Monday, December 12, 2011

Sultan Kedah akan Berangkat ke Kuala Lumpur Esok

Hari ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud dan Permaisurinya, Tuanku Nur Zahirah akan menamatkan tempoh lima tahun pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sambutan besar-besaran akan diadakan bagi menyambut kepulangan Sultan Mizan di sepanjang jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud hingga ke Istana Maziah yang dianggarkan sejauh 16.2 km.

Dijangka 15,000 rakyat Terengganu bersama-sama berhimpun di sepanjang jalan untuk menyambut kepulangan Sultan mereka. Kebanyakkan golongan terlibat adalah penjawat awam, pelajar IPTA dan juga pelajar sekolah akan berhimpun menyaksikan kepulangan Raja mereka.






Baginda akan disambut oleh kerabat diraja, para pembesar dan kenamaan negeri termasuk Pemangku Sultan, Tengku Muhammad Ismail dan Menteri Besar Terengganu ketika tiba di Istana Maziah.

Pada masa yang sama, Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan berangkat dari Istana Anak Bukit, Alor Star bersama Tuanku Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun akan diarak dari Istana hingga ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

Acara dijangka bermula pada jam 6.45 pagi dengan keberangkatan tiba DYMM Sultan Kedah ke Istana Anak Bukit ke anjung Istana Anak Bukit diikuti bacaan doa dan laungan Azan. Seterusnya adat pertabalan Raja iaitu dendangkan nobat ''Raja Berangkat'' akan dimainkan sebelum berangkat ke Lapangan Terbang.

Sultan Kedah akan diarak sepanjang kira-kira 5 kilometer dari Istana ke Lapangan Terbang dengan menggunakan kenderaan tidak berbumbung dan dijangkakan seramai 50,000 rakyat jelata akan berhimpun di sepanjang perjalanan melihat keberangkatan Sultan Kedah ke Kuala Lumpur.

Bagi memeriahkan majlis, diempat perhentian bas di sepanjang perjalanan akan diadakan pertunjukan silat kepada orang ramai termasuk di lapangan terbang. Tuanku juga dijadualkan akan memeriksa perbarisan kehormat sebelum berangkat naik ke pesawat khasnya yang dijangkakan bertolak jam 8.10 pagi.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah kali ini akan mencipta sejarahnya tersendiri selaku Raja Muslim paling lama memerintah ketika ini dan ketiga terlama selepas Raja Bhumibol Adulyadev dan Ratu Elizabeth II akan buat pertama kalinya akan menjadi Sultan yang menjadi Agong buat kali kedua.

Sultan Kedah, sebelum ini pernah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1970-1975 bersama Permaisurinya Tuanku Hajah Bahiyah binti Tunku Abdul Rahman. Pada kali ini Tuanku Hajah Haminah Hamidun akan menjadi Permaisuri Raja.

Tuanku Sultan Kedah juga merupakan Raja yang keempat paling lama memerintah ( masih memerintah ) di Malaysia selepas Almarhum Sultan Ibrahim, Sultan Johor, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, nenda kepada Sultan Kedah ( kini ) dan Raja Perlis, Tuanku Syed Putra ibni Syed Hassan Jamalulail.

Gelaran penuh Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Sir Almu'tasimu Billah Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah juga akan menjadi yang pertama akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Duta.

Dalam pada itu, di Istana Anak Bukit, Alor Star akan diadakan perlantikan jemaah Sultan dan kemungkinan besar akan memilih pemangku Sultan Kedah kerana Sultan Kedah menaiki takhta sebagai Agong.

Dijangkakan, Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia, Tunku Annuar ibni Almarhum Sultan Badlishah akan dilantik sebagai Pemangku Sultan mengetepikan Raja Muda Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Malik kerana dilaporkan kurang sihat.

Patik sebagai rakyat Kedah yang lahir di Kedah menyembah tahniah kepada Kebawah Duli kerana panjang umur dan menjadi Yang Di-Pertuan Agong yang ke-14 dan dijangka akan mengangkat sumpah dan menandatangani sumpah jawatan di Istana Negara esok.

Sembah Takzim patik berikan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin kerana berjaya menjalankan tugas sebagai Ketua Negara Malaysia dengan penuh dedikasi selama tempoh pemerintahannya 5 tahun.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan diisi oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V esok menggantikan Sultan Kedah yang menaiki takhta.

Daulat Tuanku !

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen