Monday, November 14, 2011

Pameran Kereta Asia Klasika & COTY di Matrade

Bertempat di Pusat Pameran & Konvensyen Matrade ( MECC ) di Jalan Duta, Kuala Lumpur berlangsungnya Pameran Asia Klasika yang mana mempamerkan kereta klasik pelbagai jenama dan juga berlangsungnya Car of The Year hasil kerjasama Maybank dan New Straits Time.

Pameran Asia Klasika disini menyaksikan beberapa kereta seperti Rolls Royce, Mercedes Benz, Chevrolet, BMW, Ford, Bentley dan juga berbagai buah lagi kereta disertai pada himpunan kereta klasik terbesar di Malaysia ini.

Peserta-peserta yang menyertai Asia Klasika ini juga terdiri daripada pelbagai kalangan antaranya collector kereta antik dari serata pelusuk negara termasuk dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Chevrolet pada tahun 2011 menyambut ulang tahun ke-100 penubuhan Chevrolet yang ditubuhkan pada tahun 1901 oleh pengasasnya iaitu Louis Chevrolet bersama William Crapo Durant yang juga pengasas General Motors.

Chevrolet disini mempamerkan 6 model keretanya antaranya kereta yang dikenali hasil dari filem aksi Transformers iaitu Chevrolet Camaro.

Chevrolet Camaro ini di dalam filem aksi tersebut dipandu oleh Shia Lebeouf hero filem tersebut dan dinamakan Bumblebee bersama dengan pasukan Autobot menentang Decepticons. Filem ini diarahkan oleh Michael Bay bersama juga pengarah terkenal, Steven Spielberg.

Chevrolet Camaro ini juga dipandu oleh dua orang pegawai penyiasat dalam drama bersiri Hawaii Five-O iaitu Steve McGarrett dan juga Danny. Namun keretanya berwarna silver bukannya kuning seperti Bumblebee.

Kereta lain yang dipamerkan disini Chevrolet Corvette yang juga dipanggil Stingray. Kereta ini pada mulanya dihasilkan pada tahun 1953 dan mendapat permintaan ramai sehingga kini namun terhenti seketika untuk dua tahun 1968-1982 dan 1984-1996.

Corvette merupakan kereta sports kedua selepas Camaro yang mana tidak dipasarkan di Malaysia secara umum begitu juga dengan Camaro. Corvette ini berukuran enjinnya 6200 cc dan menggunakan enjin supercharger. Naza Quest yang merupakan pengedar rasmi Chevrolet hanya menjual Chevrolet Cruze dan Captiva sahaja.

Kereta lain yang menarik perhatian pengunjung ialah Chevrolet Suburban yang mana banyak dipakai dalam filem aksi yang melibatkan polis di Amerika. Ini kerana Chevy Suburban merupakan kereta rasmi yang dipakai oleh CIA dan FBI.

Kereta Cadillac Escalade pada mulanya diambil dari Chevrolet Suburban namun di buat semula oleh Cadillac. Walaubagaimanapun kereta ini tidak dijual di Malaysia seperti mana Chevrolet Cruze dan Captiva.

Turut dipamer bersama merupakan trak terbaru Chevrolet iaitu Chevrolet Avalanche yang mana merupakan pengganti kepada Chevrolet Colorado yang sering kali kelihatan jika anda berkunjung ke Thailand.

Namun kelainan Chevrolet ini dipanggil sebagai Sports Utility Truck bukannya Pick up seperti mana Chevrolet Colorado. Tugasnya masih sama tetapi lebih kepada mengangkut penumpang kerana ia empat pintu.

'Green Car' turut diletakkan sebagai menyambut ulang tahunnya ke-100 iaitu Chevrolet Volt yang mana menggunakan enjin hibrid yang mana boleh dibawa sejauh 379 batu jika digunakan bersama petrol. Kereta ini dijamin masih mengekalkan kualiti pemanduan dan kecekapan kawalan.

Kereta ini dianugerahkan oleh Agensi Kawalan Alam Amerika Syarikat sebagai kereta kompak kecekapan minyak paling berkesan. Chevrolet ini juga tidak berada di Malaysia untuk pasaran jualan.

Kereta lama yang menarik perhatian penulis ialah Chevrolet '69 iaitu Impala yang diberi penghargaan oleh Bos Naza untuk diberikan cendera mata kerana Chevrolet berkenaan boleh bergoyang-goyang seperti mana kita lihat di kaca televisyen. Tidak hairanlah kereta berkenaan diberikan jolokan sebagai 'Dancing Car'.

Jaguar juga menyambut ulang tahun ke-50 untuk sebuah model keretanya iaitu Jaguar E-Type yang mana dihasilkan tahun 1961 hingga 1975. Kereta ini dijual sebanyak 70,000 unit sepanjang 14 tahun penghasilannya.

Kereta ini mempunyai tiga siri yang mana siri pertama dihasilkan pada tahun 1961-1968 yang mana enjinnya terbahagi kepada dua iaitu 3.8 liter dan 4.2 liter. Siri kedua pula dihasilkan pada tahun 1969-1971 dan hanya menggunakan enjin 4.2 liter bagi semua kereta siri tersebut. Manakala yang terakhir dihasilkan 1971-1975 menggunakan 12 silinder dan berkapasiti 5.2 liter.

Kereta ini tersenarai dalam 100 kereta tercantik sepanjang zaman oleh Daily Telegraph's dan pengasas Ferrari, Enzo Ferrari memanggil kereta ini sebagai kereta tercantik pernah dibina sejurus kereta ini dikeluarkan.

Jenama kereta terhebat sepanjang zaman, Rolls Royce juga menyambut ulang tahun ke-100 kewujudan lambang kemegahan Rolls Royce iaitu Spirit of Ecstasy yang menjadi logo Rolls Royce dari dahulu hingga kini.

Lambang ini direka lapan tahun selepas pengeluaran Rolls Royce yang diilhamkan oleh Charles Rolls dan Henry Royce di England. Lambang megah inijuga dikenali sebagai Emily, Flying Lady dan Silver Lady dicipta oleh seorang pereka arca iaitu Charles Robinson Sykes.

Penciptaannya bukan suka-suka namun terdapat cerita tersembunyi di sebalik penciptaan Spirit of Ecstasy. Ia berkisarkan tentang keghairahan cinta John Walter Edward Douglas-Scott-Montagu seorang ahli politik konservatif di sana terhadap setiausahanya.

Dari situlah datangnya ilham oleh Charles Robinson Sykes yang melihat pengakhiran cinta mereka sebagai suatu simbolik oleh beliau.

Setiausahanya bernama Eleanor Velasco Thornton juga merupakan seorang model bercinta bertahun lamanya dan percintaan mereka masih lagi disembunyikan dan hanya diketahui oleh rakan terdekat sahaja.

Kereta lain yang turut menyertai bagi kategori kereta Rolls Royce adalah Rolls Royce Silver Dawn, Silver Shadow, Corniche, Camargue dan Silver Spur.

Penyokong utama Asia Klasika, Rainbird Sdn Bhd mempamerkan dua buah Rolls Royce iaitu Rolls Royce Camargue yang merupakan satu-satunya model Rolls Royce yang berada disitu dan juga Rolls Royce Silver Spur yang juga satu-satunya model tersebut di pameran ini.

Kereta yang paling menarik perhatian penulis merupakan kereta Rolls Royce Connaught Tourer yang mana dipercayai antara Rolls Royce paling lama di rantau ini. Rolls Royce ini tiba di Malaysia pada 25 Julai 1926 dan mempunyai kekuatan 20 kuasa kuda.


Mercedes Benz yang menyambut ulang tahun ke-125 tahun penubuhannya juga membuat sambutan secara kecil-kecilan disini selepas membuat himpunan kereta Mercedes di The Mines, Seri Kembangan pertengahan tahun yang lalu secara besar-besaran.

Mereka mempersembahkan sebuah kereta terbaru di bawah khemah mereka iaitu E-Class Coupe yang terbaru. Jarang dilihat di jalan raya Malaysia Mercedes ini dan kebiasannya E-Class yang banyak di jalan raya.

Dihadapan khemah Mercedes terdapat sebuah kereta Mercedes yang lama dipercayai selepas perang dunia pertama. Penulis tidak dapat mengenalpasti apakah model sebenar Mercedes ini. Diberikan penghormatan berada di hadapan Mercedes mungkin kerana ia model paling lama Mercedes.

Antara lain yang menarik perhatian penulis ialah Mercedes 240 D yang mana belakangnya sedikit kebelakang ataupun dipanggil Extended Wheelbase. Ini membuatkan ia limosin kerana sesungguhnya ruang kaki penumpang lebih luas.

Mercedes pujaan penulis tidak lain tidak bukan ialah Mercedes 600 yang digunapakai oleh orang-orang kenamaan termasuk John Lennon. Penulis pernah cerita mengenai kereta tersebut pada artikel yang lepas di Mercedes Councours di The Mines. Malahan penulis pernah menaiki kereta bersama pemilik kereta tersebut ketika ke Istana Sri Menanti.






Kereta lain Mercedes yang ingin penulis ulas ialah Mercedes 450 SL yang ditaja oleh Rainbird Sdn Bhd yang mana pernah dipandu oleh seorang pemandu amatur sehingga mencecah 200 km/j walaupun usianya hampir 31 tahun.

Volvo juga tidak melepaskan peluang untuk menyambut kelahiran sportsnya yang ke-50 tahun iaitu model P1800 yang dihasilkan semenjak tahun 1961 sehingga 1973 oleh Volvo selepas model P1900.


Model terdahulu P1900 dihasilkan hanya 2 tahun iaitu dari tahun 1956 hingga 1957 yang mana dalam tempoh itu hanya 68 dihasilkan. Sebaliknya kereta P1800 ini berjaya berada di pasaran selama 12 tahun dan dilaporkan terjual sebanyak 47,000 unit.

Ini termasuk model Wagon atau dipanggil 'ES' iaitu Sports Estate yang mana menyaksikan kereta Volvo P1800 dua pintu namun panjang di belakang seperti kereta Wagon yang lain. Amat jarang untuk melihat kereta dua pintu namun Wagon.

1966 Volvo P1800 ini di New York, Amerika Syarikat terdapat sebuah kenderaan yang memasuki rekod Guinness yang mana kereta paling jauh bergerak yang mana hingga Julai 2010 ia mempunyai rekod pemanduan 2,800,000 batu .

Pemilik kenderaan tersebut, Irv Gordon mensasarkan kereta itu untuk bergerak sehingga 3,000,000 batu dan pernah menjelajah sehingga ke Kanada, Mexico hinggakan tempat kelahiran kereta berkenaan di Sweden.

Mini yang menyambut ulang tahun ke-50 yang mana mempamerkan kereta yang jarang dilihat iaitu Mini Clubman yang mana Wagon dan terdapat sebuah lagi tingkap di tingkap di tingkap belakang.

Terletak juga Mini Cooper Hatch yang terbaru yang dikeluarkan pada tahun 2007. Mini model ini juga pernah digunakan di dalam filem The Italian Job yang mana untuk mengangkut emas yang dicuri.

Mini juga mempamerkan kereta yang jarang dilihat iaitu Mini Countryman yang mana di dalam kategori Sports Utility Vehicle ( SUV ) yang mana agak tinggi. Kelihatan megah namun masih mengekalkan kecomelan Mini.

Kereta lain yang menarik minat penulis ialah Bentley Continental R-Type yang dikeluarkan pada tahun 1953 yang mana dibuat di Crewe, England. Kereta ini berkapasiti 4566 cc dan enam silinder untuk daya tujahan enjin. Penulis berpeluang melihat interior dalaman Bentley tersebut.

Melihat kedalam Bentley tersebut penulis tersenyum kerana melihat panel ataupun kawasan dashboard kedalam Bentley berkilat dan kelihatan baru. Penulis dapat menganggarkan yang pemilik Bentley ini membelanjakan lebih Rm60,000 untuk veneer sahaja.

Tidak termasuk kos membelanja untuk membuat kulit di tepi pintu kereta ( sebelah dalam ).
Seat juga kelihatan baru kulitnya yang bermakna pemiliknya Larry T.S Lim membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk bahagian dalaman sahaja. Tak tahu pula berapa puluh ribu dibelanjakan untuk membaikpulih enjin dan hal-hal lain tentang kereta ini.

Satu-satunya Lamborghini yang berada disitu, Lamboghini Countach turut mengambil bahagian yang mana merupakan kereta edisi terhad kerana Countach ini hanya dibina sebanyak 2042 unit sahaja.

Lamborghini yang ditunjukkan di dalam gambar ini merupakan Lamborghini Countach yang mempunyai 5.0 liter dan menggunakan kuasa tujahan V12 . Kereta ini dinamakan sebagai antara 10 kereta terbaik untuk tahun 70-an oleh Majalah Sports Car International.

Kereta Amerika yang lain juga tidak ketinggalan untuk mempersembahkan kehebatan mereka. Rainbird Sdn Bhd mempamerkan 4 buah Ford Mustang yang tidak pernah kelihatan di Malaysia.

Ford Mustang ini kesemuanya model yang sama namun jalur pada badan Mustang ini ada yang direka khas untuk menampakkan kemegahan American Muscle. Dikeluarkan pada tahun 1965 dan 1966 di Amerika dan steringnya sebelah kiri seperti kereta standard Amerika yang lain.

Jika masuk ke dalam Bangunan MiTI ini pula terdapat beberapa jenama kereta yang mempamerkan kereta termasuk Perodua, Proton, Toyota, Peugeot, Mercedes, Honda, Jaguar dan berbagai jenama kereta lain.

Antara kereta yang menarik minat penulis ialah hatchback terbaru Renault iaitu Renault Megane. Namun sayangnya Megane yang dipasarkan semenjak tahun 2008 ini interiornya amat simple dan tidak seperti kereta Eropah yang lain.

Proton meletakkan sebuah kereta Satria Neo Lotus yang mempunyai jalur hijau kuning dan juga sebuah lagi kereta S 2000 yang digunakan oleh Proton untuk berlumba rally. Tetapi penulis tidak berpeluang untuk melihat interior kenderaan ini.

Jam 3 petang, Presiden Kelab Diraja Kereta Klasik & Vintaj Malaysia, Dato Seri Tengku Adnan Tengku Borhan merasmikan acara ini dengan memotong kek bersama penganjur Asia Klasika iaitu Andrew Suresh.

Selepas itu mereka membuat simbol perasmian dan sambutan Chevrolet 100 tahun dengan Dato Seri Tengku Adnan memicit hon pada kenderaannya yang merupakan Chevrolet paling lama di Malaysia. Beliau diberi cenderamata replika keretanya.

Sampai sini sahaja laporan penulis mengenai Pameran Kereta Klasik Asia Klasika dan Car of The Year di Pusat Pameran & Konvensyen Matrade di Jalan Duta. Semoga Pameran ini berlangsung untuk tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen