Thursday, December 26, 2013

Mamat Khalid

Siapa tidak kenal Mamat Khalid... Salah seorang pengarah yang mempunyai elemen pengarahan yang komedi dalam hampir kesemua filem arahannya. Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohamad Khalid dilahirkan di Perak.

Beliau merupakan adik kepada kartunis terkenal, Datuk Mohammad Nor Bin Khalid ataupun lebih dikenali sebagai Datuk Lat kerana mukannya yang Bulat. Menempa nama pada tahun 2001 apabila memenangi Anugerah pengarah terbaik pada Anugerah Skrin Panca Delima melalui telefilem Pinang Durian.

Menjadi pengarah filem buat pertama kali melalui filem lakonan kumpulan pelawak Senario, Lang Buana yang mengisarkan suasana pada abad ke-19  tentang tiga pahlawan. Filem tersebut boleh dianggap filem klasik terawal yang diangkat oleh Mamat Khalid pada milineum kedua ini.

Beliau kemudiannya bersama-sama dengan kumpulan produksi yang dimiliki oleh Datin Tiara Jacquelina menghasilkan karya filem bertajuk Puteri Gunung Ledang yang menjadi filem paling mahal dalam sejarah Malaysia. Beliau memenangi Lakon Layar Terbaik bersama-sama dengan Saw Teong Hin dalam Festival Filem Malaysia ke-18.

Kemudiannya terus menghasilkan karya filem seperti Rock ( 2005 ), Man Laksa ( 2006 ), Zombi Kampung Pisang ( 2006 ), Kala Malam Bulan Mengambang ( 2008 ), Estet ( 2010 ), Hantu Kak Limah Balik Rumah ( 2010 ), Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit ( 2013 ) dan yang terbaru ialah Rock Ooo ( 2013 ).

Jika dilihat daripada filem yang diarahkan oleh beliau, jelas memperlihatkan kelainan dari kebanyakkan filem Malaysia yang lain yang berkisarkan Gangster dan Cinta secara amnya. Beliau gemar mengangkat skrip yang berlatarbelakangkan masyarakat setempat berbanding pengarah lain.

Babak di dalam filem Zombi Kampung Pisang
Filem-filem seram arahannya juga seringkali disajikan dengan elemen komedi yang membuatkan stesen-stesen TV di  negara ini gemar meletakkan filem beliau pada malam raya kerana mampu menarik minat orang ramai daripada yang tua hingga kanak-kanak untuk duduk bersama menonton filem arahan beliau.

Bayangkan anda disajikan filem KL Gangster pada malam raya... Pastinya ia tidak sesuai untuk ditatap oleh kanak-kanak dan yang sudah tua. Dalam erti kata lain, filem Mamat Khalid mampu menghimpunkan kesemua golongan untuk menonton hasil karyanya dengan menafikan generation gap.

Salah satu elemen kuat dalam pengarahannya ialah komedi. Tidak hairanlah beliau beberapa kali dipanggil oleh Astro untuk menjadi juri dalam pertandingan realiti lawak siaran swasta tersebut. Komedinya juga diselitkan dengan maksud tersirat. Contohnya dalam filem Zombi Kampung Pisang dimana Hussein ( Awie ) yang memandang rendah terhadap keupayaan dirinya kerana tidak berkelulusan SPM. Manakala Sofi ( Soffi Jikan ) yang belajar tinggi seringkali diberi kepercayaan oleh penduduk kampung.

Dalam erti kata lain, beliau ingin mengetengahkan persepsi masyarakat Malaysia yang gemar membandingkan orang dengan kelulusan pelajaran yang mereka ada. Sedangkan yang pentingnya usaha dalam terus menjalani kehidupan dan wawasan yang sering diucapkan oleh Hussein.

Selain itu, Mamat Khalid juga menyindir pemuda Melayu dalam filem tersebut... Ingat tak ada satu babak dimana zombi-zombi merempit... Dan kemudiannya Hussein menyeru kepada Mat-Mat Rempit supaya berhenti merempit.

Salah satu kekuatan yang penulis lihat dalam pengarahan Mamat Khalid dalam filemnya adalah watak-watak itu sendiri. Lihat sahajalah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ( HKLBR ) yang mana watak Usop Wilcha dengan tangannya dan sikap " Kita bakorr jaa " menjadi satu fenomena di Malaysia.

Poster filem Hantu Kak Limah Balik Rumah
Penulis masih ingat ketika penulis mengikuti lawatan ke sekolah penulis ke Gunung Ledang, Johor. Dimana jika memerlukan keputusan untuk dibuat berdasarkan pendapat peserta, guru pengiring akan berkata " Sapa setuju, akan tangan macam ini " sambil melambaikan tangannya.

Fenomena luar biasa ini menyebabkan ada segelintir golongan Kurang Upaya terguris kerana dikatakan kecacatan mereka ini diangkat menjadi bahan gelak ketawa oleh Mamat Khalid. Dalam erti kata lain, watak tersebut antara watak paling berjaya hinggakan diberikan penghormatan untuk menyampaikan anugerah kemuncak pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ( ABPBH ) pada 2010.

Ia kemudiannya disambung melalui sekuel filem tersebut bertajuk Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit yang turut dilakonkan oleh Awie dan pelakon-pelakon pada filem yang lepas. Walaupun plotnya akan lembap dalam filem ini, namun masih terdapat beberapa mesej tersembunyi yang disisipkan dalam filem ini.

Contohnya masyarakat Malaysia yang suka sangat terpengaruh dan terlibat dalam Skim Cepat Kaya. Dalam filem ini, akibat terpengaruh dalam hal yang demikian, Hussein diisytiharkan bankrap kerana tamak kemudian pulang ke kampung daripada Singapura.

Watak ikonik, Usop Wilcha lakonan Shy8
Ketika babak Mesyuarat Tergempar kedua di dewan Kampung Pisang, dialog Usop merupakan sindiran kepada semua pihak. Dimana pemimpin gemar menyalahgunakan wang yang diperuntukkan oleh kerajaan selain kepimpinan yang suka sangat bermesyuarat namun tiada tindakan. Yaa... Penulis melalui pengalaman tersebut dalam organisasi penulis.

Filem Rock Ooo yang diilhamkan oleh keminatannya terhadap muzik Rock banyak juga diwarnakan karakter unik terhadap pelakon-pelakonnya oleh Mamat Khalid. Lihat sahaja watak Jijo Alfonso Pareira Abdullah lakonan Khir Rahman yang mempunyai tabiat '' An, aah, haa " dalam setiap ayat yang diucapkannya.

Watak Che Man lakonan Kamarul Haji Yusof amat dinanti-nantikan dalam filem ini. Beliau sebagai promoter untuk kumpulan Rimba Bara turut gemar mencium tangan ketika bertutur dan juga kakinya yang suka meliar kesana-sini.

Babak di dalam filem Rock Ooo
Turut diselitkan mesej tersirat mengenai Malaysia yang tidak pandai menepati masa. Dalam dialog yang diucapkan oleh Jijo mengenai tiga perkara yang boleh menjatuhkan negara iaitu Rasuah, Tidak Menepati Masa dan juga Chinge ( perempuan ).

Umum mengetahui masalah rasuah dalam negara ini semakin dibimbangi. Selain itu, beliau juga sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya menepati masa dan juga masalah ahli politik negara kita yang selalu dikaitkan dengan skandal bersama perempuan itu dan ini.

Hasil keunikan watak-watak ini oleh Mamat Khalid telah menyebabkan kumpulan Zero dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega mengambil watak dari filem tersebut sebagai isi persembahan lawak mereka pada minggu keempat.



Sejujurnya, penulis yakin bahawa menghidupkan sesuatu watak dengan karakternya yang tersendiri mempunyai impak positif dalam sesebuah karya yang ditayangkan. Sebagai contohnya, berapa ramai penonton drama bersiri Amerika bertajuk Prison Break menunggu babak lakonan Robert Knepper.

Yaa... Watak T-Bag, Cole Pfeiffer atau apa sahaja nama yang digunakan oleh beliau memang begitu menarik dengan gaya jalannya. Yang paling penulis suka caranya menggunakan barang kerana tangannya yang kudung sebelah dengan digantikan dengan patung tangan berwarna emas pudar pada tangan kirinya. Paul Scheuring berjaya meletakkan watak tersebut sebagai tarikan dalam drama bersiri miliknya.

Mamat Khalid boleh dikatakan sebagai salah seorang pengkarya kreatif di Malaysia. Teringat dalam satu komennya terhadap Amir jika tidak salah penulis mengenai lawak. Beliau berkata kadang kala sesetengah orang sahaja mampu memahami sesetengah lawak. Beliau juga mempunyai personaliti yang tersendiri, jika tidak masakan Jozan mahu meniru beliau dalam persembahan Maharaja Lawak sambil berkata " abang, abang, abang malu sebenarnya kome tengok abang ".

Hargailah sumbangan beliau dalam industri hiburan negara

* Mamat Khalid juga yang pertama mengetengahkan frasa " Cer cita, Cer cita " yang mana Cer itu merupakan singkatan bagi Cuba

** Mamat Khalid sukar untuk dipisahkan dengan topinya dan juga selendang

*** Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah merupakan filem kedua tertinggi pada tahun 2010 dalam kutipan tiket dengan jumlah keseluruhannya Rm7.90 juta. Filem ini juga filem ke-7 tertinggi setakat ini dan merupakan filem terbitan Tayangan Unggul yang paling tinggi pernah dicatatkan

**** Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah juga mencetuskan fenomena Soley Soley yang dinyanyikan oleh Middle of the Road. Babak di dalam rumah diantara Abi Hurairah dan Usop Wilcha

***** '' Bala, Bala " juga merupakan catching phrase yang diingati penulis sehingga ke hari ini

Sunday, December 15, 2013

Rahsia G1M

Nissan GTR dengan nombor plat G1M 622
G1M... Itulah sinonim bagi frasa ' Gagasan 1 Malaysia ' yang telah dikomersialkan menjadi sebuah nombor pendaftaran kenderaan di negara kita. Kebanyakkan nombor pendaftaran di negara kita boleh dibida melalui Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ ) untuk digunakan pada kenderaan kita.

Namun demikian, terdapat beberapa siri nombor pendaftaran yang dikeluarkan khas simbolik sesuatu perkara. Contohya senarai jenama kereta nasional seperti Proton, Perodua, Waja, Perdana dan sebagainya. Lotus dan NAZA juga diberikan pengiktirafan kereta nasional dan dikeluarkan siri khas nombor pendaftaran untuk mereka.

Selain itu, terdapat juga siri pendaftaran yang dikeluarkan sempena persidangan yang berlangsung di Malaysia seperti XIII NAM sempena persidangan Negara-negara Berkecuali yang ke-13, X OIC sempena persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam ke-10, XI ASEAN sempena Persidangan ASEAN ke-11 dan banyak lagi.

McLaren MP4-12C dengan nombor plat G1M 7777
Terdapat banyak lagi nombor yang dikeluarkan sempena memperingati sesuatu peristiwa yang berlaku di negara ini. Begitu juga nombor pendaftaran G1M yang dikeluarkan sempena gagasan yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri dan juga 1M4U.

Yang peliknya... Nombor-nombor ini bukannya perlu dibida kepada JPJ tetapi terdapat satu pihak yang menjual nombor ini. Anda boleh  [ klik sini ] untuk melihat wakil esklusif bagi nombor pendaftaran khas G1M.  

Siapakah pihak ini ??? Bagaimanakah mereka boleh menjadi wakil esklusif bagi nombor pendaftaran khas ini ? Apakah perjanjian mereka dengan JPJ ? Kenapa mereka ? Berapa harga mereka beli nombor ini ? 

Bentley Continental GT dengan nombor plat LE208
Pelbagai persoalan timbul mengenai pengedar nombor-nombor ini... Mungkin juga terdapat konspirasi terancang bagi pihak ini membuat duit dengan mengeluarkan nombor pendaftaran ini kepada mereka dan menyuruh mereka untuk menjualnya. Penulis tidak tahu. Hanya andaian.

Sebenarnya, bukan hal penjualan nombor pendaftaran G1M ini ingin dijadikan topik utama dalam artikel penulis ini. Tetapi hal yang sebenarnya adalah penggunaan G1M oleh segelintir pihak yang penulis sifatkan sebagai tidak bertanggungjawab. Apakah isunya?

Hal ini telah didedahkan oleh media massa pada lewat Oktober yang lalu. Melaporkan mengenai taktik segelintir orang kaya tidak bertanggungjawab yang menggunakan kereta mewah seperti Lamborghini, Bentley, Ferrari, Rolls Royce dan sebagainya di Semenanjung Malaysia tanpa membayar cukai.

Rolls Royce Ghost dengan nombor plat LE 8055
Taktiknya mudah saja, pertama, beli kereta dari Langkawi ataupun Labuan.Ini kerana barangan disana tidak dicukaikan kerana status pulau tersebut sebagai Pulau Bebas Cukai. Kemudiannya, mereka menghantar kereta mewah mereka ke Semenanjung Malaysia melalui kelonggaran 90 hari yang diberikan oleh kastam. 

Akhir sekali, mereka pandu kereta mewah yang tidak dibayar cukai itu sepanjang tahun di Semenanjung Malaysia tanpa membawa pulang kereta tersebut ke Labuan ataupun Langkawi tempat dimana kereta itu didaftarkan

Walaubagaimanapun, mereka orang-orang kaya ini sedaya upaya ingin mengaburi mata pihak berkuasa daripada mengesan taktik busuk mereka ini. Hal ini kerana terdapat beberapa perkara yang boleh mengakibatkan pihak berkuasa mampu mengecam kenderaan daripada Langkawi ataupun Labuan.

Lamborghini Aventador dengan nombor plat G1M 5555
Antaranya nombor pendaftaran itu sendiri... Kereta yang didaftarkan di Langkawi ataupun Labuan akan menggunakan nombor pendaftaran KV bagi Langkawi dan L bagi Labuan. Jadi kalau Kastam nampak dari jauh nombor plat KV dan L sudah pasti mereka akan mark kereta tersebut.

Jadi untuk menghilangkan identiti Langkawi atau Labuannya, mereka mendaftarkan nombor pendaftaran G1M ataupun sebagainya. Disebabkan itulah, terdapat pelbagai kereta mewah menggunakan nombor pendaftaran ini kerana tujuannya untuk digunakan di Semenanjung Malaysia. Penulis tak kata semua kereta yang pakai nombor G1M ini tak bayar cukai, tapi ada segelintir.

Selain itu, mereka juga gemar mengelak untuk membayar harga penuh cukai jalan kereta mereka. Contohnya, kereta Bentley Continental Flying Spur anda yang menggunakan enjin bersaiz 6750cc. Jika di Semenanjung anda perlu membayar RM 19,000 tetapi jika anda mengambil cukai anda di Labuan, anda hanya perlu membayar RM 3,000 sahaja. 

Murcielago dengan nombor plat G1M 444
Jadi kerana hendak menjimatkan RM 16,000, anda akan mengambil cukai jalan anda di Labuan tetapi cukai jalan tersebut hanya sah digunakan di Labuan sahaja. Jika anda melalui roadblock dan dia lihat kenderaan anda menggunakan cukai jalan yang warnanya berlainan, sudah pasti dia menahan anda.

Untuk mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa, mereka akan pergi ke pejabat JPJ dan memohon cukai jalan yang baharu dengan alasan cukai jalan mereka yang lama sudah hilang. JPJ pun akan mengeluarkan cukai jalan berwarna merah seperti mana di kenderaan lain di Semenanjung.

Jadi... Tak hairanlah kalau anda lihat cukai jalan kereta mewah tertulis Rm50 ataupun kurang daripada sepatutnya kerana mereka sedang melakukan penipuan. Tetapi kini JPJ sudah maju dan arif, taktik ini sudah lagi tidak relevan kerana JPJ mampu melihat rekod kenderaan anda secara atas talian bukannya sekadar di atas kertas.

Ferrari 458 Italia dengan nombor plat G1M 3118
Dalam erti kata lain, taktik-taktik ini sudah pun dikenalpasti oleh pihak berkuasa dan mereka mengambil langkah untuk mengatasinya. Sehingga kini, laporan media pada Oktober lalu Kastam mengesahkan sedang mencari lebih kurang 370 buah kenderaan yang tidak dibayar cukai yang berada di atas jalan Semenanjung Malaysia.

Berapa sangat yang mereka dapat jimatkan jikalau mereka enggan membayar cukai kepada kerajaan ? Mari penulis rungkaikan.

Menurut laporan oleh Ketua Pengarah Kastam, kesemua 22 kereta yang telah dirampas Oktober lalu bernilai Rm 8.7 juta tanpa cukai. Sejumlah Rm 25.8 juta nilai keseluruhan kenderaan tersebut termasuk cukai.

Merc SLS AMG dengan nombor plat G1M 2663
Ini bermakna purata setiap kenderaan tanpa cukai berjumlah Rm 395,000 dan jika dicampurkan dengan cukai yang dikenakan terhadap semua kenderaan ini, puratanya adalah Rm 1.1 juta bagi setiap kenderaan mewah tersebut. Dalam erti kata lain, mereka menjimatkan lebih kurang Rm 700,000 dengan mengelak membayar cukai.

Tidak hairanlah terdapat segelintir pemilik yang kenderaan mewahnya dirampas enggan menebus balik kenderaan mereka dengan membayar cukai. Ini kerana nilai cukai tersebut lebih mahal daripada harga yang mereka bayar untuk memiliki kenderaan tersebut.

Mahal... Yaa memang mahal... Dah nak pakai Ferrari, Lamborghini, Bentley... Takkan kadar cukainya sama dengan kereta Honda Civic yang anda beli. Inilah yang dikatakan keadilan dalam mencorakkan sesuatu sistem. Mahu kereta mewah... Bayar cukai mahal sikit... Mahu kereta murah... Cukainya pun tak tinggi mana.

BMW M5 F10 dengan nombor plat G1M 219
Akhir kata, penulis memohon supaya orang kaya-kaya ini supaya bayarlah cukai kereta anda... Janganlah melarikan diri dengan kedudukan dan wang yang anda ada, anda menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri. Mungkin jika anda membayar cukai anda kerajaan mampu membayar pampasan untuk mendorong konsortium lebuhraya untuk tidak menaikkan bayaran tol.

Kadang-kadang hampa dengan kerajaan yang sedia ada yang tidak mampu memenuhi aspirasi rakyat. Tunjuklah kuasa anda sedikit sebagai kerajaan, jika tidak... Rakyat akan hilang keyakinan terhadap kerajaan yang sedia ada kerana tidak mampu mendengar rintihan rakyat biasa. Meskipun ada kalanya untuk kepentingan negara pada masa hadapan.

* Gambar-gambar diatas diambil daripada akaun Instagram @myplatenumber
** Gambar hanya sekadar hiasan... Tidak bermakna mereka tidak membayar cukai kereta mereka
*** Mohon sesiapa beri pencerahan mengenai pihak yang menjadi wakil menjual nombor pendaftaran G1M dan 1M4U
**** Depa kata orang MLM suka pakai nombor 8055 ( BOSS )

Sunday, December 8, 2013

Sandiwara Taubat Al-Arqam

Al-Arqam... Satu nama yang dikenali di Malaysia kerana seringkali keluar di media massa mendedahkan tentang penyelewengan oleh pengikutnya...

Pertubuhan ini diasaskan oleh Ashaari Muhammad ataupun lebih megah dipanggil Abuya pada tahun 1968. Diambil namanya sempena nama sahabat nabi bernama Al-Arqam bin Abi Arqam kerana rumahnya dijadikan tempat berdakwah seperti mana tujuan asal pertubuhan Al-Arqam.

Menukar namanya daripada Al-Arqam kepada Rufaqa pada tahun 1997 susulan fatwa pengharaman dan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994. Kini mereka menggunakan nama Global Ikhwan Sdn. Bhd untuk meneruskan perjalanan organisasi mereka.

Inspirasi yang membuatkan penulis ingin menulis artikel mengenai Al-Arqam bermula apabila penulis ingin pergi ke sebuah rumah kebajikan. Nak dijadikan cerita, penulis yang ketika itu pulang daripada sebuah persidangan di Putrajaya menaiki kenderaan bersama teman penulis bersama ibunya.

Ketika di dalam perjalanan, penulis dan rakan-rakan penulis yang berminat untuk memberikan sumbangan kepada sebuah rumah kebajikan di Puchong bernama Baitul Hidayah. Apabila ibu teman penulis mendengar nama tersebut, beliau tersentak dan meminta supaya kami semua membatalkan hasrat untuk ke sana.

Menurutnya, Rumah Kebajikan Baitul Hidayah ini dikelola oleh pengikut Al-Arqam. Penulis yang ketika itu terkejut hanya mendengar sahaja kata-kata tersebut. Kemudiannya, penulis diberikan sebuah nombor telefon untuk terus menyiasat mengenai penglibatan Al-Arqam dengan Rumah Baitul Hidayah ini.

Pulang sahaja di rumah... Penulis ada memberitahu cerita tersebut kepada bapa penulis dimana penulis menyatakan lawatan ke rumah tersebut akan dibatalkan. Bapa penulis memberikan hujah yang tidak sepatutnya kita tidak menghulurkan bantuan kepada mereka... Kerana Hatijah Amm ( balu Abuya ) sudah pun bertaubat.

Penulis pun buat carian di google... Yaa... Terdapat beberapa artikel daripada Utusan Malaysia dan akhbar lain... Dengan tajuk " Ummu Jah, 400 pengikut Al-Arqam lafaz taubat nasuha " yang melaporkan bahawa mereka sudah bertaubat di Hotel Concorde, Shah Alam.

Membuatkan penulis berasa serba tidak kena sama ada untuk melawat Baitul Hidayah ataupun tidak... Alhamdulillah... Whatsapp penulis terhadap seorang individu yang pernah bekerja dengan rumah kebajikan Al-Arqam ini terjawab.

Beliau mengesahkan bahawa Rumah Kebajikan Baitul Hidayah memang dikelokan oleh pengikut Al-Arqam. Bukan setakat itu sahaja, beliau turut mendedahkan bahawa anak-anak yatim yang dikatakan penghuni Baitul Hidayah sebenarnya bukanlah anak yatim yang kehilangan ibu ataupun bapa... Tetapi kebanyakkannya anak kepada pengikut Al-Arqam.

Menurut beliau, Al-Arqam mendefinisikan anak yatim sebagai mereka yang kurang ilmu dan kurang iman. Justeru itu, mereka memasukkan anak-anak ahli Al-Arqam dalam kategori ini dan menempatkan mereka ke dalam rumah kebajikan sebagai anak yatim...

Orang ramai seperti penulis pun percayalah... Buat kutipan... Sumbangan... Bahkan pernah dahulu penulis pergi ke sebuah rumah kelolaan Al-Arqam iaitu Rumah Amal Limpahan Kasih di Puchong... Siap tolong gotong royong sekali... Semata-mata nak bantu anak yatim.

Tetapi... Menurut individu tersebut, kesemua wang sumbangan yang disalurkan sebenarnya tidak sampai kepada penghuni tersebut. Tetapi diberikan oleh pengurusan rumah kebajikan berkenaan kepada Hatijah Aam yang mana dipanggil sebagai Tabung Taqwa ataupun kini dipanggil Pendapatan Kumpulan.

Al-Arqam telah menuntut sejumlah bayaran daripada pihak pengurusan rumah kebajikan untuk menyalurkan wang kepada Hatijah Amm. Jika tidak disalurkan mengikut kuota yang ditetapkan, dianggap individu yang bertanggungjawab untuk menyerahkan wang seabgai tidak bertaqwa.

Penulis juga diberitahu bahawa Rumah Amal Limpahan Kasih dan Baitul Hidayah menyerahkan lebih kurang Rm 30,000 sebulan untuk Tabung Taqwa. Bayangkan dengan semua rumah kebajikan kelolaan Al-Arqam sebanyak 81 buah rumah memberikan Rm30,000 sebulan. Maksudnya untuk Tabung Taqwa sahaja setiap bulan mereka boleh mengutip Rm2,400,000 ataupun Rm 28 juta setahun.

Tidak hairanlah Ummu Jah memiliki singgahsana yang megah di Arab Saudi selain dilihat menaiki kereta Lexus LX570 yang paling kurang pun harganyan Rm 700,000. Sedangkan penghuni di rumah kebajikan mereka menagih simpati masyarakat kerana hidup dalam serba kekurangan.

Selepas pendedahan tersebut... Penulis bertanyakan kepada individu berkenaan mengenai taubat yang dilafazkan oleh Ummu Jah dan 400 pengikutnya di Hotel Concorde pada 8 November yang lalu. Menurutnya, pengisytiharan taubat itu hanyalah lakonan semata-mata untuk mengelakkan diri daripada ditangkap.

Jika mereka enggan menandatangani pengisytiharan taubat, maknanya Al-Arqam akan diperangi dan mungkin Ummu Jah akan dipenjarakan. Tetapi jika mereka melakukan taubat, pihak berkuasa akan memberikan ruang untuk mereka memperbetulkan keadaan. Dan jelas ini menunjukkan mereka masih lagi boleh bergerak aktif dengan aktiviti yang sedia ada.

Individu yang penulis berhubung ini menjelaskan hujahnya... Jika benar Ummu Jah dan ahli Al-Arqam sudah pun bertaubat... Kenapakah Al-Arqam masih lagi bergerak dan ahli-ahlinya masih bersama. Sepatutnya setiap ahli akan mengikut haluan masing-masing selepas meninggalkan Al-Arqam. Tetapi apa yang kita lihat kini tidak... Mereka masih bersama.

Kemudiannya... Penulis bertanyakan kepadanya tentang upacara khusus yang diajar oleh pengikut Al-Arqam kepada penghuni rumah kebajikan tersebut. Beliau menyatakan bahawa penghuni tersebut diajar membaca wirid agung selepas solat, pencak, power kaabah dan zikir seru Abuya. Jika hendak berdoa, tidak perlu meminta kepada Allah tetapi kepada Abuya... Kerana menurut mereka Abuya orang tuhan.

Hal ini anda boleh lihat sendiri daripada video-video berikut... Lawak pun ada... Lagu Power Kaabah... Macam Power Rangers... Dengan cerita Sabun yang ada power...

[ klik sini ] Power Kaabah
[ klik sini ] Pencak

Melihat kepada sebuah buku nukilah ahli Global Ikhwan yang diyakini ahli Al-Arqam bertajuk ' 45 Tahun Perjuangan Abuya, Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi ( 1968-2013 ) '... Terdapat pelbagai tulisan yang menunjukkan bahawa kepercayaan mereka pengikut Al-Arqam ini sesat.

Salah satunya mengenai artikel ' Matikah Abuya? '... Dalam hujah mereka di dalam artikel tersebut, mereka menjelaskan jika benar Abuya sudah pun mati, kenapa saiz Global Ikhwan l0 kali besar daripada Al-Arqam dan berkembang maju. Jika benar Abuya sudah mati, maka Al-Arqam pun akan turut mati sama kata mereka.

Selain daripada itu, mereka juga mendakwa bahawa Abuya sebagai Imam Mahdi. Ini boleh dilihat daripada tajuk buku ini sendiri yang menggelarkan Abuya sebagai Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi. Umum semua mengetahui bahawa Imam Mahdi akan hadir daripada Pemuda Bani Tamim. Disebabkan itulah ditambahnya At-Tamimi di belakangnya.

 Dalam buku ini juga, mereka banyak menunjukkan cabang can cawangan perniagaan mereka dari Malaysia hinggalah di Eropah. Dalam erti kata lain, melalui pendedahan ini penulis dapat membayangkan bertapa majunya perniagaan Global Ikwan ini dari seluruh dunia.

Menurut buku ini, terdapat lebih 40 zon di seluruh dunia dipimpin oleh sebilangan ahli Global Ikhwan Sdn Bhd ( GISB ). Antara cabang di luar negara ialah, Zon Jepun, Amerika, Brunei, Dubai, Uzbekistan, Jerman, Turki, England dan sebagainya.

Manakala Zon di dalam negeri pula mempunyai hampir kesemua negeri di Malaysia. Di dalam buku ini juga ditunjukkan mengenai perniagaan mereka. Kebanyakkan menggunakan nama perniagaan Ikhwan. Contohnya, Butik Nur Ikhwan, Pasar Segar Ikhwan, Unit Berkuda Ikhwan dan sebagainya.

Seperti yang penulis katakan, perniagaan mereka sememangnya besar dan terdiri daripada pelbagai bidang. Daripada pasar raya, tempat penyembelihan, chalet, studio, stable kuda, restoran, ladang, bakeri hinggalah farmasi. Semuanya ada bahkan mereka ada siaran TV sendiri iaitu TV Nur Muhammad.

Penulis percaya, salah satu sebab mengapa perniagaan mereka berkembang pesat adalah kerana ketaatan pengikut-pengikut mereka kepada ketuanya. Ini kerana, jika mereka melakukan semata-mata kerana keredaan ketuanya. Maka, mereka tidak akan meminta gaji lebih dan melakukan sepenuh hati untuk menyumbang sesuatu kepada ketua mereka. Berbeza dengan pekerja biasa, yang mana mereka mengharapkan ganjaran daripada ketua mereka, jika tidak... Kerja mereka akan longlai dan tidak berikhtiar dalam menghadapi masalah.

Dalam buku ini, penulis ingin senaraikan sedikit rumah-rumah kebajikan dibawah kelolaan mereka ;

1. Pusat Jagaan Cahaya Bistari, Selayang Baru
2. Rumah Amal Peribadi Mulia, Sg. Sekamat, Kajang
3. Rumah Amal Baitul Maghfirah, Johor Bahru
4. Rumah Amal Baitul Mahabbah, Seremban 2
5. Baitul Hidayah, Puchong
6. Rumah Anal Anak Kesayangan, Bukit Jambul
7. Rumah Amal Islam Hidupku Matiku, Kodiang
8. Rumah Amal Nur kasih, Langkawi
9. Rumah Amal Hembusan Kasih, Arau 
10. Rumah Amal Semarak Kasih, Kodiang
11. Rumah Amal Nur Murni, Kuching
12. Rumah Anak Kesayangan Kami, Miri
13. Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong
14. Rumah Anak Kesayangan Ikatan Hati, Selabintana, Sukabumi ( Indonesia )
15. Rumah Kesayangan Hubullah, Tasik Malaya ( Indonesia )
16. Rumah Amal Permata Hati, Palembang ( Indoensia )

Itu antara Rumah Kebajikan yang disenaraikan di dalam buku ini. Dikhabarkan mereka mempunyai lebih kurang 81 buah rumah Kebajikan di seluruh dunia. Penghuninya terdiri daripada anak pengikut Al-Arqam yang gemar berpoligami. Dalam Al-Arqam, Poligami amat digalakkan sehinggalah ditubuhkan Kelab Taat Suami dan Kelab Poligami Ikhwan. Mereka memetik kata-kata Abuya yang berkata " Suami bukan untuk direbut, kerana dia boleh berkongsi. Madu-madu bukannya musuh, mereka adalah adik-beradik yang dihadiahkan sebagai 'team' buat kehidupan dalam perjuangan "

Tidak hairanlah mereka ini mempunyai banyak rumah kebajikan yang menetapkan anak-anak pengikut Al-Arqam.

Mengikut laporan yang dikeluarkan... Ummu Jah dikhabarkan telah menyeleweng hampir Rm 4 juta wang-wang yang diperoleh daripada sumbangan dan derma orang ramai terhadap rumah kebajikan milik mereka. Hal ini diakui sendiri Ummu Jah dalam pengisytiharna taubatnya yang berjanji memulangkan semula wang dana yang diseleweng.

Persoalannya... Adakah benar mereka sudah bertaubat?

Menurut blog yang dipercayai pengikut Global Ikhwan... Mereka telah melakukan proses penjenamaan semula selepas taubat... Antaranya Ummu Jah dipanggil sebagai Puan Ibu Hatijah Aam ( PIHA ). Tabung Taqwa dipanggil Pendapatan Kumpulan... Hal ini sejajar dengan majlis penjenamaan semula salah sebuah organisasi dibawah seliaan mereka iaitu Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia yang berlangsung pada 30 Oktober 2013. 

Jadi... Anda boleh fikir sendirilah benarkah mereka sudah pun bertaubat atau hanya main wayang untuk mengaburkan mata orang ramai. Global Ikhwan masih aktif dan pengikutnya masih bersama dengan mereka... Anda pertimbangkanlah sendiri...

Baru-baru ini pula, Hatijah Amm dipercayai mendapat anugerah Dato daripada Kesultanan Palembang. Hmmh... Faham-fahamlah dengan pandangan penulis terhadap sebarang pingat dan anugerah daripada Sultan dan Raja yang tak daulat ni.

* Kalau nak kenal orang-orang Al-Arqam... Mereka suka pakai songkok tinggi dan kopiah Oman seperti di dalam gambar

** Buku ' 45 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi ' diharamkan oleh Mahkamah Syariah