satu negara tersebut.

Walaupun begitu, perlu diingatkan bahawa menantu Pak Lah ini pernah disahkan terbabit dalam politik wang dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO suatu ketika dahulu. Isu beliau yang dikatakan menghantar passport Anwar Ibrahim juga masih lagi belum penulis lupakan.

Akhir kata, rakyat Malaysia terpaksa mengangkat Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia bukan kerana beliau merupakan pemimpin yang terbaik tetapi sebab tiada lagi pemimpin yang sebaik beliau untuk memimpin 27 juta rakyat Malaysia ini.

Saturday, November 29, 2014

Asia Klasika 2014

Alhamdulillah... Penulis baru sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM yang berlangsung daripada 3 November hingga 27 November... Setelah sekian lama menyepikan diri daripada dunia penulisan blog, kini, penulis kembali menulis.

Meskipun belakangan ini penulis jarang menulis dan kelihatan sibuk, namun penulis tetap mencari masa dalam mengunjungi sebuah acara tahunan kereta klasik iaitu Asia Klasika 2014 yang berlangsung di Pullman Putrajaya bermula 30 Oktober hingga 2 November.

Sebaik sahaja melangkah masuk, penulis melihat beberapa buah motosikal berkuasa tinggi jenama Indiana dan Victory. Objek-objek ini menarik perhatian teman penulis yang turut serta mengunjungi acara ini. Penulis lebih gemarkan kereta klasik...

Acara tahunan ini yang dicetuskan oleh Andrew Suresh, Pengasas Historic Motoring Ventures ini telah menarik lebih 40 buah jenis kenderaan klasik termasuk koleksi kereta klasik Sultan Johor.

Antara kereta yang menarik perhatian penulis adalah Toyota Celica Supra serta Nissan GT R-32 yang dipamerkan oleh Kuala Lumpur & Temasek Automobiles pada Asia Klasika kali ini.

Toyota Celica Supra ini mempunyai kapasiti enjin sebesar 2.8 liter dan dijual pada harga RM 148,000. Penulis yang diberi peluang melihat interior kereta ini agak kagum dengan electronic display yang digunakan pada kereta tahun 1985 ini. Agak canggih ciri ini kerana sebuah kereta buatan Jepun mempunyai dashboard digital pada tahun 80-an.







Selain itu, penulis juga terpesona melihat Nissan GT R-32 yang dibawa masuk syarikat kereta klasik ini. Kereta tahun 1989 ini sedia untuk dijual pada harga RM 248,000 dengan saiz enjin sebesar 2.6 liter. Sudah pasti menjadi kegilaan penggila-penggila kereta sports Jepun di Malaysia. Penulis sempat bergambar dengan CEO KL & Temasek Automobiles dihadapan kereta ini.





Antara lain kereta yang dipamerkan disini oleh KL & Temasek Automobiles adalah Alfa Romeo Montreal. Kereta ini dinamakan Montreal kerana mengambil nama sempena nama bandar model ini dilancarkan di Montreal, Kanada. Model buatan Itali ini dikeluarkan pada tahun 1974 dan berharga RM 448,000.







Ferrari BB 512i turut dipamerkan pada acara kali ini. Model ini berharga RM 1,880,000 dikeluarkan pada tahun 1983. Apa yang menarik, hanya 1007 unit model BB 512i dikeluarkan dunia menjadikan model ini antara model yang digilai penggemar Ferrari dan untuk pemanduan sebelah kanan, hanya 42 unit dikeluarkan. Berlinetta Boxer ( BB ) 512i ini dipercayai salah sebuah unit daripada 42 unit tersebut.

Anda boleh menghubungi CEO Kuala Lumpur & Temasek Automobiles pada nombor ini 012-2220838 bernama Ong Kheng Liat ataupun lebih mesra dikenali sebagai KL Ong. Beliau antara pemilik kereta Mercedes terbaik di negara ini apabila Mercedes 600 miliknya pernah memenangi Trofi Sultan Johor. Penulis mengenali beliau apabila bertemunya ketika menyertai konvoi ke Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan. Beliau turut memiliki sebuah Mercedes 280 SE 3.5 Coupe yang digunakan oleh Awal Ashaari ketika majlis resepsi perkahwinannya di PICC beberapa tahun yang lalu.

Kenderaan lain yang menarik perhatian penulis adalah salah sebuah koleksi kereta Sultan Johor iaitu Maserati Ghibli. Ilham nama Ghibli ini diambil daripada perkataan Libya yang bermaksud angin yang panas & kering. Ghibli merupakan salah satu koleksi kereta Sultan Johor yang dipamerkan selain Ford Mustang Mach 1 dan Porsche Carrera 930,

Berikut merupakan gambar kereta-kereta lain yang turut menyertai Concourse tersebut


Rolls Royce Silver Wraith

Rolls Royce Corniche Convertible

Jaguar XK140

Range Rover 
Datsun SSS

PORSCHE 911

Ferrari 412

Mercedes Benz SL R107

Panel Toyota Celica Supra


Interior Alfa Romeo Montreal


Interior Ferrari BB 512i


























Sunday, September 14, 2014

UPSR Bocor & Cadbury : Konspirasi Terancang Malukan Kerajaan ?

Baru-baru ini, kecoh satu Malaya gara-gara soalan ujian UPSR telah dibocorkan oleh individu tidak bertanggungjawab. Pada mulanya, soalan kertas Sains sahaja disahkan bocor dan Kementerian Pelajaran menetapkan tarikh 30 September sebagai hari untuk murid-murid menduduki kembali ujian terbabit.

Kemudiannya, Kementerian Pelajaran mengesahkan lagi bahawa kertas Bahasa Inggeris juga bocor dan dimaklumkan selepas ujian terbabit diambil murid-murid meskipun mereka sudah mengetahui soalan tersebut bocor awal pagi sebelum ujian bermula.

Mereka seterusnya menetapkan hari yang sama untuk kedua-dua kertas Bahasa Inggeris itu diduduki semula oleh murid-murid.

Persoalannya... Siapakah yang membocorkan soalan dan adakah ia berniat sabotaj atau sekadar ingin berkongsi soalan?

Soalan bocor sebenarnya sudah tidak asing lagi dalam peperiksaan awam di Malaysia. Setiap tahun, ada sahaja soalan bocor disebarkan. Tahun lepas, soalan Matematik dan Matematik Tambahan SPM juga bocor namun didiamkan sahaja oleh pihak bertanggungjawab. Ini gara-gara tiada bukti sahih yang soalan yang didedahkan itu benar-benar soalan SPM ataupun sekadar soalan ramalan yang kebetulan sama dengan soalan SPM.

Namun begitu, kebocoran kertas soalan UPSR ini menjadi isu besar sehingga membuka mata pihak bertanggungjawab adalah kerana soalan tersebut tersebar luas di laman sosial. Penyebaran terbuka seperti ini sudah semestinya akan menjejaskan kredibeliti Lembaga Peperiksaan Malaysia jika tidak diambil tindakan sewajarnya. Maka, mereka memutuskan untuk membatalkan ujian kertas terbabit.

Isu kedua yang menyebabkan soalan ini dibatalkan adalah kerana dilaporkan muka surat hadapan kertas soalan juga didedahkan. Ini membuatkan orang ramai terfikir adakah ia sekadar ingin berkongsi soalan ataupun mempunyai agenda lain disebalik penyebaran kertas soalan beberapa subjek UPSR ini?

Andai digunakan lojik akal, jika penulis ingin berkongsi soalan apakah yang keluar untuk PMR, adakah penulis hanya berkongsi halaman soalan sahaja ataupun turut berkongsi halaman hadapan kertas peperiksaan tersebut?

Penulis akan berkongsi halaman soalan sahaja dan meyakinkan orang ramai bahawa ia benar-benar soalan PMR. Bukannya berkongsi keseluruhan kertas soalan kepada orang ramai untuk meyakinkan mereka itu kerana penulis tahu tindakan ini akan mendatangkan akibat dan kesan yang buruk kelak andai diketahui pihak bertanggungjawab.

Soalannya? Apakah agenda pembocor soalan? Adakah sekadar ingin berkongsi soalan UPSR ataupun memalukan kerajaan.

Penulis ingin merungkaikan bahawa isu ini berlaku tatkala terdapat beberapa krisis besar yang sedang berlaku di Malaysia ini. Antaranya adalah kemelut berpanjangan calon Menteri Besar Selangor yang baharu. Adakah penyebaran kertas soalan UPSR ini bertujuan mengalihkan perhatian orang ramai dari krisis yang dihadapi di Selangor?

Selain itu, penulis juga berpendapat bahawa insiden kebocoran kertas soalan UPSR ini turut berniat untuk memalukan kerajaan dan Kementerian Pendidikan. Hakikat tiga kertas soalan UPSR bocor sudah pasti tidak akan diterima orang awam atas sebagai kecuaian dan kelekaan pihak yang bertanggungjawab. Tapi lebih kepada isu korupsi pihak yang terlibat. Sebab bukan satu, bukan dua tapi tiga kertas soalan yang bocor.

Sudah pasti keputusan untuk meminta calon UPSR untuk menduduki kembali tiga kertas soalan itu membangkitkan kemarahan ibu bapa. Ini kerana terdapat ibu bapa yang sudah merancang percutian bersama-sama anak mereka tetapi terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan gara-gara masalah yang dicetuskan penjawat awam di Malaysia.

Tindakan ini juga mungkin bertujuan menjatuhkan imej Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Sudah pasti kredibiliti beliau sebagai orang nombor dua negara terjejas akibat tempias isu ini sekaligus mengakibatkan kerajaan Barisan Nasional amnya menerima tempias.

Waktu kebocoran ini juga menimbulkan tanda tanya... Ini kerana kebocoran kertas soalan UPSR ini telah disahkan oleh Lembaga Peperiksaan apabila Timbalan Perdana Menteri ingin berlepas ke Laos untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Pendidikan ASEAN kelapan.

Adakah hal ini berlaku secara kebetulan ataupun sememangnya dirancang. Apatah lagi kehadiran Muhyiddin ke Laos adalah bertujuan membincangkan soal pendidikan dengan menteri pendidikan yang lain. Sudah pasti air mukanya jatuh apabila berhadapan dengan dengan delegasi luar yang lain menjadikan isu peperiksaan awam di Malaysia bocor sebagai buah mulut mereka.

Ketika beliau berada di sana, beliau terpaksa membuat permohonan maaf kepada ibu bapa kerana kebocoran soalan UPSR. Kemudiannya, dua lagi kertas Bahasa Inggeris pula disahkan bocor walaupun dinafikan oleh Menteri Pendidikan II pada mulanya.

Jika diperhatikan, isu melibatkan jabatan kerajaan dimalukan turut berlaku sebelum ini. Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia telah diaibkan dengan penyebaran gambar yang menunjukkan keputusan ujian Cadbury yang telah dikesan dengan DNA khinzir ataupun porcine.

Sehubungan dengan penyebaran gambar tersebut, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan dipercayai terperangkap dengan situasi tersebut terpaksa membuat keputusan untuk memberikan kenyataan media bahawa Cadbury tersebut mempunyai DNA babi.

Yang peliknya, produk Cadbury itu telah dianalisis pada 27 Februari 2014 sedangkan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan membuat kenyataan media pada 24 Mei. Hampir tiga bulan selepas produk ini menjalani ujian. Adakah Kementerian Kesihatan berkompromi dengan keputusan terbabit yang sememangnya sensitif terutamanya dengan demografi penduduk yang rata-ratanya Melayu beragama Islam.

Sudah pasti tindakan menyebarkan gambar keputusan tersebut memberikan imej buruk dan membangkitkan kemarahan kepada Kementerian Kesihatan serta JAKIM selaku pengeluar sijil halal. Adakah itu sebenarnya agenda penyebar gambar tersebut?

JAKIM pula terpaksa berhempas pulas memulihkan kepercayaannya untuk memastikan orang ramai mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap logo Halal yang dikeluarkan pihak mereka. Pihak JAKIM menyatakan bahawa mereka telah melakukan ujian terhadap produk tersebut pada 20 Februari 2014 dan mengesahkan produk tersebut mematuhi piawaian Halal.

Pada Jun selepas isu ini menjadi viral, JAKIM yang melakukan ujikaji semula mengesahkan bahawa produk Cadbury sememangnya tidak mempunyai DNA babi seperti yang telah dilaporkan.

Insiden seperti ini sudah pasti mengakibatkan kepercayaan orang ramai terhadap Kementerian yang dipimpin kerajaan Barisan Nasional terhakis. Isu-isu sensitif seperti kertas soalan UPSR bocor dan Cadbury ada DNA babi membuahkan rasa benci mereka terhadap kerajaan kerana pokok pangkal isu ini bermula kerana ketidakprofesionalan kerajaan.

Adakah ia benar-benar sekadar kesilapan dan kecuaian pihak tertentu atau ada pihak yang mempunyai perancangan rapi untuk menjatuhkan imej kerajaan dari dalam?

Kerajaan harus bertindak mencari dalang terhadap anasir-anasir yang membikin onar di dalam negara kita. Pastikan supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi dan hapuskan duri-duri dalam daging yang mungkin berkeliaran di dalam pejabat kerajaan.

Monday, September 1, 2014

( Gambar ) Sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-57, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Pagi 31 Ogos, orang ramai berkumpul untuk menyaksikan perarakan Kemerdekaan negara yang ke-57 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Puluhan ribu rakyat Malaysia hadir bagi sama-sama meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ini yang bermula jam 8.00 pagi.

Dengan tema kemerdekaan yang diambil daripada lirik lagu Warisan nyanyian Allayarham Sudirman, bait Malaysia... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta... amatlah dekat dengan hati rakyat Malaysia apabila menyambut ulang tahun ini dengan penuh semangat patriotisme

Penulis enggan menulis secara terperinci mengenai atur cara perarakan ini namun ingin berkongsi perbualan penulis dengan beberapa orang veteran perang New Zealand yang berkhidmat bersama askar Tanah Melayu ketika zaman darurat dan juga konfrontasi Indonesia.

Lebih sepuluh orang veteran perang ini menghadiri Sambutan Kemerdekaan Negara dimana mereka diterbangkan daripada New Zealand selama dua puluh hari bagi memberikan penghormatan terhadap mereka yang turut sama-sama mempertahankan negara Malaysia ini.

Selain itu, kehadiran mereka selama dua puluh hari turut memberikan mereka peluang untuk menzahirkan penghormatan terhadap rakan seperjuangan mereka yang terkorban ketika sama-sama berkhidmat dahulu. 

Ketika berbual bersama salah seorang veteran perang bernama Kolonel Ivan, beliau menyatakan kegembiraannya apabila melihat Malaysia membangun dengan aman makmur selepas mereka turut berkhidmat mengawal keamanan negara ini lebih 50 tahun yang lalu. 

Seorang lagi veteran perang menyatakan pengorbanannya ketika menentang Komunis dan konfrontasi Indonesia cukup berbaloi walaupun dahulu Indonesia menentang pembentukan Malaysia begitu juga dengan Komunis.

Penulis merakamkan penghargaan kepada mereka atas jasa dan khidmat bakti mereka yang bersama dengan parajurit Tanah Melayu sanggup menggadai nyawa bagi mempertahankan negeri yang langsung tidak ada kena mengena dengan mereka.

Penulis beranggapan ini merupakan satu isyarat jelas buat rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu dalam mempertahankan Malaysia daripada segala ancaman sama ada dari luar ataupun dari dalam negara. Perkara ini merupakan tunjang utama dalam sesebuah negara bagi mempertahankan negara mereka daripada anasir luar yang mempunyai agenda tertentu.

Generasi muda di Malaysia juga perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi. Tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia seharusnya ditunaikan dengan mendokong aspirasi kerajaan dalam usaha mencapai Wawasan 2020 tidak lama lagi.

Berikut merupakan gambar-gambar yang sempat penulis rakamkan semalam...

Suasana sebelum bermulanya perarakan kemerdekaan





MALAYSIA... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Ketibaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia

Ketibaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong & Raja Permaisuri Agong























Orang ramai di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad



Perbarisan oleh badan beruniform















































































Angkatan Tentera Malaysia mempersembahkan aset ketenteraan milik mereka


























Kemasukan Rejimen Askar Melayu Diraja


























Gambar-gambar kenamaan yang hadir

Tun Dr. Mahathir Mohammad & Tun Siti Hasmah

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melambai tangan ke arah peserta



























Sempat berselfie bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Idris Jala