Sunday, March 17, 2013

Antara TERAJU & Seloka Cak Kun Cak



Tatkala leka melayari Facebook, muncul sebuah share dimana tertulis '' Orang Melayu kena tengok '' yang membuatkan penulis tergoda sehingga menekan pautan tersebut. Maka keluarlah sebuah video dimana menceritakan realiti orang Melayu semenjak Merdeka.

Dimana pengarah video pendek tersebut banyak mempersendakan sikap orang Melayu yang malas bekerja dan tidak pandai menguruskan ekonomi selain lebih banyak bersyukur berbanding berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi.

Video bertajuk ' Terajui Minda Anda ' yang berdurasi 10.46 saat ini banyak mengajak kita terutamanya orang Melayu untuk terus berusaha selain tidak terlalu bergantung kepada kerajaan dalam menguasai pegangan ekonomi negara.

Selain itu, video ini juga turut memperli segelintir orang Melayu yang suka mengambil jalan mudah seperti menjual permit. Dalam video yang dipaparkan, isunya adalah permit teksi meskipun lanskapnya bagi penulis lebih luas termasuk sebilangan permit import yang dianugerahkan kepada orang Melayu malangnya dijual kepada bangsa lain.

Sikap suka berhutang juga ada disentuh dalam video pendek ini dimana pengarah video ini ingin membuka mata orang Melayu yang ingin berlagak mewah dan menyalahgunakan kewangan yang diperuntukan bagi membantu perniagaan untuk tujuan peribadi.

Penulis memberikan lima bintang buat video ini dan secara jujurnya, video ini boleh dikatakan tamparan hebat buat orang Melayu khususnya dan Bumiputra amnya mengenai realiti semasa orang Melayu kini. Mahu tidak mahu, kita perlu terima juga hakikat sebenar orang Melayu di tanahair sendiri.

Mungkin generasi penulis perlu menjadi penggerak perubahan kedudukan ekonomi orang Melayu pada waktu kini seperti mana yang diinginkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputra ( TERAJU ) dibawah Jabatan Perdana Menteri.

TERAJU ditubuhkan untuk menerajui, menyelaras dan memacu Agenda Bumiputra bertujuan meningkatkan penguasaan Bumiputra dalam ekonomi negara. Objektif lain TERAJU adalah Menerajui Agenda Bumiputra seperti yang digariskan dalam " Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputra " selaras  dengan Pelan Transformasi Negara lainnya, termasuklah program Transformasi Ekonomi ( ETP ), Program Transformasi Kerajaan ( GTP ) dan Strategic Reform Initiatives (SRI ) merentasi kementerian dan sektor.

Selain itu, TERAJU juga bertanggungjawab memacu perlaksaan Agenda Bumiputra melalui penerokaan inisiatif-inisiatif baharu dan memperkenalkan pembaharuan kepada instrumen sedia ada dan menyelaras perlaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan ekonomi Bumiputra melaui kerjasama strategik dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan ( NGO ).

TERAJU yang ditubuhkan pada 2 Februari 2011 dan dirasmikan oleh Y.A.B Dato Seri Najib Tun Razak sebagai langkah menempatkan peranan Bumiputra yang lebih besar dalam mencapai wawasan 2020 iaitu meningkatkan tahap pendapatan dan pemilikan syarikat besar dalam pertumbuhan sektor-sektor tinggi ekonomi.

Bagi memudahkan dan memperkemaskan pentadbiran TERAJU, empat bahagian telah ditubuhkan bagi menerajui agenda mereka iaitu Bahagian Keusahawanan, Bahagian Polisi & Institusi, Bahagian Pembiayaan dan Bahagian Stakeholder ( pemilikan saham ).

Penulis melihat penubuhan TERAJU ini sebagai salah satu usaha kerajaan bagi meningkatkan lagi ekonomi Bumiputra dalam aktiviti ekonomi negara dan perlu disokong oleh pelbagai pihak bagi merealisasikan agenda ini.

Tujuan penulis untuk menulis artikel ini bukanlah untuk memperkenalkan TERAJU kepada pembaca tetapi lebih berminat untuk mengambil pengajaran dalam video ringkas ini yang banyak ditujukan kepada orang Melayu khususnya dalam pengambilan bahagian dalam ekonomi negara.

Tetapi sedarkah anda sebelum video ini dikeluarkan, terdapat sebuah karya seni dimana lebih awal dikeluarkan kepada umum yang mana banyak menceritakan tentang keadaan semasa orang Melayu di Malaysia.

Karya ini tidak disampaikan melalui video tetapi disampaikan melalui gabungan melodi dan lirik yang mana mesej yang ingin disampaikan lebih kurang sama dengan video yang dikeluarkan oleh TERAJU. Ianya karya hebat dua orang seni bagi menyedarkan orang Melayu mengenai keadaan mereka sekarang ini.

Tidak lain tidak bukan ianya adalah lagu duet diantara Dato' M Nasir dan Tan Sri S M Salim berjudul Seloka Cak Kun Cak yang diterbitkan pada tahun 2003. Berikut merupakan lirik lagu tersebut



Penulis tidak pasti apa yang ingin disampaikan oleh Dato' M Nasir dan Tan Sri SM Salim tetapi apa yang penulis yakin adalah ingin menceritakan realiti orang Melayu waktu kini. Berikut adalah tafsir penulis

Jika dilihat lirik lagu pada rangkap awalnya, penulis lirik cuba menyampaikan tentang kehebatan orang Melayu pada waktu dahulu yang hidup mewah mungkin kerana gemar berdagang ke seluruh pelusuk dunia. Penulis lirik juga menyelitkan tentang kehebatan pahlawan Melayu yang sanggup berjuang kerana bangsanya.

Penulis tidak berapa pasti apa yang ingin disampaikan oleh penulis lirik pada rangkap kedua cuma yakin yang penulis lirik cuba menggambarkan kehidupan orang Melayu yang tertinggal dalam sektor ekonomi berdasarkan lirik ini '' Hampir tinggal sehelai benang, bencana sengaja dipinang '' kemudiannya disusuli lirik berbunyi '' Jika perhati bangsa dagang, kapak beliung ditangan memegang '' yang jelas menunjukkan sikap orang Melayu yang malas jika dibandingkan dengan bangsa lain.

'' Kekayaaan hendak diregang, akhirnya saudagar pangkat dijulang '' ... Hanya penulis lirik sahaja dapat menafsir ayat diatas mungkin kerana tahap kesusasteraan penulis amat rendah.

Kemudiannya barulah penulis lirik menasihati orang Melayu melalui lirik berbunyi '' Disulami syair termasyhur, usahlah berdengkur, kita jua yang bertafakur, yang mana khilaf tegur menegur '' .

Penulis menafsirkan ayat ini merujuk kepada Melayu yang mempunyai sejarah yang hebat ( syair termasyhur ) tetapi janganlah selesa ( berdengkur ) tetapi merenung seketika ( bertafakur ) dan tegur menegur jika ada salah silap ( khilaf ).

Pada penghujungnya penulis lirik sekali lagi mempersendakan masyarakat Melayu melalui tulisan liriknya iaitu '' Awak yang payah, membelah ruyung, orang bertandang, beroleh untung, akhirnya kita takkan dihitung ''.

Bagi penulis, ayat ini menunjukkan orang Melayu yang sedaya upaya menjaga keamanan pada waktu dahulu bagi membangunkan tanah Melayu tetapi apabila pendatang datang berniaga di Malaysia, mereka pula yang memperoleh untung kerana pandai berniaga hinggakan orang Melayu sendiri disisihkan.

Apa yang ditulis diatas hanyalah tafsiran penulis sahaja... Penulis tidak berupaya memikirkan apa yang penulis lirik ini inginkan sampaikan kepada masyarakat tetapi rasanya tidak jauh dengan apa yang ditafsirkan penulis.

Apa pun yang ingin disampaikan oleh mereka ini, orang Melayu khususnya perlu menerima mesej ini dengan hati terbuka bukannya melenting dan menyalahkan orang lain seperti mana yang diceritakan di dalam video oleh TERAJU.

Seperti yang ingin disampaikan oleh pengarah video TERAJU, sampai bila orang Melayu ataupun Bumiputra perlu mengharapkan projek dan bantuan dari kerajaan? Mungkin kita perlu mengubah hidup kita untuk bersaing bersama-sama mereka.

Jelaslah seperti yang ternyata dalam al-Quran Surah al-Radd ayat yang ke-11 yang mana berbunyi '' Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri ''. Jadi Ubahlah

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen