Saturday, December 8, 2012

Ilmu dan Harta

Saidina Ali bin Abu Talib memang tidak dapat dipisahkan dengan sejarah ketamadunan Islam yang mana merupakan salah seorang tokoh Islam yang banyak membantu nabi dalam menyebarkan dakwahnya. Bahkan beliau merupakan salah seorang manusia yang terawal memeluk Islam.

Hubungan baiknya dengan nabi tidak dapat dinafikan lagi kerana beliau telah dibela oleh nabi semenjak kecil lagi ( Ali juga sepupu dan juga menantu nabi ). Disebabkan itulah beliau ini dikatakan orang yang paling akrab dengan nabi dan telah banyak berjasa kepada Islam contohnya ketika penghijrahan dari Mekah ke Madinah.

Tatkala bapa segala kejahilan, Abu Jahal berada di luar rumah untuk menangkap nabi yang dijangka akan berhijrah, Ali lah yang menggantikan nabi di tempat tidurnya meskipun beliau resah memikirkan kemungkinan yang akan dihadapinya.

Dengan izin Allah, nabi dapat keluar dari rumahnya tanpa disedari oleh Abu Jahal dan rakan-rakannya kerana dipercayai tertidur. Selepas mereka sedar, mereka kecewa apabila mereka masuk rumah nabi, nabi tiada dirumah sebaliknya yang tidur di dalam sana adalah Ali. Beliau tidak ditangkap mahupun dibunuh kerana objektif Abu Jahal dan rakannya adalah untuk menangkap nabi.

Namun bukan sejarah hidupnya ingin penulis kongsikan, tetapi terdapat kata-katanya yang memikat hati penulis untuk dikongsi.

~~~~~~~~~~~~~

Pada suatu hari ketika Amirul Mukminun Saidina Ali bin Abi Talib sedang memberikan syarahan, terdapat sepuluh orang lelaki ingin menguji beliau sebagai seorang khalifah.

Lelaki pertama bertanya kepada beliau '' Yang manakah lebih baik diantara ilmu dengan harta ? ''. Saidina Ali menjawab '' Sudah tentu ilmu lebih baik daripada harta ''. Lelaki terbabit membalas '' Apakah dalilnya ? ''. Saidina Ali pun berkata '' Wahai saudaraku, ilmu itu adalah warisan para nabi dan rasul. Harta itu warisan Qarun, Firaun, Syaddad dan lain-lain ''.

Begitu juga dengan lelaki kedua hingga kesepuluh menanyakan soalan yang sama kepada Saidina Ali. Ali hanya tenang menjawab kesemua soalan yang sama itu dengan jawapan yang berbeza.

Berikut merupakan alasan yang diberikan oleh Saidina Ali kepada lelaki kedua hingga kesepuluh mengenai perbandingan diantara harta dan ilmu.

Kedua : Wahai saudaraku, ilmu itu menjaga kamu tetapi harta itu kamu yang menjaganya

Ketiga : Wahai saudaraku, orang yang mempunyai banyak harta akan mempunyai ramai musuh, Tetapi orang yang banyak ilmu mendapat ramai kawan.

Keempat : Wahai saudaraku, harta itu apabila dibelanjakan ia akan berkurangan, tetapi ilmu apabila diamalkan akan berkembang

Kelima : Wahai saudaraku, orang yang banyak harta biasanya kedekut dan tidak dihormati, manakala mereka yang banyak ilmu penurah dan dihormati

Keenam : Pemilik harta akan dihisab pada hari kiama. Ilmu pula akan memberikan syafaat kepadanya pada hari kiamat kelak 

Ketujuh : Harta menjadikan pemiliknya keras hati, tetapi ilmu menjadikan pemiliknya terang hati

Kelapan : Harta semakin lama disimpan ia semakin usang tetapi ilmu tidak usang dan tidak lapuk

Kesembilan : Pemilik harta akan terus berkata harta itu miliknya. Pemilik ilmu pula akan berkata ilmu itu milik Allah

Jawapan yang diberikan oleh Saidina Ali amat membuatkan penulis begitu kagum dengan kehebatannya. Tidak hairanlah ada yang memanggilnya sebagai Mutiara Ilmu. Tidak perlu terkejutlah mengapa beliau sering diberikan tanggungjawab yang berat oleh nabi semasa bersama dengannya seperti membawa panji-panji Islam.

Selepas kesemua soalan ditanya, lelaki terbabit pun beredar dan Saidina Ali berkata '' Jika terdapat orang yang menanyakan aku 100 soalan yang sama, akan ku jawab dengan 100 jawapan yang berbeza ''.

* Jangan cop saya berfahaman Shiah pula sebab kongsikan kisah Ali
** Maaf lambat terbitkan artikel, laptop penulis ada masalah

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen