Wednesday, December 29, 2010

Lagi Peminat Mengeluh Stadium Penuh

Tidak dapat tempat duduk dalam stadium

SELURUH rakyat Malaysia berbangga dengan kemenangan 3-0 pasukan bola sepak kebangsaan ke atas Indonesia dalam pertandingan akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Ahad lalu. Syabas dan tahniah diucapkan.

Saya merupakan antara puluhan ribu penyokong yang hadir ke Stadium Nasional dengan harapan besar untuk memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan. Namun apa yang mengecewakan ialah tempat duduk yang disediakan di dalam stadium tidak mampu menampung para penyokong yang hadir.

Terdapat ribuan penyokong terpaksa berdiri di laluan masuk ke tempat duduk di seluruh bahagian stadium disebabkan kesemua tempat duduk di semua tingkat telah dipenuhi. Ada juga antara mereka terpaksa duduk di lantai luar kawasan yang dikhaskan.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Berapa banyak tiket yang diperuntukkan sebenarnya untuk perlawanan tersebut? Adakah pihak pengurusan Stadium Nasional tidak membuat perhitungan sewajarnya?

Saya kira pihak stadium telah tersilap membuat perhitungan dan perkara ini telah membuatkan ribuan penyokong terpaksa berpuas hati duduk di tangga-tangga dan kaki-kaki lima stadium. Terdapat begitu banyak kerusi kosong yang menjadi pembahagi antara penyokong Malaysia dan Indonesia yang tidak dipenuhi atas faktor keselamatan.

Syukur tidak ada insiden buruk yang berlaku. Namun, dengan jumlah penonton yang melebihi kapasiti sebenar stadium, tidak mustahil sesuatu musibah boleh berlaku. Saya dapati jambatan yang menghubungkan dua bahagian di Stadium Nasional juga dipenuhi dengan para penyokong dan perkara ini sangat berbahaya.

HANIF MOHSEIN MOHD. FAUZI

( UTUSAN MALAYSIA )

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan Komen