Sunday, November 6, 2011

Salam Aidiladha

Assalamualaikum, rasanya masih belum terlewat bagi penulis untuk mengucapkan Selamat kepada seluruh umat Islam khususnya pembaca blog ini. Hari ini jugalah merupakan hari yang amat penting bagi umat Islam yang sedang mengerjakan rukun Haji.

Penulis yang menulis artikel ini dari kampung halaman penulis di Perlis amat berbangga kerana dapat mencapai hubungan internet dari kampung penulis ini.

Pagi raya penulis disambut meriah di Alor Star dimana penulis bersembahyang sunat Aidiladha di salah sebuah masjid tercantik di dunia, Masjid Zahir yang juga masjid utama negeri Kedah.

Turut hadir pada pagi ini merupakan Sultan Islam paling lama memerintah ketika ini, Tuanku Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah. Diiringi oleh Menteri Besar Kedah, Y.A.B Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak.


Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan selepas bersembahyang sunat dua rakaat berkenan untuk beraya dengan jemaah masjid sambil ditemani oleh Y.A.B Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan.
Jemaah masjid yang hadir sempat bermesra dengan Tuanku Al-Sultan yang hadir lengkap berbaju Melayu bersama sampin dan songkok.

Penulis dari sini ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 10 Zulhijjah 1432 hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia dan pembaca blog penulis ini.

Semoga raya kali ini memberi seribu pengertian kepada umat Islam dalam mengerjakan ibadah untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen