Saturday, June 16, 2012

Kereta Satria GTi Milik Abang Penulis Nyaris Dicuri

Lefthand drive 
Pagi tadi ketika penulis hendak pergi ke sekolah penulis untuk perjumpaan unit berunifom, penulis telah digemparkan dengan berita yang mengejutkan dari ibu bapa penulis apabila mereka mengatakan bahawa ada individu cuba untuk mencuri kereta Satria GTI milik abang penulis.

Cerita bermula apabila abang penulis meletakkan kenderaanya dihadapan rumah keluarga penulis di Subang Jaya apabila balik dari keluar bersama rakan-rakannya. Pada pagi tersebut sekitar jam 7.15 pagi, jiran penulis yang gemar berjogging pada waktu pagi memanggil bapa penulis.

Beliau mendakwa terlihat seorang lelaki berbangsa India sedang berada disisi sebelah kiri kereta GTI tersebut yang menghadap ke tembok rumah penulis sementara rakannya menunggu didalam kereta dihadapan kediaman jiran penulis.

Pada mulanya, beliau menyangkakan yang lelaki tersebut menunggu bapa penulis mungkin atas urusan kerja, namun beliau tersedar ada yang tidak kena lalu memanggil bapa penulis yang berada didalam rumah. Lelaki tersebut yang sedang mengumpil kereta Satria GTI abang penulis tersebut melarikan diri bersama seorang lelaki Cina yang juga rakan subahat menggunakan kereta Proton Perdana dengan menggunakan nombor pendaftaran BKH 858 .

Kejadian ini merupakan kali kedua kenderaan Satria GTi milik abang penulis ini ingin disamun. Kejadian yang pertama berlaku beberapa bulan lepas di pusat beli-belah terkemuka, Sunway Pyramid apabila beliau keluar bersama rakannya.

Katanya, pintu kereta Satria GTinya sebelah kanan telah berjaya dibuka dan dibiarkan begitu sahaja kemungkinan besar penjenayah terbabit tidak pandai memandu kereta tersebut kerana Satria GTi milik abang penulis mempunyai stereng sebelah kiri.

Ini kerana model kereta tersebut yang abang penulis miliki sebenarnya direka khas untuk pasaran di Timur Tengah seperti Libya yang mana pemandunya memandu di sebelah kiri. Kereta tersebut telah dibawa balik ke Malaysia selepas beberapa tahun berada di Libya tetapi tiada pembeli.

Kereta Satria GTi merupakan kereta panas apabila boleh dikatakan kereta paling banyak dicuri oleh penjenayah ini kerana ia merupakan kegilaan anak muda masa kini yang tidak mampu untuk membeli kereta sports mewah dan model ini tidak dikeluarkan.

Selain itu, alat ganti kereta ini memang dicari-cari oleh pemilik kenderaan seperti ini kerana alat gantinya kurang kerana dipercayai model ini mengalami kekurangan alat ganti. Jadi kereta ini merupakan wang segera buat penjenayah untuk mendapatkan wang secepat mungkin.

Buat pemilik kenderaan diluar sana, berhati-hatilah dengan keadaan sekeliling anda dan jadi lebih prihatin terhadap orang ramai. Ini kerana kejadian ini mungkin menjadi lebih malang jika jiran penulis yang berbangsa India tidak menjerit memanggil bapa penulis.

Nilai murni dalam hal ini ialah kita haruslah prihatin dan mengambil berat terhadap orang lain selain prihatin dengan keadaan sekeliling kita. Tidak kira Melayu, Cina dan India perlu mempunyai semangat kejiranan terhadap anggota masyarakat yang lain.

Dalam salinan laporan polis yang ibu penulis buat, penulis dapati tatabahasa yang digunakan dalam laporan terbabit amatlah memalukan kerana terdapat banyak kesalahan yang dilakukan oleh penulis laporan.tersebut. Contohnya '' .. menunggu didalam m/kar tadi terus melarikan diri kemana tidak pasti ''.

Ayat ini juga mengandungi kesalahan ; '' Setelah saya itu saya membuat pemeriksaan dapati terdapat kesan umpil di bahagian kunci kereta. Saya terus datang ke balai untuk membuat laporan ''. Penulis tidak hirau sangat jika kesalahan ayat itu didalam Bahasa Inggeris.

Tetapi sebagai Bahasa Kebangsaan kita, menguasai Bahasa Malaysia merupakan sesuatu yang amat perlu dititikberatkan walaupun penulis sedar artikel di blog penulis ini mempunyai pelbagai kesalahan tatabahasa kerana penulis merupakan seorang pelajar.


No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen