Wednesday, May 29, 2013

Fakta Yang YB Rafizi Ramli Enggan Dedah

Dah jadi YB saudara Rafizi Ramli kita dimana beliau menang di Pandan dengan majoriti sebanyak 26, 729 undi ... Satu jumlah yang besar buat orang baharu seperti beliau.. Masih ingat dalam video Manifesto Pakatan Rakyat yang ingin menurunkan harga kereta dengan menghapuskan cukai eksais ?

Yaa... Video tersebut... Ada penulis ulas di[sini] dan [ sini ] kerana penulis beranggapan bahawa janji untuk menurunkan harga kereta dengan menghapuskan cukai eksais sebagai tidak relevan jika dilihat pada realiti semasa. Kenapa ?

YB Rafizi Ramli sebelum menjadi wakil rakyat dalam video Turunkan Harga Kereta Untuk Rakyat ada menyatakan bahawa rakyat terbeban dengan hutang kereta yang dikatakan sebanyak Rm 134.2 billion sehingga Mei 2012.

Seperti yang penulis katakan sebelum ini, hutang Rm 134.2 billion ini bukan hanya hutang kereta Myvi, Persona, Nissan Grand Livina atau mungkin Kia Forte tetapi juga diambil termasuk hutang sebuah BMW 6series, Porsche Carrera S dan mungkin juga Mercedes E-Class.

Adakah mereka beli dengan cash... Tidak!!! Mereka juga berhutang tetapi kerana kemampuan yang mereka ada... Mereka sanggup untuk membeli kereta mewah kerana mampu untuk membayar ansuran bulanan sama seperti rakyat yang lain.

Sebab itu penulis kata... Menurunkan harga kereta akan menjahanamkan perniagaan autombil nasional yang bergantung pada pasaran tempatan disebabkan oleh rakyat yang akan memilih kereta luar.

Adakah mereka terbeban ??? Apa tanda-tanda rakyat terbeban ???

Tanda rakyat terbeban dengan hutang kereta adalah jika jumlah jualan kereta berkurangan... Itu salah satu tandanya kerana rakyat tidak larat untuk membayar ansuran bulanan kereta yang mereka beli... Namun kata-kata YB Rafizi Ramli yang mengatakan rakyat terbeban tidak benar sama sekali.

Melihat kepada laporan bulan Mac yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Automotif Malaysia ( MAA ) menunjukkan bahawa jualan kenderaan pada suku pertama tahun ini memberangsangkan jika dibandingkan dengan tahun lepas.

Pada tahun 2012, sehingga bulan Mac, sebanyak 138,544 unit kenderaan didaftarkan manakala tahun ini pada tempoh yang sama, sebanyak 157,664 unit kenderaan didaftarkan dimana menunjukkan peningkatan sebanyak 19,120 unit kenderaan.

Tatkala rakyat 'terbeban' , rakyat Malaysia masih lagi mampu untuk membeli 157,664 unit kenderaan iaitu melebihi 13.8% jualan tahun lepas... Mungkin rakyat Malaysia tidak cukup beban untuk dipikul disebabkan itulah mereka membeli lebih banyak kereta.

Menurut MAA lagi, mereka menganggarkan pasaran automotif tahun ini akan meningkat daripada 628,000 unit kepada 640,000 unit melihat kepada prestasi jualan kenderaan pada suku pertama ini. Angka ini akan boleh dicapai jika dikaji dengan jumlah pendaftaran kini dimana jika jumlah yang sama didaftarkan untuk suku seterusnya sehingga akhir tahun. Sebanyak 632,000 unit kereta didaftarkan.

Dan penulis percaya, bulan Jun,Julai dan Ogos akan memperlihatkan pasaran automotif begitu aktif kerana orang Melayu gemar menukar kenderaan sebelum Aidilfitri. Hal ini membolehkan jangkaan MAA bahawa 640,000 unit kenderaan akan didaftarkan akan tercapai.

Jangan pula kata jualan kereta akan sentiasa bertambah tahun ke tahun kerana jumlah populasi yang berkembang... Jika perkara ini digunapakai untuk menjawab persoalan kenapa jumlah jualan kereta bertambah, penulis fikir ia tidak relevan.

Dalam statistik yang dikeluarkan oleh MAA sebelum ini, terdapat beberapa kali jualan pada sesetengah tahun merudum jika dibandingkan dengan tahun yang sebelumnya. Justeru itu, pasaran kereta di Malaysia dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi yang semasa sama ada sihat ataupun tidak.

Jika sihat, jualan akan meningkat jika kurang sihat pada tahun berkenaan, jualan akan merudum contohnya pada tahun 2009 selepas krisis kewangan dunia pada tahun 2008 menunjukkan penurunan jumlah jualan sebanyak 12,000 unit kepada 536,000 daripada 548,000 unit

Namun selepas keadaan kembali pulih, jualan  kereta meningkat dengan tinggi sekali iaitu sehingga hampir mencecah 70,000 unit lebih tinggi daripada tahun 2009 iaitu 605,000 unit pada tahun 2010.

Saturday, May 25, 2013

Selamat Hari Guru

Masih belum terlewat bagi penulis untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada insan yang sentiasa mencetuskan ilham bagi seseorang itu untuk berjaya. Tidak dinafikan, kerjaya sebagai guru ini merupakan ibu segala kerjaya kerana tanpa guru... Tidak akan lahirlah jurutera, arkitek, peguam, pakar ekonomi mungkin juga angkasawan.

Sehebat mana pun anda... Anda akan merasa rendah diri bila berdiri di hadapan anda seorang insan bergelar guru... Kerana merekalah yang mengajar kita erti kehidupan tatkala ibu dan bapa kita berkerja siang dan malam.

Jadi bagi menghargai jasa guru... Penulis bekerjasama dengan rakan-rakan penulis lain untuk menayangkan sebuah video kepada guru sempena Sambutan Hari Guru pada 23 Mei yang lepas.

Ideanya tercetus apabila penulis berbincang dengan rakan penulis yang lain tentang bagaimana untuk meraikan Sambutan Hari Guru dengan lebih meriah... Terdetik di hati untuk merakam video apabila melihat video yang kelakar dibuat oleh rakan penulis iaitu TheMioBrotherhood .

Jumaat lalu penulis beritahu main directornya mengenai idea tersebut... Kemudian Sabtu beliau membuat skrip dan Ahad kami membincangkan mana-mana scene yang boleh ditambahbaik... Hari Isnin hingga Rabu kami membuat penggambaran dan hari Khamis adalah tayangan perdana...

Berikut... Merupakan hasil karya rakan penulis yang dibantu oleh penulis sendiri...



Monday, May 20, 2013

Mr. Bean Hina Kereta Proton ?

Pernahkah anda menonton siri sitkom Mr. Bean di televisyen ? Sudah pasti anda pernah kerana siri komedi British itu merupakan salah satu siri yang dipertontokan di seluruh dunia tanpa perlu memahami apa yang karekter tersebut berkata.

Siri televisyen Mr. Bean dikeudarakan pada 1 Januari 1990 hingga 31 Oktober 1995 di saluran televisyen BBC. Watak Mr. Bean diperkembangkan oleh Rowan Atkinson sebagai seorang kanak-kanak yang berada di dalam badan seorang dewasa ketika beliau menuntut di Universiti Oxford.

Dalam siri tersebut, Mr. Bean sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan dua perkara iaitu Teddy Bearnya yang beliau panggil Teddy dan kereta Mininya yang berwarna hijau dimana mempunyai mangga kunci sendiri dan stering yang boleh dicabut keluar.

Terdapat sebuah episod yang dipanggil " Tee Off, Mr. Bean " yang merupakan episod ke-12 siri komedi terbabit dimana pada babak pertama ia mengisahkan situasinya di sebuah kedai dobi dan yang kedua beliau bermain Krazy-Golf di sebuah padang.

Pada lubang pertama, beliau telah berjaya menolak masuk bola hingga masuk ke lubangnya hanya dengan satu pukulan. Kira Hole in One laa... Pada lubang kedua yang kelihatan mudah, Mr. Bean mengambil mudah kerana tiada halangan dari Tee Off hingga ke lubang cuma jaraknya sedikit jauh. Pukulan Mr. Bean tersasar sehingga ke pagar padang berkenaan.

Beliau cuba mengambil bola terbabit tetapi telah disergah oleh penjaga padang berkenaan yang meminta Mr. Bean supaya tidak menyentuh bola terbabit. Mr. Bean pun cuba membuat pukulan dari tepi pagar berkenaan ke lubang kedua tetapi beliau telah tersilap langkah membuatkan bola tersebut keluar dari kawasan padang.

Hingga ke suatu babak dimana ketika di sebuah taman tatkala bola diatas kon ais krim seorang kanak-kanak. Beliau telah memukul bola golf terbabit hingga memasuki ke dalam paip ekzos kereta Proton Saga Iswara milik seorang lelaki tua.

Beliau cuba untuk mengeluarkan bola golf tersebut dari paip eksos dengan mengetuk paip ekzos namun beberapa ketika selepas itu, pemilik kereta Proton Saga Iswara itu datang lalu masuk ke dalam kereta dan menghidupkan kenderaan. Ini menyebabkan paip ekzos bergerak-gerak mungkin kerana asapnya tidak dapat keluar.

Mr. Bean menjauhkan diri dari belakang Proton Saga Iswara mungkin kerana takut apa-apa terjadi dengannya. Telahan Mr. Bean benar kerana kereta Proton Saga Iswara itu telah meletup enjinnya dan bola golf di dalam paip ekzos pun terkeluar namun jatuh ke dalam longkang saliran.

Akhir sekali selepas beberapa dugaan, Mr. Bean berjaya memasukkan bolanya ke dalam lubang kedua dengan 3,472 pukulan.

Penulis ada menceritakan tentang hal ini kepada kawan-kawan. Ada yang menganggap ia sebagai penghinaan kepada kereta Proton ada pula yang beranggapan yang ia sekadar lawak jenaka Mr. Bean...

Penulis mengambil sikap neutral berkenaan perkara ini dimana mungkin tindakan ini diambil untuk mempromosikan kereta Malaysia di dalam sitkomnya atau mungkin juga sebagai hinaan kerana kereta ini meletup hanya kerana sebiji bola golf.

Mengikut apa yang penulis baca di internet, mereka mengatakan bahawa jika terdapat apa-apa halangan di ekzos, ia akan terkeluar kerana tekanan yang tinggi di dalamnya ataupun enjin akan mati selepas beberapa saat.

Tiada letupan seperti mana yang digambarkan oleh Mr. Bean dalam episod berkenaan.

Proton Saga Iswara meletup kerana bola golf tersumbat di ekzos
Anda boleh menganggap ia sekadar lawak jenaka yang mempromosikan kereta nasional dengan cara yang terbalik. Ataupun boleh menganggap sebagai hinaan oleh Mr. Bean terhadap kereta Proton Iswara terbabit kerana menggambarkan seolah-olah kereta buatan Malaysia begitu lekeh dan cepat rosak.

Di dalam episod berkenaan ketika bola golf berada di padang besar... Mr. Bean telah ingin kembali ke padang golfnya dengan memotong tanah dimana bola golfnya menaiki kereta dengan menahan sebuah kereta tiga tayar berwarna biru cair. Namun apabila kereta itu berhenti dan membuka pintu untuk membenarkan Mr. Bean naik... Beliau tidak naik dan hanya menunggu disitu sehinggalah kereta yang seterusnya datang.

Reliant Regal Supervan III selalu menjadi mangsa Mr. Bean
 
Kereta tiga tayar berwarna biru cair untuk sebenarnya kereta jenama Reliant iaitu pengeluar kereta British yang diasaskan pada tahun 1935 tetapi telah ditutup pada tahun 2002. Kereta tersebut merupakan model Regal Supervan III.

Kenapa Mr. Bean benci sangat dengan kereta tersebut ???

Ia bermula pada episod pertama lagi dimana Mr. Bean lewat ke peperiksaan Matematik. Ketika di jalan raya, beliau cuba memotongnya beberapa kali terakhir dimana Mr. Bean berjaya memotongnya dan menghimpit kereta tersebut sehingga kereta itu terbalik. Pemandu kereta Regal Supervan III ini tidak pernah kelihatan di dalam mana-mana episod siri Mr. Bean.

Anda kena ingat... Kereta yang Mr. Bean pandu ketika itu berwarna oren bukannya hijau... Kereta tersebut tidak digunakan lagi selepas beberapa episod apabila rosak di luar penggambaran menyebabkan mereka menggantikan Mini MK II kepada Austin Citron.

Selain daripada itu... Kereta tersebut sering menjadi mangsa adalah kerana kestabilannya yang lemah dimana senang terbalik. Disebabkan itulah Mr. Bean gemar membuli kereta tersebut selain pernah melanggar kereta tersebut semata-mata ingin mengambil parking.

Terdapat beberapa perkara yang kita tidak tahu mengenai Mr. Bean... Salah satunya apakah nama pertama Mr. Bean... Nama pertama Mr. Bean tidak pernah didedahkan namun ada yang mengatakan nama pertamanya ada " Mr. ".

Siri sitkom ini telah ditayangkan hampir 245 negara dan lebih 50 buah syarikat penerbangan menayangkan sitkom Mr. Bean ketika di udara kepada pelanggan mereka kerana mudah difahami disebabkan kurangnya komunikasi bahasa oleh Mr. Bean melainkan gerak badan.


Sunday, May 12, 2013

Siapa Menteri Kabinet ?

Angkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 6 Mei

Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas kemenangan BN dengan 133 kerusi Parlimen pada 6 Mei lalu. Apa yang masih belum ditentukan adalah jawatan menteri kabinet beliau yang mungkin belum dibincangkan lagi.

Kali ini, penulis ingin membicarakan tentang pelantikan ahli-ahli Parlimen BN sebagai menteri selepas terdapat beberapa menteri kalah dalam PRU yang lepas. Jawatan sebagai menteri sememangnya ditunggu-tunggu oleh kesemua ahli parlimen kerana ia merupakan satu batu loncatan untuk terus melonjak di dalam arena politik.

Seramai empat orang menteri telah kalah pada PRU 13 iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung yang bertanding di Alor Star dikalahkan oleh calon DAP. Calon BN di Lumut, Dato Seri Kong Cho Ha yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan, Tan Sri Bernard Dompok yang kalah di Penampang memegang jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar iaitu Dato Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang kalah di tangan Nurul Izzah di Lembah Pantai.

Menteri lain yang tidak bertanding juga menambah lagi kekosongan jawatan menteri iaitu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang disandang Datuk Seri Dr Rais Yatim di Jelebu dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yaacob di Tasek Gelugor. Naib Presiden MCA, Dato Seri Dr. Ng Yen Yen yang menjadi Menteri Kesihatan juga tidak bertanding di Raub, Pahang dan juga Dato Seri Khaled Nordin yang bertukar menjadi ADUN Permas.

Ini menjadikan kekosongan semasa kerusi Parlimen menjadi lapan... MCA pula enggan wakilnya menjadi menteri kerana prestasi buruk MCA pada Pilihan Raya yang lepas menjadikan kerusi Menteri Kesihatan kosong. Manakala jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat masih lagi disandang oleh Dato Seri Najib Tun Razak apabila Datuk Seri Shahrizad Abdul Jalil meletak jawatan kerana terpalit dengan skandal NFC.

Jadi siapakah yang akan menduduki kerusi-kerusi kosong diatas... Penulis menjangkakan akan berlaku rombakan berikutan kekalahan sebilangan menteri dan kemenangan beberapa calon muka baru BN.

Penulis berpendapat bahawa Presiden MIC, Dato G. Palanivel yang menang di Cameron Highland akan diberikan status menteri berikutan prestasi MIC yang meningkat meskipun sedikit. Menteri apa? Penulis tidak tahu tetapi mengikut kira-kira penulis, jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sesuai buat wakil masyarakat India itu.

Mungkin tidak menerima jawatan menteri


Disebabkan MCA tidak mahu menerima sebarang lantikan sebagai Menteri, penulis percaya bahawa kekosongan ini bakal diisi oleh wakil rakyat UMNO ataupun wakil rakyat dari parti komponen di Sabah dan Sarawak. Ini kerana kemenangan BN kali ini dijana oleh kemenangan besar UMNO termasuklah hasil kemenangan BN di Sabah dan Sarawak.

Justeru itu, penulis berasa Barisan Nasional perlu menambah kuota kerusi untuk ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak manakala pemimpin-pemimpin UMNO yang lain perlu diberikan peluang untuk bersama dalam Jemaah Menteri.

Antaranya mungkin boleh dipilih Dato' Seri Jamaluddin Jarjis yang mana sudah tidak berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat sebagai Menteri Luar. Melihat pengalaman beliau dalam hubungan luar seperti kejayaan menempatkan angkasawan Malaysia ke dalam program ke angkasa lepas, penulis berasa beliau amat sesuai dengan jawatan tersebut.

Dato Seri Anifah Aman menang di Kimanis, Sabah
Walaubagaimanapun, ini bukan bermaksud bahawa Dato Seri Anifah Aman tidak lagi akan menjadi menteri. Penulis percaya bahawa beliau turut akan diberi peluang untuk menyumbang bakti sebagai menteri mungkin di kementerian lain.

Mengenai jawatan Menteri Belia dan Sukan... Penulis percaya akan berlaku penukaran portfolio disana kerana melihat pada situasi selepas Pilihan Raya, terdapat ramai muka baru yang boleh berkhidmat dengan cemerlang disana bagi menggantikan Dato Seri Shabery Cheek. Sebelum diteruskan, bukan penulis nak kata beliau tak layak... Tapi ada calon yang dari kaca mata penulis boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Antaranya adalah Dato Seri Shahidan Kassim yang menang di Parlimen Arau menentang Tuan Guru Haron Din. Beliau yang pernah menjadi Presiden Kesatuan Olahragawan Malaysia ( KOM ) dan membawa zaman kegemilangan pasukan bola sepak Perlis ketika menjadi Menteri Besar Perlis dahulu layak untuk dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Kira tak ada alasan la nak pertikaikan dia jika dilantik sebagai menteri.

Tan Sri Annuar Musa, menang di Ketereh
Namun perlu diingatkan... Kalau nak cerita pasal prestasi bab bola... Tan Sri Annuar Musa berjaya membawa Kelantan menjadi juara treble pada musim yang lepas. Kali ini pula beliau menang di kerusi Parlimen Ketereh... Sejujurnya, penulis kagum dengan apa yang Tan Sri Annuar Musa lakukan terhadap bola sepak Kelantan. Kini, dimana sahaja Kelantan beraksi, pasti ada penyokong memenuhkan stadium... Bahkan jika berentap di Singapura pun, penyokong Kelantan sanggup redah demi menyaksikan pasukan kesayangan mereka bermain.

Justeru itu, dengan kepenuhan penyokong Kelantan di stadium-stadium. Penulis rasa tiada sebab kita menafikan kedudukan beliau sebagai ahli Parlimen untuk diangkat menjadi Menteri Belia dan Sukan. Bagi dia ajaq FAM sikit.

Kena ingat... Ada perkataan ' Belia '... Dalam banyak-banyak ahli Parlimen... Yang boleh dianggap Belia tak banyak... Belia dalam UMNO yang paling layak bagi penulis adalah ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Beliau yang tersisih dari senarai pada Jemaah Menteri yang lepas mungkin berpeluang untuk menjadi Menteri kali ini. Tambahan lagi beliau telah bagi hint yang beliau sedia mencurah bakti sebagai Menteri jika diberikan peluang. Dengan kedudukan beliau sebagai Ketua sayap Pemuda UMNO, rasanya tidak ada alasan untuk menidakkan haknya untuk menjadi wakil Ketua Pemuda sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Tapi kena berebut sikit la... Ada banyak calon berkaliber... Shahidan Kassim, Annuar Musa, Shabery Cheek... Tak apa... Sesuai dengan haknya, penulis rasa beliau boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Dato Seri Khaled Nordin yang menjadi Menteri Besar sebagai Menteri Pelajaran Tinggi.

Dr. Rais Yatim tidak bertanding di Jelebu
Ada berlambak lagi kerusi masih kosong... Annuar Musa mungkin boleh dibawa menjadi Menteri Pelancongan. Penulis percaya dengan khidmatnya, kemajuan boleh dicapai dan penulis juga percaya... Beliau akan dilantik menjadi Menteri kerana Kelantan berjaya menambah tiga kerusi... Dulu menang dua kerusi pun ada seorang jadi Menteri... Ini menang lima... Takkan tak boleh kot?

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang ada masalah... Penulis tak nampak yang ada mana-mana wakil rakyat UMNO yang boleh jadi sehebat Dr. Rais Yatim. Terus terang, penulis begitu kagum dengan cara penyampaian dan adakalanya ketegasan Rais Yatim memperjuangkan sesetengah benda contohnya penggunaan bahasa.

Harap-harap ada wakil rakyat BN yang lain boleh menggantikan jawatan tersebut dan berkhidmat setanding dengan apa yang diberikan oleh Dr. Rais Yatim.

Susah nak ulas panjang... Mengikut pandangan penulis... Pemimpin UMNO yang lain wajar diangkat sebagai Menteri adalah tiga pembesar UMNO iaitu Naib Presiden. Cif besar mereka, Dato Seri Nazri Aziz. Menteri Kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah. Dato Jamil Khir Baharom sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri termasuklah Dato Anifah Aman dan Datuk Mustapa Mohamed yang membawa peningkatan prestasi di Kelantan.

Hishammudin Tun Hussein Onn, menang di Sembrong
Ada ura-ura kata Dato Seri Abdul Ghani Othman yang kalah di Gelang Patah akan dilantik menjadi Senator seterusnya diangkat sebagai menteri. Maklumlah... Beliau kalah pun bukan dengan calang-calang orang... Dengan Jeneral DAP...

Ali Rustam??? Melihat kepada pembangunan yang beliau bawa kepada Melaka... Rasanya beliau juga sepatutnya diberikan jawatan Menteri sekalipun kalah di Bukit Katil kerana kekurangan undi pengundi Cina... Kita tengok la macam mana...

Kerusi-kerusi lain... Pakat-pakatlah hampa para politician untuk melobi supaya dapat jadi menteri.

Saturday, May 11, 2013

Pasca-PRU

Ustaz Azizan bersama pemimpin Kedah yang lain
Penulis mengambil masa lima hari untuk menganalisis keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang telah melencong jauh dari jangkaan penulis. Segala perhitungan dan ramalan penulis tidak menepati melainkan penulis mengatakan bahawa Kedah dirampas semula oleh Barisan Nasional.

Tatkala anda membaca artikel ini, marilah sama-sama kita mendoakan kesihatan bekas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak supaya cepat sembuh apabila beliau telah menjalani pembedahan memotong kaki beliau supaya jangkitan kuman di kakinya tidak merebak ke tempat lain.

Sejujurnya, beliau merupakan salah seorang pemimpin PAS yang penulis kagumi kerana sifatnya yang tidak hipokrit dan tidak kisah akan apa orang kata. Lihat sahajalah cara beliau mentadbir Kedah, segala tindakan seperti menggantung beberapa pelajar KUIN kerana terlibat dengan perhimpunan haram yang jelas bertentangan dengan apa yang tertulis di buku jingga.

Ustaz Azizan juga dianggap sebagai pemimpin PAS yang mesra-UMNO apabila sering menghadirkan diri dalam majlis yang disertai pemimpin kerajaan pusat. Sikapnya yang kurang mengarut dan tidak suka mempolitikkan keadaan juga disenangi semua pihak menunjukkan beliau jelas melakukan tugas dengan baik tanpa meletakkan kepentingan parti sebagai agenda utama.

Pertama sekali, penulis perlu menjelaskan mengapakah ramalan penulis tidak kena dimana pada artikel yang lepas, penulis ada menulis bahawa Barisan Nasional akan memenangi sebanyak 150-158 kerusi Parlimen seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan dengan majoriti dua pertiga.

Keadaan politik Malaysia yang tidak menentu telah membuatkan jangkaan penulis terpesong jauh apabila Barisan Nasional hanya memenangi 133 Parlimen manakala gabungan pembangkang diantara DAP, PKR dan PAS telah berjaya menambah kerusi Parlimen daripada 81 kepada 89 kerusi Parlimen.

Jika diikutkan jangkaan terhadap pengundi Melayu dan India amnya, Barisan Nasional akan mampu mencapai kerusi seperti yang penulis katakan namun kerana perubahan undi masyarakat Cina kepada Pakatan Rakyat, jangkaan ini menjadi celaru. Prestasi UMNO pada PRU kali ini amat baik hinggakan berjaya menambah kerusi dari 79 kepada 88 kerusi.

Sokongan pengundi Cina terhadap calon Pakatan Rakyat juga membuatkan ramai pemimpin UMNO tewas dalam PRU kali ini seperti di Gelang Patah, Bukit Katil, Batu Pahat, Temerloh, Lembah Pantai juga mendorong kepada kekurangan kerusi Parlimen BN.

Tidak percaya... Lihatlah di Kedah... UMNO berjaya mendapat balik enam kerusi Parlimen menjadikan kerusi Parlimen dimenangi di Kedah sebanyak 10 kerusi. Manakala di Kelantan... UMNO berjaya menambah 3 kerusi dimana BN menang di Machang, Ketereh dan Tanah Merah, Gua Musang dan Jeli menjadikan kerusi Parlimen di Kelantan yang dimenangi BN kepada lima.

Kekalahan BN dari 140 kerusi kepada 133 kerusi ini disebabkan ramai calon MCA dan segelintir calon UMNO kekurangan undi Cina dimana banyak kawasan ia menjadi penentu contohnya seperti apa yang terjadi di Bukit Katil dimana peratus undi Cina adalah 40.75%. Namun tidak dapat dinafikan yang faktor lain kekalahan BN ini adalah akibat perpecahan undi Melayu.

Penulis yakin sokongan orang Melayu terhadap UMNO dan BN ketika ini berada pada detik ini dalam lingkungan 65%. Manakala sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan Rakyat dikatakan ketika ini melebihi 90%, ada yang kata ini termasuklah ahli-ahli MCA dan Gerakan yang bersama mereka. Masyarakat India pula apabila melihat kepada peningkatan prestasi MIC, kita dapat menjangkakan yang sokongan mereka terhadap MIC dan BN berada pada tahap 60%.

Dalam erti kata lain... Kurangnya sokongan masyarakat Cina dan India selain undi pengundi Melayu yang berpecah belah diantara BN, PAS dan PKR juga menjadi pencetus kepada kekalahan BN kali ini. Justeru itu, BN perlu mengambil langkah untuk menarik sebanyak mungkin undi Melayu yang semakin meningkat dan masyarakat India kerana penulis percaya, jika sokongan masyarakat Melayu ditingkatkan daripada 65% kepada sekurang-kurangnya 70% dan masyarakat India dari 60% kepada 70%, Inshallah BN akan mendapat keputusan yang lebih baik dimasa akan datang dengan syarat, mereka perlu mengurangkan sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan Rakyat.

Bab masyarakat Cina... Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengundi Cina pada Pilihan Raya kali ini memilih Pakatan Rakyat sebagai tempat untuk dipangkah. Di kawasan penulis, dimana pengundi Cina menguasai sebanyak 56% dan India sebanyak 12%, majoriti ADUN DAP, Hannah Yeoh meningkat daripada 13 ribu kepada kepada 28 ribu.

Ini jelas menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat. Bahkan pada malam Rabu lepas dimana Dato Seri Anwar Ibrahim membuat himpunan Suara Rakyat, Suara Keramat, penyertaan masyarakat Cina dalam himpunan tersebut agak tinggi dari biasa.

Apa yang penulis perasan mengenai pengundi Cina pada kali ini, mereka begitu eager ataupun mungkin boleh dikatakan ghairah untuk mengubah kerajaan. Rasa benci mereka terhadap pemimpin-pemimpin UMNO dan BN juga boleh dilihat dari tweet-tweet mereka dan post-post mereka di Facebook.

Kata-kata dimana orang Melayu kuat berpolitik tidak berguna lagi... Generasi muda Cina dilihat banyak mengerakkan matlamat Pakatan Rakyat dalam menguasai peperangan siber. Penglibatan Melayu dalam alam maya kelihatan tenggelam dek kerana posts dan tweets tidak henti-henti mereka dalam menjayakan kempen.

Situasi yang tidak berlaku pun berjaya diwujudkan contohnya kes blackout di Bentong dimana mereka mendakwa kemenangan tipis Timbalan Presiden MCA, Dato Seri Liow Tiong Lai akibat berlaku blackout. Bila ditanya apa kena mengena dengan blackout... Mereka sendiri tidak tahu tetapi apa yang mereka tahu Blackout.

Laporan Utusan Malaysia melaporkan bahawa terdapat kewujudan askar-askar siber DAP dipanggil Red Bean Army yang ditugaskan memburukkan kerajaan dan membangkitkan rasa benci terhadap kerajaan. Menurut mereka lagi, kumpulan yang mempunyai lebih 2000 ahli ini dibayar dari Rm 3,000 hingga Rm10,000 bagi menyerang kerajaan dan apa sahaja cara untuk membuahkan rasa benci terhadap kerajaan.

Hal ini penulis dapat lihat sendiri apabila terdapat segelintir rakan penulis sendiri di laman Twitter mencaci maki Dato Seri Najib terhadap kekalahan mereka kerana gagal membentuk kerajaan Persekutuan yang mendakwa kerajaan bermain kotor.

Tidak hairanlah isu pengundi Bangla merebak secara meluas kerana pengundi-pengundi telah dimomokkan bahawa Bangla akan datang mengundi pada hari pengundian. Alamatnya... Mana-mana orang yang kelihatan ada iras-iras Bangla ditahan dan ditanya pelbagai soalan oleh individu berlagak polis... Mungkin disebabkan itulah kebanyakkannya yang menjadi police-wannabe ini adalah pengundi Cina.

Dakwaan yang mengatakan bahawa kerajaan akan menggunakan pengundi asing ini telah tersebar beberapa hari sebelum pilihan raya. Bahkan Dato Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa 40,000 Bangla telah dibawa masuk untuk mengundi BN pada pilihan raya kali ini. Ini mungkin menjadi penyebab mengapa ramai orang berasa curiga terhadap mana-mana individu yang kelihatan not so Malaysian.

Ada beberapa soalan yang perlu dikeutarakan kepada mereka ini... Simple sahaja... Mana nak letak 40,000 Bangla disekitar pusat-pusat mengundi... Belakang rumah tepi longkang? Dari mana depa mai? Apa mai naik tongkang kot... Berlabuh dekat Pelabuhan Klang?

Dan soalan paling simple... Kenapalah Barisan Nasional bodoh sangat nak guna pengundi Bangladesh... Kan senang import pengundi Cina ataupun India daripada China ataupun India untuk datang mengundi. Tak ada la depa perasan... Lagi senang ambil pekerja Indonesia yang berlambak dekat sini... Kalau ditanya kenapa dialek lain... Kata saja '' saya keturunan Jawa, Pak ".

Memang benar, cyber-trooper pembangkang begitu menyerlah dalam media sosial jika nak dibandingkan dengan penyokong kerajaan. Seperti yang penulis sering kata, penyokong kerajaan tidak seagresif penyokong pembangkang kerana penyokong kerajaan tidak ditanam rasa benci yang menggila terhadap pembangkang.

Laporan yang sama mendakwa bahawa DAP membayar setiap seorang ahli kumpulan Red Bean Army diantara Rm 3,000 hingga Rm 10,000 . Andai kata, setiap kumpulan menerima Rm 3,000 sebulan dan mereka mempunyai 2,000 orang ahli. Dan dalam Red Bean Army itu mereka buat satu kumpulan bertiga-tigaan. Maknanya, DAP perlu membayar Rm 2 juta sebulan untuk menggunakan khidmat mereka melancarkan serangan.

Dari mana datangnya duit... Penulis yakin bahawa masyarakat Cina telah banyak menyumbang kepada DAP untuk menjalankan serangan ofensif terhadap kerajaan dalam mencapai cita-cita mengambil alih Putrajaya bersama parti yang lain.

Dalam masa yang sama, penulis melihat bahawa isu-isu politik lucah yang dimainkan untuk meraih sokongan oleh UMNO dan BN tidak berjaya dan sia-sia secara umumnya di Malaysia. Namun di Permatang Pauh, anda sendiri boleh lihat dimana majoriti Anwar Ibrahim mengempis dari 15.6 ribu kepada 11.7 ribu undi menandakan ada penolakan terhadap beliau.

Secara menyeluruh, kaedah ini tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada pengundi dan jika dibiarkan berterusan, kemungkinan besar teknik melondeh seluar dalam orang oleh UMNO ini akan memakan diri. Dalam erti kata lain, UMNO perlu bermuhasabah dan menghentikan modul serangan peribadi ini.

Dan BN perlu ingat bahawa undi popular memihak kepada Pakatan Rakyat, dan jika perkara ini tidak dapat diatasi... Almarhumlah riwayat BN lepas ini... Jadi, BN perlu mencari jalan untuk melakukan apa sahaja bagi memperoleh sokongan masyarakat di Semenanjung Malaysia. Sekarang ini, yang banyak membantu BN membentuk kerajaan adalah dari kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak 37 kerusi.

Selain itu... Ada dakwaan mengatakan bahawa terdapat 2.3 juta masyarakat Melayu yang layak mengundi tidak mendaftar sebagai pengundi... Ini merupakan satu masalah besar pada masa hadapan kerana jika golongan ini tidak mendaftar, kuasa undi Melayu akan berkurangan kerana menurut sumber lain mengatakan bahawa masyarakat Cina begitu komited dalam memilih pemimpin mereka.

Apa pun jalannya... UMNO dan BN harus bekerja dari sekarang untuk membantu mendaftar 2.3 juta Melayu yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Penulis percaya, lebih separuh daripadanya bukannya penyokong Pakatan Rakyat kerana jika mereka penyokong pembangkang... Mereka akan mendaftar dan mengundi... Jadi dari sini, Inshallah BN akan mendapat undi

Pada Pilihanraya kali ini... Lebih 90% masyarakat Cina keluar mengundi bahkan penulis ada membaca beberapa artikel yang mengatakan ada pengundi Cina terbang dari Hong Kong dan Singapura semata-mata untuk pulang mengundi. Ini adalah sikap cinta akan negara yang baik perlu dicontohi oleh seluruh masyarakat Malaysia...

Balik kepada masalah UMNO... Pernah Anwar Ibrahim kata... Yang isu Lembu ini dimulakan oleh UMNO terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim seperti Lembu & Lexus ( kereta beliau ). Last sekali, makan diri apabila kes NFC didedahkan. Begitu juga apa yang berlaku dekat Najib... Dahulu, Dato Seri Najib dituduh mempunyai skandal dengan Altantuya. Sampai bersumpah Najib nafikan skandal tersebut... La ni, kena balik dekat dia... Teringat lagi penulis, ketika mendengar ceramah Anwar Ibrahim pertama kali di Kampung Melayu, Subang... Beliau menggelarkan Najib sebagai Najib Mongolia.

Mengenai situasi Politik di Selangor... Penulis berharap supaya PAS meletakkan calon mereka untuk mendapatkan tempat sebagai Menteri Besar Selangor. Ini berikutan kemenangan PAS dan DAP sebanyak 15 kerusi DUN dimana PKR hanya memperoleh 14 kerusi DUN. Peluang ini terbuka luas buat mereka mengintai jawatan nombor satu di Selangor itu.

Pada pilihan raya yang lepas, PKR memperoleh 15 kerusi DUN diikuti DAP dengan 13 kerusi manakala PAS hanya lapan kerusi. Selepas PRU-13, situasi sudah berubah dan tiada alasan sepatutnya untuk mempertikaikan jika jawatan Menteri Besar diberikan kepada PAS kerana mereka mempunyai kerusi paling banyak. DAP pula tiada calon Melayu untuk diketengahkan untuk menjadi Menteri Besar.

Walaubagaimanapun, Azmin Ali mengatakan bahawa kekalahan satu kerusi PKR di Kota Damansara berpunca daripada PAS kerana mereka turut meletakkan calon mereka disana. Ini menyebabkan calon BN, Halimaton Saadiah menang kerana perpecahan undi sesama Pakatan Rakyat.

PKR meletakkan calonnya iaitu Mohd Nasir Hashim dimana beliau mendapat 14,860 undi manakala PAS juga metelakkan calon mereka iaitu Ridzuan Bin Ismail yang mendapat 7,312 undi. Ini menunjukkan Pakatan Rakyat mendapat lebih 22 ribu undi tetapi dikalahkan oleh calon BN yang mendapat 16,387 undi.

Jika jawatan Menteri Besar Selangor berjaya diisi oleh wakil PAS, penulis yakin bahawa masyarakat Melayu akan mempunyai keyakinan yang tinggi bagi mereka untuk mengundi PAS pada Pilihan Raya akan datang. Sekarang ini, majoriti Melayu masih percaya bahawa UMNO satu-satunya organisasi yang boleh memperjuangkan kedudukan orang Melayu. Mungkin sekarang PAS boleh mengubah persepsi tersebut.

Di Kedah, seperti dijangkakan, Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan apabila mendapat 21 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula memperoleh 15 kerusi DUN. Pada 6 Mei yang lepas, Dato Mukhriz Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-10.

Sejujurnya, pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah seakan-akan melangkah satu tapak kehadapan apabila meletakkan Dato Bashah Mat Hanipah iaitu ADUN Bakar Bata kerana beliau salah seorang orang yang bertanggungjawab menjalankan usaha kempen memenangi Kedah daripada PAS selain seniority beliau sebagai ahli politik di Kedah.

Meskipun begitu, penulis memberi sokongan penuh kepada Dato' Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dan berharap beliau dapat memenuhi harapan masyarakat Kedah seterusnya membawa kemajuan kepada negeri Jelapang Padi itu.

Akhir kata... Penulis ingin mengucapkan tahniah kepada kesemua calon tidak kira dari parti mana sebagai wakil rakyat dan berharap mereka semua dapat menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat yang baik dan adil.

Doakan mereka berlaku adil dan menerima segala keputusan dengan terbuka. Harap tiada lagi demonstrasi yang akan dijalankan... Esok Inshallah post mengenai Bakal Menteri Kabinet

Friday, May 3, 2013

Salah Tafsir Keadilan dan Malaysian Spring

Tatkala memerhatikan perkembangan Pilihan Raya Umum ke-13 di media sosial, tiba-tiba terdapat sebuah gambar dimana telah dishare oleh ribuan pengguna Facebook sehingga merebak di Twitter dimana ratusan telah meretweet gambar terbabit.

Gambar terbabit merupakan screencaptured sebuah post yang dibuat oleh seorang pelajar Melayu yang mengaitkan tentang kontrak sosial di Malaysia dan ketidakadilan di Malaysia melayan rakyatnya. Berikut merupakan isinya ;

Terjemahan

" Pada SPM, saya hanya mendapat 2A manakala rakan sekelas saya yang bukan Melayu mendapat 10A. Saya ditawarkan memasuki dua universiti manakala dia tiada tawaran.

Saya senyap kerana berasa malu kerana selalu mendapat sesuatu dengan cara yang mudah. Saya tahu yang saya boleh memberikan separuh usaha seumur hidup dan masih boleh mencari makan untuk diri saya. Apa yang telah saya lakukan hingga mendapat layanan istimewa ini? Langsung tak ada. Kerana tok moyang saya menjejakkan kaki ke tanah ini beberapa generasi lebih awal sahaja. 

Tetapi Rakan saya, ayah dia, bapa kepada bapa ayah dia pun sudah berada lama disini seperti saya. Mereka bekerja keras, menjaga keluarga mereka, sembahyang kepada tuhan. Mereka tak ada perbezaan dengan saya. Mereka adalah kita.

Mempunyai undang-undang yang melayan seseorang semata-mata dengan warna kulit, bertentangan dengan segala perkara yang saya telah diajar dan apa yang saya percaya.

Dan saya percaya dengan keadilan. ''

Ayat-ayat inilah yang membuatkan gambar ini dishare dan disukai ( like ) oleh ribuan orang terutamanya pengguna berbangsa Cina dan India yang inginkan keadilan. Penulis tidak hairan dengan sokongan terhadap luahan seorang anak Melayu ini oleh masyarakat bukan Melayu tetapi terkejut apabila terdapat segelintir anak Melayu turut menunjukkan sokongan dengan meretweet tweet yang memaparkan gambar ini.

Pertama, penulis merasakan anak Melayu yang menulis post diatas ini mungkin tidak tahu mengenai realiti semasa di Malaysia. Ini termasuklah hamba-hamba Allah yang retweet kerana kebanyakkan mereka adalah golongan yang menetap di kawasan-kawasan dimana penduduknya berpendapatan tinggi.

Penulis menyanggah kenyataan diatas dimana konsep KEADILAN digunakan bagi mewujudkan persekitaran Malaysia yang menjunjung kesamarataan digunakan dalam pentadbiran Malaysia pada masa hadapan.

Kenapa ?

Ingin penulis jelaskan disini, bahawa definisi KEADILAN bukanlah bermaksud kesamarataan seperti yang digambarkan oleh pihak disebelah sana. Mengikut Islam, adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Contohnya, anda berpoligami dan mempunyai dua isteri. Isteri pertama anda mempunyai tiga anak manakala isteri kedua tiada anak. Anda membelikan isteri pertama anda dengan sebuah kereta besar yang boleh memuatkan anda, anak anda dan isteri anda, mungkin BMW X5. Sementara itu, isteri kedua anda membelikan dia sebuah Porsche Cayman untuk si dia kesana kemari.

Orang mungkin akan berkata begini kepada anda... " Hang ni apa la... Yang tua hang pi bagi X5, hat ( yang ) baru kahwin hang beli Porsche... Patutnya bagi yang ( isteri ) tua tuh Porsche ''. Apa anda akan jawab ??? Anda akan jawab begini '' Oii... Bini pertama aku tuh ada anak tiga takkan nak bagi dia bawa anak dia duk dalam Porsche... Bagi la selesa sikit untuk anak-anak aku... Yang kedua ni biar pi la sebab aku dengan dia ja yang naik ( Porsche ) ''

Ini salah satu merupakan salah satu pemahaman yang penulis ingin kongsikan dengan pembaca yang lain mengenai salahguna perkataan KEADILAN. Ia bukanlah bermaksud dua-dua pakai Porsche tetapi lebih melihat dalam keadaan semasa ketika itu. Oleh sebab itulah Islam mendefinisikan KEADILAN dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Masyarakat bukan Melayu ataupun bukan Bumiputera telah banyak mendapat manfaat apabila berkongsi kehidupan dengan Orang Melayu ataupun Bumiputera. Bahkan sebelum Merdeka pun kita telah bersetuju memberikan sejuta kewarganegaraan kepada masyarakat Cina dan India yang telah mengurangkan peratusan Melayu dalam populasi Malaysia.

Ini merupakan pengorbanan orang Melayu sebagai Bumiputera di Malaysia dimana segala keistimewaan dan hak-hak orang Melayu perlu dipertahankan untuk membezakan kita sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan masyarakat Cina dan India.

Penulis bukanlah bersifat perkauman, tetapi prinsip ini dipegang sebagai seorang Melayu dimana melihat kepada realiti semasa di Malaysia. Melayu sukar untuk survive dalam persekitaran dimana ekonomi dipegang oleh mereka yang berbangsa Cina.

Bayangkan, setelah 55 tahun Merdeka pun masyarakat Melayu masih lagi tergolong dalam kategori berpendapatan sederhana dan miskin jika dibandingkan dengan bangsa Cina yang tidak diberikan sebarang keistimewaan. Tak percaya? Fakta mendedahkan bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipercayai mengawal lebih kurang 60% pendapatan negara menyebabkan mereka menjadi penyumbang cukai tertinggi iaitu 90% .

Apa maksudnya? Maknanya golongan paling kaya di Malaysia adalah orang Cina dan ini berlaku tatkala mereka tidak diberikan sebarang keistimewaan. Bayangkan bagaimanakah orang-orang Melayu untuk bersaing jika kononnya 'KEADILAN' itu digunakan.

Dengan kekayaan yang mereka ada, sudah pastinya masyarakat Cina mendapat kelebihan dalam segala aspek. Tiada tawaran masuk universiti buat anak Melayu yang teruk, tiada kuota Melayu dalam tender kerajaan dan mungkin juga penglibatan Melayu sekurang-kurangnya 30% dalam setiap sektor ekonomi dihapuskan. Macam mana Melayu nak maju jika tidak diberikan tongkat dan kaca mata untuk terus berjalan.

Pada tahun 2002 pun dilihat kadar kemiskinan masih didominasi oleh Bumiputera iaitu sekitar 7.3 % manakala kaum Cina paling rendah iaitu 1.5 % . Min pendapatan kaum Cina sebanyak Rm 4,279 menunjukkan bahawa jumlah pendapatan mereka lebih 80% mengatasi min pendapatan Bumiputera sekitar Rm 2,376 pada tahun yang sama.

Pada tahun 1971, Tun Abdul Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang mana objektifnya ingin meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera sebanyak 2.4% semenjak diperkenalkan kepada sekurang-kurangnya 30%. Walaubagaimanapun, matlamatnya tidak kesampaian namun ia menunjukkan peningkatan daripada 2.4% kepada 18.7% pada tahun 1990 apabila ia ditamatkan.

Meskipun ditamatkan pada tahun 1990, Dasar Ekonomi Baru ini turut dibawa ke dalam Dasar Pembangunan Nasional yang masih memberikan peluang dan kelebihan kepada Melayu dalam sektor ekonomi. Ini jelas menunjukkan bahawa bukan Bumiputera pun masih lagi boleh hidup walaupun pelbagai dasar memperkenalkan untuk meningkatkan pegangan ekonomi Bumiputera.

Bayangkan bagaimanakah nasib generasi Melayu yang akan datang apabila mereka yang kurang berdaya saing perlu bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang mempunyai pelbagai kelebihan berbanding Melayu. Sayonara orang Melayu di tanah sendiri.

Sekarang ini pun... Di kawasan kejiranan penulis... Lihat sahaja kiri dan kanan penulis... Adalah lebih kurang 70 buah rumah dalam lorong penulis. Berapa penghuni Melayu dalam 70 buah rumah tersebut... Ada hanya lebih kurang 7 keluarga sahaja... Yang lain kebanyakkan Cina takpun India.

Mungkin mereka yang menyokong post terbabit dikelilingi kiri dan kanan mereka dengan Melayu yang berkehidupan senang. Bagaimana pula dengan nasib anak Melayu di Yan, Kedah, Pengkalan Chepa, Kelantan ataupun di Grik, Perak. Mereka bukan seperti kita... Mereka perlukan tangan untuk membantu... Jangan pula kita sebagai Melayu yang bernasib baik merasakan ia suatu keistimewaan kepada kita sedangkan mereka menganggap ia sebagai peluang untuk mereka mengubah kehidupan mereka.

Disebabkan itulah penulis begitu menyanggah pendapat segelintir makhluk tuhan yang ingin ' KEADILAN ' yang disalahtafsir kepada KESAMARATAAN . Jika ' KEADILAN ' iaitu KESAMARATAAN  yang dikatakan diamalkan di Malaysia, maka tiada lagi KEADILAN buat masyarakat Melayu yang sedia berkongsi hidup dengan bangsa lain.

Gambar disebelah kiri ini antara satu menunjukkan apakah itu KESAMARATAAN dan apakah itu KEADILAN. Anggaplah Melayu sebagai yang paling kecil dan golongan bukan Melayu sebagai yang paling tinggi. Manakala kotak dibawah tersebut merupakan bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada masyarakat tersebut. Adilkah ?








Mengenai Pilihan Raya...

Pendapat penulis mengenai kekecohan yang akan berlaku selepas keputusan pilihan raya diumumkan masih lagi kuat. Lihat sahaja isu-isu yang dimainkan Anwar Ibrahim mengenai pendaratan puluhan ribu pengundi hantu dari Sabah dan Sarawak selain kemasukan beramai-ramai rakyat asing.

Kenapa isu ini dimainkan??? Kerana Anwar Ibrahim tahu yang dia akan kalah pada 5 Mei nanti. Jadi bagi menjatuhkan Barisan Nasional... Pelan seterusnya adalah mewujudkan keraguan pada keputusan pilihan raya 5 Mei ini untuk membangkitkan kemarahan penyokong mereka untuk mempertikaikan keputusan. Sebab itu ada slogan orang mereka kata, " SPR Tipu Pilihanraya, Kami Turun Jalanraya "

Seperti kebiasaan dan kepakaran Anwar Ibrahim, demonstrasi akan diadakan secara besar-besaran tambahan lagi dengan sokongan padu masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat pada pilihan raya kali ini. Masyarakat Cina dengan demonstrasi sememangnya mempunyai sejarah hitam tambahan lagi ia turut diadakan pada bulan Mei.

Tan Sri Khalid Ibrahim juga mengisytiharkan cuti umum pada Isnin iaitu 6 Mei ini bagi memudahkan penduduk Selangor balik mengundi. Kemungkinan juga keputusan ini dibuat bagi memastikan orang ramai tidak bekerja pada hari tersebut lalu memudahkan mereka untuk menjalankan demonstrasi yang akan menimbulkan keadaan huru hara.

Penulis ada menerima mesej mengatakan bahawa orang ramai perlu berkumpul di tempat yang mempunyai bendera-bendera kecil yang berwarna warni. Menurut KEADILAN daily, bendera-bendera kecil ini dinamakan Malaysian Spring.

Dalam laman webnya ia mengatakan bahawa Malaysian Spring merupakan usaha rakyat untuk menyebarkan mesej perubahan dan mengalakkan rakyat supaya menyertai proses perubahan ini.

Malaysian Spring??? Apa? mereka nak adaptasikan keadaan Arab Spring di Malaysia... Perkataan yang digunakan seperti rakyat, perubahan, spring merupakan term yang sama digunakan di Timur Tengah untuk menjatuhkan kerajaan. Mungkin ini merupakan maksud tersirat puak yang inginkan perubahan untuk keluar ke jalanan.

Tempat yang mereka pacak bendera-bendera kecil ini juga tempat yang strategik. Contohnya di kawasan berdekatan dengan penulis ia dipacakkan di bulatan berhadapan dengan bangunan Majlis Perbandaran Subang Jaya manakala terdapat dakwaan lain mengatakan ia turut dipacak berdekatan dengan kompleks Angkasapuri.

Mungkin memudahkan mereka melakukan demonstrasi lalu memecah masuk pejabat kerajaan untuk mengambil alih pentadbiran selain mengambil alih stesen televisyen utama negara milik kerajaan. Jika mereka menang di kawasan berikut, mungkin mereka akan namakannya sebagai meraikan kejayaan.

Lalu mereka ramai berhimpun maka railah kemenangan mereka di kawasan tersebut. Bila dah ramai orang... Semangat membuak-buak, rasakan dunia mereka yang punya... Berlakulah keadaan yang tidak diingini seperti yang pernah berlaku lebih 40 tahun dahulu.

Ingat... Jika berlaku kacau bilau... Ia akan membuka ruang untuk pihak luar campur tangan seperti mana yang diumumkan oleh Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel bahawa mereka akan bekerjasama untuk membantu puak pembangkang menumbangkan rejim Bashar Assad di Syria dari segi kewangan dan juga ketenteraan.

Ia bermula dengan perkataan Change, Peoples dan Spring.