Saturday, August 4, 2012

Bantah Bukannya Bermaksud Pembangkang

Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim merupakan seorang menteri yang paling dihormati di Malaysia kerana kewibawaannya berkhidmat buat Malaysia selama puluhan tahun dan menjadi satu-satunya menteri di Malaysia yang berkhidmat buat lima Perdana Menteri.

Penulis menyanjung tinggi Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim sebagai seorang pemimpin negara kerana beliau merupakan seorang yang boleh dikatakan senior dalam arena politik negara. Meskipun beliau hanya menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, peranannya dalam kerajaan amat tinggi kerana semenjak dahulu beliau telah diberikan kedudukan yang penting seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Luar Negeri dan banyak lagi.

Beliau juga pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama empat tahun iaitu dari tahun 1978 hingga 1982. Ahli Parlimen Jelebu ini tidak pernah diketepikan dalam kerajaan walaupun pernah bersama-sama Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Timbalan Presiden Semangat 46 suatu ketika dahulu sebelum beliau kembali ke UMNO.

Menteri yang gemar menggunakan perkataan-perkataan unik Melayu ini pernah membicarakan perihal perkataan mantan yang katanya merupakan suatu istilah dari Bahasa Indonesia yang bermaksud orang yang tidak bekerja. Rata-rata di Malaysia perkataan mantan digunakan bermaksud seorang yang pernah menjawat sesuatu jawatan ataupun perkataan yang benarnya 'bekas'.

Beliau pernah dicalonkan sebagai Setiausaha Agung Komanwel pada tahun 2007 namun beliau menolak pencalonan tersebut kerana kurangnya masa buatnya untuk berkempen kerana terikat dengan komitmen dan tugas dengan jawatankuasa bagi Sambutan Hari Kemerdekaan ke-50.

Namun Dr. Rais Yatim sebagai penggerak Sambutan Kemerdekaan Negara ke-55 telah melakukan suatu kontroversi buat negara apabila menggunakan Tema ' Janji Ditepati ' sebagai Tema Kemerdekaan tahun ini. Hampir 10,000 likes dari pengguna Facebook yang menentang tema Janji Ditepati olehnya.

Kontroversi Tema Kemerdekaan 2012 kian meruncing apabila logonya yang pernah penulis ulas ( disini ) mendapat kutukan dan kecaman pelbagai pihak kerana ia dilabelkan sebagai buruk dan hodoh selain tidak mempunyai nilai estetika.

Hal ini bertambah parah apabila lagu rasmi Kemerdekaan Negara yang ke-55 telah dimuatnaikkan di Youtube yang mana lirik lagunya yang ditulis oleh beliau mendapat tontonan 148,850 orang telah mendapat sebanyak 16,087 'dislikes' dan hanya 308 orang yang 'like' video tersebut.

Ini menunjukkan lebih 90 % pengguna atas talian menentang lirik lagu Janji Ditepati yang dikatakan sebagai bermotifkan politik dan menggesa rakyat supaya membalas budi kerajaan yang dikatakan banyak membantu rakyat. Lagu ini juga didakwa segelintir pihak telah mengambil rentak dari sebuah lagu kerohanian agama Kristian dari Indonesia.

Bila ditanya mengenai hal ini di Twitter Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim, beliau menjawab yang ia hanyalah propaganda pembangkang yang cemburu terhadap kejayaan kerajaan mengotakan janji mereka. Beliau juga menyatakan tiada logo rasmi sambutan tahun ini melainkan logo 1Malaysia.

Disini penulis ingin berkongsi kekesalan dengan kenyataan-kenyataan Rais Yatim yang banyak mempersendakan rakyat yang memberi kritikan kepada kerajaan mengenai Tema Kemerdekaan tahun ini.

Sesungguhnya bukan kesemua rakyat Malaysia menyokong parti-parti pembangkang seperti yang dikatakan oleh Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim. Bagi penulis, pembangkang akan membangkang apa jua perkara tetapi rakyat biasa akan bersama membangkang bersama pembangkang jika apa yang dilakukan oleh kerajaan tidak kena.

Penulis ingin menjelaskan disini bukan semua yang mengkritik itu penyokong pembangkang, tetapi mereka ini tidak bersetuju dengan kerajaan dalam sesuatu isu. Jadi, janganlah mengecap mereka ini sebagai pembangkang kerana kami tidak gemar digelar sebagai pembangkang.

Kerana umum mengetahui yang pembangkang mempunyai suatu permasalahan besar dengan kerajaan berbanding dengan rakyat biasa yang membantah segelintir hal berkaitan dengan pentadbiran kerajaan. Manakala pembangkang jika apa pun berlaku, mereka akan tetap membangkang dan sebab itulah kita panggil mereka pembangkang bukannya Konservatif dan Liberal ataupun Republikan dan Demokrat.

Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim perlu membuang persepsi mengenai kami yang membantah mengenai tema Kemerdekaan dan elakkan mengecap kami sebagai pembangkang.

Kontroversi ini boleh dielakkan jika Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim tidak menggunakan Tema ' Janji Ditepati ' sebagai Tema Kemerdekaan Negara 2012. Sebaliknya, beliau perlu memilih sebuah tema yang lebih nasional dan tidak bersifat politik.

Penulis ingin bertanyakan kepada Dato' Seri, kenapakah selama lebih 40 tahun kerajaan menggunakan tema dalam setiap Kemerdekaan semenjak tahun 1970, tiada satu pun isu yang timbul membabitkan Tema Kemerdekaan. Kenapa tahun ini yang mana temanya kebetulan sama dengan slogan Barisan Nasional telah mendapat kritikan dari rakyat Malaysia?

Kerana bukan kesemua rakyat Malaysia penyokong kerajaan Barisan Nasional. Amat sukar sekali bagi isu-isu seperti ini dipolitikkan oleh pembangkang tetapi kerana kerajaan mensabotaj Sambutan Kemerdekaan, sesungguhnya ia tidak dapat diterima bagi rakyat yang Malaysia yang berbeza pandangan politik untuk menerima Tema berkenaan.

Disini, sekali lagi penulis ingin mendesak sebagai seorang rakyat Malaysia yang tidak menyokong pembangkang supaya Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim menggantikan Tema Kemerdekaan 2012 dengan sebuah Tema yang bersemangat nasional.

Penulis amat menghormati Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim sebagai seorang pemimpin dan janganlah menyalahgunakan suatu Sambutan Kebangsaan untuk kepentingan politik Barisan Nasional sekaligus menukar Lagu Tema ' Janji Ditepati ' dan mereka logo baru.

* Penulis pernah mengucapkan tahniah secara personally kepada Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim selepas Perarakan Kemerdekaan 2011 di Dataran Merdeka kerana kejayaan sambutan tersebut. Kemungkinan besar tidak tahun ini selagi Dr. Rais Yatim tidak menukar Tema Kemerdekaan.

2 comments:

  1. Saya menyokong tulisan ini. Saya seperti anda amat menghormati Dr.Rais Yatim atas keberadaannya dlm kabinet yang begitu menjunjung tinggi adat dan Bahasa Melayu namun mungkin penghormatan saya ini sedikit pudar kerana saya melihat ada unsur-unsur lain dalam isu logo dan tema Hari Kebangsaan tahun ini. Mungkin ada perubahan di saat-saat akhir?

    "Bantah bukan bermaksud pembangkang"...saya suka tajuk ini...sangat suka.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih saudara... Saya juga amat berharap supaya kerajaan mengubah semula tema Janji Ditepati yang bersifat politik kepartian ... Semoga suara rakyat didengari kerajaan

    ReplyDelete

Dipersilakan Komen