Saturday, December 15, 2012

Malaysia Gagal ke Final Angkara FAM

Penulis yakin yang seluruh rakyat Malaysia masih lagi berada dalam mood bola AFF dimana Malaysia kecundang 0-2 ditangan Thailand. Rata-rata peminat tanahair menuding jari kearah pengadil perlawanan dari Korea Selatan kerana membuatkan pasukan Malaysia beraksi tempang kerana melayangkan kad kuning kedua kepada Fadhli Shas sekaligus membuatkan beliau dibuang padang.

Meskipun begitu, penulis masih lagi beranggapan yang kekalahan Malaysia bukanlah seratus peratus akibat pengadilan yang kurang baik, tetapi lebih menjurus kepada kurangnya peningkatan prestasi oleh pasukan bimbingan Datuk K. Rajagobal.

Ini berikutan permulaan kempen AFF yang hambar apabila Malaysia tewas 0-3 kepada Singapura yang mana telah dikritik hebat oleh peminat pasukan tempatan sebelum berjaya menewaskan Laos 4-1 dan musuh   ketat Indonesia 2-0.

Keputusan perlawanan diatas sebenarnya tidak menunjukkan prestasi yang baik buat Malaysia kerana sememangnya pasukan yang benar-benar berada sama taraf dengan Malaysia adalah Singapura. Ini kerana pasukan Laos sememangnya underdog dalam saingan kali ini manakala Indonesia pula tidak membariskan pasukan terkuatnya.

Krisis bola sepak Indonesia mungkin menjadi kelebihan buat Malaysia dan juga pendorong Malaysia untuk menang. Ini berikutan pasukan yang dibariskan ini adalah dari pasukan bola sepak yang rata-rata pemainnya terdiri dari pemain Liga Premier Indonesia bukannya Liga Super Indonesia.

Sebenarnya di Indonesia terdapat dua buah badan yang mewakili kelab-kelab bola sepak mereka iaitu salah satunya Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia ( PSSI ) dengan Liga Premier Indonesia yang diiktiraf FiFA. Manakala sebuah lagi adalah bagi mewakili kelab-kelab dibawah Liga Super Indonesia.

Meskipun Liga Premier Indonesia diiktiraf FiFA sebagai liga rasminya, namun situasi sebenarnya menunjukkan Liga Super Indonesia lebih mempunyai daya saing dan kualiti yang tinggi berbanding Liga Premier Indonesia.

Kekuatan kewanganlah menyebabkan Indonesia mempunyai dua buah liga yang mana jika dilihat, pemilik Pelita Jaya FC turut mempunyai sebuah lagi kelab di liga tersebut dan juga sebuah kelab di Australia. Safee Sali adalah salah seorang pemain disana yang ingin menyelamatkan kariernya menyebabkan beliau berhijrah ke Johor.

Dalam erti kata lain, pasukan yang diturunkan Indonesia menentang Malaysia bukanlah pasukan terkuat mereka. Jadi tidak perlulah kita berbangga kerana dapat menumpaskan Indonesia kerana jika pasukan yang kebanyakkannya terdiri dari pemain Liga Super Indonesia turun, perlawanan tidak semudah yang disangkakan.

Beralih ke saingan separuh akhir diantara Malaysia menentang Thailand yang mana kekalahan skuad negara dikatakan berpunca dari kesilapan Lee Min Hu, penulis berpendapat yang K. Rajagobal tidak perlu menyalahkan Min Hu sepenuhnya atas kegagalan skuad negara menempah tiket ke final.

Walaupun penulis kurang bersetuju dengan keputusan Lee Min Hu melayangkan kad kuning kepada Fadhli Shas, penulis ingin menanyakan peminat bolasepak tanahair adakah kita kalah kerana Fadhli Shas dibuang padang ataupun kita tidak cukup kuat.

Penulis secara peribadinya mengatakan kekalahan negara dengan agregat 3-1 adalah disebabkan Malaysia tidak mampu bersaing dengan Thailand. Lihat sahajalah perlawanan Fair Game Malaysia-Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, adakah Malaysia dapat menewaskan Thailand?

Tidak... Bahkan keputusan seri 1-1 yang dicatat pada perlawanan tersebut penulis sifatkan sebagai kekalahan buat pasukan negara kerana Thailand mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan.

Natijahnya disini penyokong pasukan bola sepak negara harus menerima hakikat yang pertumbuhan ataupun perkembangan bola sepak tempatan tidaklah sebaik yang disangkakan. Lihat saja perlawanan persahabatan yang diaturkan pasukan negara dimana keputusannya amat sedih untuk penulis catit meskipun menentang Bangladesh.

Penulis ingin bincangkan kekalahan pasukan negara adalah disebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia tidak mendengar kritikan dan maklum balas oleh salah seorang individu paling penting dalam agenda pembangunan bola sepak tanahair iaitu Tan Sri Annuar Musa.

Pada awal tahun ini, Tan Sri Annuar Musa ada mengeluarkan kenyataan yang kurang menyenangkan pimpinan atasan FAM yang menyatakan perkembangan pasukan negara merungsingkan dan perlu ditambahbaik lagi.

Kenyataan beliau di salah sebuah syarikat penyiaran swasta itu menjadi penyebab beliau telah dihadapkan ke  jawatankuasa tatatertib FAM yang akhirnya menyebabkan beliau di gantung selama dua tahun enam bulan ataupun 30 bulan. Tan Sri Annuar Musa turut dianiaya apabila tidak dibenarkan membuat rayuan sekaligus menyebabkan beliau kehilangan jawatan dalam arena bola sepak Malaysia.

Annuar Musa dipercayai digantung 30 bulan oleh FAM  kerana enggan membenarkan beliau bertanding dalam pemilihan jawatankuasa FAM yang akan tamat kira-kira pertengahan 2014 sekaligus mengehadkan penglibatannya dalam arena bolasepak kebangsaan.

Kekalahan Malaysia kali ini membuktikan yang Tan Sri Annuar Musa mengeluarkan kenyataan yang benar dan penggantungan terhadap beliau patut ditarik balik selain memberikan kembali segala jawatan yang disandangnya.

Tan Sri Annuar Musa ketika mengeluarkan kenyataan tersebut jawatannya di dalam FAM adalah sebagai Timbalan Presiden FAM. Walaupun begitu, beliau masih lagi menyatakan realiti yang dihadapi pasukan bola sepak kita sejajar dengan hadis nabi, '' Katakanlah benar walaupun pahit ''.

Apa yang penulis ingin luahkan adalah rasa ketidakpuasan hati penulis terhadap pengurusan FAM. Jadi, penulis berharap FAM memohon maaf kepada Tan Sri Annuar Musa dan memperbetulkan kesilapan yang lalu dan memberi kembali jawatannya.

Ampun Tuanku Sultan Pahang

Ingatlah Sultan Melaka pernah menitahkan supaya Hang Tuah dibunuh, namun apabila Baginda sedar yang dirinya silap. Baginda bertitah '' Alangkah baiknya jikalau Tuah masih ada ''. Ya... Annuar Musa masih ada, penulis mohon perkenan Tuanku supaya memanggil kembali Tan Sri Annuar Musa.

Ayuh sama-sama kita doakan supaya Tan Sri Annuar Musa dipanggil kembali

* Tulisan dari seorang peminat bola sepak Malaysia yang ingin melihat Malaysia menjadi jaguh di dunia bukannya di Asia Tenggara ataupun Asia.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen