Wednesday, November 13, 2013

Nepotisme dalam Politik Malaysia

Pope Alexander VI
NEPOTISME... Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka, nepotisme bermaksud perbuatan ataupun amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan sendiri sahaja.

Perkataan Nepotisme ini datangnya daripada perkataan Latin dimana Nepos bermaksud anak saudara ataupun orang Utara gemar menggunakan istilah anak menakan. Hal ini dikaitkan dengan fenomena Zaman Pertengahan ( Middle Ages ) dimana sebilangan pemimpin gereja Katolik seperti Bishop ataupun Paus gemar melantik anak saudara mereka menjadi Kardinal.

Contohnya, Pope Callixtus III melantik dua anak saudaranya menjadi Kardinal. Tindakan yang demikian membolehkan salah seorang daripadanya menjadi Pope Alexander VI. Kemudiannya, beliau melantik abang perempuan simpanannya bernama Allesandro Farnese menjadi Kardinal yang akhirnya menjadi Pope Paul III. Beliau turut melantik dua anak saudaranya menjadi Kardinal yang ketika itu berusia 14 tahun dan 16 tahun.

Amalan ini dihentikan oleh Pope Innocent XII apabila beliau mengeluarkan surat dengan cap mohor seorang Pope yang bertajuk Romanum decet pontificem yang melarang Pope mengangkat anak saudara mereka menjadi Kardinal sekaligus menghentikan amalan Nepostisme ini.

Namun begitu, amalan Nepotisme ini yang dihentikan oleh Pope Innocent XII 313 tahun yang lalu merebak ke tempat lain. Penulis menyifatkan amalan yang sering kali dikaitkan dengan Nepostisme ini pada detik ini semakin menjadi-jadi tidak kira di mana.

George W. Bush dan bapanya
Contohnya, Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush kemudiannya telah dipilih oleh rakyat Amerika Syarikat untuk menjadi Presiden. Bapa beliau sebenarnya juga Presiden Amerika Syarikat iaitu George H. W. Bush.

Begitu juga dengan Presiden Bill Clinton yang mana isterinya, Hillary Clinton telah menjadi Setiausaha Negara Amerika Syarikat pada zaman Barack Obama dari tahun 2009 hingga 2013 sebelum digantikan dengan John Kerry.

Manakala di Filipina, Presiden Gloria Macapagal Arroyo merupakan anak kepada Presiden Filipina kesembilan iaitu Diosdado Pangan Macapagal.

Namun tidak boleh mencabar kehebatan Presiden yang sekarang iaitu Benigno Aquino III. Moyangnya, Servillano Aquino merupakan pahlawan Filipina ketika Perang Amerika-Filipina pada tahun 1899 hingga 1902. Atuknya pula Benigno Aquino Sr. merupakan ahli politik Filipina yang pernah berkhidmat sebagai speaker Dewan Perhimpunan Republik Filipina kedua. Bapanya pula, Benigno Aquino Jr. merupakan senator Filipina dan juga bekas Gabenor wilayah Tarlac. Beliau telah dibunuh ketika turun dari pesawatnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila kini Lapangan Terbang Ninoy Aquino ( bersempena memperingati kematiannya ).

Lee Hsien Loong dan Lee Kuan Yew
Singapura... Tak perlu diceritakan lagi mengenai hubungan diantara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan juga bapanya Lee Kuan Yew.

Di Malaysia... Paling hebat... Lihat sajalah legasi Onn Jaafar iaitu Menteri Besar Johor dan juga pengasas UMNO. Anaknya, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia ketiga. Tun Hussein Onn berkahwin pula dengan anak perempuan Tan Sri Mohammad Noah iaitu Suhaila Noah.

Perkahwinan antara Tun Hussein Onn dan Suhaila Noah telah melahirkan Menteri Pertahanan sekarang iaitu, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn. Dan umum mengetahui bahawa Hishamuddin dan Najib merupakan sepupu... Persoalannya... Bagaimana??

Nak dijadikan cerita, Tun Abdul Razak, anak Bangsawan Pahang telah berkahwin dengan ibu Dato' Seri Najib iaitu Tun Rahah. Tun Rahah ini pula merupakan kakak kepada Suhaila Noah iaitu isteri kepada Tun Hussein Onn. Menjadikan Tun Hussein Onn dan Tun Abdul Razak biras.

Tun Abdul Razak pula telah melahirkan anaknya iaitu Dato' Seri Najib Tun Razak menjadikan beliau sebagai sepupu kepada Hishamuddin Tun Hussein Onn. Ini bermaksud, legasi Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn ini sedang memegang tampuk pemerintahan negara sejak sekian lama.

Jika Haji Hussein iaitu bapa kepada Tun Abdul Razak boleh berbangga apabila anaknya dan cucunya Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Sebenarnya ada orang yang lebih hebat iaitu besannya sendiri.

Ini kerana, Tan Sri Mohammad Noah itu mempunyai dua menantu ( Tun Abdul Razak & Tun Hussein Onn ) dan seorang cucu ( Dato Seri Najib Tun Razak ) sebagai Perdana Menteri. Seorang lagi cucu beliau pula iaitu Dato' Seri Hishamuddin pula menteri. Maksudnya dia ada dua orang menantu Perdana Menteri, seorang cucu Perdana Menteri dan seorang cucu sebagai Menteri.

Memang benarlah apa yang tertulis dalam kandungan muka surat hadapan autobiografi Tun Mahathir yang menyatakan Perdana Menteri-Perdana Menteri di Malaysia hampir kesemuanya terdiri dari golongan bangsawan kecuali dia.

Contohnya di Kedah, empat daripada sebelas Menteri Besar terdiri dari golongan Syed iaitu Syed Omar bin Syed Abdullah Shahabuddin, Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabuddin, Syed Nahar bin Syed Sheh Shabuddin dan Syed Razak bin Syed Zain Barakhbah.

Mahathir dan Mukhriz
Kemudiannya baru wujud keturunan Tun Mahathir Mohammad dalam pentadbiran negara apabila beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Anaknya, Mukhriz menjadi Menteri Besar mendahului Dato' Bashah kerana bapanya Perdana Menteri. Itu hakikatnya.

Begitu juga dengan Menteri Belia dan Sukan sekarang, Khairy Jamaluddin yang memenangi Ketua Pemuda UMNO merupakan menantu Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika bertanding dan Pak Lah sedang menjadi Perdana Menteri ketika itu. Memberikan beliau advantage kepadanya ketika menentang Mukhriz kerana bapanya sudah tiada dalam kuasa.

Itu baru dalam UMNO... Amalan Nepotisme didalam Pakatan Rakyat lebih parah. Lihat sajalah dalam PKR dimana Presidennya merupakan Wan Azizah dan naib presidennya pula anak beliau iaitu YB Nurul Izzah. Diwujudkan pula satu jawatan yang tiada dalam perlembagaan iaitu Ketua Umum kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dan Izzah
Wujud pula Kronisme iaitu amalan mengutamakan dan mementingkan teman rapat dalam perlantikan sesuatu jawatan ataupun pemberian sesuatu projek ataupun sebagainya apabila YB Gombak, Azmin Ali menjawat jawatan Timbalan Presiden PKR. Semua mengetahui hubungan Azmin Ali dan Anwar Ibrahim semenjak Anwar di dalam kerajaan lagi. Bahkan pimpinan tertinggi PKR digelar Triple A kerana gandingan Anwar, Azizah dan Azmin.

Dalam DAP lagi teruk... Dinasti Lim dikatakan menguasai DAP apabila Lim Kit Siang iaitu penasihat DAP mungkin penulis boleh katakan sebagai Godfather DAP mempunyai seorang anak iaitu Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP turut menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Isteri Lim Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng turut aktif dalam penglibatan politik dalam DAP apabila menjadi wakil rakyat DAP di DUN di Durian Daun dan Kota Laksamana, Melaka semenjak 1999 hingga 2013.

Karpal Singh dan Gobind Singh
" Tiger of Jelutong " itulah gelaran yang diberikan kepada Karpal Singh seorang ahli politik dan Pengerusi Kebangsaan DAP ini sudah bertanding dalam Pilihan Raya semenjak tahun 1974. Dalam 10 Pilihan Raya yang disertainya, beliau telah memenangi lapan daripadanya.

Beliau turut dikaitkan dengan Nepotisme kerana anak beliau, Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo turut terlibat dalam politik sebagai Ahli Parlimen Puchong dan wakil rakyat DUN Datuk Keramat, Pulau Pinang sekaligus dilantik sebagai EXCO Pulau Pinang.

Persoalannya... Benarkah kesemua situasi diatas ini boleh dikaitkan secara langsung dengan amalan Nepotisme dengan mementingkan dan melebihkan kaum kerabat mereka sahaja ataupun hanya sekadar persepsi.

Inilah isu yang ingin penulis kupaskan mengenai Nepotisme yang kerap kali dikaitkan dengan pemimpin di Malaysia kini. 

Bagi penulis, ahli politik yang mengikut jejak langkah ibu bapa mereka sebagai ahli politik sebenarnya bukanlah Nepotisme melainkan ia dipilih dengan kuasa dan pengaruh yang ada pada ibu bapa mereka.

Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng
aupun Karpal Singh dan Gobind Singh menang pertandingan. Persoalan mereka mengamalkan Nepotisme sukar untuk dikaitkan.

Kenapa? Hal ini kerana bukan diri mereka sendiri yang memilih tetapi perwakilan di dalam sesebuah organisasi. Memang benar, seseorang yang berpengaruh mampu mempengaruhi keputusan di dalam sesebuah organisasi namun bukan bermaskud individu tersebut mengamalkan Nepotisme.

Begitu juga di dalam senarai pimpinan PKR dimana Azizah dan Nurul Izzah menang jawatan Presiden dan Naib Presiden. Bukankah ia dipilih oleh perwakilan? Ya... Namun jika seseorang pemimpin mencorakkan sendiri organisasinya, mungkin hal ini boleh dikaitkan dengan Nepotisme.

Faktanya, segala frasa Nepotisme dalam arena politik Malaysia hanyalah persepsi semata-mata kerana sukar seseorang pemimpin melantik dengan mutlaknya anak cucu mereka sebagai pemimpin. Namun begitu, yang berbezanya ialah pengaruh dan kuasa yang digunakan mereka bagi mencatur setiap langkah untuk mengangkat anak mereka sebagai pemimpin masa hadapan. Itu sahaja.

Lagipun Nepotisme ini turut perlu dibicarakan dengan kelayakan dan kebolehan seseorang individu memimpin. Jika benar anak seorang pemimpin untuk layak memimpin, adakah salah bagi mereka untuk menerajui sesuatu organisasi ?

Pandangan tersebut turut dilontarkan oleh Tun Mahathir yang ingin menjawab dakwaan bahawa anak-anak beliau kaya raya kerana beliau seorang Perdana Menteri. Soalannya mudah, tidakkah seorang individu yang bergelar anak Perdana Menteri tidak boleh menjalankan perniagaan kerana dia seorang anak Perdana Menteri...

Bagi penulis, jika tiada penyalahgunaankuasa ataupun penyelewengan jika berkait rapat di antara ibu bapa dan anak. Tiada masalah. Tetapi jika benar untuk mewariskan sesuatu jawatan kepada suku sakat mereka, ia satu tradisi yang akan menyebabkan kita kembali ke Zaman Pertengahan.

Ketika penulis berjumpa dengan YB Wong Chen tempoh hari, beliau turut menjelaskan pandangan beliau mengenai Nepotisme ini dan ia bukanlah suatu amalan sihat. Tidak kisahlah dalam kalangan kerajaan mahupun pembangkang.

Fikirkanlah tentang amalan Nepotisme ini di Malaysia... Persepsi dicorakkan melalui pembacaan dan apa yang kita dengar... Benarkah politik Malaysia disulami dengan Nepotisme?

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen