Saturday, February 2, 2013

Bila al-Quran Dijadikan Modal Perniagaan

Sudah menjadi rutin harian penulis untuk membaca surat khabar setelah kembali dari sekolah meskipun penulis mempunyai kaedah lain untuk mendapat berita iaitu melalui portal ataupun laman web yang dibangunkan media untuk memudahkan penyampaian berita kepada orang ramai.

Namun penulis lebih selesa dengan kaedah konvesional iaitu dengan membelek surat khabar jika dibandingkan dengan membaca di hadapan skrin komputer riba Lenovo penulis yang sebesar 17 inci. Bukannya penulis menolak cara pembacaan dihadapan skrin, tetapi sudah menjadi salah satu rutin hidup dengan membelek surat khabar.

Jangan terkejut dalam tempoh 10-15 tahun lagi generasi muda kita tidak lagi membaca surat khabar sebaliknya hanya menggerakkan jari telunjuk mereka dari atas ke bawah di atas skrin sesentuh tablet terbaru mungkin keluaran Apple ataupun Samsung.

Dahulu semasa penulis berusia 9-10 tahun, penulis mempunyai satu masalah untuk membaca akhbar Berita Harian kerana waktu itu, ia berbentuk surat khabar bersaiz besar seperti Utusan Malaysia waktu sekarang. Dengan bentuk badan yang kecil, mengalihkan setiap muka surat akhbar terbabit menjadi beban sehingga mereka menukarkannya kepada saiz tabloid beberapa tahun yang lepas. Tetapi sehingga kini, penulis masih lagi membaca surat khabar Utusan kerana penulisannya kebanyakkannya bersifat ilmiah walaupun umum mengetahui laporannya terlalu berat sebelah.

Ini bukan isu yang penulis hendak ceritakan, tetapi boleh la penulis kongsikan dengan pembaca semua. Tetapi hal yang ingin penulis ketengahkan ini diinspirasikan hasil pembacaan penulis terhadap sebuah akhbar juga.

Seperti yang penulis nyatakan diatas, penulis gemar membaca surat khabar apabila pulang dari sekolah. Ketika membelek, terdapat sebuah segmen pada akhbar tersebut yang mana sebagai segmen tajaan surat khabar terbabitlah.

Segmen ini mempromosikan sebuah syarikat yang dinamakan air mineral Al-Khodafi yang mana dinyatakan mereka telah dibaca dengan 40 kali khatam al-Quran. Produk yang mana pejabatnya berpangkalan di Pulau Pinang ini juga mengatakan yang air mineral keluaran mereka ini dirawat di Pendang, Kedah dengan proses Nano Hydronium

Selain itu, air terapi yang mereka keluarkan ini juga mengandungi cendawan ajaib, kulat susu harimau, kemenyan Makkah, sarang anai-anai ( yang sudah makan 22 juzuk ayat al-Quran ), air zam-zam dan air hujan malam Jumaat 10 Muharam.

Kata pengurus perniagaannya, air terapi Al-Khodafi membantu merawat saka, sihir, santau, histeria, gangguan mental, sukar tidur malam ( Insomnia ), kanak-kanak menangis, panas baran, keras hati dan pelbagai lagi. Katanya lagi, air ini juga boleh membantu menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk gangguan makhluk halus.

Yang lebih menarik perhatian penulis dalam artikel promosi ini adalah tulisan yang mengatakan mengandungi bakteria baik yang sentiasa berzikir dan akan menghapuskan bakteria jahat serta sel jin di dalam badan yang menjadi punca penyakit tidak kira rohani ataupun jasmani.

Menurutnya lagi, cendawan dan kulat susu harimau itu telah dibacakan dengan 40 kali khatam al-Quran yang mana dapat membersihkan toksin dalam badan sekaligus meningkat sistem imunisasi seseorang.

Artikel penulis kali ini bukan untuk mengaibkan mana-mana individu, tetapi lebih bersifat inginkan penjelasan terhadap kenyataan dalam tulisan terbabit.

Penulis ingin bertanyakan apakah fungsi cendawan ajaib, kulat susu harimau, kemenyan Makkah, sarang anai-anai yang telah memakan 22 juzuk ayat al-Quran dan air hujan malam Jumaat 10 Muharam.

Dalam artikel yang mereka keluarkan itu, penulis tidak melihat sebarang penjelasan fakta yang menyokong dakwaan mereka yang mengatakan produk air terapi mereka dapat membantu merawat pelbagai penyakit.

Sejujurnya sebagai seorang pembaca, penulis dapat merasakan ada unsur-unsur yang boleh membawa kepada kesyirikan iaitu kemenyan Makkah, sarang anai-anai yang telah memakan 22 juzuk ayat al-Quran dan air hujan malam Jumaat 10 Muharam.

Tetapi penulis tidak nafikan mengenai peranan air zam-zam kerana penulis tahu ia mempunyai khasiat yang tersendiri yang mana tiada siapa boleh pertikaikan berikutan kajian saintis turut mengesahkan kebaikan sumber air terbabit.

Penulis juga mempunyai masalah bagaimanakah mereka mendengarkan air terbabit dengan 30 juzuk ayat al-Quran sebanyak 40 kali. Adakah ia telah dibaca oleh seseorang yang duduk di hadapan ratusan botol minuman ataupun telah dibaca oleh speaker yang mana 30 juzuk al-Quran terbabit dibaca dari rakaman ayat al-Quran.

Cendawan ajaib juga membingungkan penulis tentang apakah ia. Adakah kerana ia mempunyai perkataan ajaib maka ia boleh dikatakan ajaib. Maka penulis memohon penjelasan?

Kemenyan Makkah... Kenapa Kemenyan Makkah??? Dekat Malaysia ini tiada kemenyankah??? Apa kelebihan Kemenyan Makkah jika dibandingkan dengan Kemenyan di tanah air kita. Mungkin Kemenyan Makkah lebih 'suci' kerana Makkah kan tempat ibadat orang Islam, jadi mungkin ada lebih keberkatan.

Sarang anai-anai yang telah makan 22 juzuk ayat al-Quran... Penulis sendiri tak faham apa maksud ayat tersebut kerana ia tidak mendalam. Macam mana sarang anai-anai boleh makan 22 juzuk ayat al-Quran. Atau mungkin anai-anai tersebut memakan 22 juzuk ayat al-Quran lalu membuang sarang?

Penulis tak nampak apa signifikannya mereka membiarkan anai-anai memakan ayat al-Quran. Bukankah al-Quran sepatutnya disimpan rapi dan patut dipelihara bukannya untuk dibiarkan ayat suci al-Quran dimakan anai-anai.

Dan jika anai-anai yang memakan 22 juzuk ayat al-Quran ini dapat memberikan manfaat kepada kita. Bukankah lebih afdal jika kita sendiri mengoyakkan helaian ayat al-Quran dan memakannya mudah-mudahan dapat mendekatkan diri kepada agama.

Begitu juga dengan air hujan Jumaat 10 Muharam yang turut membawa kebaikan kepada peminum air terapi ini. Apakah bezanya air hujan Jumaat 10 Muharam dan air hujam hari-hari lain. Hal ini juga tiada penjelasan yang ilmiah menyokong kebenaran dakwaan kebaikan minuman mereka.

Setelah diselidiki, Cendawan Susu Harimau ataupun dirujuk diatas sebagai Kulat Susu Harimau sememangnya wujud. Namun hasil pencarian penulis, tiada sebuah maklumat konkrit yang boleh menyokong kebaikannya. Mungkin disebabkan itulah tiada penjelasan mengenai perkara ini.

Bagaimana pula dengan kata-kata mereka mengenai bakteria baik yang sentiasa berzikir? Selama penulis hidup, tidak pernah tahu yang bakteria mempunyai akal untuk berzikir yang akan memberikan kita maslahat. Mungkin ada di kalangan kita boleh mengemukakan ayat al-Quran ataupun hadis untuk menyokong dakwaan tersebut.

Sel jin... Penulis tak pernah tahu ada sel jin dalam badan kita

Mungkin ada yang akan mempertikaikan kenapa penulis tidak persoalkan air Yasin yang kita minum. Bukankah sama sahaja dengan air terapi yang penulis persoalkan diatas ini. Jawab penulis senang sahaja.

Air Yasin yang kita minum itu kebanyakkan dibaca orang ramai dan dibawa pulang untuk diminum. Berlainan dengan konsep diatas yang mana dibaca 40 kali khatam al-Quran dan kemudian dibuat sebagai barang perniagaan. Jadi dimanakah keberkatannya? Penulis percaya yang kita minum air Yasin adalah untuk mendapat keberkatan bacaan al-Quran tetapi ini berlainan dengan air terapi di atas ini.

Penulis takut jika perkara seperti ini sudah menjadi suatu amalan dan konsep dalam perniagaan, maka ia akan membuatkan seseorang itu ke arah yang dapat membawa kepada kesyirikan kerana terlalu percaya dengan khasiat sesebuah air meskipun ada perkataan ' dapat membantu '.

Tidak mustahil juga suatu hari nanti akan ada pula syarikat yang mengeluarkan air yang telah dibawa mengerjakan Umrah ataupun Haji pusing kaabah 70 kali termasuklah Sai di Safa dan Marwah. Malahan mereka bukannya berlari-lari anak, tetapi sprint.

Mungkin juga botol air terbabit telah disentuh dengan hajarul aswad membuatkan ia tidak mempunyai dosa lagi. Dan kemungkinan juga botol air nanti akan diihramkan.

Tidak mustahil suatu hari nanti ayat al-Quran dan agama akan dijadikan modal perniagaan. Doa perkara seperti ini dielakkan supaya tidak berlaku syirik.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen