Saturday, February 4, 2012

Pameran World Press Photo

Pada petang tadi, penulis berkesempatan untuk ke Kuala Lumpur Convention Centre ( KLCC ) bagi melihat sendiri Pameran World Press Photo yang diadakan oleh Organisasi World Press Foto iaitu sebuah organisasi swasta yang tidak berasaskan keuntungan.

Turut terlibat dalam penganjuran ini ialah sokongan daripada Dutch Postcode Lottery serta tajaan global oleh pengeluar kamera terkenal, Canon serta TNT.

Pameran ini berlangsung dari 31 Januari hingga 12 Februari 2012 yang mana mengumpulkan koleksi gambar-gambar yang menarik yang dipilih dari 108059 gambar yang dihantar oleh 5691 jurugambar dari 125 negara.

Koleksi gambar sebanyak 140 gambar ini dipamerkan di Pameran Bergerak yang diadakan di seluruh dunia di 45 buah negara yang dijangka dikunjungi sehingga 2.5 juta orang.

Bagi penulis yang juga seorang jurukamera amatur amat berpuas hati dengan pameran ini yang penulis kunjungi petang tadi. Setiap gambar yang dipamerkan mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Foto yang diambil dari jurukamera profesional dari seluruh dunia ini memang berbaloi bagi penggemar foto dan kaki kamera di Malaysia. Walaupun berlangsung dengan ringkas kerana tempat pameran hanya di ruang jalan, ini menunjukkan pameran ini lebih santai dan berbaloi bagi mereka yang minat akan seni foto.

Antara gambar yang penulis ingin kongsikan disini ialah gambar seorang budak yang cacat dipercayai akibat bahan kimia yang digunakan oleh tentera AS yang dinamakan Agent Orange ketika perang di Vietnam. Kanak-kanak ini yang tinggal di Ngu Hanh Son bernama Nguyen Thi Li ( 9 tahun ) di Vietnam mengalami kecacatan fizikal kerana bahan kimia terbabit yang digunakan bagi melumpuhkan sumber makanan bagi pihak Viet Cong yang mana kompaun dalam dioksin terbabit boleh menyebabkan tindak balas genetik yang boleh bertahan sehingga 40 tahun.

Persatuan Palang merah Vietnam menganggarkan lebih 150,000 kanak-kanak cacat akibat ibu bapa mereka yang terdedah kepada dioksin tersebut. Pelbagai gejala buruk berlaku akibat Agent Orange ini antaranya penyakit jantung, kencing manis dan masalah pembelajaran.

Selain itu, gambar yang menarik untuk penulis kongsikan ialah foto yang diambil di Korea Utara yang mana memaparkan bekas Pemimpin Agung Korea Utara iaitu Kim Jong-il bersama anaknya iaitu Kim Jong-un di Pyongyang pada 10 oktober iaitu dua bulan sebelum Kim Jong-il meninggal dunia.

Gambar ini antara senarai gambar-gambar terakhir Kim Jong-il yang diambil oleh jurukamera profesional kerana Kim Jong-il jarang keluar ke khalayak umum disebabkan penyakit angin ahmar yang dialaminya sejak 2008.

Foto ini pula diambil di Port-au-Prince di Haiti enam hari selepas gempa bumi yang menggegarkan Haiti pada 12 Januari di sebuah pasar yang dikenali sebagai Marche Fer ( Pasar Besi ) yang juga merupakan mercu tanda bandaraya tersebut semenjak 1891.

Apa yang menarik mengenai gambar ini ialah kerana ia disaksikan oleh seorang kanak-kanak perempuan dihadapan pasar tersebut yang sedang terbakar. Pasar ini dibuka semula selepas musnah yang mana kerajaan Haiti dipersalahkan kerana kelewatan proses pembersihan yang mana Haiti mengalami masalah ekonomi dan politik yang tidak stabil. Dana yang disumbangkan oleh badan swasta sebanyak 8.8 juta Euro telah digunakan untuk membaikpulih bangunan tersebut.

Penulis enggan berkongsi berbagai-bagai gambar kerana ingin mendorong kepada peminat-peminat seni foto supaya ke KLCC untuk melihat dengan mata sendiri tentang foto yang diambil dari seluruh dunia.

Tidak perlu membawa wang banyak-banyak, kepada yang ada di sekitar Lembah Klang hanya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ( KLCC ) dan terus ke tingkat G bagi melihat pameran tersebut . Berita baiknya pameran ini tidak mengenakan sebarang bayaran bagi sesiapa yang berminat melihat hasil seni jurukamera media.

Pameran ini dibuka pada pagi, tidak pasti pukul berapa tetapi yang penulis pasti pemeran ini ditutup jam 10 malam. Makanya kepada yang berminat silalah ke sana bagi melihat hasil foto terbaik pada tahun 2011 di sana.

Terdapat pelbagai lagi gambar-gambar menarik disana dari pelbagai kategori yang dipertandingkan. Termasuklah shot-shot yang jarang dilihat dan amat gerun sekali dipamerkan disana. Inshallah penulis yakin bagi peminat foto, pameran ini berbaloi anda pergi.

Ingat... Pameran ini berlangsung dari 31 Januari hingga 12 Februari iaitu selama 13 hari. Masih ada 8 hari lagi untuk anda ke sana menyaksikan pameran ini. Satu lagi, ingat yang pameran ini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bukan Kuala Lumpur City Centre.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen