Monday, January 28, 2013

Bila Pilihan Raya ?

Tempoh sebegini sememangnya waktu yang sukar buat pihak yang terlibat dalam pilihan raya terutamanya Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang mana masing-masing mempunyai cita-citanya tersendiri.

Bagi Barisan Nasional, tujuan utama Pilihan Raya ke-13 adalah untuk mempertahankan Putrajaya daripada jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dengan sebaik-baiknya mendapat balik dua pertiga kerusi parlimen.

Manakala Pakatan Rakyat pula hanya satu pandangan mereka, iaitu untuk menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional supaya mereka dapat memerintah Malaysia. Dalam masa yang sama, PKR masih lagi tetap dengan perjuangannya iaitu menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Dan waktu ini merupakan saat kritikal buat Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dimana mereka menantikan saat Dato Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran parlimen sekaligus memberikan ruang untuk pilihan raya diadakan.

Kenapa penulis kata Barisan Nasional turut gelisah menantikan pembubaran parlimen?

Ini kerana penulis percaya yang ahli-ahli Barisan Nasional juga tidak mengetahui tarikh pilihan raya yang ke-13. Apatah lagi pimpinan Pakatan Rakyat dimana mereka sukar menjangkakan bilakah pilihanraya diadakan.

Parlimen Malaysia akan terbubar dengan sendirinya pada 24 April 2013 sekaligus akan memberi laluan kepada SPR untuk menjalankan pilihanraya. Ramai meramalkan yang pilihan raya akan diadakan pada penghujung bulan Mac pada tempoh cuti sekolah awal semester.

Umum mengetahui yang pada musim pilihan raya, tempat-tempat awam seperti sekolah perlu digunakan sebagai pusat membuang undi dan dewan milik kerajaan akan digunakan sebagai pusat pengiraan undi.

Walaubagaimanapun, penulis telah membuat analisis dan berpendapat yang pilihan raya akan diadakan pada cuti tahun baru Cina ini. Dalam erti kata lain mengikut ramalan penulis akan diadakan dalam tempoh 3-4 minggu.

Kenapa ?

Penulis berpendapat Pakatan Rakyat akan menjadi lebih kuat jika tarikh ramalan pembubaran parlimen menjadi semakin pendek apabila melepasi bulan Mac yang mana berada dalam tempoh kurang empat bulan sehingga bulan Julai.

Jika melepasi tarikh ( bulan Mac ) tersebut, penulis percaya tahap jentera Pakatan Rakyat akan berada pada keadaan bersedia untuk berkempen menentang Barisan Nasional. Justeru itu penulis yakin yang Dato Seri Najib Tun Razak akan membubarkan parlimen secara mengejut.

Ini adalah untuk mengelakkan jentera Pakatan Rakyat berada pada tahap sedia sekaligus akan membuatkan mereka hilang arah jika dibandingkan pada bulan Februari yang mana mereka masih berada dalam tahap awal tahun ( tidak bersedia berkempen ).

Tahun 2013 jika 13 itu ditolak dengan dua ( Februari ) akan menunjukkan angka 11. Angka sebelas sememangnya nombor kegemaran Dato Seri Najib Tun Razak kerana beliau pernah menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 dan tarikh lahirnya iaitu pada 1953 19-5-3 =11 .

Mengenai ramalan keputusan pilihan raya...

Penulis menjangkakan yang Barisan Nasional masih lagi memegang tampuk pemerintahan Malaysia dengan anggaran kerusi yang akan meningkat sedikit berbanding dengan tsunami pilihan raya 2008 yang lepas.

Ini kerana jika diperhatikan beberapa isu yang dimainkan oleh Barisan Nasional, sejujurnya mereka masih lagi menguasai pertempuran isu jika dibandingkan dengan pihak pembangkang terutamanya berkaitan dengan DAP dan PKR.

DAP dan PKR terutamanya Anwar Ibrahim dilihat penulis sebagai liabiliti buat Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya kali ini. Pada 2008, undi kepada Barisan Nasional merosot tidak kira apa bangsa sekali pun.

Barisan Nasional telah hilang banyak undi kaum Cina pada pilihan raya yang lepas begitu juga dengan undi kaum Melayu. Tidak lupa juga ramai pengundi India yang mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya yang lalu kerana tidak berpuas hati dengan pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mengikut kira-kira otak penulis, pilihan raya kali ini akan menyaksikan peningkatan undi kaum Melayu dan India terutamanya kepada Barisan Nasional. Walaubagaimanapun, undi kaum Cina masih lagi berpihak kepada Pakatan Rakyat ataupun DAP secara khususnya.

Kaum Melayu kemungkinan sudah muak dengan salah laku moral Anwar Ibrahim dan masih ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan DAP yang sengaja menimbulkan isu kalimah Allah yang boleh dianggap sebagai isu sensitif.

Kaum India pula telah diberikan pelbagai insentif kepada mereka untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap mereka. Ini kemungkinan besar akan mengurangkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat yang mana akan beralih kepada Barisan Nasional.

Manakala kaum Cina pula akan menekan kerajaan dengan mengundi DAP supaya mereka dapat menuntut sesuatu perkara daripada kerajaan yang mereka tidak ada sekaligus akan meningkatkan lagi ekonomi mereka.

Berapa kerusi ??

Penulis meramalkan yang Barisan Nasional akan mendapat sekurang-kurangnya 2/3 kerusi parlimen Malaysia. Namun bilangannya cukup makan sahaja dan agak sukar untuk memperoleh seperti yang mereka sasarkan iaitu 170 kerusi.

Sekarang ini, Barisan Nasional mempunyai 137 kerusi manakala diikuti oleh DAP dengan 29 kerusi. PKR pula mempuyai 23 kerusi begitu juga dengan PAS. Jumlah kerusi dimiliki Pakatan Rakyat ialah 75 kerusi manakala lapan lagi Bebas.

Penulis percaya terdapat beberapa buah kerusi parlimen yang boleh dirampas oleh Barisan Nasional iaitu kerusi Kuala Kedah, Padang Serai, Sungai Siput, Indera Mahkota, Kuantan, Kapar, Klang, Kuala Langat, Telok Kemang, Sepanggar dan Tawau.

Berikut merupakan kerusi-kerusi mudah yang boleh ditawan oleh Barisan Nasional daripada Pakatan Rakyat yang mana akan membuatkan mereka memperoleh 149 kerusi iaitu melepasi satu kerusi daripada 2/3 kerusi parlimen.

Kemungkinan besar pemerintahan kerajaan negeri Kedah akan kembali kepada Barisan Nasional dimana kempen habis-habisan telah dilancarkan oleh UMNO Kedah untuk merampas kembali negeri Kedah daripada kerajaan PAS.

Ini dilihat dengan gandingan Dato Bashah dan Mukhriz sememangnya disegani rakyat negeri Kedah bakal mengembalikan tampuk pemerintahan Kedah kepada Barisan Nasional. Tiada masalah bagi kerajaan Kedah untuk mendapat sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN ) bagi meletakkan Barisan Nasional sebagai kerajaan.

Di Perak, penulis tidak dapat meramalkan kerana kesilapan Barisan Nasional pada tahun 2008 dahulu yang merampas Perak hasil sokongan tiga wakil rakyat DAP dan PKR. Jika cerah, kemungkinan Barisan Nasional akan terus memerintah Perak.

Jika tidak, kemungkinan Pakatan Rakyat akan menang besar pada pilihan raya kerana dendam dan rasa marah yang membuak-buak pengundi terhadap Barisan Nasional kerana merampas kerajaan Perak dan Pakatan Rakyat tempohari.

Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor akan terus menjadi milik Pakatan Rakyat dan sukar ditembusi Barisan Nasional. Terdapat kemungkinan yang mereka akan menambah kerusi DUN di Pulau Pinang dan Selangor.

Inilah sahaja ramalan yang penulis dapat kongsi pada hari ini... Maaf kerana lama tidak mengemaskini blog kerana penulis sedikit sibuk dengan tanggungjawab yang dipikul semenjak memasuki tingkatan empat.

Doakan yang terbaik untuk pilihan raya yang ke-13 ini supaya hanya pemimpin dan parti yang berwibawa, amanah, bertanggungjawab sahaja dapat memerintah negara ini. Mohon-mohon dijauhkan perkara yang tidak diingini pada pilihan raya kali ini.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen