Thursday, March 15, 2012

Adakah PAS Akan Terus Berkuasa di Kedah ?

Sudah lama penulis tidak menulis mengenai perkembangan politik tanah air. Kali ini, selepas dua artikel berturut-turut mengenai Rolls Royce dan Bentley, penulis ingin membincangkan mengenai perkembangan politik di Kedah.

Pada Tsunami Pilihanraya Umum yang ke-12 di Kedah, kerusi Dewan Undangan Negeri berpindah tempat apabila Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) berjaya memperoleh 16 kerusi manakala Parti KeADILan Rakyat ( PKR ) memenangi 5 kerusi dan satu kerusi berjaya dirampas oleh Parti Tindakan Demokratik ( DAP ) . Ini menyebabkan Barisan Alternatif membentuk gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat memerintah negeri tersebut yang mana Barisan Nasional hanya memperoleh 14 kerusi.

Dato Seri Azizan Abdul Razak dilantik sebagai Menteri Besar Kedah kerana kedudukannya dalam Parti PAS antara yang paling berpengaruh. Ini kerana beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Kedah dan juga Setiausaha Perhubungan PAS Kedah.

Ini membuatkan beliau merupakan calon yang paling layak untuk dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ketika itu. Beliau juga pernah menduduki kerusi Naib Presiden PAS selama dua tahun iaitu dari tahun 2003 hingga 2005.

Ramai orang beranggapan bahawa Wakil Rakyat PAS ini semuanya sekadar Ustaz Tok Guru Agama di Sekolah Pondok. Tetapi persepsi ini sepatutnya mati apabila beliau merupakan berkelulusan Undang-undang dari Universi Kent, United Kingdom selain merupakan graduan Universiti Al-Azhar.

Jika diperhatikan cara beliau bertutur dalam Bahasa Inggeris, memang tidak dinafikan kepetahan beliau bercakap dalam bahasa tersebut. Bahkan kalah pemimpin-pemimpin UMNO yang pergi bermesyuarat di luar negara setiap bulan.

Beliau bagaimanapun senang dipanggil sebagai Ustaz Azizan walaupun bergelar Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato' Seri Diraja.

Selain itu, Ahli Parlimen PAS Hulu Langat, YB Che Rosli Che Mat juga merupakan salah seorang wakil rakyat PAS yang berkelulusan Sains Fisiologi / Kimia / Sains Nuklear dari Universiti of Lancaster, United Kingdom.

Sehingga kini yang mana ura-ura Pilihanraya Umum yang ke-13 bakal diadakan, suasana politik Kedah agak celaru dimana bermula apabila ada penolakan dari dua wakil rakyat mereka sebagai EXCO Kerajaan Kedah.

Sebelum itu, Dato Seri Azizan Abd Razak pernah diminta untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar berikutan pemeriksaan susulannya di Institut Jantung Negara selepas pembedahan pemintasan jantung dilakukan pada tahun 2005.

Suara-suara ini keluar mendakwa kesihatan Menteri Besar Kedah ini berada dalam keadaan yang akan menjejaskan pentadbiran Kedah. Namun beliau menempelak dan mendakwa dirinya masih sihat dan boleh menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

Desakan ini datang dari dalam dan luar PAS dimana mereka kurang gemar dengan cara pentadbirannya yang lebih ikut suka hatinya sahaja. Selain itu, terdapat juga suara sumbang yang tidak sukakannya kerana beliau tidak berada dalam kelompok Pro-Anwar Ibrahim.

Selain itu, Dato' Seri Azizan Abd Razak juga pernah dikritik keras oleh rakannya seperjuangannya sendiri apabila beliau menggunakan Akta Universiti Kolej Universiti terhadap beberapa pelajar Kolej Universiti Insaniah yang melakukan salahlaku tatatertib di pusat pengajijan milik Negeri Kedah itu.

Ini berikutan desakan yang dibuat oleh Dr. Aziz Bari yang mendakwa dirinya sebagai Pakar Perlembagaan yang mana mengatakan tindakan Dato' Seri Azizan Abd Razak ini tidak sejajar dengan apa yang terkandung dalam buku jingga yang mana manifesto Pakatan Rakyat.

Walaubagaimanapun, Dato' Seri Azizan mendakwa yang tidak salah menggunakan akta tersebut kerana ia sah disisi undang-undang dan belum dimansuhkan lagi dan akan dikenakan kepada mana-mana pelajar yang melanggar peraturan.

Tindakan beliau yang membeli kereta baru sebagai kereta rasminya iaitu Mercedes-Benz S Class juga telah mendapat publisiti yang meluas di media sosial dimana mengatakan beliau lagi hebat dari Perdana Menteri.

Ini berikutan pada Majlis Angkat Sumpah Yang di-Pertuan Agong dimana beliau dibawa ke Istana Negara menaiki Mercedesnya manakala Perdana Menteri dibawa menaiki kereta rasminya iaitu Proton Perdana Limosine.

Ada blog mendakwa yang Menteri Besar Kedah tidak tahu menahu mengenai pembelian Mercedes Benz yang dibuat oleh orangnya dan meminta agensi berkaitan membuat siasatan namun disebabkan tiada laporan, tiada fail dibuka.

Isu ini tidak diperbesar-besarkan kerana mereka ( blogger pro-UMNO ) percaya yang mereka akan dihentam balik oleh blogger anti-kerajaan kerana Tan Sri Abd Taib Mahmud ( Ketua Menteri Sarawak ) menaiki Rolls Royce yang mana boleh dikatakan sama standard dengan Sultan.

Isu beliau berang terhadap seorang wartawan mendapat liputan dari media massa yang mana menggambarkan beliau sebagai seorang ahli politik yang teruk. Walaubagaimanapun, tindakan beliau itu dipercayai berlaku disebabkan provokasi yang dilakukan oleh pihak wartawan.

Sama seperti apa yang berlaku terhadap seorang wartawan dari akhbar berbahasa Cina yang mana telah dimarahi oleh Menteri Besar Pahang, Dato Seri Adnan Yaakob yang berang dengan pertanyaan mengenai sisa buangan Lynas dan menggelarkan surat khabar dan wartawan bodoh.

Persoalan sama ada PAS terus memerintah Kedah selepas PRU-13 agak rumit. Ini berikutan situasi politik tanahair yang tidak menentu selepas Tsunami Politik 2008.

Penulis lebih cenderung mengatakan yang kerajaan PAS di Kedah masih kekalkan kuasa tapi bagi memperoleh kerusi sebanyak mana yang mereka peroleh pada pilihanraya kelihatan agak sukar.

Kemungkinan besar pada pilihanraya yang akan datang, undi dari pengundi Melayu akan lebih memihak kepada UMNO kerana gerak kerja UMNO yang bertungkus lumus mendapatkan kembali negeri mereka itu.

Di Kedah, pengundi kebanyakkannya terdiri daripada pengundi atas pagar yang mana tidak memihak mana-mana parti politik. Disebabkan itulah situasi politik di Kedah kadangkala tidak dapat diramalkan kerana Kedah bukanlah kubu kuat Barisan Nasional seperti yang digambarkan.

Pengundi Cina disana juga dijangka masih lagi mengekalkan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat. Manakala pengundi India disana kelihatan seperti kembali menyokong Barisan Nasional selepas perletakan jawatan Dato' Seri S Samy Vellu.

Kesimpulannya mengenai andaian situasi politik di Kedah penulis lebih percaya yang PAS masih lagi boleh memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Kedah buat sepenggal lagi. Namun begitu, kehilangan kerusi ADUN PAS tidak dapat dielakkan dengan peningkatan kerusi buat Barisan Nasional.

Jika Barisan Nasional berjaya merampas kembali negeri Kedah dari kerajaan PAS, maka penulis boleh katakan ia suatu keajaiban hasil kerja keras Barisan Nasional melakukan kempen untuk meraih undi dari pengundi dari Kedah yang diketuai Dato Paduka Ahmad Bashah.

Terdapat pelbagai andaian mengenai bilakah tarikh pilihanraya umum ke-13 bakal diadakan. Ada yang kata pada awal tahun hadapan tetapi ada juga yang kata akan diadakan tahun ini selepas pertabalan Agong 11 April ini.

Penulis yakin yang pilihanraya akan diadakan pertengahan tahun ini selepas mengambil kira beberapa langkah kerajaan yang diambil bagi memperoleh undi seperti pemansuhan tol dan pembatalan Skim Baru Perkhidmatan Awam ( SBPA ) dengan menambah baik Skim Saraan Malaysia.

Walaubagaimanapun, terdapat ura-ura yang mengatakan Pilihanraya Umum akan diadakan pada tahun hadapan kerana menunggu kesemua cawangan dan bahagian UMNO untuk selesai bermesyuarat dan Mesyuarat Agong UMNO yang akan diadakan penghujung tahun ini.

Tetapi penulis rasa ia kelihatan seperti terlalu lama kerana jika ini berlaku, maka isu-isu pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia akan lapok. Begitu juga dengan kenaikan gaji penjawat awam dan penghapusan tol.

Jadi ramalan penulis mengenai tarikh pilihanraya adalah selepas pertabalan Agong 11 April hingga sebelum bulan Ramadan bermula iaitu 20 Julai 2012. Kemungkinan besar dalam tiga bulan ini sahaja.

Kemungkinan besar juga jika diadakan dalam tempoh tersebut, lewat bulan Mei akan mereka bubuarkan parlimen dan adakan proses buang undi pada awal bulan Jun. Kerana ketika itu pelajar sekolah mendapat cuti pertengahan tahun.

Seperti yang anda tahu, proses membuang undi selalunya akan mengambil tempat pada dewan-dewan sekolah. Maka waktu tersebutlah waktu paling afdal sekali untuk pilihanraya umum yang ke-13 diadakan jika kerajaan ingin membubarkan parlimen dalam tempoh tiga bulan yang penulis katakan diatas.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen