Monday, October 14, 2013

Merenung Pemilihan Naib Presiden UMNO

Penulis mengikuti perkembangan pemilihan UMNO dengan penuh minat sekali kerana pemilihan kali ini bagi penulis dianggap sebagai Pilihan Raya yang paling penting selepas PRU-13 kerana pemimpin yang dipilih kali ini akan menentukan halatuju perjuangan orang Melayu di Malaysia memandangkan kemenangan besar UMNO dalam PRU-13.

Sebenarnya ia bukanlah sebuah kejayaan besar buat UMNO memenangi PRU-13 dengan lebihan sembilan kerusi dengan 88 kerusi Parlimen berbanding pada PRU-12 dengan 79 kerusi kerana UMNO kali ini tidak mampu memimpin komponennya seperti MCA untuk menang lebih banyak kerusi.

Tetapi kekalahan besar parti komponen Barisan Nasional selain UMNO seolah-olah memperlihatkan UMNO kali ini lebih baik daripada UMNO yang lepas. Pandangan tersebut memang benar tetapi sebagai sebuah parti yang menjadi tunjang Barisan Nasional, UMNO tidak boleh meninggalkan rakannya yang lain dalam PRU-14.

Namun penulis harap sikap setiakawan UMNO dalam BN perlu dikekalkan dalam kalangan rakan komponen mereka yang lain supaya kaum lain juga perlu dibela meskipun sokongan kaum lain terhadap BN yang ditunjangi UMNO amat rendah. Dalam kepala penulis, jika UMNO tidak mengamalkan sikap setiakawan dalam PRU-13 nanti, kemungkinan besar MCA tidak akan ada wakil di Parlimen kerana kesemua ahli Parlimen mereka yang menang berada di dalam kawasan majoriti Melayu.

Bahkan ketika penulis melihat semula beberapa kerusi Parlimen yang MCA kalah, ironinya BN boleh menang jika mereka meletakkan calon UMNO dalam PRU-13 terbabit contohnya kerusi Parlimen Alor Star di Kedah. Melayu Kedah lebih suka mengundi orang Melayu berbanding DAP... Tetapi mereka tidak sukakan UMNO... Alternatifnya mereka mengundi BERJASA.

Meskipun penulis menyifatkan kemenangan 88 kerusi Parlimen bukan suatu kejayaan, tetapi pencapaian tersebut amat memberangsangkan kerana UMNO mungkin boleh memenangi lebih kurang 95 kerusi jika mereka meletakkan calon mereka di kawasan majoriti Melayu.

Di atas cuma mukadimah... Menilai semula prestasi UMNO dalam PRU-13 yang lalu... Seterusnya penulis ingin mengulas tentang calon jawatan Naib Presiden UMNO yang ditandingi enam tokoh besar UMNO iaitu penyandangnya Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi ( Menteri Dalam Negeri ), Dato' Seri Hishammuddin Hussein Onn ( Menteri Pertahanan ) dan Dato' Seri Shafie Apdal ( Menteri Kemajuan Luar Bandar ) yang akan berdepan dengan Dato' Paduka Mukhriz Tun Mahathir ( Menteri Besar Kedah ) , Tan Sri Isa Samad ( bekas Menteri Besar Negeri Sembilan / Ahli Parlimen Jempol ) dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam ( bekas Ketua Menteri Melaka )

Seterusnya... Penulis ingin menulis apa yang terkandung dalam otak seorang remaja berusia 16 tahun terhadap kesemua enam calon ini melalui perspektif dan apa yang penulis tafsirkan setiap calon Naib Presiden parti keramat orang Melayu ini... Keramat kerr?

Dimulai dengan Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi... Selepas PRU-13, beliau menunjukkan suatu prestasi yang amat baik selepas mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri dari Dato' Seri Hishammuddin yang bertukar ke Kementerian Pertahanan.

Mungkin ditakdirkan yang menjelang PRU-13 dan Pemilihan Agung UMNO, beberapa ujian dan musibah yang dihadapi beliau sebagai seorang Menteri menjadi suatu hikmah buat dirinya kerana berjaya mengharungi cabaran tersebut dengan begitu baik

Bermula dengan krisis Lahad Datu, beliau yang menjadi Menteri Pertahanan berjaya menguruskan hal pemberontakan askar Kesultanan Sulu dengan baik meskipun terdapat beberapa orang parajurit negara yang syahid. Keberkesanan beliau sebagai individu yang bertanggungjawab dalam krisis tersebut memberikan beliau mata awal dalam mengekalkan kedudukan sebagai Naib Presiden UMNO.

Kemudiannya selepas PRU-13, beliau ke Kementerian Dalam Negeri... Menggantikan Dato' Seri Hishammuddin yang dilihat lemah dalam memimpin kementerian tersebut, membuatkan orang ramai mempunyai harapan tinggi untuk melihat sikap dan cara kepimpinan yang lebih tegas dan efektif dari pengganti yang baru iaitu Zahid Hamidi.

Ujian yang memeningkan kepala Zahid Hamidi adalah mengenai peningkatan kes jenayah berat terutamanya kes tembak. Hal yang berpunca dari pembebasan tahanan Ordinan Darurat ini telah menjadi masalah besar buat negara kerana kekerapan kes tembak yang seringkali dilaporkan oleh media di muka surat hadapan dan tajuk utama berita telah membuatkan rakyat berasa terancam.

Tugas berat Zahid Hamidi untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan bagi membantaeras jenayah ini telah diterjemahkan oleh beliau dengan Ops Cantas yang mana telah berjaya memberkas ratusan suspek yang melakukan jenayah dan menembak mati beberapa orang penjenayah.

Zahid Hamidi mendapat satu lagi mata kerana selepas susulan Ops Cantas, lebih ramai penjenayah mati di tangan polis berbanding rakyat mati di tangan penjenayah meskipun mendapat kecaman dari beberapa pihak yang menanggap tindakan PDRM sebagai ganas dan tidak mengikut protokol.

Hal ini jelas menunjukkan kepimpinan Zahid Hamidi yang agresif sekaligus mendapatkan mata kedua beliau dalam Pemilihan UMNO kali ini. Tindakan seperti menyenaraikan nama kumpulan kongsi gelap dan kenyataan tembak-menembak menaikkan reputasinya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Kejayaan meluluskan rang undang-undang Akta Pencegahan Jenayah ( PCA ) turut meletakkan Zahid Hamidi sebagai calon favourite dalam Pemilihan UMNO kali ini walaupun kerap kali ditentang oleh kumpulan yang memperjuang hak asasi manusia. Bagi penulis, kes-kes jenayah berat yang seringkali dilaporkan di dada-dada akhbar merupakan harga yang perlu dibayar orang awam kerana ingin mempertahankan hak segelintir manusia.

Jika ditanya sama ada penulis akan mengundi beliau dalam Pemilihan UMNO. Penulis berkata beliau merupakan yang paling layak dalam kesemua 6 calon ini. Tidak hairanlah Zahid Hamidi kelihatan selesa dalam mempertahankan jawatannya ini sebagai Naib Presiden.

Adakah beliau akan menang dalam Pemilihan UMNO ini... Penulis yakin dan percaya bahawa Zahid Hamidi akan berada dalam senarai tiga Naib Presiden UMNO penggal kali ini. Bahkan beliau akan mendapat undi tertinggi dalam Pemilihan UMNO kali ini. Itu ramalan penulis.

Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn... Anak kepada Tun Hussein Onn... Cucu kepada Onn Jaafar...Anak Perdana Menteri... Sepupu Perdana Menteri... Anak Saudara Perdana Menteri... Anak Menteri Besar... Menantu Raja... Besan Datuk K... Beliau tidak dapat lari dilabel sebagai pemimpin berketurunan bangsawaan.

Meskipun terpalit dengan isu menghunus keris pada Perhimpunan Agung UMNO pada 2005, beliau dilihat sebagai seorang pemimpin yang lebih Melayu daripada orang lain walaupun mendapat kecaman pelbagai pihak terutamanya masyarakat Cina.

Prestasi beliau sebagai Menteri Dalam Negeri yang dijawatnya sebelum PRU-13 dipersoalkan ramai pihak. Beliau dianggap gagal menguruskan Kementeriannya berikutan beberapa siri demonstrasi Bersih yang mana dilihat orang ramai sebagai tidak cekap.

Selain itu, beliau juga dianggap sebagai menteri yang tidak efisien dalam menerajui Kementerian Dalam Negeri dan ramai mengatakan beliau tidak cukup taring ataupun tegas dalam kepimpinannya. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana keadaan ketika itu tidak mengizinkan beliau melakukan apa yang dilakukan Zahid Hamidi sekarang.

Selepas PRU-13 dimana beliau menukar jawatan ke Kementerian Pertahanan, suara beliau agak perlahan mungkin kerana jawatannya yang mana kurang masuk TV dan isu di Kementerian Pertahanan tidak mendapat liputan seperti mana Menteri Dalam Negeri dapat. Namun perlu diingatkan bahawa beliau turut memangku jawatan Menteri Pengangkutan yang disimpan untuk MCA. Namun apa sangat yang Menteri Pengangkutan boleh cakap sewaktu sidang media. Mungkin Ops Cantas Rempit...

Ahli Parlimen Sembrong ini dari pandangan penulis sudah kehilangan taring kerana beliau tidak mampu menonjolkan diri beliau sebagai pemimpin berkaliber yang boleh membantu parti memperkukuhkan kedudukan selepas PRU-13. Justeru itu, kedudukan dalam bahaya jika dibandingkan dengan panyandang yang lain

Ini kerana penulis melihat secara keseluruhannya beliau sukar mendapat undi dari mana-mana bahagian luar Johor. Kemungkinan besar solid support dari bahagian Johor cuma bagaimana mereka di Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor yang mana penulis sifatkan sebagai bahagian neutral. Penulis tidak fikir mereka akan memberi sokongan kepada beliau.

Penulis menyimpulkan bahawa Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn akan gagal mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden UMNO kali ini, bukan kerana beliau lemah tetapi kerana pertandingan ini diibaratkan buku bertemu ruas.

Dato' Seri Shafie Apdal dari Semporna Sabah pula bagi penulis menjadi pilihan untuk terus menerajui kepimpinan tertinggi UMNO. Walaupun dianggap bukan calon favourite, penulis percaya beliau merupakan satu pemimpin yang diiktiraf oleh akar umbi di Malaysia Timur ataupun Sabah dan Sarawak.

Beliau dilihat low-profile dan down to earth sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan perkara ini diakui sendiri oleh rakan penulis dimana ayahnya merupakan seorang CEO dalam sebuah agensi dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar.

Meskipun tidak nampak kekuatan beliau sebagai seorang Naib Presiden UMNO, penulis menganggap beliau sebagai seorang Menteri yang lebih kuat bekerja daripada berpolitik di atas pentas sejajarnya dengan tugasnya sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar. Presiden UMNO meletakkan beliau disitu mungkin kerana asal usulnya dari Sabah yang kurang maju, justeru itu beliau sudah pasti memahami aspirasi rakyat Timur Malaysia dalam membangunkan Sabah dan Sarawak.

Beliau tidak mempunyai banyak isu melainkan sebuah laporan yang mendakwa beliau sudah berkahwin dengan seorang pelakon, Zahida Rafik yang dinafikan beliau dan Zahida sendiri. Isu ini telah maut ditelan zaman dan jika ia berlarutan sekalipun, bukanlah sesuatu yang perlu difikir panjang oleh dirinya kerana isu seperti ini terlalu peribadi untuk menjadi polemik.

Adakah beliau akan menang... Sejujurnya penulis tidak mampu untuk memberikan satu jawapan ya atau tidak mengenai wakil Sabah ini. Tetapi kira-kira kasar penulis beliau berpeluang menang dalam pemilihan ini dengan dua syarat beliau mendapat sokongan padu dari bahagian di Sabah dan Sarawak.

Syarat kedua adalah memperoleh sekurang-kurangnya lima undi bahagian daripada Semenanjung Malaysia dan bersandarkan nasib undi kepada terhadap lima orang calon Semenanjung banyak berpecah membuatkan jurang sokongan beliau terhadap mana-mana calon favourite Semenanjung sedikit tinggi.

Dalam erti kata lain, beliau mungkin menang... Beliau mungkin kalah... Tapi entahlah... Telahan hati penulis mengatakan bahawa Shafie Apdal akan turut tumbang dalam saingan kali ini. Atau mungkin menang dengan kedudukan ketiga ataupun kalah dengan kedudukan keempat. Itu saja yang mampu penulis luahkan buat beliau.

Calon seterusnya, Dato Paduka Mukhriz Mahathir yang merupakan anak kepada Perdana Menteri Malaysia dan kini Menteri Besar Kedah. Kehadiran saat akhir beliau dalam gelanggang merebut salah satu kerusi jawatan Naib Presiden ini telah menghangatkan lagi arena Pemilihan UMNO.

Beliau boleh dianggap sebagai calon fresh dan merupakan muka baru yang menjadi membawa sinar harapan perubahan besar di dalam UMNO. Dengan slogan Berani Berubah, beliau giat berkempen bagi merebut jawatan ketiga tertinggi dalam UMNO itu.

Selepas tumpas dalam Pemilihan sayap Pemuda UMNO yang lepas, percaturan beliau tepat apabila beralih dari Parlimen Jerlun ke DUN Ayer Hitam, Kedah. Tindakan ini diambil mungkin atas persetujuannya dan Presiden UMNO untuk melantik beliau sebagai Menteri Besar Kedah seandainya BN menang di Kedah.

Ya... Langkah yang diambil BN menamakan beliau sebagai Menteri Besar Kedah jika BN menang sesungguhnya membuahkan hasil apabila BN berjaya merampas Kedah dengan gayanya dan Mukhriz dilantik menjadi Menteri Besar.

Meskipun ketika itu jawatan Perhubungan UMNO Kedah dipegang oleh Dato Ahmad Bashah Mat Hanipah, sokongan padu gandingan Bashah-Mukhriz di Kedah tidak berdepan sebarang masalah kerana kedua-duanya melengkapi diantara satu sama lain. Mukhriz perlu banyak berterima kasih kepada Ahmad Bashah kerana memberi laluan dalam memimpin pergerakan BN di Kedah sehingga tumbangnya PAS.

Mukhriz Mahathir membawa satu dimensi baharu buat perwakilan UMNO sejajar dengan transformasi meremajakan UMNO kerana usianya yang paling muda dalam kalangan calon Naib Presiden yang lain. Seterusnya menjadi pilihan bagi mereka yang mendukung hasrat tersebut dan anak muda di dalam UMNO.

Penulis bersama Dato Paduka Mukhriz
Beliau mengutip mata dari minit pertama kerana beliau merupakan anak Tun Mahathir. Mata kedua beliau dipungut kerana beliau berjaya merampas Kedah kembali kepada BN. Perkara lain yang membuatkan beliau mempunyai kelebihan adalah kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Dalam kalangan pencabar yang tiga iaitu Isa Samad dan Ali Rustam... Beliau dilihat paling bersih dan seperti penulis katakan fresh... Jika benar UMNO mahukan perubahan dalam kepimpinan mereka, sememangnya Dato Paduka Mukhriz Mahathir menjadi pilihan pertama mereka.

Justeru itu, penulis optimis bahawa calon dari Utara tanahair ini akan mengisi kerusi Naib Presiden UMNO walaupun berdepan dengan tuduhan liar dari luar yang mengatakan bahawa beliau dan TS Muhyiddin berpakat menjatuhkan Presiden mereka selain ada yang mengatakan bahawa Tun Mahathir ingin mengangkat anaknya menjadi Perdana Menteri sepertinya.

Penulis menjangkakan bahawa Dato Paduka Mukhriz Mahathir akan mendapat sokongan padu dari bahagian seluruh Perlis, Kedah dan mungkin juga Pulau Pinang. Selain itu, kemungkinan terdapat beberapa perwakilan dari Selangor akan memilih beliau sebagai Naib Presiden.

Penulis amat yakin bahawa beliau akan memenangi jawatan Naib Presiden kali ini dengan tanpa sebarang masalah. Mungkin berada di kedudukan kedua ataupun ketiga melihat kepada pilihan yang ada pada perwakilan UMNO untuk mengundi.

Tan Sri Isa Samad, bekas Naib Presiden UMNO ini turut mencuba nasib untuk kembali memanaskan kerusinya selepas kemenangan beliau pada tahun 2004 sebagai Naib Presiden UMNO ditarik balik kerana didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Meskipun digantung tiga tahun, perjuangan beliau dalam arena Politik tidak berhenti disitu sahaja. Beliau kembali pada tahun 2009 apabila menjadi calon BN dalam Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang dimana beliau berjaya mengalahkan calon PAS dengan majoriti besar menunjukkan beliau mempunyai sokongan kuat daripada penduduk Negeri Sembilan.

Penulis menganggap bahawa beliau tidak layak untuk menerajui UMNO di Pusat tetapi lebih baik memperkukuhkan kedudukan UMNO di Negeri Sembilan selepas terdapat beberapa kerusi DUN yang tewas kepada Pakatan Rakyat.

Faktor usia bagi penulis memainkan peranan penting dalam memilih seseorang untuk mengisi jawatan Naib Presiden UMNO meskipun dalam konteks lain ada mengatakan beliau berpengalaman. Tetapi track record beliau penulis tidak nampak dimana kelebihan yang ada pada Tan Sri Isa Samad melainkan ingin kembali kepada jawatannya yang lepas.

Beliau yang berusia 64 tahun ini merupakan antara yang tertua dalam kalangan calon yang lain iaitu Zahid Hamidi ( 60 tahun ), Shafie Apdal ( 56 tahun ), Hishammuddin ( 52 tahun ), Mukhriz ( 49 tahun ) cuma Ali Rustam sahaja yang seusia dengannya.

Dalam erti kata lain, penulis menganggap beliau sebagai kuda tua yang sudah berehat lama yang masih lagi memasuki pertandingan lumba kuda. Sudah pasti prestasi beliau tidak sehebat sewaktu zaman kegemilangannya hampir 10 tahun yang lepas.

Soal Tan Sri Isa Samad akan menang ataupun tidak... Perspektif penulis beliau tidak akan menerima undi bahagian yang luar daripada Negeri Sembilan, bahkan penulis rasakan bahawa terdapat perwakilan dari Negeri Sembilan sendiri yang tidak memihak kepadanya.

Beliau tidak bersedia untuk membuatkan comeback selepas berjaya ke Parlimen tempoh hari, beliau dilihat oleh penulis sebagai hanya calon yang saja nak memeriahkan arena pertandingan Naib Presiden sahaja. Tidak lebih daripada itu... Taring Tan Sri tidak setajam dahulu.

Oleh itu, penulis menyimpulkan bahawa Tan Sri Isa Samad tidak akan menang dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO ini. Bahkan beliau merupakan calon underdog sekali dan akan berada di tangga terbawah dalam pemilihan kali ini.

Datuk Seri Mohd Ali Rustam... Meskipun beliau seusia dengan Tan Sri Isa Samad. Penulis membayangkan bahawa tenaga yang ada pada bekas Ketua Menteri Melaka ini sebagai luar biasa. Ini kerana meskipun kalah dalam PRU-13 di Parlimen Bukit Katil, beliau tidak patah semangat tetapi tetap meneruskan perjuangannya.

Sebelum itu, beliau tersungkur di jawatan Timbalan Presiden UMNO 2009 apabila didisqualifiedkan kerana didapati mengamalkan politik wang ketika berkempen. Beliau dilihat sebagai individu yang cukup berpengaruh ketika itu apabila ingin melangkah setapak ke hadapan untuk mencabar Tan Sri Muhyiddin dan Tan Sri Muhammad Taib.

Malangnya, pelucutan hak bertanding Ali Rustam menyebabkan jawatan Timbalan Presiden UMNO hanya berdepan dengan saingan satu lawan satu di antara Muhyiddin dan Muhammad Taib. Muhammad Taib dilihat ketika itu tidak setanding dengan Muhyiddin cuma Ali Rustam sahaja yang mampu mencabar Muhyiddin.

Walaubagaimapun, meskipun kalah di Timbalan Presiden dan kalah di Bukit Katil. Itu bukanlah last term Ali Rustam... Ali Rustam dilihat amat bersedia dalam cabaran kali ini dan mungkin pengalaman yang lepas mengajarnya erti terus berjuang hingga ke penghujung.

Beliau dilihat efektif dalam membangunkan Melaka ketika era pemerintahannya sebagai Ketua Menteri. Melaka maju dengan pengiktirafan dari UNESCO dan sebagainya. Kepimpinannya juga terserlah apabila terlibat dalam beberapa badan antarabangsa seperti Dunia Melayu Dunia Islam ( DMDI ), World Youth Foundation ( WYF ) dan hubungan baik beliau dengan wilayah pentadbiran di Indonesia dan China.

Beliau merupakan seorang calon yang bercita-cita tinggi dan berpandangan jauh dalam kalangan kesemua calon-calon Naib Presiden. Sudah pastinya kemasukan beliau dalam pertandingan enam penjuru ini hanya menuju satu misi iaitu menduduki semula jawatan Naib Presiden UMNO.

Ali Rustam dilihat penuh bersedia meskipun tidak menjadi Ahli Parlimen, beliau telah dilantik menjadi Senator selepas Melaka mempersetujui usul melantik beliau ke Dewan Negara seterusnya jika beliau menang jawatan Naib Presiden, beliau akan terus menjadi Menteri.

Ini menunjukkan beliau amat yakin sekali dan tidak mahu tersungkur sekali lagi dalam pemilihan kali ini. Penulis melihat beliau merupakan antara calon yang turut akan mengisi jawatan Naib Presiden UMNO ini dengan sokongan padu bahagian dari Melaka.

Cuma beliau berdepan kesukaran untuk mendapatkan sokongan dari bahagian luar Melaka sahaja. Namun jika hendak dibandingkan dengan Hishamuddin ataupun Isa Samad, beliau lebih menyerlah justeru itu, penulis merasa beliau akan mendapat sokongan dari bahagian UMNO Pantai Timur.

Kedudukan Ali Rustam agak kabur kerana beliau perlu berhempas pulas untuk menduduki sebuah lagi kerusi kosong sama ada Ali Rustam ataupun Shafie Apdal sahaja. Penulis menjangkakan bahawa Zahid Hamidi dan Mukhriz Mahathir dilihat calon yang hampir pasti menduduki kerusi Naib Presiden.

Walaubagaimanapun, penulis tetap memilih Ali Rustam berbanding dengan Shafie Apdal. Entah mengapa tetapi penulis merasakan bahawa Ali Rustam lebih menyerlah dalam kepimpinannya.

Secara keseluruhannya, penulis menjangkakan bahawa gandingan Z,A,M iaitu Zahid Hamidi, Ali Rustam dan Mukhriz Mahathir akan mengisi jawatan Naib Presiden UMNO kali ini. Dan jika ini berlaku, gandingan ini penulis sifatkan sebagai gandingan paling mantap kerana meletakkan tiga personaliti daripada tiga situasi berbeza.

Zahid Hamidi dengan penyelesaiannya yang begitu tegas dan berani. Ali Rustam dengan corak pemikirannya yang lebih luas dan pengalaman beliau sebagai Ketua Menteri akan membantu menjalankan tugas sebagai Menteri manakala Mukhriz Mahathir pula boleh menjadi penggerak perubahan yang diimpikan seluruh ahli UMNO seiring dengan slogan Berani Berubah.

Apa pun keputusannya, ahli UMNO patut menerima keputusan dengan hati terbuka dan sepatutnya bersatu dibawah payung baharu UMNO bukannya berpecah belah memandangkan sokongan Melayu semakin meningkat terhadap UMNO dengan Agenda Pemerkasaan Bumiputera.

Walau apa pun agenda yang ingin dibawa, kerajaan perlu memastikan bahawa objektif dan sasarannya tercapai dan nikmat dapat dirasai dari seorang eksekutif syarikat swasta sehingga penjual nasi lemak di tepi jalan. Bukan hanya menguntungkan segelintir orang kaya-kaya.

Melihat kepada Pemilihan Sayap UMNO, penulis amat mengharapkan supaya keputusan bahagian keluar lebih cepat dan segera bukannya sehingga keesokkan harinya. Ini akan menyusahkan semua pihak yang menanti keputusan paling sengit dalam sejarah pemilihan Naib Presiden.

Jawatankuasa Pemilihan perlu lebih banyak belajar daripada SPR yang berjaya mengumumkan keputusan seawal jam 8 malam dan keputusan penuh dapat diketahui sekitar jam 3 pagi pada PRU-13 yang lepas. Itu mereka kira 9 juta undi... UMNO nak kira 300,000 kertas undi takkan susah kot.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen