Thursday, October 18, 2012

Pengawal Peribadi, Cermin Kalis Peluru dan Ahli Politik

Keselamatan bagi sesetengah orang tidak boleh dikompromi menyebabkan mereka melakukan apa sahaja bagi memastikan diri mereka berasa selamat dan berasa tidak terancam. Kebanyakkan mereka yang berasa terancam ini terdiri daripada orang kenamaan dan orang kaya-kaya.

Bagi penulis, ancaman keselamatan merupakan suatu yang subjektif sebagai seorang manusia biasa. Namun bagi segelintir pihak yang mempunyai kepentingan dan nama, ancaman boleh hadir dalam apa jua bentuk kemungkinan.

Penulis boleh berjalan keluar ke padang seorang diri tanpa perlu memikirkan mengenai risiko diculik, disamun ataupun dilanggar. Tetapi bagi seorang yang kaya dan takut akan bayang-bayang sendiri, keluar berjalan seorang diri tanpa ditemani rakan ataupun sesiapa sahaja yang boleh dipercayai boleh mengundang rasa takut.

Ini kerana mereka merasakan kekayaan mereka membuatkan diri mereka menjadi sasaran golongan penjenayah untuk mengambil kesempatan terhadap mereka ini seperti menculik. Justeru, tidak hairanlah terdapat sesetengah individu yang diiringi oleh dua orang lelaki berbadan tegap berkaca mata hitam di belakang mereka bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ada juga yang terlalu sayang akan keluarganya hinggakan memasang pengawal peribadi bagi mengikuti kemana sahaja mereka pergi bagi menjamin keselamatan mereka. Tidak cukup sekadar itu, terdapat pula  seorang lelaki berjaket hitam serta berhelmet menunggang motosikal berkuasa tinggi bagi mengekori kemana sahaja klien mereka pergi.

Perkara ini bukan suatu hal yang janggal bagi penulis dan masyarakat yang tinggal di kawasan kejiranan yang sentiasa dicucikan mata dengan kereta-kereta mewah Cayeene, Jaguar, S-Class, 7 series dan sebagainya.

Sesungguhnya, penulis amat tidak gemar dengan pengawal-pengawal peribadi yang ditugaskan menjaga keselamatan ahli politik kita. Bukan sahaja penulis, bahkan penulis percaya yang hampir kesemua jurukamera anti terhadap mereka kerana menggangu tugasan sebagai jurukamera.

Mereka juga berpandangan sedemikian, menggangap yang jurukamera sebagai musuh yang mereka perlu pertahankan daripada menyerang klien mereka kerana jurukamera selalunya ingin mendekati pemimpin bagi mengambil gambar dengan lebih elok dan jelas sekaligus menggangu kelancaran klien mereka.

Namun tugasan mereka dalam menjaga tuan mereka tidak dinafikan kepentingannya kerana jika dilihat dari perspektif yang luas, ancaman selalunya datang tidak dijangka seperti menarik tangan ataupun memukul 'pemimpin' yang sepatutnya hanya bersalaman.

Alhamdulillah di Malaysia umumnya rakyatnya mempunyai mentaliti yang matang apabila jarang sekali berlaku perkara-perkara yang tidak diingini jika dibandingkan dengan negara barat. Anda boleh lihat sendiri apa yang berlaku pada Nicolas Sarkorzy ketika bersalaman dengan orang awam.[ klik sini ]

Begitu juga hal yang berlaku kepada Putera Charles ketika lawatannya ke Australia pada tahun 1994. Nasib baik penyerang terjatuh ketika melangkah naik keatas pentas apabila terlanggar papan tanda yang diletakkan diatas pentas. Ketangkasan pegawai dan pengawal disitu juga berjaya menghalang penyerang dari bangun dan terus menyerang Putera Charles.

Putera Charles kelihatan cool meskipun sedia maklum terdapat seorang lelaki berlari kearahnya. [ klik sini ]

Salah seorang yang gemar dijadikan mangsa serangan adalah Paus ataupun Pope iaitu Ketua Agama Kristian Katolik. Contohnya Pope Benedeict XVI diserang ketika upacara Krismas di St. Peter Basilica, Kota Vatikan. Terdapat juga insiden berlaku ketiba Pope sedang menaiki Popemobile dan diserang ketika berada di luar bangunan namun digagalkan oleh pengawal Pope. [ klik sini ] dan [ klik sini ]

Contohnya yang paling dahsyat apabila Pope John Paul II ditembak dari jarak dekat oleh seorang orang awam di Dataran Vatikan pada 13 Mei 1981 diatas Fiat Campagnola. Sehubungan dengan itulah kereta yang dinaiki Pope selepas itu dilengkapi dengan cermin kalis peluru. [ klik sini ]

Walaubagaimanapun ketika itu, tiada sentimen keagamaan yang dimainkan meskipun penembak Pope John Paul II itu merupakan seorang Muslim bernama Mehmet Ali Agca. Jelas menunjukkan tiada sebarang prejudis dibuat terhadap orang Islam jika dibandingkan dengan senario yang berlaku terhadap umat Islam selepas serangan 11 September.

Bercerita perihal cermin kalis peluru, beberapa minggu lepas dihadapan rumah penulis, bapa penulis telah membawa balik sebuah kereta Mercedes S-Class model W-140 yang dikeluarkan dari tahun 1991 hingga 1998. Model yang sama digunakan oleh Puteri Diana dan Dodi al-Fayed ketika perjalanan terakhir mereka di Paris cuma terdapat perbezaan pada spesifikasi enjinnya sahaja.

Penulis pun melihatlah kereta tersebut dan telah dimaklumkan yang kereta terbabit milik seorang ahli politik berpengaruh di Malaysia. Penulis pun naiklah dan duduk di tempat duduk belakang bagi merasai keselesaan berada di dalam sebuah S-Class. Sememangnya ruang kaki tersebut luas membuatkan penulis berasa seronok kerana penulis gemar melunjurkan kaki.

Namun tidak semena-mena, bapa penulis memanggil penulis keluar dan melihat cermin tingkapnya. Kelihatan biasa cuma terdapat dua lapis ataupun dua bahagian cermin iaitu yang diluar dan yang didalam. Cermin yang diluar kelihatan sedikit tebal lebih kurang 12 mm manakala cermin pada bahagian dalam seperti cermin biasa yang lain.

Penulis pun mengetuk cermin tersebut dan bunyinya rasa lain sedikit. Penulis kemudiannya dimaklumkan yang cermin kereta S-Class terbabit dipercayai dipasang cermin kalis peluru. Milik siapa??? Seorang ahli politik Malaysia yang terkenal.

Keperluan bagi beliau untuk memasang cermin kalis peluru penulis sifatkan sebagai tidak perlu meskipun beliau memegang jawatan yang tinggi dalam politik tanahair. Namun itu hak beliau untuk memasang cermin tersebut bagi memastikan keselamatannya jadi tidak perlulah anda kata pemasangan cermin kalis peluru sebagai suatu pembaziran kerana pembaziran merupakan satu hal yang subjektif.

Pemerhatian penulis mengenai berapa harga bagi memasang cermin kalis peluru buat sebuah kereta biasa termasuk cermin hadapan dan belakang memakan kos lebih Rm 20,000. Walaubagaimanapun, jenis cermin bergantung dengan kemampuan cermin tersebut menahan peluru hasil tembakan.

Anda sendiri boleh lihat di google terdapat beberapa syarikat di Malaysia yang membuat cermin kalis peluru dan berbagai lagi cermin yang kebiasaannya ditempatkan di kedai-kedai emas dan bank. Terdapat juga gambar yang menunjukkan mereka memasang cermin kalis peluru di Bank Negara Malaysia.

Kebiasaannya, cermin kalis peluru dihasilkan melalui campuran bahan polycarbonate dan acrylic yang mana menghasilkan kesan kalis peluru kerana acrylic mempunyai ciri-ciri yang keras selain memantulkan peluru. Sementara itu, polycabonate pula lebih memainkan peranan bagi menahan hentakan peluru bagi mengurangkan tenaga ( kelajuan ) pada peluru terbabit.


Cermin kalis peluru yang biasa tidak lut peluru jika ditembak dari kedua-dua belah bahagian. Walaubagaimanapun, terdapat seorang manusia yang menghasilkan cermin kalis peluru yang hanya kalis satu bahagian sahaja manakala satu bahagian lagi boleh ditembak. Makanya jika seorang penjenayah menembak anda dari bahagian luar kereta, cermin masih berfungsi sebagai cermin kalis peluru tetapi bila anda menembak penjenayah dari dalam kereta, peluru terbabit menembusi dan akan pergi kemana peluru terbabit disasarkan. [ klik sini ]

Balik pada hal pengawal peribadi, terdapat juga soalan mengapakah pengawal peribadi gemar memakai cermin mata hitam meskipun berada di dalam bangunan. Hal ini penulis temui jawapannya ketika menonton filem Bollywood iaitu Bodyguard lakonan Kareena Kapoor.

Filem ini mengisahkan tentang Kareena Kapoor yang meminati pengawal peribadinya sendiri yang diupah oleh bapanya untuk menjaganya. Bagi mengenakan pengawal peribadinya, beliau menanyakan kenapa pengawal peribadi suka sangat pakai cermin mata hitam. Pengawal peribadinya yang dilakonkan oleh Salman Khan menjawab yang pengawal peribadi gemar memakai cermin mata hitam kerana enggan diketahui orang ramai yang mereka sedang memerhati.

Kenapa pula pengawal peribadi kebanyakkan memakai pakaian sama? Ini kerana bagi memudahkan urusan mereka untuk mengenal pasti rakan sekerja mereka bagi menjamin keselamatan klien mereka.

Terdapat juga satu lagi jenis pengawal peribadi yang berpakaian seperti orang biasa dan ditugaskan hanya memerhatikan klien mereka dari jauh. Ini berkait rapat dengan peribadi klien mereka yang kurang senang dengan iringan pengawal peribadi mereka ketika bergaul dengan rakan dan sahabat mereka.

Bayangkan jika pengawal peribadi anda sentiasa berdiri belakang anda bagi memastikan keselamatan anda, semestinya rakan-rakan perlu menjaga tatacara dan adab ketika bergaul dengan anda dan mereka segan untuk berjenaka yang akan menyinggung perasaan anda. Jadi penyelesaian masalah ini pengawal peribadi tersebut hanya memerhatikan klien mereka dari jarak jauh bagi menjaga privasi klien.

Syarat-syarat bagi menjadi pengawal peribadi ini sama seperti anda ingin masuk tentera cuma penulis yakin tiada had ketinggian. Namun kecergasan minda selain penglihatan yang jelas merupakan kriteria penting bagi mengikuti kursus menjadi pengawal peribadi.

Dalam sesetengah hal, kebanyakkan pengawal peribadi terdiri daripada bekas polis ataupun askar yang sudah pun mempunyai asas dalam mempertahankan diri. Ada juga yang mempunyai kepakaran dalam seni mempertahankan diri sekaligus tidak memerlukan mereka membawa pistol bagi melindungi klien mereka.

Terdapat juga protokol ataupun etika yang perlu dipatuhi oleh pengawal peribadi ini iaitu tidak memberi tahu maklumat mengenai jadual dan rutin klien mereka kepada orang lain selain merahsiakan kesemua hal dan aktiviti yang diketahui mengenai klien mereka.

Mereka juga tidak boleh mencederakan sesiapa yang tidak memberikan ancaman fizikal terhadap klien seperti paparazi. Apa yang mereka patut lakukan adalah merampas kad memori dari dalam kamera paparazi tersebut sahaja.

Begitu juga dengan hal yang belaku melibatkan Ketua Pembangkang yang mana pengawal peribadinya mengacukan pistol terhadap orang yang melakukan provokasi terhadap rombongan Dato' Seri Anwar Ibrahim meskipun pengawal tersebut menegaskan yang pin keselamatan masih dalam keadaan berkunci.

Kesimpulannya disini pengawal peribadi bukan sahaja menolak orang ramai bagi melancarkan perjalanan klien mereka. Tetapi juga menjadi simbol kekuatan mereka selain menjadi individu yang perlu membawa beg jika klien mereka bershopping di Pavillion.

* Jangan lupa hadirkan diri anda pada Perhimpunan kereta-kereta Klasik dan Vintaj Malaysia yang ketiga yang diadakan serentak dengan Asia Klasika-Historic Automobiles Festival 2012 di Pusat Konvesyen dan Pameran Matrade di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 11 November 2012

Acara akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim dan akan menampilkan koleksi terbaik dari ' Johor Royal Automobile Collection '

Maklumat Akan dikemaskini

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen