Thursday, December 26, 2013

Mamat Khalid

Siapa tidak kenal Mamat Khalid... Salah seorang pengarah yang mempunyai elemen pengarahan yang komedi dalam hampir kesemua filem arahannya. Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohamad Khalid dilahirkan di Perak.

Beliau merupakan adik kepada kartunis terkenal, Datuk Mohammad Nor Bin Khalid ataupun lebih dikenali sebagai Datuk Lat kerana mukannya yang Bulat. Menempa nama pada tahun 2001 apabila memenangi Anugerah pengarah terbaik pada Anugerah Skrin Panca Delima melalui telefilem Pinang Durian.

Menjadi pengarah filem buat pertama kali melalui filem lakonan kumpulan pelawak Senario, Lang Buana yang mengisarkan suasana pada abad ke-19  tentang tiga pahlawan. Filem tersebut boleh dianggap filem klasik terawal yang diangkat oleh Mamat Khalid pada milineum kedua ini.

Beliau kemudiannya bersama-sama dengan kumpulan produksi yang dimiliki oleh Datin Tiara Jacquelina menghasilkan karya filem bertajuk Puteri Gunung Ledang yang menjadi filem paling mahal dalam sejarah Malaysia. Beliau memenangi Lakon Layar Terbaik bersama-sama dengan Saw Teong Hin dalam Festival Filem Malaysia ke-18.

Kemudiannya terus menghasilkan karya filem seperti Rock ( 2005 ), Man Laksa ( 2006 ), Zombi Kampung Pisang ( 2006 ), Kala Malam Bulan Mengambang ( 2008 ), Estet ( 2010 ), Hantu Kak Limah Balik Rumah ( 2010 ), Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit ( 2013 ) dan yang terbaru ialah Rock Ooo ( 2013 ).

Jika dilihat daripada filem yang diarahkan oleh beliau, jelas memperlihatkan kelainan dari kebanyakkan filem Malaysia yang lain yang berkisarkan Gangster dan Cinta secara amnya. Beliau gemar mengangkat skrip yang berlatarbelakangkan masyarakat setempat berbanding pengarah lain.

Babak di dalam filem Zombi Kampung Pisang
Filem-filem seram arahannya juga seringkali disajikan dengan elemen komedi yang membuatkan stesen-stesen TV di  negara ini gemar meletakkan filem beliau pada malam raya kerana mampu menarik minat orang ramai daripada yang tua hingga kanak-kanak untuk duduk bersama menonton filem arahan beliau.

Bayangkan anda disajikan filem KL Gangster pada malam raya... Pastinya ia tidak sesuai untuk ditatap oleh kanak-kanak dan yang sudah tua. Dalam erti kata lain, filem Mamat Khalid mampu menghimpunkan kesemua golongan untuk menonton hasil karyanya dengan menafikan generation gap.

Salah satu elemen kuat dalam pengarahannya ialah komedi. Tidak hairanlah beliau beberapa kali dipanggil oleh Astro untuk menjadi juri dalam pertandingan realiti lawak siaran swasta tersebut. Komedinya juga diselitkan dengan maksud tersirat. Contohnya dalam filem Zombi Kampung Pisang dimana Hussein ( Awie ) yang memandang rendah terhadap keupayaan dirinya kerana tidak berkelulusan SPM. Manakala Sofi ( Soffi Jikan ) yang belajar tinggi seringkali diberi kepercayaan oleh penduduk kampung.

Dalam erti kata lain, beliau ingin mengetengahkan persepsi masyarakat Malaysia yang gemar membandingkan orang dengan kelulusan pelajaran yang mereka ada. Sedangkan yang pentingnya usaha dalam terus menjalani kehidupan dan wawasan yang sering diucapkan oleh Hussein.

Selain itu, Mamat Khalid juga menyindir pemuda Melayu dalam filem tersebut... Ingat tak ada satu babak dimana zombi-zombi merempit... Dan kemudiannya Hussein menyeru kepada Mat-Mat Rempit supaya berhenti merempit.

Salah satu kekuatan yang penulis lihat dalam pengarahan Mamat Khalid dalam filemnya adalah watak-watak itu sendiri. Lihat sahajalah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ( HKLBR ) yang mana watak Usop Wilcha dengan tangannya dan sikap " Kita bakorr jaa " menjadi satu fenomena di Malaysia.

Poster filem Hantu Kak Limah Balik Rumah
Penulis masih ingat ketika penulis mengikuti lawatan ke sekolah penulis ke Gunung Ledang, Johor. Dimana jika memerlukan keputusan untuk dibuat berdasarkan pendapat peserta, guru pengiring akan berkata " Sapa setuju, akan tangan macam ini " sambil melambaikan tangannya.

Fenomena luar biasa ini menyebabkan ada segelintir golongan Kurang Upaya terguris kerana dikatakan kecacatan mereka ini diangkat menjadi bahan gelak ketawa oleh Mamat Khalid. Dalam erti kata lain, watak tersebut antara watak paling berjaya hinggakan diberikan penghormatan untuk menyampaikan anugerah kemuncak pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ( ABPBH ) pada 2010.

Ia kemudiannya disambung melalui sekuel filem tersebut bertajuk Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit yang turut dilakonkan oleh Awie dan pelakon-pelakon pada filem yang lepas. Walaupun plotnya akan lembap dalam filem ini, namun masih terdapat beberapa mesej tersembunyi yang disisipkan dalam filem ini.

Contohnya masyarakat Malaysia yang suka sangat terpengaruh dan terlibat dalam Skim Cepat Kaya. Dalam filem ini, akibat terpengaruh dalam hal yang demikian, Hussein diisytiharkan bankrap kerana tamak kemudian pulang ke kampung daripada Singapura.

Watak ikonik, Usop Wilcha lakonan Shy8
Ketika babak Mesyuarat Tergempar kedua di dewan Kampung Pisang, dialog Usop merupakan sindiran kepada semua pihak. Dimana pemimpin gemar menyalahgunakan wang yang diperuntukkan oleh kerajaan selain kepimpinan yang suka sangat bermesyuarat namun tiada tindakan. Yaa... Penulis melalui pengalaman tersebut dalam organisasi penulis.

Filem Rock Ooo yang diilhamkan oleh keminatannya terhadap muzik Rock banyak juga diwarnakan karakter unik terhadap pelakon-pelakonnya oleh Mamat Khalid. Lihat sahaja watak Jijo Alfonso Pareira Abdullah lakonan Khir Rahman yang mempunyai tabiat '' An, aah, haa " dalam setiap ayat yang diucapkannya.

Watak Che Man lakonan Kamarul Haji Yusof amat dinanti-nantikan dalam filem ini. Beliau sebagai promoter untuk kumpulan Rimba Bara turut gemar mencium tangan ketika bertutur dan juga kakinya yang suka meliar kesana-sini.

Babak di dalam filem Rock Ooo
Turut diselitkan mesej tersirat mengenai Malaysia yang tidak pandai menepati masa. Dalam dialog yang diucapkan oleh Jijo mengenai tiga perkara yang boleh menjatuhkan negara iaitu Rasuah, Tidak Menepati Masa dan juga Chinge ( perempuan ).

Umum mengetahui masalah rasuah dalam negara ini semakin dibimbangi. Selain itu, beliau juga sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya menepati masa dan juga masalah ahli politik negara kita yang selalu dikaitkan dengan skandal bersama perempuan itu dan ini.

Hasil keunikan watak-watak ini oleh Mamat Khalid telah menyebabkan kumpulan Zero dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega mengambil watak dari filem tersebut sebagai isi persembahan lawak mereka pada minggu keempat.



Sejujurnya, penulis yakin bahawa menghidupkan sesuatu watak dengan karakternya yang tersendiri mempunyai impak positif dalam sesebuah karya yang ditayangkan. Sebagai contohnya, berapa ramai penonton drama bersiri Amerika bertajuk Prison Break menunggu babak lakonan Robert Knepper.

Yaa... Watak T-Bag, Cole Pfeiffer atau apa sahaja nama yang digunakan oleh beliau memang begitu menarik dengan gaya jalannya. Yang paling penulis suka caranya menggunakan barang kerana tangannya yang kudung sebelah dengan digantikan dengan patung tangan berwarna emas pudar pada tangan kirinya. Paul Scheuring berjaya meletakkan watak tersebut sebagai tarikan dalam drama bersiri miliknya.

Mamat Khalid boleh dikatakan sebagai salah seorang pengkarya kreatif di Malaysia. Teringat dalam satu komennya terhadap Amir jika tidak salah penulis mengenai lawak. Beliau berkata kadang kala sesetengah orang sahaja mampu memahami sesetengah lawak. Beliau juga mempunyai personaliti yang tersendiri, jika tidak masakan Jozan mahu meniru beliau dalam persembahan Maharaja Lawak sambil berkata " abang, abang, abang malu sebenarnya kome tengok abang ".

Hargailah sumbangan beliau dalam industri hiburan negara

* Mamat Khalid juga yang pertama mengetengahkan frasa " Cer cita, Cer cita " yang mana Cer itu merupakan singkatan bagi Cuba

** Mamat Khalid sukar untuk dipisahkan dengan topinya dan juga selendang

*** Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah merupakan filem kedua tertinggi pada tahun 2010 dalam kutipan tiket dengan jumlah keseluruhannya Rm7.90 juta. Filem ini juga filem ke-7 tertinggi setakat ini dan merupakan filem terbitan Tayangan Unggul yang paling tinggi pernah dicatatkan

**** Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah juga mencetuskan fenomena Soley Soley yang dinyanyikan oleh Middle of the Road. Babak di dalam rumah diantara Abi Hurairah dan Usop Wilcha

***** '' Bala, Bala " juga merupakan catching phrase yang diingati penulis sehingga ke hari ini

1 comment:

  1. slm bro,

    cuma berkongsi :-
    https://www.facebook.com/photo.php?v=589735331075098

    serampang banyak mata,
    apa komen bro?
    wassalam.

    ReplyDelete

Dipersilakan Komen