Tuesday, June 7, 2011

Malaysia Dibuli Lagi

Baru-baru ini riuh seluruh Malaysia tentang penutupan Stesen Keretapi Tanah Melayu di Tanjong Pagar, Singapura dimana Malaysia telah menyerahkan tanah milik KTM kepada Singapura untuk dibangunkan dan Stesen Kereta api akan dipindah ke Woodland.

Landasan kereta api dari Bukit Timah hingga Tanjong Pagar akan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura. Tanah rizab KTM sebesar 200 hektar yang dengan tempoh pajakan 999 tahun ini akan diserahkan untuk dibangunkan secara bersama oleh syarikat dari Malaysia dan Singapura.

Ini bermaksud yang syarikat milik Kerajaan Malaysia telah kehilangan tanahnya di Singapura kerana Point of Agreement atau Perkara-perkara Yang Dipersetujui ( POA ) pada tahun 1990 yang memaksa KTM untuk berpindah. Ini adalah satu kehilangan besar buat negara kerana kerajaan boleh membangunkan tanah ini secara bersendirian.

Sebenarnya jika difikirkan balik, penulis mendapati bahawa Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kerap kali ke Singapura atas urusan kerja. Kebanyakkan perbincangan yang dibuat selalunya keputusannya tidak baik untuk rakyat Malaysia.

Penulis tidak tahu berapa kali ke Singapura tapi penulis percaya lawatan Dato' Seri Najib ke Singapura adalah yang terbanyak termasuk baru-baru ini. Antaranya selepas kekalahan pilihanraya Sibu di Sarawak pada 21 Mei.

Termasuk dengan lawatan Dato' Seri Najib baru-baru ini ke Singapura untuk dialog antarabangsa Shangri-La kemungkinan ia kali ke-4 beliau ke Singapura kemungkinan ia paling banyak dilawati Dato' Seri Najib.

Sebenarnya jika diperhatikan secara terperinci tindakan dan dasar luar Malaysia dibawah pentadbiran Dato' Seri Najib juga kelihatan berlembut seperti era pemerintahan Tun Abdullah Badawi. Namun kelainan Dato' Seri Najib adalah setiap tindak tanduknya dilakukan secara berwaspada.

Apa yang dilaporkan oleh Wikileaks dimana menyifatkan Dato' Seri Najib ini seorang yang oportunis ataupun seorang yang akan mengambil kesempatan jika ada peluang. Sehingga kini, tiada lagi sifat-sifat oportunis jika diperhatikan tentang dasar luarnya bersama Singapura.

Antara tindakan yang penulis sifatkan sebagai sebuah sikap yang berlembut terhadap Singapura adalah penyerahan tanah KTM yang dibangunkan secara bersama. Namun kedua-dua pemimpin Lee Hsien Loong gagal menyepakati dalam menyutujui cukai pembangunan. Kemungkinan besar cukai pembangunan akan dikenakan agak tinggi kepada syarikat Malaysia untuk projek tersebut.

Masih ingatkah lagi penangkapan Mas Selamat Kastari iaitu salah seorang pemimpin militan Jemaah Islamiah di Johor selepas meloloskan diri dari Pusat Tahanan Jalan Whitley pada 27 Februari 2008.

Mas Selamat melarikan diri ketika dia berjumpa dengan ahli keluarganya apabila dia ke tandas dan melarikan diri dari pusat tahanan tersebut dari tandas tersebut yang tidak berjeriji. Walaupun kakinya tempang disebabkan cuba meloloskan diri pada 2001, dia dapat melepasi tembok setinggi 7 meter dan pagar berduri menyebabkan Interpol mengeluarkan amaran tahap jingga diikuti tahap merah beberapa hari selepas itu.

Kemudiannya dia dengan bantuan pelampung berenang dari Pantai Woodlands hingga Pantai Stulang lebih kurang 1km. Dia seterusnya ke rumah saudaranya di Skudai, Johor untuk menetap lebih setahun di sana.

Pada tanggal 1 April 2009 di kediaman saudaranya iaitu Abdul Matin yang juga ahli Jemaah Islamiah dan Johar Hassan bersama Mas Selamat telah ditahan oleh Special Branch PDRM dimana 40 orang komando khas menyerbu rumah tersebut sebelum menutup muka Mas Selamat untuk dibawa keluar.

Mas Selamat kemudiannya ditahan di Kem Kamunting, Taiping, Perak dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) yang membolehkan seseorang ditahan tanpa perbicaraan dalam tempoh tertentu.

Namun pada 24 September 2009, Mas Selamat dihantar kembali ke Singapura untuk menjalani tempoh tahanan disana. Ini berikutan dari lawatan 21 Mei yang lepas dimana antara perbincangan utama adalah tentang Mas Selamat.

Penulis ingin bertanya kepada Kerajaan Malaysia, apakah kelebihan atau advantage hasil penghantaran pulang Mas Selamat ke Singapura. Apa rugi sangat nak tanggung duit makan minum Mas Selamat di Kamunting.

Sepatutnya Malaysia mendapat sesuatu hasil dari usaha polis Malaysia menangkap Mas Selamat di Johor. Ini kerana agensi risikan Malaysia yang bersusah payah membuat risikan dan tindakan juga diambil oleh anggota Gerak Khas Malaysia jadi ia tahanan milik Malaysia.

Kalau benar Singapura banyak menyalurkan maklumat ataupun mengetahui kedudukan Mas Selamat di Malaysia. Mengapa inteligen-inteligen mereka tidak terus menculik Mas Selamat dari rumahnya terus ke Singapura. Rasanya itu bukan masalah besar...

Jadi apa yang penulis ingin bagitahu adalah Mas Selamat ditangkap di Malaysia oleh Polis Malaysia jadi tidak patut dihantar pulang ke Singapura melainkan Malaysia mendapat ganjaran dari Singapura ataupun mana-mana isu diselesaikan mengikut kehendak Malaysia.

Mas Selamat ini bukannya besi yang ada nama milik sapa. Mas Selamat ini manusia yang diburu seluruh dunia jadi siapa yang dapat tangkap maka simpanlahnya di negara sendiri. Buat apa menyusahkan diri sendiri tetapi pada akhirnya diserahkan kembali.

Macam kambing dari kandang yang diburu dari hutan terlepas ke hutan kembali, maka sesiapa yang dapat memburu kena makanlah kambing itu. Kalau nak pulang kepada Tuan Kandang pun boleh tetapi dengan syaratlah. Mana ada orang nak bagi daging kambing secara percuma sedangkan dia yang susah payah memburu.

Itu baru cerita dekat Mas Selamat Kastari, ini nak masuk kes jambatan pula cuma kali ini yang nak kena hentam bukannya Dato' Seri Najib tapi bekas ( Rais Yatim kata 'mantan' perkataan Indonesia ) Perdana Menteri Malaysia, iaitu Tun Abdullah Badawi.

Kita mula hal Jambatan Bengkok pula yang akan menggantikan Tambak Johor untuk rakyat Malaysia ke Singapura. Jambatan ini dirancang pada tahun 1997 dimana pengarah urusan Gerbang Perdana Sdn Bhd, Datuk Yahya A Jalil mendapati Tambak Johor punca kesesakan di Tanjung Puteri oleh kerana Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin ( CIQ ).

Maka beliau telah berjumpa dengan Tun Mahathir Mohammad untuk membincangkan hal ini dan Tun Mahathir memberikan respon positif menyebabkan beliau telah membuat proposal lengkap untuk diserahkan kepada kerajaan.

Selepas melakukan kesemua perkara ini dengan lengkap, beliau telah menghantarnya dan Tun Mahathir telah mengumumkan bahawa Tambak Johor akan digantikan dengan Jambatan Bengkok.

Walaupun mendapat tentagan hebat oleh Kerajaan Singapura, namun Malaysia tetap berkeras untuk membina Jambatan Bengkok hingga Singapura menuntut 1 billion padu pasir dan ruang udara Johor untuk kegunaan Tentera Udara Republik Singapura ( RSAF ).

Malaysia tetap dengan pendiriannya untuk membina akhirnya Malaysia mengalah dan hanya membinanya di perairan Malaysia yang bermaksud Tambak Johor sebelah perairan Malaysia sahaja akan dibuat Jambatan Bengkok ini.

Cuma masalah paip yang menghubungkan air ke Singapura sahaja tidak dapat diselesaikan kerana paip air Johor yang dijual kepada Singapura melalui paip yang berada di Tambak Johor.

Selepas kesemua kes hampir selesai pada 9 Mac tahun 2006 secara simboliknya kerja-kerja pembinaan Jambatan Bengkok atau Jambatan Indah telah dilakukan tetapi 12 April pada tahun yang sama Tun Abdullah memutuskan untuk menghentikan projek ini.

Menyebabkan ia tergendala dan akhirnya dibatalkan projek ini dimana kerajaan perlu membayar beratus-ratus juta ringgit kepada Gerbang Perdana sebagai pampasan oleh kerana kerja-kerja yang dilakukan sia-sia selama ini.

Sebenarnya Perdana Menteri Singapura tidak membantah kerja-kerja pembinaan Jambatan Bengkok ini tetapi yang membatalkan projek ini adalah Tun Abdullah Badawi. Tulisan Tun Mahathir diblognya bertajuk 'Jambatan' melaporkan yang Sultan Johor amat sukacita untuk melihat jambatan tersebut.

Malahan beliau berkata yang tiada seorang pun rakyat Johor yang menolak pembinaan Jambatan Bengkok ini kecuali perdana menteri ketika itu. Tiga hari sebelum itu Dato' Seri Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu mengesahkan bahawa projek itu akan dilaksana tetapi dibatalkan oleh Perdana Menteri ketika itu.

Kita amat rugi kerana tidak dapat membina Jambatan Bengkok yang akan memberikan manfaat kepada kita tetapi telah disabotaj pihak-pihak tertentu. Apa yang Malaysia akan dapat jika Jambatan Bengkok ini siap dibina adalah air di Selat Tebrau akan dapat mengalir sekaligus dapat membersihkan air. Selain itu, penduduk Johor akan mendapat manfaat apabila keadaan lalu lintas akan dapat diselesaikan. Kapal dagang boleh melalui Selat Tebrau sekaligus boleh menjadi punca pendapatan negara.

Tetapi mengapakah Tun Abdullah membatalkan projek yang akan memberi faedah kepada seluruh rakyat Malaysia?

Malaysia tidak perlu menghantar 1 billion padu pasir kepada Singapura kerana ia hanya melibatkan kawasan Malaysia dan tidak ada kena mengena dengan Singapura kerana ia tidak melibatkan wilayah mereka.

Malaysia juga tidak patut untuk membenarkan ruang udara Johor diceroboh oleh tentera Singapura yang ingin membuat latihan jika projek dilaksanakan.

Penulis berpendapat bahawa permintaan-permintaan mengarut Singapura ini hanya untuk melengah-lengahkan ataupun untuk memaksa Malaysia menghentikan pembinaan Jambatan Bengkok ini.

Permintaan satu billion padu pasir boleh dikatakan relevan kerana Singapura ingin menambak pulaunya yang kecil itu. Jika Malaysia memberikan satu billion padu pasir bermakna Singapura akan dapat sebuah lagi Singapura. Justeru perkara ini akan terus memperbesarkan Singapura yang mempunyai kepadatan yang tinggi. Adakah Malaysia akan bagi?

Permintaan yang kedua iaitu untuk mendapatkan ruang udara Johor bagi latihan Tentera Udara Republik Singapura ( RSAF ) adalah suatu permintaan yang boleh dikatakan bodoh kerana tiada negara didalam dunia ini akan memperjudikan kedaulatan negara.

Sekaligus penulis beranggapan bahawa perkara ini hanya untuk menjadi alasan Perdana Menteri sahaja untuk tidak meneruskan pembinaan projek ini. Singapura sendiri penulis rasa tahu yang tuntutan mereka tidak akan dipenuhi mana-mana negara yang mereka minta.

Isu air yang telah menimbulkan ketidakpuasan hati ramai pihak dan salah seorang yang amat-amat berang dengan perkara ini adalah Tun Mahathir yang menkritik perjanjian air Malaysia-Singapura 2011 yang akan tamat 50 tahun lagi.

Tun Mahathir dalam tulisannya di dalam blognya chedet.co.cc pada terbitan bertajuk 'Water' berkata '' Pahang akan menjual air kepada Selangor/KL. Saya tidak fikir Pahang akan gembira menerima 3 sen per seribu gelen.''

" Melaka membayar kepada Johor 30 sen untuk seribu gelen dan terus begitu sepatutnya. Adakah Johor akan meminta lebih daripada 30 sen pada masa hadapan? Tuhan saja yang tahu. "

" Pada 2011 perjanjian pertama dengan Singapura untuk 350 juta air mentah setiap hari dengan harga 3 sen setiap seribu gelen akan berakhir. Apa yang kita akan lakukan ? Saya agak walaupun Singapura mempunyai NEWater, mereka masih memerlukan 350 juta air setiap hari. "

Itu adalah petikan dari tulisan Tun Mahathir yang mempersoalkan mengapa Malaysia masih terus menjual air kepada Singapura dengan harga yang begitu rendah. Malahan kos yang dibayar Melaka kepada Johor untuk air lebih tinggi dari apa yang Singapura bayar.

Tiada apa-apa perjanjian yang tidak membenarkan Malaysia menaikkan harga air mentah yang dijual kepada Singapura tetapi mengapa Malaysia tidak menaikkannya. Walaupun perjanjian itu tamat pada tahun ini, tetapi perjanjian ditandatangani awal beberapa tahun dan ia langsung tidak menguntungkan Malaysia.

Mungkin 50 tahun dahulu penjualan air dengan harga 3 sen per seribu gelen berbaloi kerana Singapura mempunyai logi rawatan dimana Johor akan membeli balik air yang dirawat tersebut dengan harga 50 sen per seribu gelen.

Namun adakah ia masih relevan bagi 50 tahun akan datang dengan harga 3 sen per seribu gelen. Malaysia tidak akan membeli kembali air dari Singapura kerana logi rawatan air di Johor sudah siap.

Mengapakah harganya tidak ditingkatkan? Adakah pemimpin Malaysia ketika itu mempunyai perjanjian lisan dengan Singapura untuk tidak menaikkan harga air yang bakal dibekalkan kepada Singapura.

Singapura memperkan NEWater kepada rakyatnya dengan menyatakan air di Singapura termasuk air longkang akan diproses dengan menggunakan teknologi terkini untuk membekalkan air kepada rakyat Singapura.

Sepatutnya jika nama NEWater ini dipercayai oleh penduduk Singapura untuk menggunakannya. Maka tidak sepatutnya Malaysia menjual air kepada Singapura dengan jumlah yang sama dengan harga yang sama.

Ini menunjukkan bahawa Singapura tidak yakin dengan produknya sendiri. Kesimpulan boleh dibuat dengan penulis menyifatkan kerajaan Singapura masih bergantung harap dengan air dari Johor berbanding NEWater.

Tidakkah Kerajaan Malaysia berasa rugi dengan penjualan air yang begitu murah kepada Singapura?

Bab yang paling menyakitkan hati penulis dan rasanya seluruh rakyat Malaysia adalah tentang Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca yang telah ditentukan oleh International Court of Justice ataupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa ( ICJ ).

Pulau ini menjadi isu pada 1979 apabila Malaysia telah memasukkan Pulau Batu Puteh sebagai wilayahnya. Singapura pula menegaskan Pulau Batu Puteh miliknya dan pada tahun 1994 kedua-dua negara bersetuju untuk menuntunya di ICJ.

Penulis tidak mahu menceritakan panjang lebar, anda boleh merujuk di [ sini ] untuk mengetahui cerita tentang pertikaian Pulau Batu Puteh ini.

Apa yang ingin penulis katakan salah satu hujah mereka iaitu perbandingan diantara Pulau Batu Puteh dan Pulau Pisang amat memalukan dan kecuaian pihak berkuasa kita yang tidak menjalankan tugas.

Seperti yang Singapura kata, di Pulau Pisang dimana Malaysia mengarahkan bendera Singapura diturunkan dan membuat pemantauan ataupun rondaan dikawasan tersebut. Namun Malaysia tidak pernah membuat sebarang rondaan dan tidak mengambil kisah tentang pulau tersebut.

ICJ juga menuduh salah satu faktor kemenangan Singapura terhadap Pulau Batu Puteh adalah kecuaian Johor membiarkan Singapura terus menguruskan rumah api tersebut. ICJ juga berkata dari tahun 1844 hingga 1953 Malaysia tidak mengambil tahu dan tidak menyelenggara rumah api di Pulau tersebut.

Kegagalan Malaysia mengekalkan Pulau Batu Puteh ini memberikan kemenangan besar kepada Singapura yang mana peta wilayah Singapura akan melebar. Ini sesuatu yang amat diperlukan oleh Singapura 'bagai orang yang mengantuk disorongkan bantal'.

Singapura juga dapat meletakkan kepentingan tenteranya di kawasannya sekaligus menggugat keselamatan perairan Malaysia. Sekaligus ia amat mendukacitakan ramai pihak yang menyatakan terdapat segelintir manusia telah mensabotaj penghujahan oleh delegasi Malaysia.

Kesimpulannya disini Malaysia telah banyak berkorban untuk Singapura dan sehingga bila lagi kita patut berkorban demi mereka. Sampai bilakah kita patut berkorban untuk Singapura?

Banyak lagi perkara-perkara yang menguntungkan Singapura dan merugikan Malaysia. Kebanyakkan perjanjian tidak pernah mendapat win-win situation. Sampai bilakah perkara ini akan berakhir.

Sudah berpuluh tahun Malaysia dibuli oleh Singapura ?
Bila kita akan sedar ?
Bila titah Tuanku Sultan Johor akan dilaksanakan ?

Harap selepas ini tiada lagi rundingan yang akan merugikan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen