Sunday, April 28, 2013

Demokrasi Pilihanraya ke Demonstrasi Jalanraya

Kempen Pilihanraya Umum yang ke-13 sedang berjalan dimana tempoh berkempen hanya tinggal kurang seminggu sahaja lagi bagi parti-parti yang bertanding untuk memikat hati pengundi untuk memangkah mereka. Pilihanraya Umum kali ini boleh dikatakan yang paling sengit dalam sejarah Pilihanraya di Malaysia kerana keputusannya nanti akan menentukan hala tuju Malaysia dalam tempoh lima tahun berikutnya.

Kemenangan Barisan Nasional belum tentu akan membuatkan Dato Seri Najib Tun Razak menhela nafas lega kerana objektif Barisan Nasional dibawah pimpinan beliau adalah untuk memperoleh dua pertiga kerusi parlimen bukannya untuk menang kerana beliau yakin bahawa kemenangan buat Barisan Nasional adalah pasti. Perjuangan jentera Barisan Nasional kali ini adalah semata-mata untuk memperkukuhkan kekuasaan di parlimen selepas kehilangan banyak kerusi pada Pilihanraya yang lepas.

Manakala Pakatan Rakyat mempunyai misi berbeza iaitu untuk menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional. Soalnya sekarang mampukah mereka menembusi pagar bangunan Perdana Putra dalam Pilihanraya kali ini? Sudah semestinya semangat penyokong Pakatan Rakyat dan keghairahan mereka untuk melihat pemimpin-pemimpin mereka memasuki Putrajaya begitu tinggi selepas berjaya membentuk kerajaan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan. Walaubagaimanapun, kerana majoriti tipis di Perak, Barisan Nasional berjaya merampas kembali hasil sokongan segelintir ADUN Pakatan Rakyat yang berpaling tadah.

Penulis yakin bahawa kedua-dua belah pihak iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri dalam menghadapi Pilihanraya kali ini. Jika ditanya siapakah yang akan memenangi Pilihanraya kali ini, penulis jawab Barisan Nasional.

Ini memandangkan sokongan orang Melayu dan India terutamanya yang kembali kepada Barisan Nasional kerana pendedahan demi pendedahan yang membuka mata mereka melihat kebenaran mengenai sikap segelintir pemimpin Pakatan Rakyat. Namun, majoriti pengundi Cina akan terus menyokong Pakatan Rakyat.

Berapa banyak kerusi Parlimen BN akan menang? Penulis menjangkakan bahawa Barisan Nasional akan memperoleh lebih kurang 150-158 kerusi Parlimen melepasi sasaran mereka iaitu dua pertiga. Secara realistiknya, untuk mencapai cita-cita BN untuk mendapatkan 170 kerusi adalah kelihatan mustahil.

Kenapa BN perlu mendapat majoriti dua pertiga ?

Jumlah kerusi yang melebihi dua pertiga akan membolehkan kerajaan sedia ada melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia tanpa memerlukan sebarang sokongan daripada pihak lain. Kerusi yang melebihi dua pertiga juga akan meningkatkan lagi mutu kerja sesebuah kerajaan itu kerana kerajaan tidak perlu gusar dengan sebarang permintaan bukan-bukan rakyat. Ini akan membuatkan kerajaan lebih fokus melaksanakan dasar-dasar mereka berbanding jika mereka berada dalam majoriti yang rapuh dimana mereka terpaksa berusaha keras berkempen untuk memastikan sokongan terhadap mereka.

Apa akan jadi pada Anwar Ibrahim ? Sudah pasti Anwar Ibrahim akan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh walaupun dihimpit dengan pelbagai isu yang boleh membunuh kariernya. Namun dek kerana sokongan PAS dan DAP, beliau masih lagi mendapat pembelaan kerana perjuangan menjatuhkan Barisan Nasional belum selesai.

Melihat kepada sifat Anwar Ibrahim yang gemar melakukan kacau bilau semenjak beliau menjadi pemimpin pelajar di Universiti Malaya, penulis tidak menolak kemungkinan yang Anwar bin Ibrahim akan melakukan demonstrasi sekali lagi selepas pilihanraya kali ini untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Dalam jelajah Merdeka Rakyat dimana Anwar Ibrahim menjelajah seluruh negara untuk meraih sokongan, beliau membayangkan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri pada 6 Mei dan berjanji pada hari keesokannya, harga minyak akan diturunkan. Dalam ceramahnya, Anwar Ibrahim cuba meyakinkan para hadirin bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih Putrajaya dengan mengatakan bahawa sokongan rakyat Malaysia terhadap mereka semakin meningkat.

Ketika menonton ceramahnya melalui live stream, setiap kali ceramah, beliau akan memberitahu bahawa berapa ramai penyokong yang hadir dalam ceramahnya yang lepas... Kenapa ? Ini kerana beliau ingin menggambarkan kepada penyokongnya bahawa rakyat Malaysia sudah bersama mereka untuk menjatuhkan Barisan Nasional selain akan meningkatkan kepercayaan mereka bahawa Pakatan Rakyat akan memerintah selepas 5 Mei.

Beliau sedaya upaya cuba meyakinkan penyokongnya bahawa Pakatan Rakyat akan memasuki bangunan Perdana Putra untuk meningkatkan lagi semangat dan keghairan penyokong mereka untuk melihat Pakatan Rakyat menjadi kerajaan.

Teknik mempengaruhi dan membuatkan mereka percaya bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih Putrajaya selepas 5 Mei adalah kerana Anwar Ibrahim dan pimpinannya yakin bahawa sukar untuk Pakatan Rakyat memperoleh 112 kerusi parlimen melihat situasinya kini yang mana beliau telah banyak kehilangan undi Melayu.

Jadi dengan apa yang mereka ada... Selepas keputusan Pilihanraya diumumkan dan mendapati Barisan Nasional akan memenangi Pilihanraya Umum ke-13 ini, Anwar akan mempertikaikan kemenangan Barisan Nasional dan menyifatkan terdapat penipuan dan penyelewengan dalam proses pengundian.

Sudah semestinya pada detik itu, penyokong Pakatan Rakyat yang menunggu pemimpin mereka memasuki Putrajaya berasa sedih dan marah kerana apa yang telah disampaikan oleh bos-bos mereka tidak menjadi kenyataan. Timbullah rasa ketidakpuasan hati terhadap proses pilihanraya selain semangat untuk menjatuhkan BN semakin membara.

Kemungkinan besar Anwar Ibrahim akan mengarahkan pengikutnya dari serata negara untuk berkumpul di Dataran Merdeka untuk membantah dan memprotes keputusan yang dikeluarkan oleh SPR. Bila tarikh itu? Sudah semestinya pada hujung minggu iaitu sekitar 11 hingga 12 Mei iaitu seminggu yang berikutnya.

Tarikh ini diambil bagi menakutkan rakyat kerana ia hampir dengan 13 Mei, sudah pastinya isu-isu perkauman akan dicetuskan yang berkemungkinan akan memyebabkan berlakunya keadaan huru hara di ibu kota tambahan lagi ia akan dipimpin oleh Bapa Demonstrasi Malaysia.

Apa yang diharapkan oleh mereka dalam demonstrasi kali ini adalah terdapat sekurang-kurangnya seorang demonstran mati disebabkan FRU, Polis dan mungkin juga tentera yang cuba meleraikan demonstrasi. Ini akan meningkatkan lagi kemarahan rakyat terhadap kerajaan selain akan berlakunya Domino's Effect dimana rakyat di negeri-negeri lain akan keluar ke bandar untuk menggulingkan kerajaan.

Jika kekacauan tidak dapat diselesaikan secara berhemah iaitu tanpa melibatkan kehilangan jiwa, sudah pastinya kerajaan akan menggunakan cara kasar yang boleh menyebabkan kematian. Namun perlu diingatkan, kematian seorang demonstran akan membuatkan dunia campur tangan terhadap krisis negara kita kerana sudah pastinya akan terpampang di kaca televisyen dan di dada akhbar bahawa kerajaan Malaysia membunuh rakyatnya untuk kekal berkuasa.

Ini akan menimbulkan reaksi negatif terhadap kerajaan Malaysia menyebabkan dunia memberikan kecaman dan dakwaan bahawa proses demokrasi di negara kita tidak telus akan dipercayai oleh masyarakat dunia kerana penyokong Pakatan Rakyat turun ke jalanan menentang kerajaan.

Campur tangan asing sudah tentu... Pemberontakan mungkin berlaku... Ini merupakan peluang paling hampir yang perlu digunakan mereka untuk menumbangkan kerajaan. Mereka akan lawan cukup-cukup tambahan lagi dengan sokongan negara luar terhadap pembangkang Malaysia.

Jika terdapat bukti yang cukup yang menggambarkan kerajaan Barisan Nasional menggunakan kekerasan terhadap rakyatnya, ini akan membuka ruang kepada negara-negara luar untuk campur tangan dalam krisis di Malaysia dan situasi ini merupakan impian segelintir pemimpin pembangkang untuk melihat ' Arab Spring ' berlaku di Malaysia.

Revolusi Arab Spring iaitu keadaan dimana rakyat turun ke jalanraya menentang pemerintah telah terbukti keberkesanannya apabila beberapa kerajaan di beberapa buah negara berjaya disingkirkan antaranya Presiden Zine El Abidine dari Tunisia, Hosni Mubarak dari Mesir dan Ali Abdullah Salleh di Yaman.

Di Libya, campur tangan Amerika Syarikat membantu penduduk Libya menamatkan riwayat Raja Afrika, Muammar Gaddafi apabila serangan ofensif dari udara berjaya melemahkan kekuatan tentera kerajaan tambahan lagi dengan pemberontakan rakyatnya sendiri dimana beliau ( Muammar Gaddafi ) mendakwa bahawa Al-Qaeda terlibat dalam membekalkan senjata di negaranya.

Modul ini mungkin diambil oleh parti pembangkang bagi menggulingkan kerajaan jika demokrasi pilihanraya di negara kita tidak dapat membawa mereka masuk ke dalam Putrajaya. Pilihan lainnya ialah Demonstrasi Jalanraya.

* Segala tulisan diatas adalah pandangan peribadi penulis sahaja tentang kemungkinan politik negara berdasarkan peristiwa-peristiwa yang lalu

[ Klik Sini ] untuk maklumat artikel terkini yang berkenaan

Sunday, April 21, 2013

CLS Shooting Brake milik Sultan Pahang

Beberapa minggu yang lepas, penulis berada di Menara Hap Seng di Jalan P. Ramlee bersebelahan dengan Hap Seng Star iaitu salah sebuah syarikat pengedar kereta Mercedes di Malaysia. Tiba-tiba terdengar bunyi siren polis.

Penulis yakin yang bunyi siren tersebut bukanlah siren polis kebiasaannya tetapi ada sikit kelainan. Jadi penulis pun keluar dari bangunan tersebut lalu melihat ke jalan. Benar sangkaan penulis kerana bunyi siren itu merupakan siren dari sebuah motosikal polis yang mengiringi seorang kerabat diraja.

Lalu lintaslah sebuah kereta Mercedes wagon dihadapan mata penulis sambil diiringi sebuah motosikal berkuasa besar disebelah kereta tersebut. Kemudian dibelakangnya terdapat beberapa buah lagi kereta dan salah sebuah kereta yang penulis kenal adalah Mercedes Benz E-Class wagon berwarna merah.

Mercedes W124 yang mengiringi kenderaan Sultan Pahang
Penulis mengesyaki kereta tadi dinaiki kerabat diraja dari Pahang kerana Mercedes E-Class wagon tersebut kerana bapa penulis pernah menyatakan yang Sultan Pahang mempunyai sebuah kereta pengiring iaitu Mercedes W124 wagon.

Selepas melihat kembali gambar kereta Mercedes wagon yang penulis tidak pernah lihat seumur hidup penulis, penulis lihat nombor pendaftaran kereta tersebut ialah CDE 1 . Maknanya pemiliknya mestilah dari Pahang.

Ditambah lagi dengan bukti pertama iaitu kereta W124 wagon berwarna merah, penulis yakin ia kepunyaan Sultan Pahang.

Mercedes Benz CLS 6.3 AMG Shooting Brake
Dan beberapa ketika tadi, penulis baru sahaja mengetahui model apakah yang dinaiki oleh Sultan Pahang itu apabila sengaja melayari laman web Mercedes. Ia dinamakan Mercedes CLS Shooting Brake yang merupakan lanjutan dari siri model CLS yang terbaharu.

Apakah itu CLS?

Mercedes Benz CLS 350
CLS merupakan sebuah model yang dikeluarkan oleh Mercedes sebagai sebuah kereta mewah setanding dengan S-Class namun diberikan sedikit perbezaan iaitu pada reka bentuknya yang sedikit rendah dan kelihatan sports ( Coupe ).

Untuk pengetahuan anda, CLS merupakan singkatan dari perkataan Coupe, Long-Wheelbase dan Sonder ( Special/S-class ). Disebabkan itulah ia kelihatan sedikit sports dengan reka bentuk yang rendah selain mempunyai sentuhan mewah.

Model CLS yang pertama dikeluarkan pada tahun 2004 sehingga tahun 2010 dan kemudiannya digantikan dengan yang terbaharu iaitu tahun 2011. Menurut Mercedes Malaysia di laman webnya, sebuah Mercedes CLS 350 dijual pada harga Rm 760,888.00 .

BMW 6 series Gran Coupe
Model ini mempunyai saingan hebat dengan BMW 6 series Gran Coupe yang turut memperkenalkan model 6 series yang pada mulanya dua pintu tetapi yang terbaharu adalah empat pintu. Harganya menurut BMW Malaysia adalah Rm 788,888.00.

Namun berbeza dengan kereta milik Sultan Pahang iaitu CLS Shooting Brake... Ini kerana Mercedes tersebut merupakan keluaran paling baharu oleh Mercedes yang penulis kata amat ekslusif. Salah satu sebabnya kerana penulis tak pernah tahu yang ada CLS berbentuk sedemikian kerana tak pernah jumpa.

Shooting Brake tuh apa pula?

Shooting Brake ini sebenarnya jenis reka bentuk kenderaan tersebut. Macam penulis kata tadi, ada Wagon... Ada Coupe... Ada Hatchback... Ada Limousine dan berbagai-bagai lagi istilah bagi mendifinisikan bentuk sesebuah kenderaan.

Sebenarnya Shooting Brake sama sahaja dengan Station wagon namun istilah Shooting Brake dahulu kerap digunakan bagi menggambarkan sebuah kereta Coupe yang mempunyai belakang yang panjang seperti Volvo 1800ES dan juga Ferrari FF.

Disebabkan Mercedes mengatakan yang CLS merupakan sebuah Coupe... Maka mereka guna istilah Shooting Brake bagi menggatikan istilah yang selalu mereka gunakan iaitu Estate bagi menunjukkan model Mercedes wagon.

Mungkin perkataan Shooting Brake digunakan kerana pemandu senang mengambil senapang yang terletak menegak di belakang selepas pemandunya membrek kenderaan tersebut lalu keluar ke belakang untuk mengambilnya. Jika kereta biasa... Senapang mungkin akan diletakkan dari kanan ke kiri.

Menurut maklumat yang diterima, enjin kereta ini sebesar 5.541 liter mengeluarkan sebanyak 549 kuasa kuda dengan pecutan dari kelajuan sifar ke 100 km/j hanya dalam tempoh 4.9 saat sahaja. Amat menggagumkan bagi sebuah kereta yang mempunyai centre of gravity yang tinggi.

Harga?

Penulis tidak pasti berapa harganya kerana Mercedes Malaysia tidak meletakkannya dalam senarai katalog mereka. Namun selepas membuat kira-kira iaitu melihat perbandingan harga CLS di England dan di Malaysia.

Mercedes Benz S-Class
Penulis melihat di England sebuah CLS hanya dijual lebih kurang Rm 245,000 manakala di Malaysia seperti dinyatakan di atas Rm 760,000. Lebih kurang 310% lebih tinggi nilai CLS di Malaysia jika dibandingkan di UK.

Sementara itu, harga sebuah CLS Shooting Brake 63 AMG di UK adalah Rm 423,000. Jika digunakan formula yang sama seperti penulis guna diatas. Maknanya kereta yang dipercayai penulis dinaiki Sultan Pahang adalah bernilai lebih kurang Rm 1,310,000 .

Audi A8
Apa yang penulis simpulkan mengenai kereta tersebut... Penulis rasakan yang kereta terbabit memang sesuai dipilih oleh Sultan Pahang yang inginkan kelainan dalam bergerak dari satu lokasi ke destinasi yang lain dengan gaya yang paling rare. Kemunculannya amat lain dari yang lain... Kerana kebiasaannya Raja atau Sultan menaiki kenderaan empat pintu mewah seperti BMW 7-series, Audi A8 ataupun S-Class... Lain bagi Sultan Pahang yang menaiki kereta berbentuk Shooting Brake.

Tuesday, April 9, 2013

Tanggapan Penulis Terhadap Pemandu Teksi

Pada cuti sekolah yang lepas, penulis bersama rakan-rakan yang lain ada meluangkan sedikit masa dengan bermalam disebuah suites berhampiran bandaraya KL. Tak sampai sepuluh minit kalau memandu ke pusat tarikan pelancong.

Pada keesokan harinya, penulis merancang aktiviti untuk keluar ke pusat bandar bagi memenuhi masa yang terluang. Pelan kami adalah untuk ke KLCC bagi melawat pameran Kesenian dalam Seni Bina di Galeri Petronas yang dianjurkan dengan kerjasama Foster + Partner.

Dari tempat penginapan penulis, penulis mengambil teksi dan terus ke KLCC. Caj yang dikenakan lebih kurang Rm 12.00 dengan mengikut meter. Penulis bersama rakan yang lain pun teruslah selepas membayar wang yang dikehendaki.

Selepas habis melihat pameran Kesenian dalam Seni Bina ( Arts in Archictecture ) itu, penulis pun berjalanlah ke Bukit Bintang berpandukan GPS dari telefon penulis. Syukur terdapat Pedestrian Walk kerana sesungguhnya membantu penulis dan rakan dari terkena panas. Faham sajalah, mereka ni kuat berpeluh.

Selepas meluangkan sedikit masa di Pavillion, penulis pun kira nak baliklah ke tempat penginapan lebih kurang jam 4.00 petang. Tengok diluar berlambak deretan teksi-teksi menunggu untuk mengambil penumpang.

Apa lagi... Penulis pun berjalanlah mendekati pemandu teksi ini... Tapi apa depa cakap apabila penulis mengkhabarkan destinasi yang penulis hendak pergi... Melihat ada enam orang dalam kalangan penulis... Mereka menjawab " seorang, sepuluh ". Penulis pun segera beredar kerana penulis tahu berapa anggaran harga dari Pavillion ke tempat penginapan penulis.

Selepas beberapa teksi yang buat macam-macam hal tak mahu guna meter... Dengan alasan jalan jam la dan sebagainya. Penulis pun masuk ke main entrance Pavillion sambil melihat deretan kereta-kereta mewah seperti Bentley, Hummer dan sebagainya dan ke kaunter pertanyaan.

Rakan penulis yang berketurunan Inggeris bertanya kepada penjaga kaunter terbabit dimanakah boleh mendapatkan teksi... Dia pun menjelaskanlah dimana kami patut dapat teksi... Selepas itu beliau hairan kepada rakan penulis itu dan berkata '' Boleh cakap Melayu ''.

Kami pun turun dan ke sebuah tempat menunggu teksi... Bayar Rm 2.00 dan kami dijanjikan sebuah teksi yang boleh memuatkan semua dalam kalangan kami iaitu teksi eksekutif yang sedikit luas. Dalam lebih kurang 10 minit, akhirnya teksi yang dijanjikan tiba iaitu Toyota Innova.

Kami pun naiklah teksi tersebut menggunakan meter sampai betul-betul dihadapan tempat penginapan kami tetapi dilaluan sebelahnya. Penulis pun mengambil keputusan menyuruh pemandu teksi memberhentikan teksi di bridge supaya kami dapat melintas menlintasi lebuh raya dengan bridge tersebut untuk ke tempat penginapan.

Harga yang dikenakan... Rm 35.00 ... Syukur laa... Murah jika nak dibandingkan dengan pemandu teksi yang tak mau menggunakan meter.

Untuk pengetahuan pembaca... Kesemua teksi yang penulis naik merupakan teksi yang dimiliki oleh Zalnas Limousine bukannya teksi-teksi biasa yang lain. Apa yang penulis sedar dengan layanan dan perkhidmatan mereka lebih boleh dipercayai jika hendak dibandingkan dengan teksi-teksi yang lain.

Ini membuatkan penulis lebih percaya dengan teksi-teksi Zalnas Limousine ini berbanding teksi-teksi di tepi jalan yang lain kerana mereka menggunakan meter. Dalam erti kata lain... Perkhidmatan mereka baik...

Apa yang ingin penulis sampaikan disini adalah mengenai sikap segelintir pemandu teksi Malaysia yang tidak mahu menggunakan meter bagi menghantar penumpang... Ikut undang-undang, tindakan ini salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika penulis sampai hati nak laporkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat ( SPAD ).

Tapi apa boleh buat... Mereka kata dengan macam itu sahaja mereka memperoleh pendapatan... Tapi mereka kena ingat... Tak berkat rezeki yang mereka dapat secara tidak halal dengan tidak menggunakan meter dan sebagainya... Tambahan lagi kami orang Malaysia.

Tidak hairanlah mengapa Dato Seri Nazri Aziz menggelar teksi Malaysia sebagai tandas kerana malaun-malaun seperti ini.

Sepatutnya pemandu teksi yang merupakan duta kecil negara perlulah mempunyai etika dalam menjalankan tugas bukannya melakukan tindakan seperti tidak mahu menghantar penumpang dan tidak menggunakan meter.

Dalam kaji selidik yang dikeluarkan yang melibatkan pelancong sebagai responden, tinjauan menunjukkan yang perkhidmatan teksi mereka antara yang paling kurang digemari mereka selepas tandas.

Penulis berharap supaya SPAD mengambil tindakan lebih proaktif dan agresif terhadap golongan pemandu yang tidak mahu menggunakan meter ini kerana tindakan sedemikian sesungguhnya menyusahkan orang ramai.