Monday, November 25, 2013

Terminal Man

Tom Hanks dalam filem The Terminal
Viktor Navorski, seorang pelarian Krakhozia terperangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, Bandaraya New York gara-gara perang saudara di tanahairnya. Perang saudara tersebut menyebabkan negaranya terbubar sekaligus membuatkan beliau tidak mempunyai negara kerana pasportnya sudah tidak lagi sah.

Kerajaan Amerika Syarikat pula tidak membenarkan beliau untuk keluar ke bandar raya New York ataupun pulang semula ke negara asalnya, Krakozhia kerana ia sudah tidak lagi wujud. Hal ini membuatkan Viktor Navorski terpaksa menetap di Lapangan Terbang JFK sebelum masalahnya itu diselesaikan.

Dengan Bahasa Inggerisnya yang hancur, beliau mempunyai masalah dalam berkomunikasi dengan komuniti di Lapangan Terbang tersebut. Beliau juga mengalami kesukaran untuk membeli makanan kerana kewangan beliau yang terhad.

Berikut merupakan sedikit plot di dalam cerita The Terminal arahan Steven Spielberg yang dilakonkan oleh Tom Hanks dan juga Catherine Zeta-Jones yang ditayangkan pada 2004. Berkisarkan mengenai seorang lelaki yang terperangkap di dalam sebuah Lapangan Terbang.

Pengarah dan Produser berketurunan Yahudi ini sebenarnya diinspirasikan oleh seorang lelaki dari Iran bernama Mehran Karimi Nasseri ataupun beliau menggelarkan dirinya sebagai ' Sir, Alfred Mehran '.

Mehran Karimi Nasseri
Kisahnya bermula pada tahun 1974 selepas beliau pulang belajar dari University of Bradford ke Iran. Beliau telah menyertai demonstrasi anti-Shah Iran dan telah ditangkap oleh pihak keselamatan Iran. Hal ini menyebabkan kewarganegaraan beliau dilucutkan pada tahun 1977 sekaligus beliau menjadi pelarian.

Nasseri kemudiannya pergi ke Eropah untuk mencari suaka politik. Dari satu negara ke satu negara... Akhirnya pada tahun 1981 telah diberikan suaka politik oleh Suruhanjaya Tinggi Pelarian Bangsa-bangsa Bersatu di Belgium.

Selepas mendapat status sebagai pelarian, beliau mempunyai peluang untuk mendapatkan kerakyatan dari negara-negara Eropah. Beliau pun ke England untuk mencari saudara maranya disana sekitar tahun 1986.

Setibanya di Paris pada tahun 1988, beliau telah kehilangan begnya yang turut tersimpan dokumen-dokumen penting beliau. Walaubagaimanapun, beliau tetap menaiki kapal terbang dan mendarat di Heathrow, London.

Apabila pegawai imigresen di Heathrow mendapati beliau tidak mempunyai sebarang pasport, mereka menahan beliau kerana memasuki negara secara haram dan ingin menghantar beliau pulang ke negara asalnya. Tetapi disebabkan beliau tidak mempunyai sebarang dokumen, mereka terpaksa menghantar beliau kembali ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle.

Disitulah beliau memulakan kehidupannya sebagai Manusia Terminal. Duduk di Terminal 1 sambil membaca atau mungkin menulis kehidupan hariannya di dalam diari. Beliau juga belajar Ekonomi di samping beg yang berada disisinya. Beliau mendapat bahan bacaan seperti surat khabar dan makanan daripada pekerja-pekerja di Lapangan Terbang tersebut.

Pada tahun 1992, dengan bantuan peguamnya, seorang aktivis hak asasi bernama Christian Bourget membawa kes ini ke mahkamah untuk mengesahkan statusnya dan membawa beliau ke London semula. Mahkamah membuat keputusan menyatakan bahawa Mehran Karimi Nasseri memasuki Lapangan Terbang dengan sah selaku pelarian dan tidak boleh diusir keluar.

Meskipun begitu, mahkamah tidak dapat memaksa kerajaan Perancis untuk membenarkan beliau keluar daripada Lapangan Terbang tersebut dan menjejakkan kaki ke bumi Perancis. Mereka juga tidak mahu mengeluarkan visa pelarian kepada beliau dan pihak berkuasa Perancis enggan memberi reaksi berkenaan perkara ini.

Christian Bourget dan Mehran Karimi Nasseri mula mencari jalan penyelesaian yang lain. Mereka berharap Belgium dapat mengesahkan status serta dokumen pelarian beliau yang pernah diberikan kepadanya suatu ketika dahulu. Sekali lagi, mereka enggan menghantar kembali dokumen asal Nasseri kepadanya di Perancis dengan alasan yang beliau perlu menghadirkan diri ke Belgium untuk mengesahkan identiti sebagai individu yang pernah dianugerahkan status pelarian.

Tetapi... Kerajaan Belgium enggan menerima kehadiran Nasseri ke Belgium. Ini kerana, mengikut undang-undang Belgium, mana-mana pelarian yang meninggalkan negara ( yang memberikan mereka status pelarian ) dengan sukarelanya, maka pelarian tersebut tidak boleh kembali ke negara tersebut.

Namun pada tahun 1995, kerajaan Belgium bersetuju untuk mengembalikan status pelariannya tetapi dengan syarat. Iaitu perlu menetap di Belgium dengan pengawasan. Tetapi beliau menolaknya kerana beliau hanya ingin ke England.

Dari situlah bersambung kehidupannya sebagai penghuni Terminal 1 Lapangan Terbang Charles de Gaulle. Tidak mampu kemana-mana, beliau menghabiskan waktu tidurnya dengan tidur di atas bangku yang terdapat di Lapangan Terbang tersebut. Namun demikian, segala pakaiannya terjaga bersih... Misai di mukanya dicukur rapi... Semua barangannya tersimpan kemas termasuklah blazernya yang disarungkan dengan plastik lut sinar.

Kadangkala, beliau melangkah sehingga pintu utama Terminal 1, menghirup udara segar... Namun tidak sesekali menjejakkan kaki ke luar. Membincangkan tentang buku-buku terbaru yang tiba... Ada juga detik-detik dimana beliau ditawarkan makanan ataupun mungkin pakaian oleh staf Lapangan Terbang, tetapi ditolak dengan senyuman sambil berkata " Saya bukannya peminta sedekah ".

Peguamnya, Christian Bourget berkata " Tiada siapa yang mampu berdepan dengan kesengsaraan yang dihadapinya dan kekal normal " merujuk kepada apa yang Mehran Karimi Nasseri pernah lalui.

Sir, Alfred Mehran di sebelah poster filem The Terminal
" Selepas bertahun-tahun bertarung ( di mahkamah ) untuk meninggalkan Lapangan Terbang tersebut dan mencari kewarganegaraan. Dan bila peluangnya tiba apabila Belgium sekali lagi menawarkan jalan penyelesaian, beliau menolaknya " kata Bourget. Beliau menambah " Sekarang, saya rasa dia akan tinggal di Lapangan Terbang ini sampai dia mati ".

Hinggakan jurucakap Lapangan Terbang tersebut pun berkata " He has found a home here " merujuk kepada kelakuan Sir, Alfred Mehran yang menunjukkan tanda-tanda yang beliau tidak akan pergi dari situ.

Selepas 18 tahun menetap di Terminal 1 Lapangan Terbang Charles de Gaulle, akhirnya pada tahun 2006 beliau telah dimasukkan ke dalam hospital atas masalah kesihatan yang tidak diketahui. Dan tidak pulang-pulang ke rumah lamanya... Spekulasi mengatakan bahawa beliau meneruskan kehidupannya di rumah jagaan geladangan di Paris... Menghabiskan sisa hidupnya dengan tenang disana.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen