Friday, November 30, 2012

Gaza dan Elton John

Sir Elton John di Genting Highland, tahun lalu
Semalam penulis sempat ke masjid menunaikan sembahyang Maghrib dimana masjid sekitar rumah penulis ini ada menjemput seorang pengamal media dari Gaza yang telah dibawa oleh Haluan Palestin untuk membongkar kekejaman dan menceritakan kisah mengenai Israel di bumi Palestin selepas penulis tidak berkesempatan ke Genting Highlands menyaksikan konsert Sir Elton John, penghibur terhebat sepanjang zaman.

Meskipun mendapat tentangan daripada Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) untuk membatalkan konsert Elton John, namun konsert diteruskan dan penulis juga tidak dapat pergi kerana ketiadaan individu yang boleh menghantar penulis ke Genting berikutan ibu penulis berada di Bangkok, Thailand.

Konsert Pitbull di Sunway Lagoon
Sejujurnya, konsert Sir Elton John tidak mempunyai sebarang nilai-nilai homoseksual dan kurang elok jika dibandingkan dengan konsert-konsert yang mempersembahkan artis-artis barat yang bertemakan parti seperti Pitbull dan sebagainya.

Bukan niat penulis untuk membela Elton John, tetapi tidak adil lah jika melarang Elton John membuat persembahan kerana beliau seorang homoseksual yang mana itu hak peribadi beliau yang mana tidak perlu kita campuri urusannya.

Setiap penampilan awamnya jarang beliau menceritakan isu peribadi mengenai kehidupan dirinya dan beliau lebih senang berinteraksi dengan penonton. Dan jika anda saksikan konsert Elton John, anda akan dapat pastikan yang beliau lebih gemar bernanyi bersama pianonya dengan bergitu beradab.

Sir Elton John ketika menyanyikan lagu
Goodbye England's Rose
Penulis rasakan lebih buruk kelakuan segelintir anugerah di Malaysia yang mana penontonnya berlompat-lompat bersama lelaki dan perempuan di tepi pantai jika dibandingkan dengan konsert Elton John yang mana penontonnya lebih selesa duduk dan melayan kecantikan alunan piano yang dimainkan Elton John.

Maka tiada hairanlah mengapa beliau menjadi seorang yang terpilih untuk menyanyikan lagu Goodbye England's Rose pada 1 September sempena pemergian Puteri Diana Spencer atau lebih dikenali sebagai Lady Diana dengan tontonan satu billion orang dari seluruh dunia. Dan tidak hairanlah mengapa beliau sekali lagi dipanggil bagi membuat persembahan sempena ulang tahun Jubli Intan pemerintahan Ratu Elizabeth II.

~~~~~

Ahmed al-Jabari
Selesai solat Maghrib, penulis melaksanakan solat sunat rawatib, pihak masjid menjemput seorang lelaki Arab bernama Yusuf dimana beliau merupakan seorang wartawan daripada sebuah agensi berita Arab dimana diterbangkan dari Gaza sehari selepas gencatan senjata dicapai.

Beliau pertama sekali berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan  diikuti dengan doa selain memuji sikap rakyat Malaysia yang mana bersama-sama ingin mempertahankan Palestin dari serangan Israel.

Beliau menceritakan kisah dimana bermulanya perang apabila mereka mengebom kenderaan yang dinaiki Ahmed al-Jabari. Menurut isterinya, Ahmed al-Jabari mempunyai tiga impian yang ingin beliau capai iaitu yang pertama untuk pergi ke Haji.

Allah memakbulkan permintaannya apabila beliau dibom di Palestin dua hari selepas beliau pulang daripada Mekah mengerjakan haji. Kedua beliau bercita-cita untuk membina satu pasukan yang mana boleh mempertahankan rakyat Palestin dari dibom Israel.

Sebuah bangunan bersebelahan masjid dibom Israel
Syukur kepada Allah kerana beliau dapat mencapai cita-citanya apabila Brigade al-Qassam bertambah kuat apabila beliau menyertai pentadbirannya. Akhir sekali beliau ingin syahid yang mana syahidnya telah memakan diri Israel sendiri.

Menurut saudara Yusuf, sekitar sepuluh hingga lima belas minit selepas pembunuhan al-Jabari, Israel terus melaksanakan kempennya dengan menggugurkan lebih kurang 1000 butir bom dimana disasarkan di seluruh kota Gaza. Dan untuk pengetahuan anda, sebutir bom yang digugurkan seberat satu tan ataupun bersamaan 900 kg .

Penulis dan jemaah yang lain ditunjukkan gambar-gambar kekejaman Israel yang tidak pernah ditunjukkan dimana-mana media massa yang lain. Antaranya adalah gambar sekeluarga mati dibom dimana terdapat empat beradik berada di hospital dimana doktor sedang menguruskan jenazahnya.

Asap hasil daripada letupan bom yang
digugurkan oleh tentera Israel
Katanya, Israel menggangap para wartawan yang berada di Gaza tidak ada bezanya dengan Mujahidin di Gaza kerana mereka enggan melihat sebarang berita/gambar tentang kekejaman mereka tersebar di seluruh dunia kerana ini akan membuka ruang kepada Palestin untuk mendapat sokongan. Disebabkan itulah baru-baru ini Israel sengaja mengebom pusat aktiviti media di Gaza dengan alasan ia digunakan oleh Hamas sebagai pusat komunikasi.

Seperti penulis katakan pada awal ayat tadi, serangan Israel sememangnya memakan diri mereka sendiri apabila serangan roket oleh Brigade al-Qassam telah berjaya membuatkan Israel panik berikutan roketnya berjaya menembusi ibu kota Israel. Ini sekaligus membuktikan bahawa penggunaan teknologi Iron Dome tidak berkesan sehingga mereka terpaksa meminta bantuan Amerika Syarikat.

Kebetulan pula Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berada di Kemboja bagi sidang ASEAN+AS, Malaysia mengambil kesempatan untuk mendesak AS untuk menghentikan peperangan di Gaza. Ini disambut baik oleh Amerika kerana Israel juga mengharapkan gencatan senjata kerana roket al-Qassam berjaya meletup hingga ke kota Sderot.

Presiden Obama berada di Phnom Penh untuk
Sidang Kemuncak ASEAN
Berikutan desakan negara-negara Islam dan Israel, akhirnya Obama meminta Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang bersama-sama dengan pemimpin negara Islam di Pakistan bagi persidangan D8 ( Developing 8 ) untuk menganjurkan gencatan senjata.

Anjuran gencatan senjata ini sememangnya dinantikan rejim Zionis yang tidak tahan dengan serangan roket bertalu-talu oleh Mujahidin Palestin. Pihak berkuasa wilayah Gaza bersetuju dengan gencatan senjata tetapi dengan syarat yang ditetapkan oleh pihak mereka.

Kerana terlalu terdesak, akhirnya Israel menuruti syarat yang ditetapkan oleh Hamas dimana gencatan senjata mestilah bermula pada jam 9.00 malam dimana tiada sebarang aktiviti ketenteraan boleh diadakan selepas itu.

Selain itu, askar Israel juga perlu tidak boleh membunuh mana-mana rakyat Palestin yang berada berhampiran dengan sempadan selain membenarkan mereka mengusahakan tanah-tanah untuk dijadikan ladang. Selama bertahun-tahun tanah tersebut tidak boleh digunakan kerana diduduki oleh askar Israel, namun berkat doa dan usaha umat Islam, Israel terpaksa menerima syarat tersebut.

Apa yang menggembirakan lagi adalah apabila nelayan-nelayan Palestin turut dibenarkan menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa sebarang gangguan dari askar Zionis. Syarat ini sesungguhnya rahmat untuk nelayan Palestin kerana mereka boleh menangkap ikan sehingga enam batu nautika di perairan tanpa sebarang gangguan. Dahulunya, jika askar Israel terlihat nelayan Palestin di perairan, mereka akan menembak tanpa sebarang budi bicara tetapi tidak selepas perjanjian dibuat.

Askar Israel, Gilat Shalit yang pernah dijadikan tawanan 
Syarat yang dirangka oleh pihak Palestin ini sesungguhnya telah berjaya menaikkan semangat rakyat Palestin selain menunjukkan kepada dunia bertapa teruknya kekalahan Israel sehingga terpaksa menerima kesemua syarat yang diminta oleh Palestin.

Beliau juga ada melaporkan yang terdapat lebih seribu tahanan warga Palestin termasuk 50 wanita dan kanak-kanak berada di penjara di Israel. Wanita di dalam tahanan ini didera dan diseksa oleh askar Israel setiap hari.

Pada suatu hari, seorang askar Israel menjerit kepada seorang tahanan wanita Muslim di dalam penjara yang mengatakan tidak ada orang pun kisah mengenai anda di dalam sini dan anda akan mati dan reput disini. Namun wanita terbabit membalas yang mengatakan ada Allah dan orang Islam lain yang berada di belakangku.

Askar Israel itu berlalu pergi dan pada suatu hari, mereka semua dibebaskan apabila Ahmed al-Jabari ini telah berjaya membebaskan tahanan dengan menggantikan seorang askar Israel, Gilat Shalit dengan lebih 1000 tahanan termasuk 50 wanita dan kanak-kanak.

Wanita terbabit senyum dan mengatakan kepada askar terbabit yang masih lagi terdapat orang yang akan membantunya.

Akhir sekali, saudara Yusuf ini ada menyebut mengenai penyelesaian dua negara ataupun dipanggil two state solution yang kerap kali dibangkitkan termasuklah kenyataan Anwar Ibrahim di Wall Street Journal dimana ingin memberikan tanah buat Israel.

Saudara Yusuf dengan nada yang tegas mengatakan penyelesaian dua negara ini tidak boleh disokong sama sekali kerana Masjidil-Aqsa sememangnya milik umat Islam secara keseluruhannya. Beliau turut menegaskan yang Israel tiada hak untuk mempunyai negara di Palestin kerana mereka sememangnya pendatang.

Malahan ketika penaklukan kota Jerusalem, Saidina Umar al-Khattab iaitu Khalifah kedua selepas Abu Bakar as-Sidiq sendiri hadir bagi menerima kunci daripada Bishop Kristian. Selain daripada itu, Umar juga enggan memberikan tanah tersebut kepada mana-mana pembesar untuk ditadbir kerana beliau berpendapat Masjidil-Aqsa milik orang Islam secara keseluruhannya.

Ini berbeza dengan cara pentadbiran mereka yang memberikan sesebuah kawasan kepada pembesar seperti berlaku di Damsyik dimana Muawiyah diberikan jawatan sebagai Gabenor.

Tindakan ini secara keseluruhan menunjukkan bertapa sucinya kota Jerusalem hinggakan khalifah sendiri enggan memberikan mana-mana orang untuk mentadbir.

Ceramah diakhiri dengan solat hajat

* Penulis tidak berkesempatan untuk mengambil sebarang gambar kerana telefon penulis kehabisan bateri tambahan lagi ibu penulis membawa pengecas penulis ke Bangkok

Sunday, November 25, 2012

Perang Gaza : Helah Israel

Penduduk Gaza meraikan gencatan senjata yang telah dicapai
Empat hari telah berlalu gencatan senjata yang ditandatangani oleh Israel dan Hamas bagi meredakan pertempuran di Gaza dan wilayah Israel hasil usaha sama Mesir. Walaubagaimanapun, Yayasan Keamanan Global Perdana ( PGPF ) di dalam laman rasmi Facebooknya mendakwa terdapat dua letupan berlaku pada jam 9.03 dan 9.06 malam waktu tempatan.

Serangan di Gaza ini dinamakan sebagai Operasi Tiang Pertahanan oleh Israel dimana bermula pada 14 November 2012 dengan terbunuhnya salah seorang panglima perang Hamas, Ahmed Jabari yang pernah ditahan selama 13 tahun oleh Israel.

Serangan oleh tentera Israel
Beliau memainkan peranan penting dalam penahanan askar Israel, Gilad Shalit yang telah menghabiskan masa di dalam tahanan Hamas selama lima tahun dan sebelum dibebaskan dalam proses pembebasan tawanan yang melibatkan lebih 1000 orang tawanan.

Ahmed Jabari yang pernah bersama Fatah menyertai Hamas selepas pembebasannya pada tahun 1995 telah berjaya membawa Brigade al-Qassam ke suatu era baharu. Ini berikutan tahap kecekapan Brigade al-Qassam bertambah baik ketika beliau menjadi Ketua Operasi al-Qassam yang dipuji Mohammed Deif iaitu Komander al-Qassam.

Ahmed Jabari yang syahid dibom Israel
Penglibatannya ketika Intifada kedua yang bermula dari tahun 2000 sehingga 2007 berjaya membuatkan ramai askar Israel. Beliau telah terlibat dengan banyak operasi serangan yang dilancarkan sepanjang berkhidmat bersama Hamas.

Beliau yang mempunyai semangat yang tinggi pernah berkata pada September 2010 " Dengan iman yang ada, senjata dan roket, terowong dan komando kami akan mencapai kemenangan buat Palestin dan malahan kami akan membebaskan kependudukan di Gaza '' mungkin menjadi salah satu sebab mengapa beliau dijadikan sasaran dalam Operation Pillar of Defense ini.

Serangan roket pihak Hamas dari Gaza
Tiada angka rasmi yang tepat dikeluarkan oleh kedua-dua pihak dimana ada laporan mengatakan terdapat lebih 150 orang rakyat Palestin terbunuh. Pihak berkuasa Israel pula mendakwa hanya 57 terbunuh manakala Palestin pula mengatakan 107 orangnya terbunuh dan hampir 1000 orang cedera.

Penulis melihat serangan ini sebagai serangan mengejut Israel terhadap Gaza yang mana konflik paling runcing yang pernah dihadapi oleh Gaza pada tahun ini adalah ketika Mac tahun ini yang berlarutan selama lima hari.

Serangan ini menimbulkan keraguan penulis apabila mendengar berita gencatan senjata yang telah ditaja oleh Mesir yang mana Presiden Mesir, Mohamed Morsi telah mendapat pujian melambung oleh masyarakat Muslim di dunia atas kejayaannya memberhentikan serangan ke atas Gaza.

Mohamed Morsi ini dilahirkan di Sharqia, Mesir pada tahun 1951 dimana beliau melanjutkan pelajarannya di University of Cairo sebelum meneruskan pengajiannya di University of Southern California. Beliau menjawat jawatan presiden semenjak Jun tahun ini selepas menewaskan pencabarnya, Ahmed Shafik pada pililhan raya presiden bagi menggantikan Hosni Mubarak dengan memperoleh 51.7 % undi.

Kejayaan ini berpunca dari gerak kerja hebat Parti Pembebasan dan Keadilan ( Freedom and Justice Party ) dimana mempunyai sokongan kuat dari Ikhawanul Muslimin ( Muslim Brotherhood ) yang mana telah mengangkat beliau menjadi orang paling berpengaruh di Mesir.

Hillary Clinton membuat kunjungan ke Mesir
Apabila meneliti latar belakang Mohamaed Morsi, beliau bukanlah rakyat biasa Mesir tetapi seorang pemegang PhD dalam Sains Material selain ijazah dalam bidang kejuruteraan. Beliau juga pernah menjadi pembantu profesor di California State University.

Sejurus beliau menjadi presiden, beliau terus diangkat menjadi Setiausaha Agung Pergerakan Negara-negara Berkecuali NAM ( Non-Alignment Movement ). Perlantikan beliau sebagai presiden tidak mendapat reaksi negatif dari mana-mana pihak seolah-olah petanda baik bagi blok barat dan Israel.

Morsi bersama dengan Francois Hollande yang
juga presiden Perancis
Polisi luar Mesir juga kelihatan seolah-olah Morsi ingin berbaik dengan semua pihak termasuk Israel. Beliau menghantar surat kepada Shimon Peres, Presiden Israel dan berkata yang beliau seorang rakan yang hebat dan baik selain pernah berkata kepada Israel untuk mengekalkan dan mengukuhkan hubungan mesra yang terbina baik diantara duna negara.

Qatar, negara yang cenderung menyokong tindakan Amerika turut menyokong Morsi apabila bersedia untuk menyalurkan AS$ 2 billion ( Rm 6 billion ) kepada Mesir selesai sahaja Presiden Morsi mengatur semula barisan kabinetnya.

Selain daripada itu, Setiausa Negara Amerika Syarikat yang juga isteri kepada Bill Clinton, Hillary Clinton juga membuat kunjungan pada Julai sejurus sahaja beliau dilantik sebagai presiden mungkin sebagai tanda merestui perlantikan beliau sebagai presiden.

Morsi bertemu dengan Christine Lagarde 
Ketika lawatan beliau ke New York bagi menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( PBB ), beliau turut mengambil kesempatan terbabit bagi menemui Perdana Menteri Britain, David Cameron dan juga presiden Perancis, Francois Hollande.

Penulis masih lagi boleh bersangka baik jika Mohamed Morsi hanya berjumpa dengan ketua-ketua negara berkuasa Veto hanya sekadar kunjungan hormat sebagai presiden. Hal yang mencurigakan penulis adalah apabila Presiden Mesir ini meminta bantuan dari Christine Lagarde selaku bos IMF ( International Monetary Fund ) ataupun Dana Kewangan Antarabangsa dalam lawatannya ke Mesir pada 22 Ogos tahun ini.

Presiden Morsi ini meminta IMF membantu mereka membangunkan ekonomi mereka yang terjejas selepas kejatuhan Hosni Mubarak. Beliau dalam pada masa yang sama mengharapkan IMF dapat menghulur mereka sejumlah AS$ 4.8 billion ( Rm 14.4 billion ) sebagai pinjaman.

Bandar Gaza dibom oleh Israel
Apa yang menarik, sehari sebelum gencatan senjata diantara Israel dan Hamas di Gaza, Mesir telah hampir berjaya mendapatkan pinjaman dari IMF. Menteri Kerjasama Antarabangsa dan Pengurusan Mesir, Ashraf al-Araby mengeluarkan kenyataan berikut '' Kami gembira kerana IMF menyokong program kami pada peringkat ini ''.

IMF yang diwakili Andreas Bauer berkata yang perjanjian ini akan dibawa ke ahli lembaga IMF dan akan diputuskan pada 19 Disember ini. Jika tiada apa-apa halangan, dana yang dijangkakan sebanyak AS$ 1.5 billion hingga AS$ 2 billion akan disalurkan kepada Mesir menurut agensi berita Reuters.

Penulis berpendapat tindakan Mesir mendapatkan bantuan dari IMF ini seolah-olah telah berjaya memasuki perangkap lawan. Penulis percaya situasi Presiden Morsi ini bagaikan ' Keluar mulut harimau, masuk mulut buaya ' kerana beliau amat memerlukan sokongan kewangan dan bantuan luar untuk mengekalkan dirinya sebagai penguasa Mesir.

Di Malaysia, beliau telah dipuji kerana dikatakan menghafal 30 juzuk al-Quran meskipun penulis sendiri tidak tahu kesahihannya. Terdapat juga tulisan yang mendakwa isteri dan lima anaknya yang berkebolahan menghafal al-Quran.

Ahmed Shafik, bekas Perdana Menteri Mesir
Meskipun menang pilihan raya presiden Mesir, Mohamed Morsi sebenarnya bukanlah disokong sepenuhnya rakyat Mesir kerana mengikut undi yang diperoleh, Morsi hanya 51.7 % yang mana majoritinya terlalu kecil untuk negara berpenduduk 82 juta orang.

Jika dibuat kira-kira di Mesir dengan jumlah yang keluar mengundi sebanyak 25.5 juta, undi yang diperolehi oleh Morsi hanya sebanyak 13.23 juta dimana lawannya memperoleh sebanyak 12.34 juta. Dalam erti kata lain, kemenangan Morsi ini berpunca dari 900,000 undi sahaja.

Undi inilah yang berjaya membuat Morsi memenangi pilihan raya presiden yang mana penulis katakan sebagai kemenagan tipis buat Morsi kerana majoritinya kurang empat peratus. Apa yang boleh disimpulkan dari pilihan raya ini masih terdapat banyak lagi penyokong Hosni Mubarak di dalam arena politik Mesir.

Brigade al-Qassam melancarkan
roket kepada Israel
Ini kerana Ahmed Shafik sebenarnya merupakan bekas Perdana Menteri Mesir dan berkhidmat semasa era kejatuhan Hosni Mubarak. Angka diatas juga menunjukkan terdapat 48.3 % rakyat Mesir yang masih menyokong rejim Mubarak hinggakan Morsi terpaksa mengeluarkan waran tangkap terhadap Mesir pada September yang lepas.

Kemungkinan besar tindakan diatas kerana takut dengan kebangkitan warga Mesir yang mana masih lagi berkampung di Dataran Tahrir membantah pelan dan langkah kerajaan Mesir buat masa ini. Selain itu, Morsi juga terdesak untuk mendapatkan sokongan antarabangsa sekaligus memberikan kredit buatnya untuk meneruskan pemerintahan.

Tambahan pula baru-baru ini Morsi dilaporkan ingin mencampuri urusan kehakiman negara apabila ingin mengehadkan kuasa sistem menggubal perlembagaan baru untuk Mesir. Ini juga akan membuatkan tindakan beliau tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak dan disifatkan El-Baradei sebagai pemerintahan gaya Firaun.

Perjanjian yang diatur dengan Dana Kewangan Antarabangsa ( IMF ) juga menunjukkan yang Morsi akan dicucuk hidungnya apabila terpaksa memakan budi IMF yang akan menghulurkan beliau sejumlah dana untuk menguruskan ekonomi.

Huru-hara di Dataran Tahrir
Penulis sudah berulang kali mengatakan yang IMF tidak boleh dipercayai dan akan membuatkan sesebuah negara itu mengikut telunjuk Amerika sahaja kerana sudah terhutang budi dengannya. Ini mungkin salah satu penjajahan bentuk baharu yang penulis sifatkan Economy Occupation ( Kependudukan Ekonomi ).

Istilah ' Economy Occupation ' yang penulis cipta diatas adalah bererti pengawalan ekonomi sesebuah negara oleh pihak berkepentingan seperti blok barat yang menyebabkan keputusan dan tindakan yang diambil sesebuah negara tersebut perlu mendapat persetujuan pihak yang berkuasa.

Penyokong berhaluan kiri Mesir berkampung di Dataran Tahrir
sejak 23 November
Disebabkan inilah Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dengan IMF meskipun ditawarkan ketika krisis kewangan 1998 yang mana telah ditolak mentah-mentah oleh bekas Perdana Menteri kita dan meminta pakar ekonomi negara mencari jalan penyelesaian baharu selain meminta bantuan IMF.

Serangan di Gaza ini berkemungkinan besar bagi memperkukuhkan lagi nama baik Mohamed Morsi sebagai presiden Mesir yang mungkin termaktub dalam syarat perjanjian IMF-Mesir untuk menaikkan reputasi Morsi sebagai presiden Mesir.

Sesungguhnya tindakan Morsi yang menaja gencatan senjata diantara Israel dan Gaza ini menempatkan beliau sebagai hero di mata dunia kerana berjaya menyelamatkan nyawa saudara kita di Gaza. Ini memudahkan lagi usaha untuk dunia meletakkan harapan yang tinggi untuk membawa Mesir ke negara yang lebih baik.

Ini kerana Morsi satu-satunya pemimpin di Mesir yang berjaya mengharungi pusingan kedua pilihan raya presiden Mesir yang bukan dari kalangan konco-konco Hosni Mubarak. Jika mereka memilih Ahmed Shafik sebagai presiden Mesir, nama buruk Mubarak mungkin akan membuatkan Shafik tidak berjaya membuatkan dunia meletakkan harapan kepadanya. Solusi yang paling senang adalah memilih Mohamed Morsi.

Operasi ini juga dipercayai bersangkut paut dengan parti pemerintah Israel untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka akan berlangsung Januari tahun hadapan. Ini kerana peperangan sebelum ini juga banyak berlangsung dalam tempoh kurang tiga bulan sebelum pilihan raya diadakan. Matlamatnya mungkin untuk memberikan satu bayangan kepada rakyat Israel yang kerajaan sedia ada mampu mempertahankan mereka dari serangan penduduk Gaza sekaligus memperoleh sokongan daripada rakyat mereka sendiri.

Dato Seri Najib Tun Razak mempersilakan Christine Lagarde
di kompleks Perdana Putra, Putrajaya
Anda mungkin akan mempersoalkan kedatangan Christine Lagarde ke Malaysia tempohari dimana beliau memuji perkembangan ekonomi negara kita yang memberangsangkan. Namun penulis tidak melihat ia satu bentuk ancaman buat Malaysia kerana tahap ekonomi di negara kita tidak memerlukan pertolongan dari mana-mana pihak.

Sampai disini sahaja pendapat penulis tentang krisis di Palestin yang penulis sifatkan sebagai salah satu helah Israel. Penulis hanya membuat kesimpulan sahaja diatas kerana penulis tidak pernah percaya dengan Yahudi yang selalu menyeleweng. Penulis mungkin salah mungkin betul, hanya Allah saja yang tahu.

* Berkenaan kenapa nombor ekor ( loteri ) dipanggil nombor ekor bukannya nombor kepala ataupun nombor badan adalah kerana nombor tersebut akan mengekori dimana anda pergi. Sudah pasti anda akan melihat keputusan loteri di Utusan Malaysia mahupun di internet. Dalam maksud yang lain anda akan mengEKORi perkembangan agensi NOMBOR yang anda beli.

** Update 30/11 : Artikel terbaharu mengenai Perang di Gaza [ klik sini ]

Thursday, November 22, 2012

Nombor Ekor

Ya, tajuk diatas agak pelik tetapi penulis hanya ingin terus menyampaikan isi dalam artikel ini dengan hanya menggunakan dua patah perkataan.

Bila berbicara mengenai nombor ekor, majoriti akan terbayangkan beberapa buah kedai ' Agensi Nombor Ramalan ' seperti Sports Toto, Da Ma Cai ataupun Magnum milik bekas rakan baik Anwar Ibrahim, Dato Nallakarupan.

Bagi masyarakat Melayu, perbuatan berjudi seperti membeli nombor ekor sememangnya dipandang hina kerana bertentangan dengan ajaran Islam berbeza dengan kaum lain seperti Cina dan India dimana merekalah golongan yang membuatkan perniagaan ini terus berjalan.

Walaubagaimanapun, penglibatan orang Melayu dalam aktiviti haram ini tidak dapat dinafikan lagi tambahan pula dengan terbitnya filem ' Ngangkung ' yang menunjukkan tiga orang sekawan berjumpa bomoh bagi meramalkan nombor yang akan keluar.

Perkara sedemikian memang benar berlaku dan terdapat sebuah kisah yang penulis dengar dengan seorang lelaki yang suka membeli nombor pergi berjumpa bomoh untuk mendapatkan nombor dengan harapan menang.

Ketika beliau sampai ke sebuah rumah dimana bomoh tersebut tinggal, beliau tunggu di luar rumah menunggu bomoh tersebut turun. Apabila bomoh tersebut turun, kerana ingin menguji kehebatan bomoh terbabit, beliau tidak memberitahu hajatnya datang kemari kerana percaya tok bomoh tersebut akan tahu dengan sendirinya.

Mereka berborak dan terus berborak sehingga suatu saat masing-masing ingin pulang, tiada sebarang tips ditinggalkan bomoh membuatkan si pembeli nombor ekor ini bengong apakah yang ingin disampaikan oleh tok bomoh tadi ketika sedang berborak.

Mengenai hal yang tok bomoh sebut yang melibatkan nombor adalah mengenai hal ' kahwin lebih '. Tok bomoh terbabit mengatakan jika pintu rumah terbuka balik nanti, anda boleh kahwin dua-tiga. Mungkinkah ini clue buat si pembeli nombor ekor.

Tetapi apakah dua nombor lagi selain dua dan tiga itu menjadi persoalan si pembeli nombor ekor. Beliau hanya mencuba nasib dengan meletakkan nombor yang ada dua dan tiga.

Malangnya apabila keputusan keluar, salah satu nombor yang tertera sebagai nombor kemenangan adalah 5523 . Beliau baru tersedar yang tok bomoh terbabit memberikan nombor yang tepat tetapi tidak dapat ditangkap oleh dirinya.

Ini kerana ketika tok bomoh berkata '' kalau balik rumah pintu terbuka '', tok bomoh terbabit memisahkan kedua-dua tangannya yang jarinya tertutup rapat seperti membuka pintu. kemudiannya tok bomoh terbabit berkata '' boleh kahwin dua tiga '' sebagai dua nombor terakhir.

Maka terbuktilah kehebatan tok bomoh terbabit dalam hal meramal nombor yang akan keluar. Tetapi ada juga yang bertanya '' Kalau dia boleh tahu nombor yang akan keluar, kenapa tok bomoh ini tidak mencari rezeki dengan menikam nombor sahaja ''.

Jawapannya adalah kerana mereka berpegang dengan syarat ketika mereka diajar dengan ilmu terbabit dimana mereka tidak boleh menggunakan ilmu dan kemahiran mereka untuk diri mereka kerana haram. Tetapi boleh membantu orang lain.

Begitu juga seperti yang dipaparkan dalam filem ' Ngangkung ' dimana mereka membawa keris, pedang dan pisau belati yang boleh dianggap sebagai barang pusaka untuk memuja hantu supaya datang dengan membawa nombor.

Mengenai hadiah kemenangan, penulis mendapat tahu bagi setiap Rm 1 yang dipertaruhkan, pembeli akan mendapat Rm 2,500 bagi tempat pertama manakala Rm 1000 di tempat kedua dan Rm 500 bagi tempat ketiga. Jadi kalau anda mempertaruhkan Rm100 di nombor yang keluar ditempat pertama, anda akan mendapat Rm 250,000 .

Perkiraan diatas merupakan permainan standard 4D yang menjadi pilihan pembeli nombor ekor. Terdapat pelbagai lagi jenis ramalan nombor seperti 4D Jackpot, 5D, 6D atau Supreme 6/58 yang mana peluang untuk menang semakin mengecil tetapi hadiahnya semakin lumayan.

Dalam sejarah kemenangan loteri, loteri paling besar yang pernah dimenenangi adalah bertempat di Amerika dimana pembeli mendapat sebanyak AS$ 656 juta ataupun lebih kurang Rm 1.8 billion dimana dikongsi tiga pemenang dari Kansas, Illinois dan Maryland yang dianjurkan oleh Syarikat nombor ekor terbesar di Amerika, Mega Millions.

Terdapat puluhan lagi pertaruhan yang mendapat wang kemenangan lebih daripada AS$ 100 juta di seluruh dunia. Dan disebabkan inilah kadangkala kita terlihat di surat khabar mayat yang telah ditanam digali semula kerana percaya yang slip nombor ekor berada di baju si mati.

Manakala di Malaysia, Sports Toto Malaysia ada melaporkan seorang pesara memenangi loteri berjumlah Rm 41, 443, 418.80 hasil nombornya yang dipertaruhkan Power Toto 6/55 Jackpot dengan kombinasi nombor 11, 12, 19, 22, 28 dan 39 .

Menurut pemenang nombor tersebut, beliau mendapat ilham untuk mempertaruhkan nombor tersebut dari nombor telefonnya pada kemenangan yang bertarikh 15 September 2012. Walaubagaimanapun, beliau mendakwa yang dua nombor tiket loteri tersebut datangnya dari Servis Khidmat Pelanggan Toto yang tersilap dengar nombor yang beliau berikan melalui telefon.

Anda boleh lihat pelbagai lagi rekod kemenangan di salah sebuah laman web Sports Toto [ klik sini ].

Syarikat-syarikat nombor ekor ini turut mengeluarkan senarai nombor-nombor yang kerap dimenangi di laman web dari tahun 1992 mereka contohnya disini [ klik sini ]. Nombor yang paling kerap 6495 dengan 21 kali keluar diikuti 3340 dengan 20 kali keluar sebagai nombor kemenangan.

Manakala bagi Syarikat Magnum ataupun di dalam filem ' Ngangkung ' dipanggil Mak Num, nombor yang dikategorikan sebagai nombor panas adalah 2572 kerana keluar sebagai nombor kemenangan sebanyak 21 kali begitu juga dengan angka 3558.

Boleh rujuk sini untuk melihat 10 nombor panas Magnum [ klik sini ] yang dikira semenjak 1 Januari 1990 lagi. Statistik ini bagi memudahkan pembeli nombor ekor membuat ramalan nombor apa yang mereka akan beli supaya menang.

Penulis sejujurnya tidak percaya dengan jalan pintas menjadi kaya dengan membeli nombor ekor kerana pertama sekali ia haram. Selain daripada itu, jika anda menang sekalipun, penulis jamin duit tersebut akan habis juga kerana duit tak berkat.

Penulis pernah mendengar kisah mengenai seorang lelaki yang membeli rumah hasil wang loteri tetapi akhirnya rumah terbabit hangus terbakar begitu juga dengan kisah seorang lelaki membeli kereta dari wang kemenangan nombor ekor yang akhirnya musnah akibat kemalangan.

Dan penulis yakin yang wang yang anda pertaruhkan semenjak pertama kali bermain loteri sudah semestinya lebih banyak dari hasil wang kemenangan. Jika syarikat loteri ini rugi, bagaimanakah perniagaan nombor ekor boleh berjalan lebih 20 tahun.

Selain daripada itu, masyarakat juga akan dikelilingi oleh golongan yang ketagih nombor ekor yang akhirnya memakan diri mereka sendiri kerana memerlukan wang untuk terus membeli nombor yang akhirnya memusnahkan institusi rumah tangga dan sebagainya

* Dan jika anda rasa Dato Nallakarupan sebagai teman baik Anwar Ibrahim dengan syarikat Magnumnya, anda harus ingat Tan Sri Vincent Tan sebagai teman baik Tun Mahathir dengan Sports Totonya yang mana merupakan anak syarikat Berjaya Group.

Wednesday, November 14, 2012

Gambar Asia Klasika 2012

Mercedes 280 SE 3.5 Coupe yang pernah digunakan ketika Majlis Resepsi Awal dan Scha























Mercedes 600 ini menjadi pilihan Tuanku Sultan Ibrahim























Rolls Royce Wraith























Lotus +2 yang dikeluarkan tahun 1970, Lotus berenjin Cosworth ini hanya dikeluarkan lebih kurang 5000 unit sahaja























Para juri memeriksa kenderaan 























Volvo P1800 merupakan antara model Volvo dua pintu paling berjaya























Aston Martin Vantage antara koleksi yang dipamerkan oleh Sultan Johor























Lagonda yang dimiliki oleh Sultan Johor dibawah bahagian Johor Royal Automobile Collection























Kereta Mercedes SLS AMG yang dinaiki Tuanku Sultan























Chevrolet Corvette yang turut menyertai rombongan Sultan






















Kereta Holden ini digunakan untuk mengiringi Sultan Johor























Sultan Johor menandatangani buku yang diberikan oleh peserta 























Add caption























Mercedes SL Generasi kedua 














































Alfa Romeo yang turut digunakan ketika Sambutan Kemerdekaan membawa Veteran Perang negara























Salah sebuah kereta tercantik sepanjang zaman, Jaguar E-Type Convertible



















Monday, November 12, 2012

Sultan Johor Mencemar Duli Menghadiri Asia Klasika 2012

Sejak pagi lagi penulis sudah berada di Pusat Pameran & Konvensyen Matrade di Kuala Lumpur menjalankan tugas sebagai jurukamera. Puluhan kereta klasik dan vintaj mengambil bahagian dalam himpunan Asia Klasika kali ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mencemar duli melihat kereta-kereta yang dipamerkan di Asia Klasika ini termasuklah kereta miliknya yang didatangkan dari bahagian Koleksi Automobil Diraja Johor.

Baginda telah mempamerkan dua buah Mercedes Benz model SL, dua buah BMW M series, dua buah Aston Martin dan sebuah Lagonda.

Bila berbicara mengenai Mercedes Benz SL, sudah pasti terbayang di pemikiran anda sebuah kereta Mercedes yang mempunyai sayap hasil dari bukaan pintu yang naik ke atas membentuk seperti sayap yang mana dipanggil Gullwing.

Mercedes SL 300 Gullwing milik Baginda merupakan satu-satunya model Gullwing yang dipamerkan di pameran ini begitu juga dengan sebuah lagi Mercedes Benz SL 300 roadster.

Model SL 300 Gullwing ini dipasarkan pada tahun 1954 hinggalah 1957 dan kemudiannya diganti dengan SL 300 Roadster sehinggalah tahun 1963. Hanya terdapat lebih kurang 3400 unit SL sahaja dikeluarkan sepanjang 9 tahun pengeluarannya.

Baginda diiringi oleh wakil Mercedes Benz Malaysia telah melancarkan model SL terbaharu iaitu R231. Jentera yang mempunyai 306 kuasa kuda ini mampu memecut dari titik pegun hingga 100 km/j dalam masa 5.9 saat sementara bagi model AMG yang menggunakan enjin sebesar 5500 cc, ia hanya memerlukan 4.3 saat untuk mencapat 100 km/j. Manakala model terbaiknya, SL 65 AMG memakan masa 4.0 saat sahaja untuk memecut sehingga 100 km/j

SL 350 ini dijual dengan harga bermula Rm 898,888.00.

Berbicara mengenai harga, harga bagi sebuah model klasik SL 300 Gullwing ini amatlah tinggi dan dipercayai hanya terdapat kurang empat buah Gullwing berada di Malaysia. Jika anda melakukan carian di google, anda akan dapati tiada harga tetap bagi sesebuah Gullwing.

Ini disebabkan harganya yang terlalu tinggi dan tidak mempunyai nilai pasaran semasa yang tetap kerana kesemua Gullwing yang dijual sudah pastinya berada dalam keadaan baik selepas dibaikpulih. Dengan jumlah pengeluaran yang terhad, SL 300 roadster ( bukan Gullwing ) sahaja boleh mencecah sehingga Rm 2.1 juta seperti mana berlaku pada acara bidaan di London tempohari.

Manakala di Monterey, California pada acara bidaan yang diadakan pada 17 dan 18 Ogos tahun ini, sebuah Gullwing tahun 1956 telah terjual dengan harga Rm 2,680,000. Tetapi pada acara lelongan awal tahun ini di Arizona, Gullwing ini hanya dibida dengan harga Rm 1.9 juta sahaja.

Kereta lain yang turut dipamerkan oleh Koleksi Automobil Diraja Johor adalah Aston Martin DBS yang mana pernah digunakan James Bond dalam filem On Her Majesty's Secret Sevice pada tahun 1969. Model ini hanya dikeluarkan selama lima tahun bermula 1967 ini hanya dikeluarkan kurang 800 unit.

Selain daripada itu, Baginda turut mempamerkan Aston Martin Vantage yang mana hanya dikeluarkan sebanyak 72 unit selama dua tahun pengeluarannya yang bermula pada tahun 1972. Baginda turut mempamerkan Lagonda prototaipnya.

Bagi sambutan 40 tahun ulangtahun M-series pula Baginda mempamerkan dua unit M-series miliknya. Antaranya BMW M1 yang dikeluarkan dari tahun 1978 hingga 1981. Antara model terawal yang dikeluarkan oleh bahagian Motosports. Model M1 ini hanya dikeluarkan sebanyak 456 unit sahaja.






Selain daripada itu, Baginda turut mempamerkan sebuah BMW M series yang direka oleh seorang pereka Itali. Meskipun berbangsa Itali, rekaan ini dihasilkan oleh BMW apabila Lamborghini yang sepatutnya membina rekaan itu menghadapi masalah kewangan. Jadi tidak hairanlah bentuknya mempunyai persamaan dengan Lamborghini Urraco.





Baginda yang memandu Mercedes Benz SLS AMG ini hadir jam 10.30 pagi dan memulakan acara memeriksa kereta-kereta yang dipamerkan pada jam 11.00 pagi selepas minum pagi bersama pengurusan Asia Klasika.

Baginda diterangkan mengenai SL R231 kemudiannya turun dari pentas untuk bersama-sama melihat model SL yang lain. Kemudiannya beliau memeriksa kereta-kereta yang dipamerkan antaranya Citroen, Alfa Romeo, Austin dan Mercedes.

Dalam kebanyakkan kereta, terdapat sebuah kereta yang menarik minat Baginda untuk mengetahui dengan lebih dalam iaitu Mercedes Benz 600 yang terkenal dengan kejayaannya menjadikan kereta sebagai kereta rasmi para pemimpin pada zamannya dahulu.

Baginda yang menghabiskan banyak masa bersama pemiliknya, Ong Kheng Liat melihat interior, boot dan juga hood kereta terbabit. Apa yang menarik ketika Mr. Ong menekan keluar hood kereta beliau, Sultan sendiri yang mengangkat hood terbabit naik ke atas menunjukkan yang beliau begitu mahir dengan Mercedes 600.

Tidak perlu terkejut kerana Baginda mengetahui selok belok Mercedes 600 kerana Baginda sendiri mempunyai 12 buah Mercedes 600. Selepas habis acara pemeriksaan, Baginda kembali minum pagi dan kemudiannya keluar bagi menyampaikan trofi buat kereta pilihan Baginda.






Seperti yang dijangkakan, Mercedes 600 Mr. Ong berjaya menambat hati Sultan Ibrahim dalam puluhan buah kereta yang dipamerkan. Baginda turut berseloroh kepada Mr. Ong dengan berkata '' If you want to sell your car, call me ''. Jelas sekali Baginda sendiri tidak berpuas hati dengan Mercedes 600 miliknya.






Baginda kemudiannya berangkat meninggalkan majlis pada jam 12.30 tengah hari.

Apa yang menarik dengan Baginda Tuanku Sultan Ibrahim ini adalah beliau mempunyai pasukan sendiri bagi menjaga kesemua koleksi keretanya. Kesemua penunggang motosikal polis yang ditugaskan untuk mengiring Baginda merupakan perempuan.




Selain itu, apa yang penulis perasan mengenai Baginda Sultan Ibrahim ini, Baginda mempunyai ramai pengawal peribadi jika dibandingkan dengan Sultan-Sultan Melayu yang pernah penulis jumpa.

Kereta-kereta yang dibawa bersama Baginda juga agak rare apabila pengawal peribadinya menaiki kereta seperti Holden, Chrysler selain membawa juga Brabus 7 jika Baginda enggan memandu Mercedes Benz SLSnya.

Penyertaan kereta American Muscle kali ini kurang dimana hanya terdapat sebuah Ford Mustang 1966 yang dipamerkan yang mendapat sambutan luar biasa jika dibandingkan dengan tahun yang lalu. Ford Mustang yang kerap kali digunakan dalam filem Amerika termasuk dalam musik video '' Drive By '' oleh Train ini mempunyai auranya tersendiri apabila mempunyai jalur pada badannya jika dibandingkan dengan tahun yang lalu.



Meskipun penyertaan yang diberikan kurang jika dibandingkan dengan tahun yang lalu, Asia Klasika kali ini boleh dikatakan berjaya meskipun tiada penyertaan yang banyak daripada pemilik kereta Amerika seperti Chevrolet dan Ford. Begitu juga dengan kereta buatan Itali apabila hanya terdapat sebuah Ferrari Dino sahaja jika dibandingkan dengan tahun lepas dimana Ferrari menjadi antara tarikan Asia Klasika.

Bahkan pada tahun ini, tiada langsung kereta Lamborghini dan Maserati yang menarik perhatian terutamanya Lamborghini Countach dan Maserati Shamal. Tiada langsung penyertaan dari Porsche begitu juga dengan Bentley. Rolls Royce pun hanya terdapat sebuah sahaja

Walaubagaimapun, Koleksi Automobil Diraja Johor berjaya menutup segala kekurangan yang ada apabila kereta 'rare' milik mereka dapat memuaskan hati pelawat yang hadir.

Setakat ini sahaja penulis tulis mengenai Asia Klasika 2012 dan jika diberikan kelapangan penulis akan meletakkan gambar yang lain.