Sunday, April 28, 2013

Demokrasi Pilihanraya ke Demonstrasi Jalanraya

Kempen Pilihanraya Umum yang ke-13 sedang berjalan dimana tempoh berkempen hanya tinggal kurang seminggu sahaja lagi bagi parti-parti yang bertanding untuk memikat hati pengundi untuk memangkah mereka. Pilihanraya Umum kali ini boleh dikatakan yang paling sengit dalam sejarah Pilihanraya di Malaysia kerana keputusannya nanti akan menentukan hala tuju Malaysia dalam tempoh lima tahun berikutnya.

Kemenangan Barisan Nasional belum tentu akan membuatkan Dato Seri Najib Tun Razak menhela nafas lega kerana objektif Barisan Nasional dibawah pimpinan beliau adalah untuk memperoleh dua pertiga kerusi parlimen bukannya untuk menang kerana beliau yakin bahawa kemenangan buat Barisan Nasional adalah pasti. Perjuangan jentera Barisan Nasional kali ini adalah semata-mata untuk memperkukuhkan kekuasaan di parlimen selepas kehilangan banyak kerusi pada Pilihanraya yang lepas.

Manakala Pakatan Rakyat mempunyai misi berbeza iaitu untuk menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional. Soalnya sekarang mampukah mereka menembusi pagar bangunan Perdana Putra dalam Pilihanraya kali ini? Sudah semestinya semangat penyokong Pakatan Rakyat dan keghairahan mereka untuk melihat pemimpin-pemimpin mereka memasuki Putrajaya begitu tinggi selepas berjaya membentuk kerajaan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan. Walaubagaimanapun, kerana majoriti tipis di Perak, Barisan Nasional berjaya merampas kembali hasil sokongan segelintir ADUN Pakatan Rakyat yang berpaling tadah.

Penulis yakin bahawa kedua-dua belah pihak iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri dalam menghadapi Pilihanraya kali ini. Jika ditanya siapakah yang akan memenangi Pilihanraya kali ini, penulis jawab Barisan Nasional.

Ini memandangkan sokongan orang Melayu dan India terutamanya yang kembali kepada Barisan Nasional kerana pendedahan demi pendedahan yang membuka mata mereka melihat kebenaran mengenai sikap segelintir pemimpin Pakatan Rakyat. Namun, majoriti pengundi Cina akan terus menyokong Pakatan Rakyat.

Berapa banyak kerusi Parlimen BN akan menang? Penulis menjangkakan bahawa Barisan Nasional akan memperoleh lebih kurang 150-158 kerusi Parlimen melepasi sasaran mereka iaitu dua pertiga. Secara realistiknya, untuk mencapai cita-cita BN untuk mendapatkan 170 kerusi adalah kelihatan mustahil.

Kenapa BN perlu mendapat majoriti dua pertiga ?

Jumlah kerusi yang melebihi dua pertiga akan membolehkan kerajaan sedia ada melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia tanpa memerlukan sebarang sokongan daripada pihak lain. Kerusi yang melebihi dua pertiga juga akan meningkatkan lagi mutu kerja sesebuah kerajaan itu kerana kerajaan tidak perlu gusar dengan sebarang permintaan bukan-bukan rakyat. Ini akan membuatkan kerajaan lebih fokus melaksanakan dasar-dasar mereka berbanding jika mereka berada dalam majoriti yang rapuh dimana mereka terpaksa berusaha keras berkempen untuk memastikan sokongan terhadap mereka.

Apa akan jadi pada Anwar Ibrahim ? Sudah pasti Anwar Ibrahim akan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh walaupun dihimpit dengan pelbagai isu yang boleh membunuh kariernya. Namun dek kerana sokongan PAS dan DAP, beliau masih lagi mendapat pembelaan kerana perjuangan menjatuhkan Barisan Nasional belum selesai.

Melihat kepada sifat Anwar Ibrahim yang gemar melakukan kacau bilau semenjak beliau menjadi pemimpin pelajar di Universiti Malaya, penulis tidak menolak kemungkinan yang Anwar bin Ibrahim akan melakukan demonstrasi sekali lagi selepas pilihanraya kali ini untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Dalam jelajah Merdeka Rakyat dimana Anwar Ibrahim menjelajah seluruh negara untuk meraih sokongan, beliau membayangkan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri pada 6 Mei dan berjanji pada hari keesokannya, harga minyak akan diturunkan. Dalam ceramahnya, Anwar Ibrahim cuba meyakinkan para hadirin bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih Putrajaya dengan mengatakan bahawa sokongan rakyat Malaysia terhadap mereka semakin meningkat.

Ketika menonton ceramahnya melalui live stream, setiap kali ceramah, beliau akan memberitahu bahawa berapa ramai penyokong yang hadir dalam ceramahnya yang lepas... Kenapa ? Ini kerana beliau ingin menggambarkan kepada penyokongnya bahawa rakyat Malaysia sudah bersama mereka untuk menjatuhkan Barisan Nasional selain akan meningkatkan kepercayaan mereka bahawa Pakatan Rakyat akan memerintah selepas 5 Mei.

Beliau sedaya upaya cuba meyakinkan penyokongnya bahawa Pakatan Rakyat akan memasuki bangunan Perdana Putra untuk meningkatkan lagi semangat dan keghairan penyokong mereka untuk melihat Pakatan Rakyat menjadi kerajaan.

Teknik mempengaruhi dan membuatkan mereka percaya bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih Putrajaya selepas 5 Mei adalah kerana Anwar Ibrahim dan pimpinannya yakin bahawa sukar untuk Pakatan Rakyat memperoleh 112 kerusi parlimen melihat situasinya kini yang mana beliau telah banyak kehilangan undi Melayu.

Jadi dengan apa yang mereka ada... Selepas keputusan Pilihanraya diumumkan dan mendapati Barisan Nasional akan memenangi Pilihanraya Umum ke-13 ini, Anwar akan mempertikaikan kemenangan Barisan Nasional dan menyifatkan terdapat penipuan dan penyelewengan dalam proses pengundian.

Sudah semestinya pada detik itu, penyokong Pakatan Rakyat yang menunggu pemimpin mereka memasuki Putrajaya berasa sedih dan marah kerana apa yang telah disampaikan oleh bos-bos mereka tidak menjadi kenyataan. Timbullah rasa ketidakpuasan hati terhadap proses pilihanraya selain semangat untuk menjatuhkan BN semakin membara.

Kemungkinan besar Anwar Ibrahim akan mengarahkan pengikutnya dari serata negara untuk berkumpul di Dataran Merdeka untuk membantah dan memprotes keputusan yang dikeluarkan oleh SPR. Bila tarikh itu? Sudah semestinya pada hujung minggu iaitu sekitar 11 hingga 12 Mei iaitu seminggu yang berikutnya.

Tarikh ini diambil bagi menakutkan rakyat kerana ia hampir dengan 13 Mei, sudah pastinya isu-isu perkauman akan dicetuskan yang berkemungkinan akan memyebabkan berlakunya keadaan huru hara di ibu kota tambahan lagi ia akan dipimpin oleh Bapa Demonstrasi Malaysia.

Apa yang diharapkan oleh mereka dalam demonstrasi kali ini adalah terdapat sekurang-kurangnya seorang demonstran mati disebabkan FRU, Polis dan mungkin juga tentera yang cuba meleraikan demonstrasi. Ini akan meningkatkan lagi kemarahan rakyat terhadap kerajaan selain akan berlakunya Domino's Effect dimana rakyat di negeri-negeri lain akan keluar ke bandar untuk menggulingkan kerajaan.

Jika kekacauan tidak dapat diselesaikan secara berhemah iaitu tanpa melibatkan kehilangan jiwa, sudah pastinya kerajaan akan menggunakan cara kasar yang boleh menyebabkan kematian. Namun perlu diingatkan, kematian seorang demonstran akan membuatkan dunia campur tangan terhadap krisis negara kita kerana sudah pastinya akan terpampang di kaca televisyen dan di dada akhbar bahawa kerajaan Malaysia membunuh rakyatnya untuk kekal berkuasa.

Ini akan menimbulkan reaksi negatif terhadap kerajaan Malaysia menyebabkan dunia memberikan kecaman dan dakwaan bahawa proses demokrasi di negara kita tidak telus akan dipercayai oleh masyarakat dunia kerana penyokong Pakatan Rakyat turun ke jalanan menentang kerajaan.

Campur tangan asing sudah tentu... Pemberontakan mungkin berlaku... Ini merupakan peluang paling hampir yang perlu digunakan mereka untuk menumbangkan kerajaan. Mereka akan lawan cukup-cukup tambahan lagi dengan sokongan negara luar terhadap pembangkang Malaysia.

Jika terdapat bukti yang cukup yang menggambarkan kerajaan Barisan Nasional menggunakan kekerasan terhadap rakyatnya, ini akan membuka ruang kepada negara-negara luar untuk campur tangan dalam krisis di Malaysia dan situasi ini merupakan impian segelintir pemimpin pembangkang untuk melihat ' Arab Spring ' berlaku di Malaysia.

Revolusi Arab Spring iaitu keadaan dimana rakyat turun ke jalanraya menentang pemerintah telah terbukti keberkesanannya apabila beberapa kerajaan di beberapa buah negara berjaya disingkirkan antaranya Presiden Zine El Abidine dari Tunisia, Hosni Mubarak dari Mesir dan Ali Abdullah Salleh di Yaman.

Di Libya, campur tangan Amerika Syarikat membantu penduduk Libya menamatkan riwayat Raja Afrika, Muammar Gaddafi apabila serangan ofensif dari udara berjaya melemahkan kekuatan tentera kerajaan tambahan lagi dengan pemberontakan rakyatnya sendiri dimana beliau ( Muammar Gaddafi ) mendakwa bahawa Al-Qaeda terlibat dalam membekalkan senjata di negaranya.

Modul ini mungkin diambil oleh parti pembangkang bagi menggulingkan kerajaan jika demokrasi pilihanraya di negara kita tidak dapat membawa mereka masuk ke dalam Putrajaya. Pilihan lainnya ialah Demonstrasi Jalanraya.

* Segala tulisan diatas adalah pandangan peribadi penulis sahaja tentang kemungkinan politik negara berdasarkan peristiwa-peristiwa yang lalu

[ Klik Sini ] untuk maklumat artikel terkini yang berkenaan

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen