Monday, April 30, 2012

Pelajar Lari Kem ...

Tatkala Malaysia sibuk bercerita mengenai perhimpunan Bersih 3.0 yang penuh dengan keganasan dan juga penglibatan masyarakat Cina yang lebih ramai, penulis pula berada di sekolah penulis bagi membantu guru agama ( Ustazah ) penulis untuk membantu penganjuran sebuah Kem yang diberi nama Kem Syakhsiah Remaja Islam.

Penulis dipanggil oleh Ustazah penulis bagi membantu kelancaran program sebagai Urusetia dua minggu awal dari tarikh Kem yang berlangsung dari 27, 28 dan 29 April di sekolah penulis. Namun hari Selasa baru mesyuarat bagi memilih wakil bagi memikul tanggungjawab sebagai biro-biro tertentu.

Penulis dilantik sebagai Pengerusi Urusetia oleh rakan-rakan penulis, mungkin kerana mereka ingin mensabotaj penulis kerana penulis pernah menyatakan hasrat penulis untuk balik rumah dan tidur di rumah penulis kerana rumah penulis dekat sahaja dengan sekolah penulis.

Jadi bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, mereka melantik penulis sebagai Pengerusi sekaligus menjadikan penulis bertanggungjawab penuh terhadap apa yang berlaku dengan urusetia-urusetia yang lain dan kelicinan majlis.

Selepas bermesyuarat memilih wakil biro yang bertanggungjawab, maka berlangsunglah mesyuarat menyatakan tindakan-tindakan yang dilakukan bagi memastikan kelancaran majlis yang bermula pada hari Jumaat selepas Solat Jumaat.

Tanggungjawab menjaga lebih kurang 180 peserta yang terdiri dari pelajar Tingkatan satu dan dua dilepaskan selepas pihak Urusetia selesai membahagikan peserta kepada kumpulan. Seterusnya, tanggungjawab menjaga pelajar diserahkan kepada Fasilitator sepenuhnya.

Pihak Urusetia hanya membantu melicinkan perjalanan program yang mana pihak Fasilitator yang terdiri dari pelajar Universiti Islam Antarabangsa dan Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan ( PEPIAS ) menjalankan aktiviti-aktiviti yang lain.

Pada hari pertama, semua aktiviti berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang kekalutan. Cuma apa yang terjadi adalah apabila program taklimat oleh pihak Urusetia telah memakan masa yang amat panjang disebabkan kerja membahagikan kumpulan mengambil masa yang lama.

Pada hari kedua, semua perkara berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan pada petang Sabtu yang mana di Kuala Lumpur, perhimpunan Bersih 3.0 telah dijalankan bagi melakukan huru hara dan keganasan di bandaraya tercinta kita ini.

Keadaan menjadi panik pada malam Sabtu tersebut dimana penulis dan barisan Urusetia yang lain telah diingatkan untuk bersiap sedia dengan perkara tidak diingini.  Ini berikutan keadaan malam ini akan membuatkan semua pelajar lemah disebabkan program Muhasabah diri yang akan membuatkan mereka tertekan.

Penulis dapat membayangkan perkara tersebut pada petang itu pada waktu malam apa yang akan terjadi. Jadi penulis mengambil keputusan untuk berjaga malam untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku tanpa bantuan para Urusetia.

Sekitar jam 9.00 malam, semua pelajar dikumpulkan untuk bagi program Muhasabah Diri. Urusetia-urusetia yang lain sibuk memanggang ayam bagi melakukan Barbeque yang dikhaskan kepada Urusetia dan Fasilitator sahaja manakala penulis hanya bersiar-siar melihat kerja-kerja yang dilakukan mereka.

Setiap kumpulan yang mana terdiri dari para pelajar diarahkan untuk membuat sebuah bangunan yang digunakan dari barangan-barangan terpakai. Penulis melihat kegigihan mereka menyiapkan tugasan yang diminta oleh Fasilitator.

Kesemua bangunan telahpun siap, maka mereka semua pun menghimpunkan barangan mereka di Tapak Perhimpunan. Disana, tiba-tiba seorang Fasilitator telah menghancurkan kesemua bangunan yang dibina oleh pelajar menggunakan sebatang kayu.

Pelajar pun hairanlah mengapa Fasilitator tersebut melakukan hal sedemikian. Tiba-tiba seorang Fasilitator yang lain naik ke atas pentas dan memarahi peserta-peserta kerana tidak berusaha menyelamatkan bangunan yang telah mereka bini.

Di dalam segmen tersebut diselitkan sedikit nilai-nilai Islam kepada peserta membuatkan mereka menangis kerana Fasilitator dapat menyelami jiwa mereka dengan serius. Walaubagaimanapun, penulis mengetahui agenda ini kerana penulis pun pernah terlibat dengan aktiviti seperti ini ketika penulis berusia 12 tahun.

 Selepas itu, Sekelompok Fasilitator merajuk dek kerana layanan yang diberi oleh peserta amat buruk menyebabkan mereka ingin pulang. Mereka memasukkan barangan mereka ke dalam kereta dan bergerak perlahan-lahan untuk keluar dari kawasan sekolah.

Perkara tersebut menyebabkan peserta-peserta rasa bersalah dan melakukan aksi-aksi yang penulis katakan  hanya dilakukan oleh peserta-peserta perhimpunan haram sahaja. Mereka bukan hanya sekadar menyekat kereta dari keluar, bahkan ada yang cuba membuka pintu kereta walaupun ada yang berjalan.

Tindakan yang paling tidak dapat dilupakan ialah apabila seorang peserta sanggup berbaring diatas jalan bagi menghalang Fasilitator-Fasilitator dari keluar dari kawasan sekolah. Ada juga beberapa peserta menutup pagar atas tujuan yang sama.

Penulis ketika itu hanya tersenyum selepas makan, dimana penulis makan lewat sedikit dari Urusetia yang lain kerana hidangan yang disajikan mempunyai ayam. Buat pengetahuan pembaca, penulis tidak boleh memakan ayam kerana akan menyebabkan badan penulis gatal.

Makanan itu pula dibawa oleh ibu penulis yang mana sengaja jalan-jalan di sekitar sekolah penulis untuk melihat keadaan disana. Selepas itu, ibu penulis pun menghubungi penulis dan bertanyakan khabar mengenai penulis. Penulis pun mengambil kesempatan menanyakan sama ada makanan ataupun tidak.

Langkah kanan, apabila 'Nasi Goreng Pattaya Daging' yang dibelikan bungkus untuk abang penulis berada pada ibu penulis yang berada dalam keretanya. Ibu penulis pun meminta penulis ambil Nasi Bungkus tersebut maka penulis santap lah sorang-sorang.

Selepas selesai makanlah penulis melihat aksi-aksi peserta yang ingin menghalang Fasilitator keluar dari sekolah. Dengan Nescafe berperisa Latte berada ditangan penulis, penulis hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka ini.

Sebab musabab penulis memilih Nescafe sebagai minuman pada malam tersebut kerana ingin memastikan penulis boleh berjaga malam bagi mengawal keadaan sekolah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ketika penulis berjalan-jalan disebelah kantin sekolah penulis melihat aksi-aksi peserta, penulis terlihat seorang lelaki bergegas lari menuju pintu pagar utama. Penulis pun mengejarlah lelaki tersebut untuk melihat lelaki tersebut membuka pagar sekolah bagi membenarkan Fasilitator keluar dari sekolah.

Tetapi jangkaan penulis tersebut tersasar kerana lelaki tersebut bukannya berlari untuk membuka pagar, tetapi berlari melompat tembok keluar dari kawasan sekolah. Penulis pun berlarilah dengan Nescafe ditangan kanan penulis manakala Walkie Talkie ditangan kiriku.

Penulis pun tidak tahu bagaimana penulis dapat keluar dari kawasan sekolah kerana seingat penulis pintu pagar dipenuhi dengan peserta-peserta Kem yang tidak membenarkan Fasilitator keluar sekolah. Yang pastinya, penulis tidak melompat tembok tetapi kemungkinan besar merempuh beberapa pelajar untuk mengejar lelaki tersebut.

Apa yang penulis lihat amatlah mengejutkan, kerana rakan Urusetia penulis, Adam Arief yang mana menjaga Biro Sistem PA hanya berada disimpang melihat-lihat sekeliling. Beliau mengatakan yang sudah tak nampak peserta yang keluar sekolah tersebut.

Beliau pun mengarahkan penulis melihat sebelah masjid dan beliau melihat bahu jalan utama bagi melihat sama ada, ada pelajar yang melintas keluar dari kawasan kejiranan sekolah tersebut untuk pulang ke rumah. Penulis ditemani Syed Nafis yang turut keluar mencari peserta yang lari tersebut.

Manakala Adam Arief bersama seorang lagi rakannya yang juga Urusetia bernama Rizqi Ardani untuk mencari peserta yang hilang dari Kem. Penulis yang lari mencari peserta tersebut terserempak dengan dua orang perempuan berbangsa Cina di dalam sebuah kereta Proton Saga.

Rakan penulis menanyakan sama ada melihat seorang lelaki lari ke arah sini ataupun tidak. Jawapannya negatif begitu juga dengan seorang lelaki Cina yang berjalan berseorangan yang mana penulis tanya sendiri sama ada melihat sesiapa lari kearah sini.

Disitulah penulis membuang Nescafe yang penulis pegang di tangan kanan penulis sejak keluar dari keadaan sekolah. Dan disitu jugalah penulis mendengar suara dari Walkie Talkie penulis meminta penulis pulang ke sekolah.

Disana, keadaan yang kucar kacir dengan peserta menghalang laluan Fasilitator bertukar dalam keadaan terkawal apabila pihak Fasilitator telah menghimpunkan mereka semua di Tapak Perhimpunan. Penulis pun mengarahkan Fasilitator yang bertugas untuk mengira pelajar.

Kemudiannya, penulis pergi ke Taman Herba dimana tempat dimana Urusetia yang lain sedang panggang Ayam untuk Barbeque supaya ke kantin untuk berhimpun bagi mengatur langkah-langkah mencari peserta yang  keluar dari sekolah.

Ketika penulis kembali ke Tapak Perhimpunan, penulis pergi bertanyakan kepada Fasilitator berapa orang semua yang ada. Tiba-tiba ada seorang ketua kumpulan datang dan menyatakan yang kumpulannya tidak cukup sembilan orang dari 14 orang. Hanya yang tinggal tiga orang sahaja.

Selepas itu penulis, penulis ingin pulang ke bilik tidur penulis bagi menukar selipar penulis kepada kasut. Tetapi dihalang oleh seorang pelajar yang memberitahu yang kemungkinan mereka keluar mengikut pintu belakang Taman  Herba.

Penulis dan seorang rakan penulis bernama Irfan pun pergilah melihat ke Taman Herba yang mana terdapat sebuah bulatan yang penulis syaki telah dipotong untuk keluar dari kawasan sekolah. Penulis pun percayai kemungkinan sembilan orang pelajar yang lari mengikut pintu belakang tersebut dan satu ikut pintu depan.

Penulis kemudiannya ke bilik tidur Urusetia untuk memakai kasut, kelihatan hampir kesemua Urusetia yang lain telah pun memakai kasut hanya penulis dan beberapa orang rakan seperjuangan penulis sahaja yang belum lagi memakai kasut. Kesemua Urusetia berhimpun di sebuah kawasan yang gelap bagi mengelakkan pelajar melihat pelan yang akan dibuat oleh pihak Urusetia.

Kumpulan dipecahkan kepada empat kumpulan, iaitu yang pertama menaiki basikal yang mana kawasan perimeternya sedikit jauh. Manakala kumpulan kedua mencari diluar kawasan sekolah dan yang ketiga mengelilingi sekolah.

Kumpulan keempat yang dianggotai oleh penulis dan empat lagi orang rakan penulis tidak keluar dari kawasan sekolah. Ini kerana pasukan kami membincangkan kemungkinan dimanakah mereka akan lari jika mereka keluar dari sekolah.

Idea pun keluarlah satu persatu bagi menjangkakan kemanakah mereka ini akan lari jika mereka keluar dari sekolah. Buah fikiran yang diberikan oleh mereka ini akhirnya membuatkan kesimpulan dimana penulis mengarahkan mereka semua ini untuk mengelilingi sekolah dengan radius yang lebih besar.

Lalu berjalanlah penulis ke pintu pagar untuk keluar membuat rondaan mencari jika ada terserempak dengan mereka ini yang mungkin bersembunyi di celah-celah lorong ataupun kenderaan. Tetapi penjaga pagar tersebut yang juga terdiri dari para Urusetia mengatakan yang jumlah peserta telah pun cukup.

Penulis pun hairanlah dengan jawapan yang dikatakan oleh dua orang Urusetia terbabit lalu pergi bertanya kepada Ustazah. Ustazah mengesahkan yang sudah tiga kali diperiksa dan jumlahnya cukup-cukup. Penulis masih lagi kehairanan.

Mana perginya 10 orang yang hilang boleh berada dalam kawasan sekolah. Bahkan penulis sendiri melihat kejadian dimana seorang lelaki yang penulis tidak kenali melompat keluar dari kawasan sekolah memang gaya seorang lelaki yang kaki ponteng sekolah.

Penulis pun tertanya-tanya, apakah yang terjadi sebenarnya sebentar tadi? Adakah hanya helah untuk mengenakan penulis dan rakan seperjuangan penulis yang lain?

Fasilitator kemudiannya mengesahkan yang memang benar kesemuanya peserta yang berada di Tapak Perhimpunan cukup. Penulis amat bersyukur kerana jika apa-apa berlaku kepada peserta, penulis yang akan bertanggungjawab sebagai Ketua Urusetia.

Selepas kesemua peserta Kem tidur, rakan-rakan penulis yang lain pun tidur untuk melelapkan diri selepas seharian bekerja berjaga bagi menjaga kelicinan perjalanan kem. Hanya empat orang sahaja yang tidak tidur untuk berjaga malam iaitu penulis, Adam Arief dan dua orang lagi rakan Urusetia yang lain.

Mereka tidur lebih kurang jam 2.00 pagi dan penulis masih lagi berjaga bagi menjangkakan perkara-perkara yang tidak diingini. Pada jam 4.00 pagi, penulis yang sudah tidak tahu nak buat apa, pergi ke Kantin bagi merehatkan diri dan merasa angin sejuk kipas Kantin.

Penulis pun mengambil kesempatan untuk mencari konklusi terhadap peristiwa yang berlaku. Tatkala bersembang, penulis lihat Ustazah yang bertugas, pulang dari membeli makanan yang mana rezeki dibawa Ustazah dimakan oleh penulis.

Disanalah bermulanya cerita-cerita mereka yang terlibat dari seorang yang nampak kejadian tersebut. Bermulanya dengan Adam Arief yang mana beliau menceritakan kepada Ustazah apakah yang beliau lihat dan dengar.

Beliau menceritakan yang beliau sedang bersembang-sembang dengan 2-3 orang Urusetia yang lain. Ketika itu penulis baru habis makan. Tiba-tiba beliau mendengar salah seorang Fasilitator menjerit dan mengatakan ada orang lari sekolah.

Apalagi, beliau pun larilah kearah pintu pagar lalu melompat keluar dari tembok sekolah. Penulis ketika itu menyangkakan orang yang lari dan keluar dari kawasan sekolah tersebut seorang budak yang disyaki lari dari sekolah.

Apa yang penulis nampak ialah Adam Arief melompat keluar dari Kawasan Sekolah selepas mendengar jeritan dari seorang Urusetia yang melihat seorang budak memanjat tembok. Pandangan penulis yang melihat seorang lelaki melompat keluar itu ialah Adam Arief bukannya budak.

Ustazah kemudiannya menceritakan pengalamannya ketika keadaan huru hara. Ustazah sedang berjalan-jalan melihat peserta yang kelam kabut mencari orang hilang. Ada seorang budak bernama Safiq ( bukan nama sebenar ) tertanya-tanya kenapa huru hara sekolah ini.

'' Tadi aku yang keluar, tapi aku dah balik dah '' kedengaran dari telinga Ustazah kata-kata Safiq tersebut tetapi Ustazah buat tak tahu sahajalah kerana keadaan yang memerlukan peserta berkumpul di Tapak Perhimpunan.

Selepas kesemua pelajar berhimpun di Tapak Perhimpunan, Fasilitator membuat kiraan peserta sebanyak tiga kali dan kiraan kesemuanya tersebut mencukupi. Ustazah pun teringat mengenai kata-kata Safiq tersebut, lalu ustazah memanggil budak tersebut untuk cakap 1on1.

Ustazah pon bertanyalah kepada Safiq '' Betulkah awak yang keluar dari sekolah '' jawabnya '' Betul, tapi saya dah balik dah ''. Ustazah tanya lagi '' Kenapa awak balik ? '' dia jawab '' Saya dah keluar sekolah dah, tapi saya ternampak kawan saya terbaring dekat jalan. Lepas itu, jalan pula gelap dan saya teringat beg-beg saya dekat dalam. Saya pun masuk baliklah '' .

Jadi keadaan dimana semua orang nampak ada peserta melompat keluar dari sekolah itu bukanlah Safiq ini tetapi Adam Arief. Adam Arief berlari dari kantin ke pintu pagar besar jadi orang-orang yang berada di sekeliling pintu pagar dan kawasan sekeliling memang nampak seperti orang keluar sekolahlah.

Tambahan pula waktu malam yang mana orang tidak dapat melihat wajah dengan jelas.  Kesemua peserta tersebut pun percayalah kejadian itu berlaku. Kenapa mereka tidak perasan yang ada budak keluar sebelum Adam Arief lari.

Ini kerana Safiq yang keluar sekolah ini, seorang yang bertubuh kecil, pada masa yang sama juga kesemua peserta lebih memfokuskan pandangan mereka kepada kereta yang dinaiki oleh Fasilitator ini. Jadi tidak hairanlah mereka tidak perasan yang ada orang panjat sebelum Adam Arief melompat keluar yang mana terlihat oleh seorang Urusetia.

Kesimpulan dalam bab ini ialah, orang yang melompat keluar untuk sebenarnya mengejar seseorang yang mana telah masuk kedalam kawasan sekolah semula. Dalam erti kata lain, Adam Arief hanya lalu betul-betul sebelah orang yang dia cari.

Hal yang menjadi tanda tanya pula macam manakah sembilan orang peserta yang hilang itu boleh mencukupkan balik jumlah peserta didalam kem tersebut. Ustazah sekali lagi membuka mulut menceritakan apa yang terjadi.

Ustazah mengatakan apabila keadaan kucar-kacir, Kumpulan 2 telah pun berhimpun di tempat lain. Yang mana terdapat empat orang yang lain tertinggal. Yang tertinggal empat orang itu pergilah terus ke Tapak Perhimpunan untuk beratur.

Disebabkan itulah Ketua Kumpulan tersebut memberitahu terdapat 9 orang hilang dan hanya tinggal 3 termasuk dia empat lah. Disebabkan satu kumpulan beratur di lain-lain tempat yang membuatkan penulis pun panik dan percaya dengan kata-kata tersebut.

Itulah masalah yang dihadapi oleh penulis sepanjang Kem tersebut berlangsung. Penulis diingatkan oleh seorang Fasilitator supaya tidak panik dalam keadaan seperti itu sebagai seorang pemimpin. Kalau pemimpin panik, orang dibawah panik tuh lagi lah.

Satu lagi bila berada dalam keadaan sebegini, kita perlulah mencari maklumat dengan setepat-tepat yang betul. Penulis secara rasminya menyatakan yang penulis telah gagal dalam menjadi seorang pemimpin dalam Kem yang berlangsung ini.

Setiap yang jadi ada hikmahnya, perkara seperti ini terjadi bagi menguji keupayaan seorang pemimpin dalam menyelesaikan masalah seperti ini. Begitu juga dengan lain bagaimana untuk melakukan tugasan. Penulis belajar supaya bersabar bila berlaku keadaan yang tidak diingini meskipun tahu yang bala menimpa jika benar ada peserta lari sekolah.

Alhamdullilah semuanya berlalu dengan sempurna tanpa sebarang insiden tidak diingin. Abang Fasilitator juga berkerja keras untuk membentuk sahsiah peserta yang terpuji dan begitu juga dengan Urusetia yang melakukan tugasan dengan baik.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen