Wednesday, April 11, 2012

Seri Paduka Baginda Menggunakan Maybach untuk Istiadat Pertabalan Agong

Ternyata sangkaan penulis mengenai kenderaan yang akan dinaiki Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al Wathiqu Billahi Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah tersasar.

Penulis menyangkakan yang Tuanku Sultan akan menaiki Rolls Royce Phantomnya berwarna perak itu untuk menghadiri Majlis Pertabalannya sebagai Yang di-Pertuan Agong sebaliknya Baginda menggunakan Maybach yang seakan-akan berwarna perang muda.

Kemungkinan besar Maybach yang Baginda gunakan tadi bagi keberangkatannya ke Istana Negara Jalan Duta itu ditempah khas buat Baginda Sultan kerana Maybach yang berwarna hitam yang dipaparkan dalam artikel yang lepas sudah digunakan bagi Majlis Pengisytiharan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun jangkaan penulis meleset, namun asas pemilihan kenderaan yang digunakan oleh Baginda Sultan masih tepat kerana penulis hanya meletakkan Maybach dan Rolls Royce sebagai kenderaan pilihan Baginda untuk digunakan pada majlis tersebut.

Penulis tidak pasti kenapa Baginda Tuanku menggunakan Maybach bagi majlis pengisytiharannya sebagai Yang di-Pertuan Agong namun penulis percaya pada memori silam Baginda.

Pada istiadat pagi tadi, sebelum ketibaan Baginda ke Istana Negara, pengacara TV ada menunjukkan bingkasan fakta mengenai Sultan Kedah. Terdapat satu babak dimana menunjukkan Baginda Sultan turun dari kereta.

Penulis memerhatikan kenderaan tersebut dan penulis percaya yang kereta tersebut ialah Mercedes sekitar tahun 60-an hingga 70-an sebelum Mercedes 600 yang penulis gila sangat. Bagi memastikan perihal kenderaan tersebut, penulis pun cari di google dan dapat tahu ia sebuah kenderaan Mercedes W110 .

Ini kerana penulis dapat mengesan sebuah gambar mengandungi gambar Mercedes Benz yang mana nombor platnya tertera tulisan '' K.D.Y.M.M SULTAN KEDAH KAA 1 ''. Tidak lain tidak bukan itulah kenderaan yang dinaiki Baginda dahulu.

Kenderaan tersebut mungkin juga digunakan oleh Baginda ketika Baginda hadirkan ke Istana Negara bagi menaiki takhta pada tahun 1970. Ini kerana kereta Mercedes tersebut dibina pada tahun 1961 hingga 1968 iaitu sebelum Baginda menaiki takhta menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Jadi pada majlis kali ini, Baginda menggunakan sekali lagi kenderaan buatan Jerman kerana pada suatu ketika dahulu ketika Baginda menaiki takhta Kerajaan, Baginda juga menaiki kereta Jerman.

Bagi yang tidak mengetahui, Maybach ialah sebuah kenderaan Jerman yang mana diasaskan oleh Willhelm Maybach pada tahun 1909. Kenderaan ini boleh dikatakan adik tiri Mercedes daripada ibu yang hebat. Ini kerana Mercedes ditubuhkan pada tahun 1886.

Pada masa kini, Maybach berada dibawah Syarikat Daimler AG ataupun dipanggil Daimler Aktiengesellschaft yang mana bermaksud Sendirian Berhad. Mercedes juga merupakan anak syarikat Daimler AG ini.

Jadi secara tak langsung Mercedes-Benz yang dahulu kemungkinan Baginda Tuanku naik takhta menggunakan kereta Mercedes digantikan dengan Maybach kerana Maybach ini boleh dilabel sebagai super-mewah kereta yang sama standard dengan Rolls Royce dan Bentley.

Itu merupakan andaian penulis sahaja kenapa Baginda Tuanku menggunakan Maybach untuk ke Majlis Pertabalannya. Kemungkinan besar Baginda ingin kelihatan berbeza dengan Sultan lain yang lebih selesa menaiki Rolls Royce, Bentley dan sebagainya.

Terdapat kemungkinan juga yang Baginda Tuanku menaiki Maybach kerana keadaan dalamnya yang lebih selesa dimana tempat duduknya boleh diubah mengikut citarasa dengan tempat duduk yang dilengkapi urutan badan. Maybach juga mempunyai tempat meletak kaki yang mana kelihatan lebih selesa bagi seseorang yang tidak sekuat dahulu seperti Tuanku Sultan.

Jika dibandingkan dengan bahagian dalaman Rolls Royce Baginda kelihatan begitu ringkas. Penulis percaya yang Rolls Royce tersebut bukannya custom made dibuat khas buat Baginda kerana bahagian dalamannya kelihatan tidak mewah.

Sampai sini sahajalah penulisan penulis mengenai kenderaan yang dinaiki SPB YDA untuk Majlis Pertabalan. Tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan pertabalannya.

DAULAT TUANKU !

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen