Monday, July 4, 2011

Rasuah

Rasuah adalah pemusnah kepada pembangunan sesebuah negara. Bayangkan jika pegawai penguatkuasa Unit Pencegah Penyuludupan mengambil rasuah bagi bagi membawa masuk barangan dari luar tanpa dikenakan cukai. Sudah berapa banyak duit kerajaan tidak dapat ?

Itu jika barangan biasa, jika barangan seperti pistol, senapang dan sebagainya pastinya akibat yang diterima oleh sesebuah masyarakat lebih parah. Sebab itulah rasuah ini boleh dikatakan amat berbahaya kepada sesebuah negara.

Penulis boleh beri contoh lain seperti seorang kontraktor yang membina sekolah telah buat tetapi tidak mengikut piawaian yang ditetapkan. Kemudian kontraktor terbabit merasuah jurutera yang memeriksa sekolah terbabit.

Untuk tidak merugikan diri sendiri kontraktor terbabit merasuah jurutera bagi meluluskan bangunan sekolah. Justeru jika berlaku kejadian tidak diingini di sekolah terbabit sudah pastinya merugikan rakyat dan boleh menyusahkan pelajar untuk belajar sekaligus merugikan negara.

Bagaimana pula tentang geng-geng kongsi gelap yang merasuah polis untuk tidak menganggu mereka meneruskan aktiviti-aktiviti haram seperti cetak rompak, dadah dan sebagainya. Bagaimana pula jika mereka terlibat dalam jenayah-jenayah seperti ragut, rompak, samun, pecah rumah dan sebagainya.

Sudah pasti ia akan mengancam keselamatan orang awam. Maka gejala rasuah ini perlu dibendung dari usia awal setiap insan lagi. Kerana bagi penulis rasuah adalah musuh no.1 negara bukannya dadah.

Kerana dengan rasuahlah, dadah berjaya masuk ke dalam Malaysia. Jika rasuah tidak berlaku, penulis amat yakin yang dadah tidak dapat dibawa masuk ke dalam Malaysia dengan banyak. Bukannya sifar dadah, tetapi dapat dikurangkan.

Jika ini dapat dikurangkan, sudah pastilah jenayah-jenayah lain dapat dibanteras kerana kebanyakkan penjenayah melakukan jenayah kerana memerlukan wang untuk membeli dadah. Maka tak mustahil ia akan menguntungkan kesemua pihak.

Rasuah juga telah merosakkan nama baik sukan bolasepak Malaysia yang telah melanda pada pertengahan 90-an yang menyebabkan reputasi dan prestasi bolasepak negara merudum. Bahkan baru-baru ini juga dikatakan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan menerima rasuah. Rasuah didalam bolasepak juga amat perlu dititikberatkan kerana rasuah akan membantutkan pembangunan sukan bola sepak dalam negara.

Malaysia menduduki ranking ke-56 dalam Indeks Persepsi Rasuah ( CPI ) melalui kajian yang dilakukan Transparency International ( TI ) dan menjadikan negara Malaysia negara ke-3 dalam rantau Asia selepas Singapura dan Brunei.

Dalam kalangan negara Islam, Malaysia menduduki tempat ke-10 didalam kajian yang dilakukan Transperency International. Di dalam senarai 20 teratas CPI yang dijalankan, hanya Qatar sahaja negara majoriti Islam yang berada di tangga ke-19.

Kebanyakkan negara-negara yang menduduki tangga 10 teratas adalah negara berpendapatan tinggi. Ini jelas menunjukkan jika seseorang itu mempunyai wang yang banyak, maka mereka tidak akan rasuah.

Dalam 10 tangga teratas juga majoriti rakyatnya kurang dari 10 juta dan hanya tiga sahaja negara yang berada di tangga teratas mempunyai rakyat lebih dari 10 juta iaitu Kanada, Belanda dan Australia.

Dalam konteks ini, jelas menunjukkan lebih senang kempen dijalankan kepada rakyat kerana rakyat yang kurang lebih mudah untuk didekati berbanding rakyat yang ramai. Sekaligus jika mengikut peratusan, kemungkinan Malaysia sama dengan negara-negara lain, cuma disebabkan rakyat Malaysia ramai maka lagi ramai la perasuah dan pengambil rasuah.

Kajian yang dilakukan oleh Transperency International Malaysia ( TIM ) telah mendapat maklumat dimana golongan paling banyak rasuah adalah golongan berpendapatan lebih Rm5000 diikuti oleh Rm3000-4999 dan Rm 1500-3900 seterusnya kurang Rm 1500.

Kedudukan Malaysia sejak kebelakangan ini semakin buruk apabila telah jatuh lebih 40 tangga sejak International Transperency ditubuhkan. Hal ini amat membimbangkan bagi Malaysia sebagai negara membangun bagi mencapai negara maju menjelang 2020.

TIM juga mendapati bahawa polis Malaysia berada di kedudukan yang tinggi sebagai penerima rasuah di Malaysia. Institusi swasta dan pentadbiran kerajaan antara yang tertinggi di sebagai pengamal rasuah.

Seperti biasa, polis Malaysia seringkali dikaitkan dengan rasuah, bak kata pepatah '' sebab nila setitik, rosak susu sebelanga '' . Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir anggota polis yang memakan rasuah.

Mereka inilah nila-nila yang telah mencemarkan nama baik agensi polis kerana amalan yang dilakukan mereka. Siapa yang salah pemberi ataupun penerima rasuah yang patut bertanggungjawab.

Bagi penulis, kedua-duanya perlu dipersalahkan kerana jika tiada perasuah, maka tiadalah pengambil rasuah tetapi ada orang kata tanpa pengambil rasuah, maka tiadalah perasuah.

Perasuah perlu sedar apa yang mereka lakukan salah. Kebanyakkan perasuah mengetahui akan kesalahan mereka namun tiada pilihan lain kerana mengejar keuntungan, maka dosa dianggap perkara kecil.

Bagi pengambil rasuah pula terdiri kepada dua jenis pengambil rasuah, yang pertama mereka yang memang berniat untuk meminta rasuah jadi dengan cara itu mungkin ia menjadi sumber pendapatan utama mereka.

Keduanya adalah pengambil rasuah yang telah dihulurkan rasuah disebabkan kerana kelabu mata akan wang yang ditawarkan. Jadinya mereka terpaksa ambil wang ataupun apa-apa perkara kerana tidak berdaya menolaknya.

Ada satu golongan yang hanya boleh dinilai mengikut keikhlasan hati. Iaitu mereka yang telah membantu rakan mereka memudahkan hal tanpa meminta sebarang wang dan tanpa ditawar sebarang wang.

Tetapi tiba suatu masa contohnya pada hari raya, mereka bagi wang tetapi dikatakan duit raya. Jadi perkara seperti ini tidak boleh dituduh sebagai suatu amalan rasuah kerana ia mengikut keihklasan hati. Ia mungkin dikatakan hadiah kerana membantunya suatu masa dahulu.

Wang rasuah mungkin didefinisikan sebagai wang pelincir untuk memudahkan sesuatu urusan. Tetapi jika kita ikhlas menuang pelincir tetapi 2-3 bulan selepas itu wang sampai untuk membayar pelincir, mungkin perlu difikirkan semula.

Cara untuk menghindari rakyat kita dari rasuah mungkin cuma memerlukan satu kempen kesedaran tentang bahayanya rasuah. Tetapi kempen demi kempen telah dilakukan namun indeks kita semakin merosot maka kita memerlukan pendekatan yang lain.

Negara kita yang mana rakyatnya bukan dalam golongan berada mempunyai masalah rasuah kerana ingin mencari pendapatan sampingan selain tidak mahu membayar kos asal yang patut dibayar kerana kekurangan wang.

Di Singapura, langkah mereka untuk meminimumkan rasuah adalah dengan meletakkan gaji penjawat awam disana tinggi. Selain sektor swasta juga mendapat tempias dengan gaji mereka yang tinggi. Malahan Perdana Menteri Singapura menjadi Perdana Menteri paling tinggi gajinya dengan lebih Rm 7 juta .

Gaji Perdana Menteri Malaysia hanya Rm 240,000 setahun ataupun bersamaan dengan Rm 20,000 sebulan. Mungkin soal pendapatan rakyat menjadi salah satu faktor berlakunya amalan rasuah di negara kita ini.

Maka cuma ada dua cara sahaja yang dapat membantu Malaysia mengurangkan kes rasuah iaitu dengan menggunakan pendekatan berkempen dan memberikan pendapatan yang cukup kepada rakyat bagi mengelak amalan rasuah.

Amalan rasuah didalam sektor kerajaan juga perlu dihapuskan kerana ia telah menggangu kecekapan sesebuah agensi untuk melaksanakan tugas. Kadang-kala rasuah juga telah menyebabkan sesebuah syarikat kerugian berbillion-billion ringgit.

Paling menyedihkan apabila syarikat yang terbabit dalam kerugian berbillion ringgit ini akibat rasuah adalah Syarikat Rangkaian Kerajaan ( GLC ). Justeru ia perlu dibanteras habis-habisan kerana rasuah ini umpama duri dalam daging didalam sesebuah pembangunan negara bangsa.

Berikut disertakan video-video dari youtube dimana dipercayai polis meminta rasuah dan memakan rasuah.


Video diatas ini tidak diketahui keasliannya, namun penulis merasakan ia sememangnya asli walaupun terdapat komen yang mengatakan tiada video menggunakan telefon boleh berjalan serentak ketika berbual.

Mengikut apa yang penulis lihat didalam video diatas ini, video ini telah menunjukkan bahawa seorang pemandu kereta telah menggunakan telefon semasa memandu dimana mengikut undang-undang lalu lintas ia salah sama sekali kerana boleh mengakibatkan kemalangan.

Hint pertama didalam video ini adalah polis terbabit berkata '' ini kalau jual handphone bolehlah bayar saman, ni tiga ratus ye saman kerana bercakap telefon ketika memandu ''. Pemandu ini juga bagi hint yang dia ingin merasuah dengan berkata '' Bulan ni tak ada duit la, tolongla, tak ada tiga ratus la ''.

Itu antara hint untuk memberi rasuah kepada polis, yang lain penulis rasa anda semua boleh cari sendiri tentang video rasuah ini. Sekali lagi penulis ingatkan, penulis tidak pasti sama ada ia benar atau tidak namun penulis percaya melalui cara percakapan polis tersebut yang sememangnya cara seorang polis bercakap.



Video ini pakat-pakat pembaca cari sendiri lah hint-hint yang mereka bagi, jika anda pakar untuk memberi makna tersirat dari segala segi perkataan yang keluar dari mulut polis, maka tiada masalah untuk mengenal pasti apa yang ingin disampaikan.

Sampai disini sahaja hal berkaitan rasuah yang penulis ingin sampaikan, INGAT!!! Rasuah tidak mengenal siapa ada, tidak mengira pangkat, tidak mengira usia cuma apa yang penting keteguhan iman sahaja. Manusia boleh terjebak kerana tiga 'ta' iaitu Harta, Takhta dan Wanita.

Penulis sekali lagi mengambil kesempatan untuk mengingatkan pembaca supaya jangan sesekali merasuah kerana rasuah perosak sesebuah negara bangsa.

Ingatlah mati, lebih malang jika mati dihumban dari bangunan



No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen