Sunday, February 5, 2012

Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2012 Peringkat Kebangsaan

Hari ini merupakan hari yang amat penting buat tamadun Islam dimana nabi terakhir yang agung, nabi Muhammad telah dilahirkan di Makkah pada 12 Rabiulawal bersamaan dengan 20 April 571 Masihi.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan diadakan di Masjid Putra di Putrajaya yang mana bermula jam 7.30 pagi dimana kontijen-kontijen dari setiap jabatan berarak dari Masjid Sultan Mizan ( Masjid Besi ) ke Masjid Putra.

Dianggarkan lebih 6000 peserta dari setiap jabatan sama ada dari sektor kerajaan mahupun swasta mengambil bahagian dalam perarakan ini yang mana selawat mereka ke atas nabi tidak putus-putus yang berjalan sejauh 2.4 km.

Ketibaan Y.A.B Timbalan Perdana Menteri dan isteri disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mejar Jeneral ( B ) Jamil Khir Baharom di hadapan pintu masuk masjid Putra.

Mereka berdua kemudiannya menunggu ketibaan Y.A.B Perdana Menteri dan isteri yang turun kira-kira jam 8.20 dan seterusnya menantikan ketibaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almutasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun.

Acara bermula dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran oleh salah seorang qari. Bacaan ayat suci itu dibacakan lebih kurang 15 minit sebelum diikuti dengan ucapan aluan-aluan oleh Menteri yang bertanggungajawab iaitu Dato Seri Jamil Khir Baharom.

Kemudiannya Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi titah ucapan mengenai Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah yang menyeru umat Islam supaya mencontohi keperibadian nabi Muhammad.

Selesai ucapan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong, aturcara ceramah mengambil tempat dimana penceramah menyeru supaya umat Islam mengenali diantara satu sama lain dan mengekalkan perpaduan di Malaysia.

Beliau juga memohon supaya rakyat Malaysia menghormati pemimpin dan menguatkan persefahaman di dalam ceramahnya yang diselangi lawak spontan yang membuatkan dewan solat Masjid Putra bingit seketika.

Selepas 20 minit berucap, juruacara majlis menunjukkan klip video berkenaan dengan pemenang Anugerah Maulidur Rasul seramai sembilan orang. Anugerah Perdana dianugerahkan kepada Sahibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Pemenang yang lain terdiri dari Ahli Jawatan Kuasa Induk Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Toh Puan Wan Asiah Ahmad. Bekas Ketua sektor pendidikan Islam Kelantan, Abdul Razak Mat Saad. Ir. Dr. Muhammad Fuad Yeoh iaitu Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia turut menerima anugerah tersebut.

Lain-lain yang menerima ialah Duta Dakwah Saba Islamic iaitu Shah Kirit Kakulal Govindji juga bekas johan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Datuk Rugoyah Sulong, bekas pengarah jabatan ukur dan pemetaan, Abdul Majid Abd Hamid, Ketua Orang Asli Kampung Bukit Kala, Hussein Ngahyin dan juga pelajar cemerlang 9A PMR 2011 dari sekolah SMK Sungai Tiang, Kedah iaitu Muhammad Hadi Darus yang cacat fizikal.

Selepas itu, penerima anugerah mengambil kesempatan untuk bergambar bersama dengan Yang di-Pertuan Agong serta pemimpin-pemimpin lain yang hadir.

Tamat majlis tersebut, Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan bekas Ketua Menteri Sabah ke bilik santapan.

Tuanku Agong meninggalkan majlis jam 11.00 diikuti Y.A.B Perdana Menteri, seterusnya Y.A.B Timbalan Perdana Menteri dan Dato Seri Jamil Khir Baharom dari Masjid Putra. Diikuti oleh Tun Sakaran Dandai iaitu bekas Ketua Menteri Sabah.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen