Saturday, January 7, 2012

Anwar Ibrahim Yakin Menang Perbicaraan

Semalam, penulis sempat meluangkan sejam setengah masa malam penulis ke Stadium 3K, Kelana Jaya berdekatan dengan tempat tinggal penulis untuk mendengar ucapan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum tiba masa keputusan perbicaraannya pada 9 Januari ini.

Ini antara salah satu slot untuk berkempen mengenai gerakan 'Bebas Anwar 901' yang akan berlaku pada awal pagi di tempat letak kereta Mahkamah Tinggi Jalan Duta yang mana keputusan perbicaraan akan dibacakan.

Dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, beliau seolah-olah menunjukkan dirinya akan disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan beberapa tahun yang lepas.

Namun berbeza dengan ucapannya semalam yang menunjukkan beliau sebagai seorang manusia tidak bersalah 'innocent man' dalam ucapannya di Stadium 3K pada jam 11.30 malam selepas berucap di Lembah Pantai jam 9.00 malam.

Kira-kira lebih kurang 3,000 orang hadir pada majlis tersebut termasuk penyokong berbangsa Cina dan India. Namun majoriti yang hadir merupakan Melayu dan ini sekaligus menolak propaganda blog pro-kerajaan yang mengatakan yang hadir ceramah Anwar hanya 300 orang. Beliau juga berkata pada beberapa hari yang lepas beliau ketika membuat ceramah di Machang, Kelantan telah menyaksikan 30,000 yang hadir dan merupakan himpunan paling ramai di Kelantan. Tak taulah kalau Anwar kelentong.

Anwar dalam beberapa hari ini membuat tour seluruh negara bagi mengajak penyokongnya membanjiri perkarangan Mahkamah Jalan Duta Isnin pagi ini.

Dalam ucapannya malam tadi, Anwar Ibrahim berucap dengan penuh yakin yang dirinya tidak akan disabitkan kesalahan dan dengan tanpa segan silu, Anwar Ibrahim mengatakan yang pada malam keputusan perbicaraan dibacakan, beliau akan ke Bombay, India bagi merasmikan Program Pro Rakyat Demokrasi yang dijemput oleh cucu kepada Mahatma Gandhi, Rajmohan Gandhi.

Beliau turut berkata yang pada 12 Januari beliau akan terus terbang ke Turki untuk berucap di Pejabat Perdana Menteri Turki mengenai Dunia Islam kerana dijemput oleh Recep Tayyip Erdogan iaitu Perdana Menteri Turki meskipun diketahui yang keputusan perbicaraannya dibacakan pada 9 Januari.

Dan 14 Januari ini, di Alor Star beliau akan bersama-sama dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain untuk bermesyuarat bagi melancarkan manifesto Pakatan Rakyat.

Anwar Ibrahim juga menunjukkan bertapa tidak takutnya beliau kepada Mahkamah dengan berkata '' Kalau nak lari dari Malaysia, dah lama dah lari. Perkasa suruh tahan passport saya. Tayip Erdogan kata Turki boleh keluarkan passport bawa lari saya ''.

Beliau juga dalam ucapannya menyebut mengenai rasuah yang dikaitkan dengan National Feedlot Corporation ( NFC ) dan juga Ketua Wanita UMNO Dato' Seri Shahrizad Abd Jalil .

Ucapannya yang bermula jam 11.30 itu berakhir pada jam 12.30 tengah malam sambil mempelawa orang ramai supaya hadir memberikan sokongan kepadanya pada hari Isnin ini di Mahkamah Jalan Duta.

Tindakan Dato' Seri Anwar Ibrahim kali ini memeningkan penulis kerana skrip drama tidak sama dengan apa yang berlaku sekarang. Anwar Ibrahim memperlihatkan dirinya sebagai tidak bersalah pada Isnin ini.

Mungkin tindakkan Anwar Ibrahim ini akan membangkitkan semangat penyokongnya jika beliau dijatuhkan bersalah Isnin ini. Sekaligus penyokongnya akan memberontak menentang keputusan mahkamah.

Berlainan dengan pemikiran penulis yang menjangkakan ucapannya kali ini menyeru rakyat untuk membebaskan dirinya dari menjadi banduan. Dalam kata lain membebaskan orang yang bersalah kerana perkara ini mungkin membuatkan penyokongnya akan berfikiran yang dia buat salah suruh orang lain lepaskan.

Dan jika Anwar Ibrahim terlepas dari segala hukuman, pengundi-pengundi atas pagar kemungkinan akan jelas menunjukkan yang tuduhan kali ini hanya sebagai konspirasi menjatuhkan Anwar sekaligus Anwar Ibrahim mendapat sokongan yang lebih.

Tetapi ada pro dan kontranya juga, kerajaan Barisan Nasional akan mendapat kredit kerana kelihatan jujur dalam keputusan mahkamah kali ini kerana membebaskan Anwar. Perlu diingatkan, Dato' Seri Mohd Khir Toyo disabitkan kesalahan kerana rasuah dan ini menunjukkan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional memerangi rasuah dan bersikap adil.

Maka skrip Anwar Ibrahim kali ini akan meninggalkan impak yang besar buat rakyat Malaysia memandangkan perkara yang akan berlaku tidak berlaku sekaligus Anwar Ibrahim mendapat mata lebih.

Jika beliau ditangkap, Anwar Ibrahim kemungkinan mendapat mata dua kali ganda kerana menurutnya, jika beliau ditangkap, sokongan rakyat akan bertambah seperti yang berlaku pada Perdana Menteri Turki dimana partinya menang ketika Erdogan berada di penjara.

Malahan pejuang anti-apartheid Nelson Mandela dipenjarakan berpuluh tahun juga berjaya menghapuskan dasar apartheid di Afrika Selatan. Ini menunjukkan terdapat kemungkinan yang Anwar Ibrahim akan terlepas dari hukuman kerana cara beliau mempengaruhi mahkamah.

Tindakannya meminta penyokong untuk hadir ke Mahkamah Jalan Duta juga akan mempengaruhi keputusan mahkamah dan cara beliau menunjukkan rasa simpatinya kepada rakyat seperti tahun-tahun yang lalu.

Penulis juga tertanya-tanya bagaimanakah manusia seperti Anwar Ibrahim mendapat sokongan padu dari pihak luar terutamanya Barat sehingga mendapat publisiti dari media Barat mengenai Anwar Ibrahim.

Jarang sekali mereka memberikan sokongan kepada orang seperti ini tetapi Anwar, Ya! Mungkin merupakan orang Melayu pertama yang diiktiraf pemimpin oleh Barat dan disokong padu.

Kali ini merupakan kali kedua penulis mendengar ucapan salah seorang pemimpin yang penulis kagumi dalam setiap ucapannya. Ucapannya tanpa skrip namun penulis pasti jika saudara saudari mendengar kepetahan beliau bercakap, saudara tidak akan berasa bosan dan kemungkinan ingin mendengarnya lagi.

Kadang-kala jika penulis mempunyai masa lapang penulis akan mendengar ceramahnya melalui blognya di www.anwaribrahimblog.com walaupun satu ceramah mengambil masa kira-kira 60 minit setiap satunya.

Kali pertama penulis mendengar ucapannya ketika rapat umum beliau di Taman Medan pada 7 Ogos 2009 sebelum bertanding kerusi Permatang Pauh yang mana isterinya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen.

Penulis masih ingat Anwar Ibrahim banyak berbicara mengenai 16 September dimana Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya. Tetapi kata-katanya hanya seperti menanam tebu di bibir apabila beliau temberang penyokongnya bulat-bulat.

Perkara yang menarik pada malam tadi dimana ketika hendak balik, Anwar Ibrahim turun ke padang untuk bersalaman dengan penyokong-penyokongnya. Pengawal Peribadinya berteriak meminta memberikan laluan kepada Anwar Ibrahim sekaligus menolak kesemua penyokong untuk bersalaman dengan beliau.

Agak sukar bersalaman dengan Anwar Ibrahim ketika itu malahan penulis perlu berjalan berpuluh meter bagi mengikut Anwar bagi bersalaman dengan beliau. Tetapi ketika penulis hampir-hampir dapat bersalam dengan Dato' Seri malahan Dato' Seri pun melihat penulis, Dato' Seri berhenti dari berjalan dan kemungkinan besar berkata kepada pengawal peribadinya supaya tidak menolak orang ramai.

Maka kawalan sedikit longgar dan penulis dengan senang hati tanpa sebarang tolakan bersalaman dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang 'kononya' akan menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak lama lagi.

Penulis percaya dan yakin yang Dato' Seri berhenti kerana melihat penulis berusaha untuk bersalam dengannya tetapi tidak dapat maka meminta supaya mereka melonggarkan kawalan. Ini kerana penulis seorang yang berbadan kecik dan kelihatan seperti budak sekolah, maka Anwar berfikiran yang anak muda kita akan menyokongnya suatu hari nanti ( memang penulis budak sekolah pun ).

Malangnya kali ini penulis tidak dapat mengambil gambar Anwar Ibrahim kerana terlupa membawa kamera kerana terlalu ghairah untuk mendengar ucapannya terakhir sebelum ( jika ) beliau masuk penjara.

Tetapi jika Anwar Ibrahim terlepas maka penulis tidak akan melepaskan peluang mengambil gambarnya selepas ini. Disebabkan kamera penulis tidak bersalaman dengan Tuanku Sultan Mizan ketika beliau menjadi Agong walaupun tiga kali penulis hadir ke acaranya tetapi ketiga-tiganya sebagai jurukamera.

Malahan disebabkan kamera penulis terlepas untuk bersalaman dengan ramai pemimpin negara. Bukan sedikit, ramai orang.

Moga-moga kebenaran akan ditegakkan dan kebenarakan akan membawa kepada keadilan. Jika salah wajar dihukum, jika tidak bersalah wajib dilepaskan. Anwar Ibrahim juga turut meminta berdoa untuknya dan moga berdoa supaya keadilan ditegakkan bukannya berdoa untuk Anwar Ibrahim dibebaskan.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen